DILARANG NIKAHI AKU – 101

“Cantik Cik Beel sekarang”.
Beel ketawa sendiri mendengar kata-kata Nia. Bubur durian yang dimasak Nia di hadapannya disuap sesudu demi sesudu ke dalam mulut.
“Kak Nia nampak yang Cik Beel dengan En.Haikal dah macam isi dengan kuku. Tak boleh nak pisah sikit”.
Beel ketawa lagi. Matanya dikecilkan memandang Nia. “Beel tak, Haikal yang macam tu..”
“Pandai En.Haikal jaga Cik Beel. Dari seganas-ganas Beel, boleh jadi selembut-lembut Nabilah..” Nia tersenyum sambil mengambil tempat di hadapan Beel.
“Mengadalah Kak Nia ni.. Lama dah tak jumpa Kak Nia kan? Makin pandai cakap..” Beel senyum.
Nia ketawa kecil. Bukanlah dia sengaja bercakap untuk mengambil hati atau sebagainya. Tapi dia benar-benar maksudkannya. Dia benar-benar nampak semua yang dia katakan. Betapa En.Haikalnya dan Cik Beelnya terlihat sebagai pasangan yang sedang bercinta. Berbeza dengan keadaaan yang selalu dilihat beberapa tahun dulu.

################

Matanya terpaku pada wajah itu. Dan tidak lama bibirnya mula mengukirkan senyum. Langkahnya laju menuju pada sahabat yang sudah lama tidak dia temui. “Beel..!”
“Rindunya aku dengan kau..”
“Aku lagi rindu kat kau..” Beel menarik Fah agar duduk bersamanya di atas sofa.
Fah menguntum senyum. Melentokkan kepalanya di atas bahu Beel. “Abang tengah sembang dengan Abang Haikal kat luar tu. Agak-agak kau apa yang dia orang tengah sembangkan?”
Beel melepas nafas. Dalam diam dia berfikir sendiri. Agaknya apa yang dibualkan Haikal dan Safwan?

###########

“So, macam mana? Kau dah bagitahu Beel fasal arwah Su?” Safwan menyoal sambil mata memandang hadapan. Memerhati suasana persekitaran rumah Haikal yang sememangnya berlainan dari persekitaran rumah orang-orang kaya lain.
“Aku pun tak tahu nak bagitahu macam mana, Wan. Aku tengok muka Beel je da tak tahu nak cakap apa..”
Safwan mengerutkan dahinya. “Kau belum bagitahu Beel? Bukan esok kau nak bawa dia jumpa opah?”
Haikal mengangguk. Jus oren yang berada di dalam pegangan diteguk. “Aku memang ingat nak bagitahu dia. Tapi sekarang.. Aku rasa baik semuanya berlaku secara semulajadi”.
Safwan memandang suami Beel di sebelahnya ini. Dia tidak mahu mencapuri hal di antara mereka berdua. Dia sedar dia sudah hilang sepenuh kelayakan terhadap Beel sejak lebih empat tahun lalu. Sejak dia melepaskan Beel pada Haikal sepenuhnya.
Haikal juga ternyata tidak memungkiri janji. Dia telah bersusah-payah untuk menjaga pujaan hati mereka itu. Dia telah melakukan segalanya asal dapat pertahankan rumah tangganya dengan Beel. Siapa yang tidak nampak itu?
“Aku minta maaf Wan, kalau buat kau rasa..”
“Tak pe” Safwan memotong kata-kata Haikal. Dia menyambung lagi, “Aku tahu kau dah cuba yang terbaik. Lagi pun aku nampak betapa Beel sayangkan kau, mungkin lebih dari aku sayangkan dia..”
Haikal memandang Safwan. Kali ini tubuh badannya ikut berpaling. Bagai tidak percaya dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut Safwan. Lelaki itu masih belum melupakan Beel? Bagaimana Safwan boleh meneruskan hidup selama ini? Dengan memikirkan status Beel sebagai isteri lelaki lain?
“Aku minta maaf Kal. Aku masih sayangkan dia, bahkan tak berkurang sejak bertahun-tahun dulu..” Safwan menguntum senyum.
Haikal memandang wajah suram itu. Sepatutnya dia berasa sakit hati dan marah mendengar pengakuan Safwan, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia benar-benar berasa kasihan terhadap bakal abang ipar kawan baiknya ini.
Safwan ketawa kecil melihat pandangan Haikal padanya. “Kau tak yah kesiankan akulah. Salah aku sebab masih tak dapat nak lupakan perempuan yang dah terang-terangan isteri kau. Kau tu… Dari fikir hal aku, baik kau fikir macam mana nak bagitahu Beel fasal arwah Suraya..”

