DILARANG NIKAHI AKU – 99

“Puan dah sedar?”
Beel tersenyum memandang jururawat yang sibuk membuat kerjanya.
“Puan rehatlah. Puan baru keguguran, jadi mungkin badan puan akan terasa lain sikit”.
“Gugur?” Beel mengerut dahi. Biar benar? Dia keguguran?
Jururawat itu mengangguk. “Ya puan. Puan keguguran. Mungkin puan tak tahu puan mengandung?”
“Tak”.
“Suami puan ke kantin. Kalau ada apa-apa puan tekan je butang tu..” Jururawat menunjukkan butang merah yang berada di sisi katil.
“Terima kasih” Beel tersenyum lemah dan jururawat keluar dari biliknya. Beel melepas nafas.
Suaminya ke kantin? Ertinya Haikal ada di sini. Ada di Pulau Pinang? Siapa yang memberitahunya? Pihak hospital? Atau Hani? Haninya mana?
Siapa yang menyelamatkannya tadi? Siapa pula yang menghantarnya ke hospital? Aduh.. Terlalu banyak persoalan. Berserabut pula kepalanya.

##############

“Sayang..”
Beel mendudukkan diri melihat Haikal melangkah masuk. Di tangan ada membawa beberapa bekas makanan.
“Dah lama sedar?” Haikal mencapai tangan Beel dan mengambil tempat di sisi isterinya.
Beel menguntum senyum. Anggukan diberikan. “Awak dah lama ada kat sini?”
Haikal mengangguk. Pipi isteri kesayangannya itu dibelai kasih. “Nasib baik Hani ada. Macam nak tercabut jantung saya bila tahu awak masuk hospital”.
Beel ketawa kecil. Namun suara tidak kedengaran. “Hani ada? Saya tak nampak pun”.
“Ada. Saya suruh dia balik dulu. Dari malam tadi dia kat sini. Kesian pula. Saya cakap esok baru datang balik”.
Beel mengangguk memahami. Dia juga tidak mahu Hani kurang rehat kerana risaukannya. “Awak…”
“Dahaga tak?”
Beel menggeleng laju. Tangan Haikal digenggam erat. “Awak..”
“Ya?”
“Saya minta maaf tau..” Beel membuat muka.
Haikal tersenyum. “Kenapa sayang minta maaf ni?”
“Baby..?”
Haikal tersenyum. “Nak buat macam mana kan? Bukan rezeki kita. Sayang minta maaf sebab tak bagitahu saya sayang mengandung atau sayang minta maaf sebab sayang tak dapat selamatkan baby?”
“Saya tak tahu saya mengandung…” Beel meramas tangan Haikal, benar-benar menyatakan mohon maafnya.
“Betul?”
Beel bersungguh menganggukkan kepalanya. “Betul-betul tak tahu..”
“Hmmm.. Tak pelah nak buat macam mana kan? Bukan rezeki kita kan..”
“Betul…?”
Haikal mengangguk dengan senyuman. Bukanlah dia tidak terasa apa-apa, cuma seperti yang dipesan Dr.Kirana ‘jangan nyatakan kesedihan atas keguguran yang menimpa Beel’ kerana ia boleh membuatkan Beel tertekan. “Betul sayang..” Pipi Beel dibelai dan tubuhnya dipeluk erat.
Tidaklah mengapa bayi di dalam kandungan Beel tidak dapat diselamatkan kerana Beel boleh mengandung lagi. Apa yang penting, nyawa isterinya itu berada di dalam keadaan terjamin.

##############

“Abang Haikal bagitahu aku, kau gugur”.
“Ha’ah”.
“Sabar ea Beel. Kau boleh mengandung lagi. Lepas ni mesti Tuhan ganti dengan yang lebih baik”.
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Fah. “Kau tak nak datang ke?”
“Aku baru start kerja. So tak bolehlah nak ambil cuti. Mengamuk bos aku nanti”.
“Oh.. Abang Wan apa khabar?”
Kedengaran bunyi suara melepas nafas dari Fah. Haikal yang berada di sisi memandang tajam bila nama Safwan disebut. Namun Beel buat tidak tahu saja. Kalau dilayan sikap cemburu Haikal, ke lautlah alamatnya.
“Tulah.. Dia sekarang makin sibuk. Kau tahu dia dah ada syarikat yang dia kena handle sendiri. Aku dah banyak kali cuba carikan someone untuk ganti tempat kau kat hati dia. Tapi tak jalan..”.
Beel menguntum senyum nipis memandang Haikal yang meletakkan meja makan di hadapannya. Nampaknya sudah tiba masanya dia menjamah sup ikan yang dibuat khas oleh mama di Kuala Lumpur.
“Kau nak aku tolong?”
“Mengadalah kau. Kau tu dah gugur tau, Reza tahu tak?”
Beel terdiam. Oh ya.. Dia terlupa langsung soal lelaki itu. Lelaki yang setia menjadi peminatnya. Baru dia teringat.. Malam itu dia melihat Reza di luar bangunan rumahnya.
Apa mungkin yang menyelamatkannya adalah Reza? Ia berkemungkinan besar kerana Beel sempat mendengar namanya dipanggil sebelum dia ditarik. Jadi pastilah dia seseorang yang mengenali dirinya.
“Diam tu.. Maknanya tahulah tu..”
Beel melepas nafas. “Entahlah Fah. Tak de orang bagitahu aku pun. Hani diam, Haikal pun diam” dia bersuara perlahan. Tidak mahu Haikal yang berada di bilik air mendengar.
“Bila fikir balik kesian juga dengan Reza tu. Bersungguh dia pikat kau, rupanya isteri orang. Kaulah degil sangat. Awal-awal lagi Abang Haikal dah cakap, biar semua orang tahu status kau.. macam-macam kau punya alasan. Tengok sekarang..” Fah mula membebel.
“Ya Nek Fah. Cu Beel minta maaf Nek Fah. Janji lepas ni tak buat lagi..”
“Bagus cucu aku seorang ni..”
Haikal menunjukkan sup ikan yang telah siap dihidang. Beel mengangguk dan menamatkan perbualannya dengan Fah. Kedengarannya gadis itu juga sudah dipanggil namanya.
“Nak saya suap?” Haikal menyoal.
Beel menggeleng. “Tak yahlah. Saya dah nak sihat dah ni. Bukannya patah apa-apa pun…” Beel mengambil sudu dari Haikal dan mula menghirup sup yang sudah disejukkan suaminya.
“Sayang..”
“Ya?”
“Mama dengan papa nak datang”.
“Datang mana?”
“Datang Penanglah sayang.. Dia orang risau dengan menantu kesayangan seorang ni..”
Beel memandang. “Awak kasitahu saya gugur?”
Haikal menggelengkan kepalanya. “Taklah. Kesian pula dekat mama. Dia dah tak sabar nak cucu tu..”
Beel meletakkan sudu di tepi mangkuk. Tangan Haikal yang membelai pipinya dicapai dan digenggam. “Saya minta maaf ea…”
“Kan saya dah cakap bukan salah sayang.. Makan cepat”.

