DILARANG NIKAHI AKU – 98

Dia menguntum senyum sendiri memikirkan dia telah tamat belajar. Yang tinggal hanyalah majlis konvokesyennya. Dan ikutkan hati sepanjang proses ‘penungguan’nya dia mahu pulang ke Kuala Lumpur.
Tapi Haikal bertegas meminta dia tinggal di Pulau Pinang sehingga semuanya selesai. Dia punya pilihan apa melainkan menuruti permintaan suaminya seorang itu? Sedangkan kerinduan pada semua sudah membuak-buak terutama pada opahnya.
Juga dia teringin menemui Suria, satu-satunya anak saudara yang dia miliki. Mungkin saja setelah empat tahun berlalu, marah Suraya padanya sudah hilang. Jadi mereka boleh bermula semula.
Dia memang sayangkan Suraya. Benar-benar menyayangi satu-satunya kakak yang dia miliki. Dan dia benar-benar berharap Suraya telah melupakan segala yang berlaku di antara dirinya, Suraya juga Haikal.
Hani sudah berbaik semula dengan Hanifah. Ibu bapa Qamar telah menemui Hani beberapa hari selepas Qamar berlepas. Dan mereka menerangkan semuanya yang berlaku. Kesalahan Qamar atau kesilapan yang tidak disengajakan Qamar terhadap Hani.
Beel sendiri melihat bagaimana Hanifah beria memohon maaf dengan puterinya atas kesalahfahaman yang berlaku. Dan pastinya Hani sebagai puteri yang baik langsung tidak menyalahkan uminya. Beel sendiri tahu itu.
Kelakar juga bila Qamar menceritakan semua pada ibu bapanya. Bererti dia benar-benar rapat dengan ibu bapa dan ibu bapanya juga merupakan ibu bapa yang boleh dibawa berbincang dalam segala hal.
Hani pula.. Langsung tidak terusik dengan pemergian Qamar. Setelah Qamar tiada, Hani langsung tidak menyebut namanya. Ada juga sesekali Beel mengusik. Mahu melihat respon Hanilah katakan, tapi Hani bodohkan saja. Itu membuatkan Beel benar-benar percaya bahawa Hani langsung tiada perasaan terhadap Qamar.
Sekarang cuma Reza. Reza yang masih tidak putus asa memikatnya. Naik rimas dia dengan lelaki itu kerana mawar merah yang tiap hari diberikan. Sedangkan lelaki itu telah tamat belajar. Masih lagi berkunjung ke universiti untuk berjumpanya. Memberi hadiahlah, itulah, inilah. Tapi mujur Reza tidak pernah lagi melanggar batas.
Dan hari ini, dia punya ‘temu janji’ dengan Hani. Maklumlah dah habis belajar, kiranya sekarang adalah masa untuk ‘enjoy’.

############

Haikal melangkah keluar dari bilik mesyuarat. Jam tangannya dilihat. Sudah jam 9.00 malam. Malang benar nasibnya bila kemalangan tiba-tiba menimpa salah seorang pekerjanya, membuatkan mesyuarat tergempar perlu diadakan.
Ahli lembaga pengarah yang lain sudah pulang semuanya. Dialah yang terakhir meninggalkan bilik mesyuarat tadi. Langkah diatur ke pejabatnya. Mengapa dia berperasaan begini?
Linda yang masih lagi menghadap komputer dipandang. “Linda, awak tak balik?”
“Belum En.Haikal. Saya nak siapkan kerja lagi sikit”.
Haikal mengangguk. “Kalau kita rasa tak sedap hati kenapa? Awak tahu?”
Linda mengerut dahi. Apa yang tidak kena dengan majikannya ini? Tidak pernah-pernah dia membincangkan soal peribadi dengan Linda.
“Linda, awak dengar saya tanya?”
Linda tersedar dari lamunan sesaatnya. “Ya saya dengar”.
“Macam mana? Awak tahu?”
“Mungkin En.Haikal risaukan Puan Nabilah?”
Haikal melepas nafas. Anggukan diberikan buat Linda. Dia bukannya pakar dalam soal perasaan begini. Juga sepanjang pernikahannya dengan Beel, tidak pernah pula dia tiba-tiba dilanda perasaan tidak enak sebegini.
“Kalau macam tu, saya cadangkan En.Haikal telefon Puan Nabilah dan tanya dia sendiri” Linda memberi cadangan.
Haikal mengangguk dengan senyuman. Dia masuk ke dalam pejabat dan terus menghubungi Beel.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Sayang sihat?”
Kedengaran suara Beel ketawa kecil di talian. “Sihat alhamdulillah. Kenapa awak call malam-malam ni?”
“Sihat? Kenapa suara sayang macam lain…”
“Saya ok. Baru bangun tidur ni..”
“Tidur? Baru pukul sembilan”.
“Penat sangat kan? Tu yang tidur awal..”
“Penat buat apa?”
“Keluar dengan Hani tadi. Hani pun dah tidur agaknya. Tak balas-balas mesej saya..”
“Oklah macam tu. Pergilah sambung rehat. Jaga diri ye..”
“Ok. Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam” Haikal menekan butang merah mematikan panggilan. Beel tidak kenapa-napa. Dia ok saja. Dia baik saja. Namun mengapa perasaannya masih tidak enak?

