DILARANG NIKAHI AKU – 102

“Opah..”
Puan Sri Normah membuka matanya perlahan. Suara itu seperti suara cucunya. Apakah Beel sudah tiba?
Beel menguntum senyum lebarnya. Mengambil tempat di sisi opahnya sambil meriba Suria. Gadis kecil itu sibuk bermain dengan selimut Puan Sri Normah.
“Cucu opah..”
“Beel dah balik” Beel menguntum senyum lagi. Tubuh Puan Sri Normah dipeluk erat. Puan Sri Normah mengangguk-angguk sambil membalas pelukan Beel. “Cucu opah dah balik…”

############

Puan Sri Normah tersenyum memandang makanan yang tersedia di atas meja makan. Di sisi kanannya adalah Beel dan di sebelah Beel adalah tempat Suria dan seterusnya Haikal.
Di sebelah kirinya pula Zamri dan sebelahnya adalah Sakinah. Nampaknya hari ini semua ahli keluarganya berkumpul. Suasana yang jarang sekali berlaku.
Beel tersenyum melihat Suria yang begitu suka duduk di antaranya dan Haikal. Namun dia teringat pula pada Suraya. Mengapa Suraya masih belum pulang? “Pak long, Kak Su pergi mana tak balik-balik lagi?”
Sakinah tersedak mendengar pertanyaan Beel. Irah segera ke depan menghulurkan segelas air putih pada Sakinah.
Beel mengerutkan dahi. “Kenapa mak long?”
Sakinah menguntum senyum lebar. “Tak de apa-apa Beel..”
“Mana Kak Su? Mak long tak tahu?”
Puan Sri Normah mengerutkan dahi memandang Beel. Jika Beel masih menyoal tentang Suraya, ertinya Haikal masih belum memberitahu cucunya itu bahawa Suraya sudah…
“Tadi Haikal kata Kak Su keluar. Tapi macam dah lama sangat, takkan Kak Su tak balik-balik lagi?”
Haikal menarik nafas sedalam mungkin. “Sayang, nanti Su balik. Sekarang kita makan dulu boleh?”
Beel menjongket kening dan menguntum senyum. “Ok. Suria nak apa lagi? Biar mak su ambilkan..”
“Mama, Suria nak tambah nasi..”

#############

“Boleh opah cakap dengan Haikal kejap?”
Beel memandang Puan Sri Normah yang juga memandangnya. Anggukan diberikan buat opahnya itu. Tangan mencapai tangan Suria dan mereka berjalan meninggalkan Haikal bersama Puan Sri Normah di ruang menonton.
“Nak pergi mana?” Beel memandang Suria.
Suria ketawa sendiri. Bermain dengan apa pun Beel tidak tahu. Lebih baik dia ke dapur melihat apa yang sedang Mak Jah dan Putih lakukan.
“Ke hulu ke hilir memimpin Suria tu, tak penat ke Beel?” Putih menyoal sambil mengelap dapur yang kotor.
Beel ketawa sambil mendudukkan Suria di atas kerusi yang disediakan. “Habis tu nak buat macam mana? Dah Suria ni nak ikut Beel ke sana sini? Kan sayang..?”
Suria mengangguk sendiri sambil meneguk air milo yang diberikan Putih padanya.
“Mak Jah mana?” Beel menyoal setelah mendapati Mak Jah tiada bersama Putih.
“Emak tengah tidur. Akak takut emak penat sangat, akak suruh dia rehat je..”
Beel menguntum senyum. “Mesti Mak Jah seronok Kak Putih balik kan?”
“Emak mana tak seronok Beel. Beel tu.. Bila nak ada anak saudara untuk akak?”
Beel ketawa kecil. “Ni Suria dah ada..”
Putih mencebik mulutnya. Dan Beel ketawa sendiri. Dia tiba-tiba teringat sesuatu. Apakah mungkin Suraya sudah pulang? Lebih baik dia ke bilik Suraya untuk memeriksa. “Kak Putih, Beel tinggal Suria dengan akak kejap. Beel nak jumpa Kak Su”.
Putih mengerutkan dahi. Namun anggukan diberikan pada Beel. Jika dia menghalang, bimbang Beel mengesyakinya pula. Lantas Suria dialih perhatiannya agar anak kecil itu tidak meronta mahu mengikut Beel.