##############

Beel segera membuka pintu kereta sebaik Haikal memasuki garaj.
“Sayang kejap” Haikal menarik tangan Beel, menahannya dari turun kereta.
“Kenapa?”
“Walau apa pun yang berlaku, saya nak sayang tahu.. Yang saya tak pernah berniat nak lukakan hati sayang” Haikal meletakkan tangan Beel di pipinya.
Beel mengangguk lambat-lambat. Dia kurang faham dengan kata-kata Haikal. “Boleh kita jumpa opah sekarang?”
Haikal melepas nafas dan memberi anggukannya. “Jom”.
Beel turun dari kereta dengan wajah yang agak kebengongan. Sepertinya Haikal sedang bermasalah. Tapi dia tidak dapat menangkap apakah yang tidak kena.
“Kak Irah!” Beel menegur Irah yang leka menyiram pokok-pokok bunga kegemaran Puan Sri Normah.
Irah menoleh memandang sang empunya suara. “Cik Beel!”
Beel melambai. “Hai”.
Irah berlari anak menutup paip air. Tangannya dibersihkan meggunakan kain putih yang terletak kemas di atas meja.
Beel ketawa melihat gerak-geri Irah. Langkahnya maju pada wanita separuh umur itu dan langsung memeluknya. “Kak Irah lambat..”
Irah ketawa kecil. “Kak Irah kotorlah Cik Beel”.
Beel tersenyum di dalam pelukan Kak Irah. “Macamlah selama ni Beel kisah”.
“Selamat pulang Cik Beel..” Irah akhirnya mengeratkan pelukannya. Dan Beel menguntum senyum sendiri sambil dia memandang Haikal yang ketawa kecil melihat gelagat sang isteri.