###############

Dia melihat alamat yang tertera pada skrin telefon. Bangunan kondominium mewah di hadapannnya dipandang. Dan skrin telefon bimbitnya dipandang semula. Memastikan dia tidak salah.
Nafas dilepas kelegaan. Jadi inilah tempat tinggal gadis kesayangannya. Dia sudah tahu di mana gadis kesayangannya tinggal kini.
Jam tangannya kemudian dipandang. Sudah pukul 10.00 malam? Lalu apa yang dia lakukan di sini? Lebih baik dia pulang. Jika gadis ini dapat tahu dia di sini, pasti gadis itu menyangka dia punya akal yang tidak waras. Iyalah, gadis mana yang tidak takut jika ada lelaki yang ke rumahnya lewat malam?
Langkah mahu pulang diambil. Namun hanya beberapa langkah. Dia berhenti. Bangunan itu dipandang semula. Tapi, gadis mana yang keluar malam jika gadis itu gadis baik? Dan bukankah dia yakin gadis pujaannya itu seorang gadis baik?
Dia menguntum senyum dan berpatah balik. Mengambil tempat di pancutan air tepat di hadapan bangunan. Matanya tertumpu pada tingkat gadis itu tinggal. Siapa tahu dia bakal berjumpa dengan ‘bakal’ ibu ayah mertuanya?

#############

Beel membuka mata perlahan. Sudah pukul 11.00 malam. Dia melangkah bangun dari katil menuju ke ruang tamu. Sepanjang melangkah tangan setia memaut pada dinding dan segala perabot yang berada di rumah itu.
Kepalanya dipicit perlahan. Mengapa kepalanya pening hingga begini sekali? Terasanya tadi tidaklah pening sebegini rupa. Di rumah ini pula, dia tidak ada menyimpan panadol.
Dia bukannya jenis yang mudah terkena penyakit apa-apa. Tapi kepala Beel terasa benar-benar berat sekarang. Mahu sambung tidur tidak boleh kerana kepalanya terlalu sakit. Nafas diambil menenangkan diri.
Dia memerlukan ubat. Takkanlah dia mahu menghubungi Haikal yang berada di Kuala Lumpur? Fah, di Kuala Lumpur juga. Kalau Hani, pasti dia akan menyusahkan gadis itu. Temannya itu sudah melepak seharian bersamanya.
Beel memejam mata seketika. Tidak mengapalah. Biar dia pergi farmasi sendiri saja. Dia selalu juga ke farmasi itu di siang hari. Bukan ada urusan pun, kadang-kala lihat-lihat atau sesekali menemani Kak Cha yang gemar ke farmasi itu. Kata Kak Cha, doktor dan pembantunya baik dan rajin melayan kanak-kanak.
Dia ke bilik tidur mencapai cardigan dan tudungnya. Wajahnya dihiasi sedikit bedak agar tidak nampak terlalu pucat. Dan dia melangkah keluar dari rumahnya.
Beel mengerut dahi melihat wajah Reza saat dia keluar dari bangunan. Dan Reza juga perasan kehadirannya. Beel menunduk dan berlalu. Mungkin Reza punya urusan di sini. Tidak mungkinlah dia tahu di mana Beel tinggal.
Beel memasuki farmasi dan meminta panadol terkuat sebagai ubat sakit kepalanya. Doktor juga tidak bertanya banyak membuatkan urusannya berjalan lancar. Dan Beel melangkah ke kondo semula.
Namun menelan dua biji panadol serta merta membuatkan mata Beel mula terpejam-pejam. Beel mula tidak sedar suasana persekitarannya. Beel kemudian terdengar suara menjerit memanggil namanya, dia ditarik seseorang dan bunyi hon sebuah motosikal.
Dia masih sedar ketika dia terjatuh. Perutnya sakit yang teramat dan dia sudah tidak sedarkan diri. Segala bayangan kabur hilang dari pandangan. Gelap.

