DILARANG NIKAHI AKU – 106

Dia nekad. Ini adalah kali terakhir dia memujuk sendiri. Jika isteri kesayangannya itu tetap juga tidak lembut hati, terpaksalah dia menggunakan idea papa untuk meminta opah memujuk Beel.
Seperti biasa sedari awal jam 8.00 pagi, dia sudah menunggu di luar rumah. Sengaja kereta diletakkan betul-betul di hadapan pagar supaya Beel tidak dapat melarikan diri.
Jam tangannya dipandang. Sudah pun pukul 9.00 pagi. Tidak mengapa kerana dia akan terus menanti. Bukankah dia sudah nekad hari ini?

############

Beel mencapai tudung yang tersusun kemas di dalam almari baju. Mata dipandang pada Suria yang masih nyenyak tidur.
Kepala gadis kecil itu dicium sebelum dia melangkah keluar dari biliknya. Tudung disarung ke kepala sebelum dia menjengah Fah yang sedang leka memasak sarapan.
Mesej yang diterima dari Haikal dibaca lagi. Kata Haikal dia mahu menyelesaikan semuanya hari ini. Biar mereka berbicara dari hati ke hati tentang segalanya.
Beel awalnya tidak mahu keluar. Padanya tidak ada perkara yang perlu dibincangkan. Bukankah dia sudah berkata dengan jelas bahawa dia mahukan masa untuk bersendirian?
Tapi Haikal mengugut akan membuat bising di kawasan kejiranan itu seandainya Beel tidak muncul-muncul. Beel merasakan sikap Haikal seperti kembali seperti awal perkahwinan mereka dahulu.
Beel melangkah keluar dari rumah dengan wajah bersahaja. Melangkah menuju ke arah Haikal yang setia menanti. Pintu pagar dibuka agar suaminya itu masuk ke dalam.
“Masuklah”.
Haikal memandang dan mengikut langkah Beel. Namun keduanya hanya masuk ke perkarangan yang tidak sebesar mana. Beel duduk di kerusi batu yang terletak di laman kecil itu. Manakala Haikal mengikut.
“Awak nak cakap apa? Cakaplah..” Beel memandang, tidak mahu membuang masa.
“Sayang marah saya lagi?”
“Saya dah cakap saya tak marahkan awak. Ada soalan lain?”
“Saya nak minta maaf sebab rahsiakan fasal arwah Su dari sayang. Tapi percayalah, saya tak pernah ada niat untuk lukakan hati sayang..” Haikal bersungguh memandang isterinya itu.
“Saya percaya. Ada lagi?” Beel membuat muka selambanya.
“Sayang.. Beel, jangan macam ni”.
Beel memandang. Kali ini wajahnya yang bersahaja beriak marah tanda ketidakpuasan hatinya. “Awak fikir awak je tak tenang? Tak sedap hati? Saya pun tak suka kita macam ni. Saya pun tak suka bergaduh tiap kali nampak muka awak. Saya tak suka nak marah Suria bila dia sebut nama awak. Tapi awak ada fikir semua tu?”
“Sayang..”
“Saya dah cakap dengan awak. Perpisahan ni cuma sementara. Saya tak pernah ada niat untuk berpisah dengan awak. Sekali pun tak pernah. Saya cuma nak masa untuk bersendiri. Tu je..” air mata yang beberapa hari ditahan mula mengalir.
“Kalau sayang tak nak tengok muka saya, saya boleh keluar dari rumah tu. Tapi sayang balik boleh?”
Beel melepas nafas. Perkara yang sama lagi. “Awak tahu tak macam mana perasaan saya masa baca surat dari Kak Su hari tu?”
Haikal mendiamkan diri. Namun pandangan matanya masih tetap pada wajah Beel.
“Hati saya, perasaan saya hancur. Kak Su dah tak de, tapi orang dalam villa tu boleh buat seolah-olah saya dah tahu semuanya. Kak Su dah tak de sejak Suria lahir, tapi awak boleh cakap Kak Su sihat, Kak Su kirim salam. Kak Su rindukan saya. Apa lagi? Empat tahun kita kat Penang tu, macam-macam awak cakap fasal Kak Su tapi rupanya semua tu tipu je! Pembohongan semata!” Beel mula tidak dapat mengawal emosi sedang air matanya terus-terusan mengalir.
“Sayang, saya minta maaf. Kalau bukan sebab opah yang minta rahsiakan, dah lama saya bagitahu”.
Beel senyum sinis. “Lagi-lagi opah, lagi-lagi opah! Memang opah yang besarkan saya, opah yang jaga saya dari kecil. Tapi awak suami saya. Awak jaga saya empat tahun tanpa pengetahuan opah tentang keberadaan saya. Tanpa sekali pun opah tengok saya. Mesti awak pun jelas perangai saya kan? Mesti awak tahu, bila saya tahu perkara ni.. Apa akan jadi? Saya tahu opah nak yang terbaik untuk saya. Tapi saya tak boleh terima bila awak tipu saya! Awak tak jujur dengan saya! Lebih-lebih lagilah fasal Kak Su.. Surat beranak Suria, nama saya kan? Awak tak bagitahu saya walau sebesar kuman! Saya ni bodoh ke! Saya ni orang bodoh ke pada mata awak?!”
Haikal langsung memeluk Beel bila isterinya itu mula menangis bagai anak kecil. Marah Beel padanya mungkin saja sudah reda, namun kecewa Beel padanya tidak reda-reda. Dia nampak itu. Jika tidak takkanlah Beel menangis seteruk ini sekarang?
“Sayang, saya minta maaf” Haikal berbisik perlahan.
Beel melepas nafasnya. Tubuh Haikal ditolak perlahan. Tangan diletakkan pada pipi Haikal. “Awak biar saya sendiri dulu boleh? Betul-betul buat sementara je.. Nanti bila saya dah tenang, saya balik ea?”
Haikal mengesat air mata yang masih tersisa pada wajah Beel. Kepala digeleng-geleng tanda tidak mahu. Dia mahu Beel pulang bersamanya. Dia mahu kembali ke rumahnya sebagai sebuah keluarga bersama isteri juga anaknya.
Beel meninggalkan Haikal yang termangu sendirian. Dia tidak mahu pulang. Dia benar-benar masih belum bersedia untuk pulang.
Pintu ditutup rapat dan perlahan. Beel terduduk sendiri di balik pintu. Duduk memeluk lutut menghabiskan sisa tangisnya yang masih belum selesai. Kak Su…

