DILARANG NIKAHI AKU – 108

Langsir rumahnya diselak sedikit setelah membaca mesej yang dihantar abangnya. Senyum manisnya terkuntum bila melihat gerangan yang berada di luar rumah.
Beel memandang Fah yang tersenyum-senyum. “Amboi! Seronoklah orang tu, tunang dia datang! Sampai ke telinga senyumnya..!”
Beel dicubit akibat usikannya. Fah memandang dengan wajah segan. Memanglah dia tersenyum, tapi tidaklah sampai ke telinga. Kenyataan Beel melampau!
“Suria tahu siapa datang?” Beel menyoal puterinya di sisi.
Suria menggelengkan kepala. “Tak tahu mama”.
“Tak tahu sudah. Jom kita tengok kartun. Biar je mak su kamu seorang ni..” Beel ketawa kecil sambil memimpin Suria menuju ke sofa.
Fah memandang sekilas. Dan dia berlari anak mengambil tudungnya yang terletak kemas di bawah tangga. Nafas ditarik sebelum pintu rumahnya dibuka. Memperlihatkan Syakir yang sedang menghadiahkan senyuman rindu buatnya.
Langkah diambil mendekati lelaki itu. “Assalamualaikum”.
Syakir tersenyum lebar. Menatap sepuasnya wajah milik tunangnya itu. Melepaskan rindu yang tertanggung bertahun lamanya. “Waalaikumussalam..”
Fah menganggukkan kepalanya. Dia tahu Syakir sudah pulang. Dia boleh lihat Syakir ada di hadapannya kini. Dia dapat bercakap dan berbual dengan Syakir saat ini.
“Saya dari airport. Terus datang sini, jumpa awak dulu”.
Fah tersenyum mendengar kenyataan yang diberitahu Syakir. Anggukan diberikan buat tunangannya itu.
“Abang Wan dah bagitahu awak yang saya nak datang?”
Fah mengangguk.
“Abang Wan kasi izin. Sebab dia kata ada Beel sekali…?” Syakir memberitahu sekaligus menyoal meminta kesahihan, apakah benar isteri teman baiknya itu ada di rumah Fah?
Fah mengangguk lagi. “Awak mesti tahu yang Beel tengah marah dengan Abang Haikal. Dah tak larat Fah nak pujuk, degil betul dia tu”.
Syakir ketawa bila Fah mula bercerita. Iyalah sedari tadi hanya jawapan pendek yang diberikan. Dia kembali mengingat semua mesej dari Haikal sepanjang dia di sana. Semuanya menceritakan tentang Beel. Adalah juga yang mereka berbincang soal kerja dan syarikat, tapi yang banyaknya Haikal mengadu hari ini bertemu Beel bagaimana. Beel merajuk. Beel marah. Nampaknya tahan lama juga rajuk Beel.
“Opah pun ada datang pujuk. Tapi tak de kesan. Macam sia-sia je opah datang”.
“Ya? Opah pun datang?”
Fah mengangguk lagi. Syakir juga senyum. Biar benar Beel ini. Sudah opah yang memujuk, namun hatinya masih lagi keras? “Marah betul Beel tu..”
“Manalah tak marah. Kak Su je lah kakak yang dia ada. Seorang tulah kakak, adik, sepupu-sepapat dia.”.
“Kesian Haikal”.
“Kesian Abang Haikal” Fah mengulang ayat Syakir semula. “Dia seorang je yang kena. Kita semua rahsiakan hal ni. Abang Haikal juga yang kena. Beel pun satu, bukan nak makan saman. Suruh marah orang lain tak nak, Abang Haikal juga dimarahnya” Fah mula membebel dalam diam.
Syakir senyum. Memanglah jelas terserlah Fah sangat menyayangi Beel. Jika tidak takkanlah sebut tentang Beel langsung panjang ceritanya.
Suasana sunyi bila Fah diam. Syakir juga diam. Keduanya membisu buat sementara. Sudah lama tidak bertemu membuatkan suasana bertambah janggal.
“Saya minta maaf”.
Fah mengangkat wajah. Mengerutkan dahi. “Kenapa awak minta maaf?”
“Sebab semuanya tak sama dengan apa yang kita rancang”.
“Kan manusia tu cuma merancang. Bukan kita yang menentukan”.
Syakir mengangguk. Membenarkan kata-kata Fah. “Mula-mula setahun, lepas tu dua tahun. Sedar-sedar nak masuk tiga tahun saya kat sana”.
“Saya faham. Kerja kan?”
“Awak.. Awak.. Awak belum berubah hati kan? Tak berubah hati kan?”
“Alhamdulillah tak”.
Syakir mengangguk dengan senyum lebarnya. Wajah itu dipandang penuh kasih. Wajah wanita kesayangannya. Yang satu ketika dulu merupakan pujaan hatinya, kini tunangannya dan insya-Allah akan menjadi isterinya.
Fah tertunduk malu dengan jawapan yang diberikan. Dia mengomel sendirian dengan jawapan tadi. Apalah yang dia jawab? Malunya..!
“Saya nak balik Perlis lepas ni” Syakir memaklumkan.
“Jumpa mak ayah?” Fah menyoal namun tak lama menunduk kembali. Siapa lagi yang ada di utara kalau bukan mak ayah Syakir? Terasa bodohnya soalan yang dia berikan!
“Jumpa mak ayah. Saya akan uruskan semuanya cepat-cepat. Awak tak payah risau, tak payah buat apa-apa. Cuma tunggu masa untuk jadi isteri saya yang sah”.

