DILARANG NIKAHI AKU – 109

“Cantik tak mama?”
“Cantiknya.. Pandai anak mama..” Beel ikut meniarap di sisi Suria. Memerhatikan anak gadisnya itu mewarnai buku latihannya. Menyiapkan kerja sekolah yang diberikan Cikgu Farah.
Tumpuannya teralih bila melihat Haikal berlari-lari ke arahnya sambil tangan menunjuk-nunjuk telefon bimbit yang dipegang. Beel bangun berdiri menyambut Haikal yang termengah. “Kenapa ni?”
Haikal menarik nafas sedalamnya. Dia duduk di sisi Suria dan Beel menurutinya. Telefon bimbit di tangan dihulurkan pada Beel.
Beel mengerut dahi. Apa yang mahu dia lakukan dengan telefon bimbit Haikal? Untuk apa perlunya dia menyambut huluran itu?
“Mama” Haikal mengucap perlahan.
Beel membulatkan mata. Dia yang awalnya berada di sisi Haikal langsung berpindah ke sisi Suria. Membuatkan Suria berada di antara mereka. Kepala digeleng-geleng tanda tidak mahu berbual dengan ibu mertuanya.
“Kenapa?” Haikal menyoal separuh berbisik. Pasti mama yang masih belum meletakkan panggilan naik hairan. Kata mama, dia tidak tahu meletak panggilan kerana dia tahu jika panggilannya diletak dia harus menunggu lama. Katanya, Haikal bukan boleh dipercayai.
Beel mula membuat muka mencari simpati. “Seganlah.. Hari tu dah lah buat perangai isteri tak semenggah..”
“Kesian mama ni. Nah..” Haikal bertegas.
Beel memuncungkan bibir namun telefon bimbit itu diambil juga. Diletakkan pada telinga dan ucapan salam disampaikan. “Assalamualaikum mama…”
“Waalaikumussalam. Is that Beel?”
“Ya. Beel ni..”
“Alhamdulillah. Beel dah ok dengan Haikal?”
Beel diam. Memandang Haikal yang sudah mula melayani Suria. Dia tahu sengaja suaminya itu melayani Suria agar dapat mengelak darinya.
“Beel.. Are you still there?” Humaira’ bersuara. Hairan bila menantu kesayangannya lama berdiam.
“Ada lagi. Dah ok. Kita orang dah ok..”
“Baguslah.. Mama risau Haikal tak pandai jaga isteri. Mana mama nak cari menantu baik macam Beel…”
Beel ketawa kecil mendengar cara percakapan mamanya yang masih sama. Tetap tidak berubah. Walau sudah bertahun berlalu, cara percakapannya tetap juga dapat memberitahu bahawa dia bukannya orang Melayu. Bahasa Melayunya agak pelat bercampur dengan ‘sleng’ bahasa lain.
“Beel jangan merajuk dengan Haikal dah tau.. Mama nak minta maaf siap-siap kalau Haikal ada buat Beel marah lagi..”
“Ya mama. Beel dengan Haikal dah ok. Haikal dah baik dengan Beel. Dia takkan buat buat Beel marahlah..”
“Ya? Betul?”
“Betul mama..” Beel bersungguh meyakinkan Humaira’. “Beel yang patutnya minta maaf. Tak jadi isteri yang baik. Tak jadi menantu yang baik. Beel minta maaf mama..”
“Kan mama dah cakap. Mana mama nak cari menantu baik macam Beel ni?”
“Mama..” Beel bersuara separuh memujuk. “Jangan macam ni. Beel bukannya baik sangat..”
Humaira’ ketawa. Sukanya dia mendengar kata-kata menantunya. “Mama sayang Beel. Papa pun sayang Beel. Haikal lagi sayang Beel. Mama minta maaf kalau-kalau keluarga ni tak sempurna untuk Beel. Tak sebaik keluarga yang Beel pernah ada”.
“Mama…” Beel mula mengalirkan air mata. Tersentuh hatinya mendengar ucapan Humaira’. Bersyukurnya dia dikurniakan ibu mertua sebaik Humaira’. Tidak seperti lambakan drama melayu yang mengisahkan perang menantu dan mertua.
Haikal memandang isteri kesayangannya. Suria yang sudah selesai menyiapkan kerja sekolahnya sudah pun tertidur di ribaan Haikal. Haikal mengangkat Suria dan meletakkannya di atas sofa. Lalu dia duduk di sisi isterinya.
“Mama cakap betul. Mama nak pergi Malaysia ni. Tapi banyak sangat hal. Papa pun tak de kat sini. Dia ada kerja kat China, mungkin lagi seminggu baru balik..”
Beel tersenyum bila Haikal menyeka lembut air matanya. Haikal ikut tersenyum melihat senyuman Beel. Tubuh isteri dipaut dan kepala Beel ditarik agar terlentok pada dadanya.
“Kalau mama nak datang, mama bagitahulah. Boleh Beel masakkan masakan istimewa untuk mama..”
Haikal tersenyum mendengar kata-kata Beel. Tangan isterinya itu diambil dan dia mula bermain dengannya. Jemari isterinya dicuit dan dilambung perlahan. Dia ketawa sendiri melihat betapa lamanya Beel berbual dengan mamanya.
Haikal senyum sendiri lagi. Dia merasakan dialah lelaki terbahagia di dunia ketika ini. Punya sebuah keluarga sempurna yang sudah pastinya merupakan impian bagi semua lelaki.