###############

“Kak Beel..”
“Jia!”
Gadis kecil itu berlari ke arah Beel dan menyalaminya. “Awak bawa Jia?”
Hani yang baru melangkah masuk bersama sebakul buah-buahan mengangguk. “Dia nak ikut sangat. Nak jumpa Kak Beel lah bagai..”
Beel ketawa kecil. Jia memandang Hani. “Kak Hani tak suka bawa Jia ke?”
Beel mencebik. Begitu juga Hani. Kepala Jia diusap. “Dah ikut baru nak tanya?”
Jia ketawa kecil. Dia mengambil buah yang telah dikupas Hani dan menghulurkannya pada Beel. Beel senyum sambil mengucapkan terima kasih.
Jia senyum melihat Beel menjamah buah-buahan yang dibawa mereka. Beel memandang Hani. “Hani..”
“Ya?” Hani mengambil tempat di sisi katil Beel setelah dia selesai mengemas.
“Reza tahu ke?”
Hani mengerutkan dahi. Dan mula mengukir senyum. Jia dipandang. “Jia boleh mintakkan air panas dari nurse?”
Jia mengangguk. Dan dia mengambil flask air panas milik Beel dan melangkah keluar dari bilik Beel. Hani memandang Beel. “Apa yang awak nak tahu sebenarnya?”
Beel mengangkat bahu. “Entahlah..”
“Dia yang selamatkan awak. Dia yang bagitahu saya awak pengsan. Dan dia ada kat hospital sampai doktor bagitahu awak keguguran..” Hani bercerita sambil menongkat dagunya.
Beel memandang Hani. Entah kenapa, dia tiba-tiba merasa bersalah pula. Apa agaknya perasaan Reza ketika dia mengetahui tentang kegugurannya?
“Kesian Reza lah tu..” Hani mengusik.
Beel mengerut dahi. “Dengar Haikal, marah dia..”
“Saya tak jumpa Reza lagi dari hari tu. Tak muncul-muncul sampai sekarang. Saya pernah dengar Qamar cakap, dia tak pernah nampak Reza serius dengan mana-mana perempuan sampai macam ni..”
Beel melepas nafas perlahan. Pintu terbuka dari luar dan Jia masuk membawa flask yang telah terisi air panas. “Air panas dah sampai!”

################

“Kak Hani tak cakap dengan Jia pun Kak Beel sakit apa sebenarnya?” Jia menarik-narik tangan Hani sambil sama-sama melangkah keluar dari perkarangan hospital.
Hani menguntum senyum. Bahu Jia dipaut. “Jia rasa Kak Beel sakit apa?”
“Hani”.
Jia dan Hani saling memandang. Hani memandang hadapannya. Reza berdiri tegak sambil di tangan memegang sejambak bunga mawar.
Jia kenal lelaki ini. Kawan baik kepada Abang Qamar. Mengapa dia ke sini, Jia tidak tahu. Tapi Jia tahu dia tidak sesuai mendengar perbualan antara kedua kakak dan abang ini. “Kak Hani, Jia tunggu kat sana” Jia menunjuk ke arah pondok berdekatan mereka.
Hani mengangguk dengan senyuman.
“Hani dah lama tahu?” Reza langsung mengajukan soalan sebaik Jia pergi.
Hani diam seketika. “Hani minta maaf..”
“Reza tak nak dengar Hani minta maaf. Reza nak tahu, dah lama Hani tahu yang Beel tu isteri orang?”
Hani memandang. Anggukan diberikan buat Reza. “Minta maaf sebab tak bagitahu”.
Reza terdiam. Lama menunduk memandang mawar merah di tangannya. “Sebab tu Hani pernah cakap kalau apa-apa jadi, jangan cakap Hani tak bagi amaran kan?”
Hani mengangguk. “Hani betul-betul minta maaf..”
Reza senyum kambing. “Reza rasa macam orang bodoh..” Reza melangkah lemah berlalu pergi. Hani memejam mata melihat kepergian Reza. Semoga semuanya selesai di antara Beel dan Reza.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s