#####

Dia melepaskan keluhan kecil bila melihat makanan yang terhidang di atas meja. Mee goreng kesukaan Beel. Jus durian yang juga kesukaan Beel. Turut bersama adalah durian crepe yang juga pencuci mulut kesayangan isterinya itu.
Mengapalah makanan ini yang dihidangkan Nia? Tidakkan dia tahu ia akan membuatkan dia makin serabut dan makin merindukan isterinya seorang itu?
Haikal menggeleng-geleng kecil bila teringat itu adalah ‘arahan’nya. Siapa juga yang mengamuk sakan bila makanan lain yang dihidangkan di atas meja ini? Siapa juga yang menjadikan Pak Abu tempat melepaskan marah bila durian yang dicari tidak ditemui?
Nia keluar dari dapur bila menyedari Haikal sudah pun mengambil tempat di meja makan. “En.Haikal”.
Haikal menguntum senyum. “Beel tak balik lagi”. Haikal memberitahu namun seperti soalan yang berbaur rintihan.
Nia tersenyum pahit melihat keadaan majikanannya. “En.Haikal nak apa-apa lagi? Saya ambilkan”.
Haikal menggeleng. “Nia tak nak makan sekali. Bosanlah asyik makan seorang..”
Nia menggeleng. Jujurnya dia masih punya banyak kerja di dapur. “En.Haikal rindukan Cik Beel, bukan saya. Saya tak nak jadi pengganti Cik Beel” Nia menolak dalam nada selorohnya.
Haikal melepaskan keluhan. Wajah Nia dipandang. Jenaka yang cuba disampaikan Nia disambut dengan senyum segaris. Sejujurnya, dia langsung tidak merasakan ianya satu perkara yang kelakar. “Tak pelah. Nia boleh sambung kerja”.
Nia tersenyum sambil mengundur dirinya. Kasihan dia melihat majikannya itu. Nampak sangat dia terlalu rindukan Cik Beel. Kalau tidak takkanlah dia mengamuk sakan bila abang iparnya tidak dapat mencarikan buah durian buat majikannya itu?
Haikal hanya memandang sebelum mula menjamah mee goreng di dalam pinggannya. “Sayang, sampai bila sayang nak merajuk..?”