#############

Dia menguntum senyum memandang Putih yang sibuk menggembur tanah pada pasu-pasu bunga yang terdapat di sekeliling taman bunga mini itu.
“En.Haikal” Putih menegur tika menyedari kemunculan Haikal.
“Putih, opah ada?”
Putih mengerutkan dahinya. “En.Haikal nak jumpa opah?”
Haikal mengangguk. Anak mata Putih melilau bagaikan tercari-cari. Haikal menguntum senyum kelat lantas berkata, “Beel tak de”.
Mata Putih membulat. “En.Haikal belum berbaik dengan Beel lagi?”
“Awak pun kenal adik awak tu kan?”
Putih menghela nafas panjang. “Masuklah, opah ada kat dalam”.

############

Puan Sri Normah membetulkan duduk yang membuatkan dirinya berasa tidak selesa. Sedang mata masih tertumpu pada majalah yang berada di tangan.
Pintu yang dibuka dari luar mengalih perhatiannya. Bibir menguntum senyum saat melihat cucu menantunya melangkah masuk. “Haikal”.
Haikal melangkah perlahan ke arah Puan Sri Normah . “Opah sihat?”
Puan Sri Normah menguntum senyum. “Demam rindu cucu-cucu opah ni lah” tangan mengusap kepala Haikal yang duduk bersila di sisinya.
Haikal ketawa kecil tangannya memaut lengan Puan Sri Normah manja. “Kal ada benda nak bagitahu opah”.
Puan Sri Normah membuat pandangan curiga. “Mana Beel? Mana Suria?”
Haikal berdiam diri. Tiba-tiba terasa berat hati pula untuk bercerita. Tapi jika tidak, sampai bila perkara ini akan berterusan?.
“Haikal, mana Beel? Haikal dengan Beel bergaduh ke? Cakap dengan opah betul-betul” Puan Sri Normah bersuara tegas.
Haikal diam lagi. Puan Sri Normah bersuara lagi. Memaksa agar Haikal menceritakan semuanya.Haikal menarik nafas sedalamnya. “Sebenarnya opah…” dan Haikal mula bercerita. Membocorkan segala rahsia yang rapi tersimpan .

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s