DILARANG NIKAHI AKU – 105

Beel menguntum senyum melihat Suria memakai baju seragam tadikanya. “Comelnya anak mama..”
“Pujilah sampai melangit. Dah.. Jom” Fah muncul di muka pintu setelah menghidupkan enjin kereta.
Beel ketawa kecil. Dia memimpin tangan Suria keluar dari rumah dan menutup kemudian mengunci pintu rumah. Bagaimanalah agaknya pertama kali menemani Suria di tadikanya?
Fah mengundur kereta keluar dari kawasan meletak kenderaan. Beel kemudian keluar dan menutup pagar rumah.
“Sayang..”
Beel mengerutkan dahi. Apakah dia yang berhalusinasi atau Haikal benar-benar berada di belakangnya? Lantas kepala ditoleh.
“Sayang..” Haikal memandang wajah itu.
Beel melepas nafas. “Kenapa awak datang?”
“Saya nak minta maaf”.
“Semata-mata? Saya tak marah dengan awaklah!” Beel memandang kemudian berlalu pergi.
“Sayang,kejap”.
“Saya nak pergi teman Suria. Tolong jangan ganggu saya buat masa ni” Beel langsung melangkah laju meninggalkan Haikal.
Haikal melepaskan sebuah keluhan berat. Sampai bila Beel akan keras hati begini?
Beel masuk ke kereta dengan wajah masamnya. Menarik tali pinggang keledar sambil mulutnya membebel perlahan.
Fah memandang wajah Haikal yang hampa dari cermin belakang. Mujur Suria leka dengan buku mewarna di tangannya, jika tidak pasti sudah sibuk mahu mengikut papanya.
“Jomlah” Beel memandang, meminta Fah mula memandu.
Fah tersenyum manis dan mula menekan minyak. “Kau marah Abang Haikal ke?”
“Aku tak nak cakap fasal dia” Beel kemudian menoleh pada Suria yang duduk di bahagian belakang.
Fah mengangguk. ‘Terpulanglah…’

##############

Mereka turun dari kereta bersama. Beel kemudian memimpin Suria masuk ke dalam perkarangan tadika itu.
Dia tersenyum kecil melihat anak-anak kecil berlari-lari mengejar sesama sendiri. Ditambah dengan bunyi hiruk-pikuk suara kanak-kanak membuatkan dia tahu ini pasti tadika yang dipilih pak longnya.
Seorang wanita bertudung bawal melangkah ke arah Beel bila melihat tangannya memimpin tangan Suria. “Assalamualaikum, puan”.
Beel mengangguk dengan senyuman. “Waalaikumussalam”.
“Saya guru kelas Suria”.
Beel tersenyum menampakkan barisan giginya. Suria di sisi dipandang. Anaknya itu tersenyum-senyum simpul melihat gurunya.
“Puan ni..”
“Mama Suria” Beel memperkenalkan diri.
“Jadi puanlah, Puan Nabilah?”
Beel mengangguk lagi. Guru wanita itu menghulur tangannya dan mereka berjabat.
“Saya Farah. Biasa budak-budak ni panggil Cikgu Farah”.
Beel mengangguk. “Saya nak teman Suria sampai akhir kelas boleh?”
Farah ketawa. “Boleh puan. Lagi pun ini kali pertama puan datang sekolah Suria kan”.
Beel mengerutkan dahi. Farah kemudian menyambung, “En.Haikal pernah bagitahu saya yang mama Suria masih belajar. Jadi yang selalu hantar dia ke sini pun, En.Haikal ataupun Cik Putih”.
“Oh” Beel menguntum senyum nipis.
“Jom Suria. Ikut cikgu masuk kelas” Farah menghulurkan tangannya pada Suria.
“Mama ikut?” Suria memandang mamanya.
Beel tersenyum dan mengangguk. Farah melepas nafasnya. “Nak dengan mama juga. Silakan puan..”