#############

“Haikal masih rahsiakan lagi dari Beel?”
Haikal diam sebentar sebelum memberi anggukannya. “Haikal tak tahu macam mana nak cakap”.
“Siapa yang bagitahu Beel Su keluar?”
“Haikal, opah”.
“Opah ingatkan masa Beel sampai sini Beel dah tahu. Rupanya lain pula..”
“Haikal minta maaf, opah”.
Puan Sri Normah melepas nafasnya. “Haikal takut Beel marah atau takut Beel sedih?”
Haikal menggelengkan kepalanya. “Haikal takut Beel marah, Haikal tak nak Beel sedih. Haikal sendiri tak berani nak bagitahu. Tak tahu nak mulakan macam mana..”
“Kira salah opah juga suruh Haikal rahsiakan dari Beel.. Tengok sekarang dah lama sangat sampai tak tahu macam mana nak bagitahu..” Puan Sri Normah tersenyum lemah.
Haikal mengerutkan dahi. “Opah tak salah. Haikal tahu opah buat macam tu untuk kebaikan Beel sendiri. Cuma..”
Puan Sri Normah melepas nafasnya. Bukan dia tidak kenal cucu kesayangannya seorang itu. Beel akan mengamuk dan merajuk bila tahu apa yang berlaku sebenarnya. Namun harapan Puan Sri Normah, semoga semuanya berlaku sebaliknya. Empat tahun dia berpisah dengan Beel, siapa tahu kalau Beel benar-benar sudah makin matang dan mampu mengawal emosinya?
“Haikal nak pergi tengok Beel..”
Puan Sri Normah mengangguk dengan senyuman. Membiarkan cucu menantunya itu melangkah keluar dari ruang menonton. Haikal berlegar-legar di ruang yang dia sendiri tidak tahu harus dipanggil apa. Iyalah, villa bukan seperti rumah biasa yang ruangnya terhad. Ke mana dia harus mencari Beel?
Haikal maju ke dapur. Mahu menyoal Mak Jah kalau-kalau dia tahu. Yang dilihat adalah Putih dan Suria sedang bergurau mesra.
“Putih”.
“Ya?”
“Mana Beel?”
“Tadi dia kata dia nak cari Su”.
“Nak cari Su? Dia pergi arah mana?” Haikal tiba-tiba meninggi suara.
Putih diam sebentar. Dia memandang Haikal tidak lama kemudian. “Atau dia pergi bilik Su?”
Haikal langsung membulatkan mata. Apakah benar dia ke bilik Suraya? Habislah.. Lantas langkah diatur berlari ke bilik Suraya. Putih mengerut dahi. Apa yang tidak kena? Apa yang ada di bilik Suraya?

##############

Beel membuka pintu bilik perlahan. Lampu dibuka bila didapati bilik Suraya agak gelap. Tangannya kemudian menutup pintu bilik.
Kemas. Wangi. Sepertinya Kak Sunya tinggal di sini bukan di rumah Haikal. Apakah ada sesuatu yang berlaku di antara Haikal dan Suraya?
Lalu dia masuk ke bilik Suraya apakah kakaknya itu tidak marah? Beel mengatur langkah menuju ke pintu. Mahu meninggalkan bilik Suraya. Tidak mahu nanti dia dimarah Suraya pula.
Tapi tak lama Beel melangkah masuk semula. Jika benar Suraya akan pulang sebentar lagi, lebih baik dia menunggu di bilik ini. Pasti Suraya akan lebih terkejut bila menemuinya di bilik ini.
Lalu apa yang boleh dia lakukan? Matanya melilau melihat sekeliling. Menuju ke meja kerja Suraya. Mata tersenyum melihat beberapa buah buku bersama komputer riba di atas meja. Tangannya memegang komputer riba Suraya. Mengapa ia seperti sudah tidak dibuka bertahun lamanya.
Komputer ribanya sejuk sudah pastilah. Di dalamnya berhabuk pula. Di luarnya mungkin tiada sebarang habuk. Tapi di dalamnya penuh dengan habuk. Membuatkan Beel sangsi sendiri. Atau… Ada apa-apa yang dirahsiakan darinya?
Perasaan Beel mula tidak enak semula. Beel akhirnya membuat keputusan untuk memeriksa bilik itu. Dia membuka almari baju dan almari beg yang berada di bilik itu. Masih nampak normal seperti biasa. Tapi ada sesuatu yang lain.
Susunan bajunya berlainan dari apa yang selalu dia lihat. Tapi mungkin itu hanya perasaannya semata. Mungkin tiada apa-apa yang luar biasa. Langkah diatur ke katil pula. Memeriksa laci-laci yang menempatkan lampu tidur bilik Suraya.
Tiada apa-apa yang luar biasa. Semuanya nampak normal. Ada novel yang memang menjadi kesukaan Suraya. Juga majalah bisnes yang tidak dia fahami. Juga beberapa benda lain yang menjadi rutin Suraya.
Beel menarik nafas seketika. Tiada yang luar biasa. Atau… Tangan menyeluk bawah bantal. Tiada apa-apa. “Kenapa rasa macam tak sedap hati ni?” Beel berkata-kata sendiri, menyoal diri sendiri.
Bilik tidur Suraya mencerminkan suasana normal. Namun tak lama Beel baru terperasan. Tiada walau sehelai baju Suria di dalam bilik itu. Takkanlah Suria tidak tidur di bilik Suraya langsung?
Lantas dia membuka almari kasut milik Suraya. Mencari sesuatu yang boleh dijadikan petunjuk untuk semua kekeliruannya. Beel melepas nafas buat seketika. Dia tetap merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Mengapa perasaannya tidak enak begini? Lantas dia melihat-lihat almari buku Suraya. Matanya mengecil mendapati sepucuk surat terselit di celah-celah buku milik Suraya.
Tangan mencapai surat itu dan melihatnya. Namanya tertera pada surat itu? Apa yang berlaku? Mengapa dia tidak tahu ada surat yang ditulis Suraya buatnya? Tulisannya juga kelihatan seperti sudah lama ditulis.
Nafas mula turun naik memandang surat itu. Dia melangkah perlahan ke katil dan mengambil tempat di situ. Nafas ditarik sebelum surat itu dibaca. Dan dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s