#############

Puan Sri Normah terjaga dari tidurnya. Entah apa alamatnya tiba-tiba bermimpikan Beel jatuh ditimpa tangga. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang pula.
Suria di sisi dipandang. Cicitnya itu tiba-tiba meragam mahu tidur bersamanya pula hari ini. Terpaksalah Putih melayan memandangkan Suria bertegas tidak mahu balik ke bilik.
Mengapa dia tiba-tiba mendapat mimpi sebegitu? Mimpi mainan tidur, Puan Sri Normah tahu. Tapi mengapa hatinya dibimbangi sesuatu?
Nafas ditarik. Mungkin tiada apa-apa. Kalau ada apa-apa, pastilah Haikal menghubungi. Pasti ia hanya mainan tidurnya. Hanya sekadar mainan.

#############

Hani berlari anak ke arah wad kecemasan. Berdegup jantungnya mendapat panggilan dari Reza yang memberitahu Beel pengsan di hadapan kondominium tempat tinggalnya.
Reza yang berjalan mundar-mandir di hadapan bilik kecemasan dipanggil. “Reza!”
“Hani” Reza memandang.
“Macam mana dengan Beel?”
Reza melepas nafasnya. “Dari tadi doktor belum keluar. Reza risaulah”.
Hani mengangguk. Dia sudah menghubungi Haikal semasa di dalam teksi tadi. Terkejut Haikal mendengar perkhabaran yang disampaikannya. Haikal memberitahu dia akan segera berlepas ke Pulau Pinang.
Namun Hani tiba-tiba terfikir. Bagaimana Reza boleh menjadi orang pertama yang mengetahui hal ini? “Macam mana Reza tahu Beel pengsan?”
Reza memandang. “Reza pergi rumah Beel”.
“Ha? Tengah-tengah malam ni?”
“Reza ada urusan kat rumah kawan kat situ” Reza berbohong, kalau memberitahu perkara sebenar boleh jadi dia ditelan Hani yang garang dalam diam ini.
Hani mengangguk. “Macam mana Beel boleh pengsan?”
Reza diam seketika. Dia kemudian mengingati semua yang berlaku. “Masa Reza nampak tu, Beel dah terhuyung-hayang kat tepi jalan. Reza sempat tarik dia sebab lagi sikit nak terlanggar motor. Lepas tu dia terjatuh. Pengsan”.
Hani diam mendengar cerita Reza. Apakah Beel tidak sihat? Mengapa Beel tidak menghubunginya? Mengapalah harus keluar sendiri? Lihatlah apa yang sudah terjadi.
Reza memandang Hani. Perlukah dia memberitahu Hani bahawa dia melihat banyak darah yang mengalir di kaki Beel? Mengotori seluar putih yang dipakainya? Niatnya dibatalkan. Lebih baik Hani tidak tahu. Keadaannya lebih baik diterangkan doktor. Namun Reza sangsi. Dia pernah melihat keadaan sebegitu. Darah mengalir tidak berhenti di kaki ibunya sewaktu ibunya gugur kandungan ketika dia sekolah menengah dahulu? Apakah ianya keadaan yang sama?