###########

Fah mengintai dari dalam rumah. Mahu melihat apakah Haikal masih berada di luar. Dan ternyata suami rakan baiknya itu setia berdiri di sisi keretanya menanti Beel.
Beel yang sedang membaca buku sambil berbaring di sofa dipandang. “Beel” namanya dipanggil.
Beel memandang Fah yang melangkah ke arahnya. “Kenapa?”
“Kau jumpalah Abang Haikal tu. Kesian aku tengok” Fah membuat muka.
Beel ketawa kecil. “Kalau kau kesian, kau jelah jumpa”.
“Dia suami kau, tahu tak?”
“Tahulah dah aku isteri dia” Beel membalas selamba.
Fah melepas nafas. Sejak dari pagi tadi hinggalah sekarang Haikal berdiri di luar. Bahkan bukan hari ini saja, tiap hari cuti pasti Haikal akan terpacak di hadapan rumahnya seawal jam 8.00 pagi. Setelah jam 8.00 malam barulah dia pulang.
Ketika azan berkumandang, dia akan hilang seketika dan kemudian muncul kembali. Fah sudah memberitahunya bahawa tidak ada gunanya memujuk dengan cara ini, Beel tidak akan lembut hati namun Haikal tetap juga tidak berputus asa.
“Jumpalah dia kejap”.
“Aku tak de bendalah nak cakap dengan dia”.
“Marah sangat ke Beel? Kau ingat Abang Haikal suka-suka nak rahsiakan semua ni dari kau? Fahamlah sikit keadaan dia..”
“Habis aku? Kau tak tahu betapa terkejutnya aku bila tahu Kak Su dah tak ada? Kau ada fikir tak kecewanya aku sebab kau orang rahsiakan perkara ni dari aku? Kak Su bukan orang lain tau, dia kakak aku. Kenapa nak rahsiakan perkara serius macam ni?” Beel meninggi suara.
Fah melepas nafas. Dia diam sebentar. “Aku minta maaf kalau kau marahkan aku juga”.
“Memang! Memang aku nak marah. Aku nak marah semua orang. Tapi kau pun tahu, aku tak boleh nak marah kau, aku tak reti nak marah kau. Aku tak pandai nak merajuk-rajuk dengan kau. Jadi kau tolonglah aku, aku tak nak jumpa dia buat sementara ni..” Beel mencapai tangan Fah.
“Kau bagi Abang Haikal jumpa Suria boleh?”
Beel diam. “Suria tidur”.
Fah memandang. “Kalau kau nak bagi Suria jumpa papa dia, dah lama kau bagi kan?”
“Fah…”
“Aku bukan nak marah. Aku bukan nak membebel. Tapi dah lebih sebulan kau kat sini. Kau tu isteri orang Beel. Bukannya bujang macam dulu..”
Beel kembali berbaring di atas sofa. “Aku belum bersedia nak balik..”
Fah mengeluh. Balik-balik itulah jawapannya, belum bersedia. Sekarang Haikal masih memujuk, kalaulah suatu hari nanti Haikal bosan dan mencari yang lain bagaimana? Siapa juga yang susah ketika itu? Beel… Beel…

