DILARANG NIKAHI AKU – 103

Ke hadapan adik tersayang, Nabilah Anisah Zahid..
Banyak sangat benda yang aku nak tulis. Tapi aku tak tahu nak susun macam mana. Jadi aku akan tulis ikut apa yang terlintas kat kepala.
Waktu kau baca surat ni, mungkin aku dah tak de kat dunia ni. Masa aku tulis ni, aku kat hospital. Lagi beberapa hari nak bersalin. Aku nak cakap dengan kau tak reti. Dengan orang lain, mungkin aku boleh tulis ayat berbunga-bunga macam aku ni orang sastera tapi dengan adik sendiri tak boleh. Kelakar kan?
Aku ada satu perasaan. Kuat mengatakan yang aku tak boleh teruskan. Lepas baby ni lahir, aku akan tinggalkan kau dan dunia ni. Dan aku sendiri pun hakikatnya dah penat. Dah penat sangat.
Minta maaf Beel. Minta maaf sangat-sangat. Aku minta maaf sebab rosakkan segalanya. Aku rosakkan rumah tangga kau. Aku rosakkan kebahagiaan kau. Aku rosakkan hubungan kau dengan Haikal. Aku rosakkan semuanya, segalanya.
Baby dalam perut ni bukan anak Haikal. Aku rasa kau pun tahu tapi kau sengaja butakan mata dan hati kau. Mula-mula aku tak faham kenapa kau diam, kenapa kau tak melawan. Tapi bila aku tengok balik dari awal, kau selalu mengalah dengan aku. Dari hal pak su, opah, papa sekarang Haikal.
Aku dah nampak kenapa opah sayang sangat dengan kau. Kenapa papa sayang sangat dengan kau. Dan Haikal sebelum ni dengan kau macam anjing dengan kucing. Tapi bila dia dah tinggal sebumbung dengan kau, dia sayangkan kau lebih dari segalanya.
Aku sendiri yang tak boleh terima kenyataan. Waktu dengan aku Haikal tak pernah nyatakan rasa sayang. Semuanya bermula dari wasiat yang atuk tulis. Aku tahu dia tak sayangkan aku, tapi menuruti wasiat atuk dia. Tapi sebab aku fikir dia lelaki, macam mana pun tetap akan cair dengan perempuan.
Tapi malam sebelum perkahwinan.. Apa yang berlaku kau tak perlu tahu. Yang penting aku nak kau tahu, bukan niat aku untuk lari dari perkahwinan tu. Aku dah pertaruhkan segalanya untuk hidup dengan Haikal, tak mungkin aku sia-siakan semua yang aku dah buat.
Siapa sangka keadaan membuatkan kau ganti tempat aku. Aku sendiri tak sangka. Ya, sebab wasiat tu tak tertulis nama aku. Haikal kena buat pilihan antara aku dengan kau. Dan dia pilih aku, sebab umur aku dah sesuai sedangkan kau masih budak lagi.
Tapi akhirnya tetaplah kau yang jadi isteri Haikal. Kau tahu hancurnya hati aku bila dapat tahu kau kahwin dengan Haikal? Betapa kecewanya aku dengan keputusan drastik yang opah buat? Kau tahu deritanya hati aku?
Aku balik dengan satu azam. Walau apa pun, Haikal tetap kena jadi milik aku semula. Aku fikir bila nampak aku, Haikal akan terkejut gembira. Tapi sebaliknya. Haikal layan aku baik, aku akui. Tapi semua tu dah tak sama dengan dulu.
Dia baik sebab itu apa yang perlu seorang lelaki lakukan. Bukan sebab dia sayangkan aku. Dia sanggup bergaduh dengan Wan fasal kau, takkan aku tak faham betapa Haikal sayangkan kau. Aku perasan dia suka sangat makan durian. Sedangkan dulu, bau pun dia tak nak. Semua tu sebab siapa kalau bukan kau?
Bila Haikal berterus terang yang dia langsung tak de niat nak sambung hubungan kita orang, aku macam nak gila. Aku dah kotor Beel. Aku bukan nak cari lelaki untuk tutup kekotoran aku. Tapi aku nak lelaki yang betul-betul sayangkan aku. Cuma sebab aku gila mungkin. Aku tetap nak dapatkan Haikal. Aku tetap nak rampas dia dari kau. Haikal tak tahu aku dah tak suci dan aku tak de niat nak bagi dia tahu. Dia tegas dengan keputusan dia tak nak lukakan hati kau.
Sampailah aku dapat tahu, aku mengandung. Mesti kau fikir jijiknya aku kan? Tiba-tiba mengandung tanpa perkahwinan. Mengandung tapi tak de title ‘isteri’. Mula-mula aku memang sedih, tapi bila fikir balik.. Baby ni boleh dijadikan batu loncatan untuk aku dapatkan Haikal.
Bila Haikal tahu dia lagi tak boleh terima. Tapi aku teruskan. Aku rancang semuanya. Aku buatkan seolah-olah aku akan berkahwin dengan Haikal. Aku siapkan majlis perkahwinan yang gah, bahkan lebih gah dari majlis dulu. Aku jemput semua wartawan, aku upah katering mahal-mahal. Duit bukan masalah kau pun tahu.