##############

“Hani!!”
Reza dan Hani memandang. Haikal berlari ke arah mereka berdua. Lebih tepat lagi ke arah Hani.
Reza memerhati wajah Haikal yang jelas tidak tenang. Iyalah siapa yang boleh tenang jika adik perempuan berada di bilik kecemasan?
“Abang Haikal” Hani berdiri melihat Haikal datang ke arahnya.
“Hani, macam mana Beel?”
Hani menggeleng-geleng. “Doktor belum keluar dari tadi”.
Haikal melepas nafasnya. Sayang…. Dia mula mundar-mandir di hadapan bilik. Dan sesekali menjengah melalui pintu kaca yang hakikatnya tidak melihatkan keadaan di dalam.
Pintu terbuka dan seorang doktor wanita keluar bersama seorang jururawat wanita. Ketiganya berlari ke arah doktor namun yang paling hadapan adalah Haikal.
“Doktor, macam mana dengan isteri saya?” Haikal membulatkan mata menyoal.
Doktor itu tersenyum dan membuka penutup wajahnya. “Selamat, Kal”.
“Kirana? Kau kerja sini?”
Doktor yang dipanggil Kirana itu tersenyum dan mengangguk lagi. “Patutlah aku rasa macam pernah nampak patient ni. Isteri kau rupanya”.
Haikal ikut senyum. “Thanks Kirana”.
“Kerja aku. Tapi Kal, anak dalam kandungan isteri kau aku tak dapat selamatkan. Aku dah cuba yang terbaik, tapi tak dapat selamatkan juga” Dr.Kirana memandang wajah Haikal.
Haikal mengerutkan dahi. “Anak dalam kandungan?”
“Kau tak tahu isteri kau mengandung?”
“Tak” Haikal menggeleng kepala dan memandang Hani. Ternyata gadis itu juga menggeleng kepalanya. Haikal melepas nafas dan memandang Dr.Kirana semula. “Kirana ni bestfriend isteri aku, Hani”.
Hani dan Dr.Kirana bersalaman. Dr.Kirana kemudian memandang Haikal. “Nurse akan pindahkan isteri kau kat wad biasa. Nanti kau boleh ikut sekali. Apa-apa hal kau cakap je dengan nurse tu. Aku ada kerja ni. Lepas isteri kau sedar, bolehlah kita minum-minum”.
Haikal mengangguk. Dan tersenyum pada Dr.Kirana yang berlalu bersama jururawatnya. Nafas lega dilepas. Mujurlah Beel selamat. Syukurlah isterinya selamat.
Tadinya dia di rumah bersama mama dan papa yang sudah dua hari berada di Malaysia. Mahu tidak mahu kenalah dia memberitahu Beel masuk hospital. Jika tidak pasti mama sibuk menyoal mahu ke mana tengah-tengah malam begini? Papa juga tidak kurang hebat memberi soalan.
Bolehlah dia memberitahu mereka Beel selamat dan tidak apa-apa. Cuma anak dalam kandungan. Apakah Beel sendiri tidak tahu dia mengandung atau Beel mahu memberi kejutan padanya?

############

Reza melangkah lemah di hospital. Dia bagaikan kehilangan separuh jiwanya. Mata melihat pesakit-pesakit yang berbagai ragam. Namun suasana kekal sunyi memandangkan masih pukul 4.30 pagi.
Dia terduduk di atas kerusi roda yang entah punya siapa. Seluruh ototnya terasa longgar bagai tiada lagi tulang-belulang yang menampung. Tidak mahu mempercayai perkara yang baru saja diketahui.

‘Doktor, macam mana dengan isteri saya?
Selamat, Kal.
Tapi Kal, anak dalam kandungan isteri kau aku tak dapat selamatkan. Aku dah cuba yang terbaik, tapi tak dapat selamatkan juga.
Anak dalam kandungan?
Kau tak tahu isteri kau mengandung?’

Perbualan di antara Haikal dan doktor masih terngiang di telinganya. Mata terpejam rapat dan air matanya mula mengalir. Memperlihatkan sisi lelaki yang dia sendiri tidak sangka.
Mana pernah dia mengalirkan air mata kerana seorang perempuan. Namun kali ini..
Reza sendiri tidak tahu menggambarkan perasaannya. Kecewa itu pasti. Marah juga ada. Sakit hati juga terselit. Ditambah dengan sedih, dan geram mungkin. Dia tertekan. Sangat tertekan. Gembira? Tiada langsung. Walau sekelumit.
Hani sepertinya sudah tahu status sebenar Haikal dan Beel. Mengapa Hani tidak memberitahunya? Sekurang-kurangnya tidaklah dia sakit begini bila tahu Beel keguguran. Paling tidak, dia tidaklah buat kerja gila memikat isteri orang.
Memang dia akan kecewa tapi tidaklah sekecewa ini. Memang dia akan sedih namun tidaklah sesedih ini. Mengapa dia sendiri langsung tidak mengesyaki apa-apa?
Pantasan saja Beel tidak mahu menerima hadiahnya selama ini. Bunga yang dihadiahkan pada Beel selalu saja berakhir di tong sampah atau menjadi hiasan di papan kenyataan. Pernah juga Beel meletakkan di meja mana-mana profesor yang dia suka.
Patutlah segala usahanya tidak membuahkan hasil. Keikhlasannya tiada nilai pada mata gadis itu. Kerana dia sendiri sudah berpunya. Dia sendiri adalah seorang isteri. Patutlah orang selalu kata, selagi wanita itu belum berkahwin maka mana-mana lelaki akan ada peluangnya. Tapi bila dia sudah berkahwin..
Inilah contohnya. Reza meraup wajahnya. Air mata terus mengalir. Tidak mahu berhenti. Mengapalah nasibnya sebegini rupa?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s