############

Dia ketawa kecil sambil membukakan pintu kereta buat Suria. “Betul suka pergi sana, nanti mama bawakan Suria pergi sana lagi. Nak?”
Suria terlompat-lompat sambil keluar dari kereta. “Nak pergi lagi! Nak pergi lagi!”
“Ya sayang, nanti kita pergi. Cakap dengan mak su tu kita nak pergi” Beel memandang Fah.
Fah ketawa kecil. Sengaja dia meminta Suria memanggilnya mak su supaya gadis kecil itu biasa dengannya.
Suria menoleh membelakangkan mamanya. Hasrat hati mahu melangkah ke arah Fah namun melihat wajah yang berdiri di luar pintu pagar membuatkan dia menjerit. “Papa!”
Beel mengerutkan dahi. Dia yang sedang mengambil barang di dalam kereta langsung memandang. Matanya membulat melihat Suria sudah berlari ke arah Haikal.
Fah tersenyum melihat Haikal melayani Suria di balik pintu pagar itu. Namun melihat wajah Beel, niatnya untuk membuka pintu pagar dibatalkan. “Aku masuk dulu”.
Beel memandang Fah sekilas dan melangkah ke arah Suria yang sedang berbual dengan papanya. “Awak nak apa?”
“Saya nak jumpa Suria, boleh?”
“Dah jumpa kan? Suria, masuk dalam”.
“Mama! Suria nak balik rumah papa” Suria mula merengek sambil tangan memegang tangan Beel.
Beel memandang Haikal. “Saya harap awak jangan datang lagi”.
“Sayang..” Haikal memandang, mencari simpati.
“Suria masuk! Kalau nak balik rumah papa, mama dah tak sayang Suria lagi lepas ni..”
Suria kelihatannya memahami apa yang mamanya perkatakan. Haikal dilambai dan dia berlari anak masuk ke dalam rumah.
“Sayang, janganlah dimarah Suria tu. Dia tak tahu apa-apa” Haikal melepas nafasnya.
“Saya tak marah dia. Saya marah awak. Kalau awak tak nak saya tinggi suara dengan Suria lagi, jangan datang sini” Beel berlalu pergi.
“Sampai bila kita nak macam ni? Dah dekat dua bulan sayang duduk sini! Sayang memang dah tak nak balik rumah langsung ke?!” Haikal menjerit, meninggikan suaranya.
Beel menoleh. Memberikan pandangan yang terkumpul di dalamnya marah, geram, sakit hati, kecewa juga sedih. Dia langsung masuk ke dalam rumah dan menutup pintu sekuat hati. Membuatkan Haikal tahu, kedatangannya hari ini benar-benar tidak diundang.

############

Haikal masuk ke dalam rumah bersama wajah serabutnya. Menghempaskan diri pada sofa mewah yang berada di ruang hadapan.
Mata terpejam mengingati pandangan yang diberikan Beel padanya petang tadi. Sampai bilalah Beel akan marah padanya?
“Tak dapat pujuk lagi?”
Haikal membuka mata memandang papa yang keluar dari dapur membawa dua gelas air putih di tangannya. “Papa”.
“Macam mana? Mana menantu papa? Mana cucu papa?”
“Lagi nak tanya..” Haikal menyambut huluran papanya.
Hazan ketawa kecil mendengar kata-kata Haikal. “Anak papa.. Jaga isteri pun tak pandai”.
“Papa..” Haikal membuat muka.
“Ingat tak apa mama pesan? Jangan bagi isteri merajuk lama-lama, nanti lain pula jadinya”.
Haikal melepas nafas. “Papa nak Kal buat apa lagi? Kal dah habis idea nak pujuk menantu kesayangan papa tu..”
“Dah cakap dengan Beel kenapa Kal rahsiakan?”
“Kal dah cakap opah yang minta. Menantu papa tu kan keras kepala..”
“Ada otak tak nak guna. Anak papa ke ni?”
“Papa..” Haikal mula merengek bagai anak kecil.
“Opah tahu tak kamu dengan Beel bergaduh ni?”
Haikal menggeleng. “Manalah Kal sampai hati nak bagitahu opah”.
“Kal cakap dengan Beel yang papa ada kat Malaysia?”
“Kan papa yang larang Kal bagitahu Beel”.
“Bagus!”
“Macam mana Kal nak pujuk Beel papa? Kal dah bingung, papa tahu tak?”
Hazan mencebik mulutnya. “Sebab tulah papa cakap ada otak tak nak guna. Beel marah kamu, bukan marah opah kan?”
Haikal memandang papanya. Apakah yang dimaksudkan Hazan sama dengan apa yang dia fikirkan saat ini? “Maksud papa, minta opah pujuk Beel?”
Hazan mengangkat bahunya. “Kal rasa?”
Haikal memandang papa. Iya juga. Beel sangat sayang dengan opah. Mungkin jika opah yang memujuk, Beel akan lembut hati. Adalah peluang untuk mereka berbaik.
Cuma.. Ada satu masalah? Bagaimana dia mahu menceritakan semuanya pada opah..?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s