Akhirnya Haikal tetap kahwin dengan aku. Tapi sebab kau. Kau paksa dia kahwin dengan aku. Kau paksa dia tutup aib aku. Kau paksa dia jaga nama baik keluarga kita. Dan yang buat aku paling terkejut adalah dia sanggup buat apa yang kau minta.
Kahwin bukan perkara main-main. Aku tahu. Waktu tu aku pernah terfikir kau sengaja paksa Haikal sebab nak tunjukkan yang walaupun aku dah jadi isteri Haikal, dia tetap takkan sayangkan aku macam dia sayangkan kau.
Dari malam pertama kita orang dah tidur asing. Dan dia tak pernah sentuh aku. Tiap hari bergaduh. Tiap hari berselisih faham sampai aku tertekan. Dia sanggup tidur pejabat dari balik rumah. Tiap hujung minggu tak pernah lekat kat KL. Tapi dia pergi mana aku tak tahu.
Aku mula syak dia jumpa kau. Aku tahu dia sorokkan kau tapi aku tak tahu nak cari kau kat mana. Haikal simpan rahsia serapi-rapinya. Perut aku makin besar tapi Haikal tak pernah kisah. Aku pergi klinik, buat check up seorang-seorang. Bila doktor nak jumpa suami, macam-macam alasan aku bagi. Bila aku bagitahu Haikal doktor nak jumpa, dia tak pernah jawab. Dia buat tak tahu je.
Mama tak pernah tahu macam mana Haikal layan aku. Aku buat seolah-olah akulah isteri yang paling bertuah dalam dunia ni dan mama percaya semua lakonan aku. Tapi papa tahu, papa selalu pesan aku muhasabah. Kena banyak tengok diri. Kena banyak tengok masa lalu. Kena banyak tengok salah silap.
Beel.. Aku minta maaf sebab tak pernah jadi kakak yang baik untuk kau. Bila selalu duduk seorang, aku cuba buat apa yang papa suruh. Barulah aku sedar, akulah kakak yang paling kejam. Akulah kakak yang nampak baik tapi sebenarnya lagi jahat dari semua kakak yang jahat.
Dari dulu aku cemburukan kau. Mana kau pergi orang sayang. Apa kau buat orang gembira. Aku rasa kau rampas segalanya dari hidup aku. Tapi aku tak sedar, yang kau sanggup korbankan segalanya untuk aku.
Aku dah faham kenapa opah tak pernah marah bila kau buat perangai. Sebab opah tahu, dalam kau suci tak macam aku. Aku cuba jadi cucu yang baik. Sopan santun, lemah lembut. Tapi tetap tak dapat kalahkan sayang opah pada kau. Aku cemburu. Memang aku cemburu.
Sekarang aku dah tahu. Aku sibuk cemburukan kau sampai aku lupa nak hargai apa yang ada sekeliling aku. Sekurangnya aku masih ada papa, ada mama. Aku ada opah yang sayangkan aku. Aku ada adik yang paling suci di dunia.
Baby ni aku nak namakan Suria Annisa’. Sesuai dengan nama aku. Sesuai dengan nama kau. Hanisah, Anisah dan Annisa’. Aku akan buat permintaan dengan Haikal. Aku nak namakan kau sebagai ibu kandung Suria. Biar nama kau yang isi tempat nama ibu kandung dalam sijil lahir Suria. Itu je cara yang dapat aku fikir untuk tebus balik semua salah aku.
Aku selalu doa supaya muka dan wajah Suria saling tak tumpah macam kau. Aku doa supaya orang pandang muka dia orang nampak kau. Aku nak kau jaga Suria, sayang dia macam anak kau. Sebab aku dah tak de peluang nak jaga dia. Aku dah cakap pada mama papa yang aku nak kau jadi ibu kandung Suria.
Jangan kenalkan aku sebagai mama dia. Tapi kenalkan aku sebagai mak long dia. Aku tak nak dia tahu dia ada mama jahat macam aku. Aku nak dia tahu yang dia ada mama baik macam kau.
Beel.. Aku minta maaf lagi. Betul-betul minta maaf. Atas semua salah silap aku. Waktu kau baca surat ni, aku harap kau tengah rindukan aku. Tapi aku pun tak tahu bila kau akan baca surat ni. Mungkin waktu tu Suria sendiri dah masuk sekolah rendah atau menengah. Tapi yang pasti, waktu tu aku dah tak de.
Aku tinggalkan Suria untuk kau. Aku tahu kau mampu jaga dia. Bahkan lebih dari apa yang aku boleh buat. Beel, aku sayang kau. Aku sayang kau macam aku sayang adik aku. Aku minta maaf sebab baru sedar bertuahnya aku ada adik macam kau.
Kau pelik tak kenapa aku cerita semuanya kat kau? Aku nak kau tahu walau apa pun yang aku lakukan, Haikal setia dengan kau. Tak pernah sekali pun dia terfikir nak curang dengan kau.