####

Beel tersenyum melihat sampel kad undangan yang diberikan Syakir pada Haikal. “Cantik kad ni. Abang Syakir dah tunjuk kat Fah ke?”
Syakir tersenyum melihat Beel yang baru mengambil tempat di sisi Haikal. Dia ketawa kecil melihat Haikal memaut bahu Beel. Suka benar temannya itu bila isterinya pulang ke pangkuan. “Dah hantar emel kat dia. Dia kata ok”.
“Emel?” Beel menyoal.
Syakir mengangguk. “Fah kenal Abang Wan kan? Dia kata kena kurangkan jumpa, lepas tu jangan call dan jangan mesej. Jadi emel je lah..”
Haikal ketawa mendengar kata-kata Syakir. “Tak pe lah Kir. Yang nak dijaga pun kehormatan bakal isteri kau juga..”
Beel tersenyum memandang Haikal dan Syakir. “Untung Abang Syakir dapat Fah. Beel boleh jamin yang Fah akan jadi isteri terbaik. Bahkan lebih baik dari isteri Haikal ni…”
Syakir ketawa terbahak-bahak. Dia tiba-tiba teringat tempoh awal perkahwinan dua manusia di hadapannya kini. Waktu itu, dia cuma berfikir sampai masanya pasti mereka akan bercerai. Langsung tidak terfikir mereka akan bahagia seperti sekarang.
Iyalah. Siapa yang boleh lupa omelan Haikal saban hari? Bagaimana Beel membuat drama lari dari rumah berkali-kali? Bagaimana hari perkahwinan yang sepatutnya indah menjadi mimpi ngeri?
Haikal dan Beel berpandangan bila Syakir masih tidak berhenti ketawa. “Abang Syakir kenapa?” Beel membuka suara.
Syakir memandang. Dia diam. Nampaknya tersalah masa pula. “Tak delah. Teringat masa kau orang awal-awal kahwin dulu. Pejam celik, pejam celik nak masuk 6 tahun dah kan?”
Beel mencebik. Tahu sangat dia bahawa Syakir pasti ingatkan perangai kanak-kanaknya dulu. Tapi itu sewaktu dia masih belum matang dan dewasa seperti sekarang. Tak hairanlah macam-macam perangai dan ragamnya.
Haikal memandang Beel. “Kelakar kan? Dah nak masuk 6 tahun rupanya, rasa macam baru semalam sayang langgar saya kat airport, sayang simbah air cuci kereta kat saya.. Dah lama rupanya..”
Syakir ketawa. Beel mencubit Haikal sekuatnya. “Tak payah nak teringat macam Abang Syakir ye.. Menyampah”.
Haikal ketawa lagi. Beel dipeluk erat membuatkan isterinya itu meronta minta dilepaskan. Dan Syakir ketawa. Dia bahagia melihat Haikal bahagia. Dan dia pasti Fah bahagia melihat Beel bahagia.
Jadi, sekarang adalah masa untuk dia dan Fah mengecapi kebahagiaan mereka pula.