##########

Dia memandang kalendar di hadapan mata. Hari ini adalah hari pertama dalam bulan keempat dia meninggalkan Haikal. Bukan meninggalkan, tapi melarikan diri dari Haikal.
Empat bulan merupakan tempoh yang lama. Bukanlah sekadar pejam celik-pejam celik seperti kata orang. Dalam masa empat bulan telah berbagai peristiwa berlaku. Laci mejanya dibuka dan bingkai gambar dikeluarkan. Gambar dia bersama Haikal berjalan-jalan di tepi pantai.
Ya, itu gambar terakhir mereka di Pulau Pinang. Sehari sebelum mereka pulang ke Kuala Lumpur. Teringat pula dia pada Hani. Bagaimana agaknya keadaan sahabatnya itu?
Dia langsung tidak berhubungan dengan Hani. Kerana kata Hani, kalau benar-benar mereka berjodoh satu hari nanti pasti akan bertemu kembali. Jadi Hani menyarankan mereka jangan berhubungan.
Beel hanya mengikut. Seumur hidup itu kali pertama dia bertemu orang seperti Hani. Tapi bukankah dari awal perkenalan Hani memang jenis manusia yang menyerahkan semuanya pada ketentuan Allah?
Fah di tempat kerjanya sedang Suria masih di tadika. Fah sudah berjanji akan mengambil Suria jadi dia tidak terlalu risaukan puterinya itu. Nafas dilepas perlahan. Dia sudah mula terasa bosan dengan kehidupan begini.
Juga hati tidak dapat ditipu lagi. Rindunya dia pada Haikal yang bergelar suami. Juga dia tahu betapa Suria rindukan Haikal yang bergelar papa. Jika tidak masakan nama papanya disebut saban hari?
Haikal memang sudah tidak muncul setelah kedatangan opah tempoh hari. Nampaknya Haikal benar-benar memberi masa untuk dia bersendiri. Memang dia harapkan begini tapi…
Beel berbaring di atas katil. Apakah ini petanda bahawa dia harus pulang ke pangkuan Haikal? Menghentikan segala permasalahan yang hakikatnya dimulakan dirinya sendiri?

####

Haikal mengambil tempat di dalam kereta sebelum menutup pintu keretanya. Kot bersama briefcase diletak kemas di tempat sebelah pemandu.
Setelah enjin keretanya panas, Haikal mula memandu keluar dari garaj. Mata fokus ke hadapan namun otaknya melayang pada isteri tersayang.
Brek kaki ditekan dan brek tangan ditarik. Dia tergamam melihat dua manusia paling disayangi berada di luar perkarangan rumah. Serta merta enjin kereta dimatikan bila dia tersedar dari lamunan.
Langkah kaki melangkah perlahan namun ia terhenti bila melihat pandangan mata yang diberikan isterinya. Buat beberapa ketika, mata mereka bertatapan. Sama-sama saling berpandangan bagaikan mata mereka punya bahasa yang saling difahami.
“Papa!”
Haikal tersenyum dan mendukung Suria yang berlari memeluknya. “Anak papa sihat?”
Suria mengangguk laju. Dia yang berada di dalam dukungan Haikal langsung melentokkan kepalanya pada bahu Haikal. Haikal mencium kepala anak tunggalnya itu. Rindu sungguh dia pada puterinya.
Beel menguntum senyum manisnya. Langkah kaki menuju pada Haikal. “Assalamualaikum..”
Haikal menguntum senyum. “Waalaikumussalam” salam Beel dijawab. Tidak semena-mena air matanya jatuh menitis. Rindu pada isterinya tidak terkata.
Beel ikut mengalirkan air mata melihat air mata sang suami. Nampaknya dia telah menjadi isteri yang menyusahkan buat beberapa ketika. Tangan kirinya menyeka lembut air mata Haikal. Sedang tangan kanannya menyentuh pipi sang suami dengan penuh kasih.
Haikal tidak dapat membendung perasaannya. Bahunya mula terhinjut-hinjut menahan tangis. Tindakan yang membuatkan Beel spontan ketawa kecil. Langsung tubuh Haikal dipeluk erat.
Jari jemari Haikal erat menggenggam tangan Beel sambil tangannya sebelah lagi setia mendukung Suria yang sudah pun terlelap.
“Kami dah balik” Beel mengucap perlahan.
Haikal mengangguk dengan senyum manisnya. Beel dibawa masuk bersama Suria di dukungan. Kereta yang tersadai dibiarkan. Dia tahu Pak Abu akan memasukkan keretanya ke dalam garaj kembali bila dia melihat kereta itu.
Niat untuk ke pejabat telah mati. Dia hanya ingin menghabiskan masa bersama isteri juga anaknya di dalam rumah mewah berkonsep klasik itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s