Aku nak kau tahu yang aku betul-betul rasa bersalah atas semua yang berlaku. Dan aku dah dapat balasan setimpal. Apa yang lagi teruk dari layanan Haikal pada aku? Dia tak seksa fizikal aku tapi dia seksa batin aku. Dia seksa perasaan aku. Itu dah cukup terseksa.
Beel.. Kau jaga diri elok-elok. Aku dah tak de untuk jaga kau. Satu-satunya benda yang aku tak pernah buat dalam hidup. Jagakan Suria untuk aku dan untuk diri kau sendiri. Aku sayang kau Beel. Aku dah sedar aku sayangkan kau tapi aku dah tak de masa.
Kak Su sayang Beel. Kak Su minta maaf minta ampun atas semuanya. Atas semua benda yang berlaku. Atas semua perkara yang Kak Su dah buat. Moga Beel terima ucapan maaf dari seorang kakak macam Kak Su ni.

Salam sayang
Suraya Hanisah

##############

Pintu bilik Suraya dibuka perlahan. Haikal membulatkan mata melihat Beel sedang menangis sambil melekap surat di dadanya. Dia melangkah masuk dengan berlari anak. Tangan mencapai sampul surat yang berada di sisi Beel dan memandang isterinya itu.
Sahlah Beel sudah selesai membaca surat peninggalan Suraya. “Sayang..” Haikal memanggil melihat Beel terus menangis. Sejujurnya dia juga tidak tahu apa yang tertulis pada surat itu kerana dia tidak membacanya. Tapi dari cara Beel..
Beel terus-terusan menangis. Haikal tidak dipandang langsung. Otaknya ligat memikirkan semua kejadian yang berlaku.
Pantasan saja bila ditanya mana mama, Suria asyik memeluk dirinya. Patutlah opah begitu terkejut bila dia menyoal tentang Suraya. Dia sudah mengerti mengapa mak long membuat muka saat ditanya keberadaan Suraya. Rupanya…
Beel terus menangis. Rasa hati Kak Su benar. Dia benar-benar meninggalkan dunia setelah kelahiran Suria. Tapi mengapa dia dirahsiakan hal sebesar ini?
“Sayang..” Haikal terus memanggil. Tangannya memaut bahu Beel.
Beel mengangkat wajah. Memperlihatkan matanya yang sudah bengkak kerana mengalirkan air mata. “Kenapa awak buat saya macam ni?”
Haikal mengerut dahi. “Sayang, kenapa?”
Beel ketawa kecil dalam tangisannya. Dia tidak percaya Haikal masih lagi boleh memberi soalan sebegitu. “Kak Su dah meninggal dunia kan?”
Haikal terdiam. Apa yang tertulis di dalam surat itu? Mengapa Beel…?
“Saya tanya ni, betul tak?”
“Sayang..” Haikal cuba memujuk.
“Jangan panggil saya sayang. Cakap dengan saya, Kak Su dah mati kan? Kenapa awak rahsiakan dari saya yang Kak Su dah tak de? Kak Su dah tak de awak faham tak! Kak Su dah mati, Kak Su dah meninggal dunia..” Beel mengesat air mata yang tidak mahu berhenti mengalir.
Haikal mencapai tangan Beel namun ditarik semula gadis itu. “Sayang..”
“Awak cakaplah dengan saya, betul ke Kak Su dah tak de?” Beel memandang wajah itu.
Haikal mengangguk. “Dia meninggal lepas lahirkan Suria..”
Beel mengangguk perlahan. Air mata masih lagi mengalir dengan laju. “Kak Su..”
“Sayang, saya minta maaf. Saya tak de niat nak lukakan hati awak macam ni..”
“Awak tipu saya. Awak tipu saya selama empat tahun. Empat tahun saya belajar, awak tipu saya. Awak boleh cakap awak tak de niat?” Beel menyoal namun nada suaranya masih rendah.
Haikal mula risau bila Beel tidak marah-marah sebaliknya terus menyoal dengan nada sayu. Pada fikirannya isterinya itu akan mengamuk tapi yang terjadi sebaliknya pula. Bererti Beel benar-benar sedih dan kecewa. “Sayang..”
Beel memejam mata lama. Kemudian nafas ditarik dan dia bangun dari katil. “Saya nak pergi kubur Kak Su..”
“Sayang, dah nak maghrib ni..”
Beel menjeling jam dinding yang tergantung. “Belum, baru pukul enam”.
“Sayang, kan dah nak malam. Esok tak boleh ke?” Haikal berlembut memujuk.
“Saya kata saya nak pergi kubur Kak Su!”
“Sayang..” Haikal berdiri mengikut rentak Beel.
“Saya nak pergi sekarang!” Kali ini suaranya ditinggikan sedikit. Sedari tadi suaranya dikawal agar opah tidak tahu apa yang berlaku. Tapi kali ini..
Haikal melepas nafas perlahan. Bimbang ada yang mendengar pergaduhan mereka, dia mengalah. “Jom”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s