###############

Nafas ditarik melihat pintu utama villa. Irah memberitahunya bahawa pak long dan mak long tiada di rumah. Mereka keluar ke pasar mencari barang basah untuk dimasak Mak Jah.
Beel sendiri tidak percaya dengan apa yang diberitahu Irah. Mak longnya keluar ke pasar pagi? Dulunya mak long bukan seorang wanita yang bebas bergerak ke mana saja. Penampilan dan nama adalah perkara yang menjadi perkara pertama dan utama di dalam hidup.
Kalau pak longnya lainlah. Lelaki itu bebas melakukan apa saja asal dia gembira. Pendapat orang diletakkan sebagai perkara terakhir di dalam hidup. Yang pertama dan utama, adalah diri sendiri. Asal dia bahagia, biarlah apa orang nak kata.
Dahi Beel berkerut melihat anak kecil yang sedang beriringan jalan dengan Putih. Wajah anak itu benar-benar mirip wajahnya ketika dia berusia sebegitu. Apakah ini yang dimaksudkan Haikal dengan wajah Suraya yang saling tak tumpah sepertinya?
“Mama!!” anak kecil itu berlari memeluk Beel hingga Beel tidak seimbang.
“Suria?” Beel menyoal.
Suria mengangguk dengan senyuman. “Mama” ucap anak gadis itu.
Beel mengerut dahi. Pandangan dihalakan pada Haikal yang baru melangkah masuk.
“Suria..” Haikal duduk mencangkung memandang Suria.
“Papa!” Suria langsung memeluk Haikal membuatkan Haikal mendukung anaknya itu.
Namun bila berdiri, saat Suria melihat Beel dia meronta-ronta mahu pergi pada Beel pula.
“Nak mama! Nak mama!”
Haikal ketawa melihat Suria yang tiba-tiba menjadi ‘pemberontak’. Selama ini dia hanyalah budak kecil yang menurut semua kata-kata Haikal dan Putih. Bila melihat Beel, lain pula jadinya?
Beel menyambut bila Haikal menghulur. Namun anak gadis yang sudah hampir empat tahun itu tidak dapat ditampung beratnya. Beel memimpin tangan Suria ke sofa dan meriba anak kecil itu.
Mak su” Beel mengajar, cuba membetulkan panggilan Suria yang sama sekali dirasakan tidak tepat.
“Mamalah” Suria yang jelasnya sudah pandai berkata-kata menegaskan.
“Mama Suria mana?”
“Ni!” Beel dipeluknya.
Beel memandang Haikal. Haikal melarikan pandangannya buat seketika. Apa yang harus dia lakukan? Dia harus segera mencari jalan penyelesaian. Bimbang pula dia jika Beel mengesyaki apa-apa nanti.
“Jom masuk jumpa opah”.
Beel memandang Haikal. Mengapa Suria dibiarkan bersama Putih? Mustahillah seorang ibu yang bersikap seperti Kak Sunya akan membiarkan Suria bersama pembantu rumah sepanjang masa? “Mana Kak Su?”
Haikal buat tidak dengar pertanyaan Beel. “Jom masuk jumpa opah”.
Beel memandang dengan kerutan dahi. Haikal langsung memandang Putih meminta bantuan. Bimbang jika Beel tidak henti-henti menyoal.
“Beel. Masuklah jumpa opah dulu. Tak sangka pula Beel sampai awal. En.Zamri dengan Pn.Sakinah pun masih kat pasar pagi lagi” Putih tersenyum sambil mengambil Suria dari sisi Beel.
“Tak nak Mak Putih! Nak mama! Nak mama!” Suria mula menjerit-jerit bila Putih mengambilnya.
Beel mula terasa sesuatu. Namun hati cuba dienakkan dengan mengatakan tiada apa-apa. Nafas ditarik dan dilepas melegakan hati yang mula tidak selesa. “Kak Putih bagilah Suria kat Kak Su”.
Putih menguntum senyum. Mengangguk tidak menggeleng juga tidak. “Pergilah Beel..”
“Beel tukar fikiranlah. Beel nak jumpa Kak Su dulu.. Kak Su kat mana? Biar Beel bawakan Suria” Beel bangun dari duduk dan menghulur tangan pada Suria. Segera anak gadis kecil itu menyambut huluran Beel dan langsung memeluknya.
Putih memandang Haikal dan Haikal memandang Putih. Keduanya buntu sendiri. Apakah Beel sudah mengesyaki sesuatu?
“Su keluar. Kan Putih?” Haikal memandang Putih, berharap dia memberi kerjasama.
“Be.. tul” jawab Putih lambat-lambat.
“Dia tinggal Suria?”
Haikal dan Putih mengangguk serentak. Beel menguntum senyum. Hatinya lega sedikit. Fikirnya ada sesuatu yang menimpa Kak Su nya. “Kalau macam tu, biar Beel jumpa opah dululah. Jom Suria..”
Suria memegang baju Beel dan mereka beriringan menuju ke bilik Puan Sri Normah. Haikal dan Putih melepas nafas. Namun Putih memandang Haikal tajam. “Saya ingatkan En.Haikal dah bagitahu Beel?”
Haikal menggelengkan kepalanya. Lantas langkah kaki laju mengejar Beel. Bimbang ada pula makhluk lain yang terlepas cakap.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s