##########

Melihatkan bakal pengantin perempuan sudah selesai bersiap, pembantu butik bertudung kuning itu menarik langsir yang memisahkan ruang persalinan dan ruang tetamu.
“Cantiknya!”
Fah membuat muka kelat memandang Beel. Dia akui memang baju yang dicuba itu cantik tapi..
“Kenapa ni?” Beel menyoal melihat Fah seperti tidak selesa.
Fah membuat muka. “Tak selesalah. Ketat..”
Beel mengangguk. Dia ketawa kecil. “Nampak biasa je.. Kan?” Beel kemudian menyoal pembantu butik yang melayani mereka.
Pembantu butik mengangguk. “Cik Sofwah nampak cantik”.
Fah memandang cermin di hadapannya. Memang nampak biasa-biasa saja. Tapi tubuh badannya terasa tidak selesa. Dia merasakan baju pengantin itu terlalu kecil buatnya.
Beel tersenyum. “Oklah. Adik, berapa baju yang Abang Syakir sediakan untuk Fah?”.
“Ada 10 helai puan”.
Beel dan Fah saling berpandangan. Mata keduanya membulat. “10 helai?” Keduanya serentak bersuara.
Gadis bertubuh kecil itu mengangguk. Beel mengangguk memahami. “Kalau macam tu, adik bawa semua baju ke sini. Fah ni cerewet sikit..”
Pembantu butik mengangguk lagi. Fah mencuit Beel perlahan. Beel memandang pembantu butik yang masih menanti. “10 helai tu 10 helai kan? Bukan 10 pasang?”
“Bukan puan. 10 helai yang Encik Syakir sediakan tu semuanya sesuai dengan baju Encik Syakir. Jadi baju mana yang Cik Sofwah pilih, semuanya sesuai dengan baju Encik Syakir”.
Beel ketawa kecil. Memandang Fah yang sudah menunduk. Pasti sahabatnya itu malu dengan kenyataan yang diberikan pembantu butik. “Oklah. Adik boleh ambil baju-baju tu..”
Pembantu butik itu mengangguk dan berlalu. Beel menarik Fah agar bersamanya duduk di atas sofa tersedia. “Banyak kan?”
Fah senyum kecil. 10 helai baju yang diberitahu pembantu butik itu sudah cukup untuk membuatkan dia tahu betapa Syakir bersungguh dengan perkahwinan ini.
“Untung kau dapat buat majlis meriah-meriah”.
“Kenapa ni?” Fah menyoal bila melihat Beel melentokkan kepala pada sofa.
“Teringat macam mana aku kahwin dengan Abang Haikal” Beel bersuara perlahan.
Fah memandang wajah sahabatnya itu. “Kau ok tak ni?”
“Aku rasa mesti papa yang sponsor majlis kau ni kan?” Beel mengubah topik.
Fah tersenyum. “Ya kut”.
“Sebab kau kata mak ayah Abang Syakir orang biasa-biasa. Tapi aku tengok preparation Abang Syakir ni beria betul”.
“Abang Syakir pun berduit juga kan. Tapi aku pun rasa yang uncle sponsor” Fah menyokong pendapat Beel. Syakir tidak pula memberitahu dari mana datangnya duit sebanyaknya untuk persiapan majlis mereka.
“Kan? Tapi tak mustahil. Sebab papa dah anggap Abang Syakir macam anak dia sendiri. Lagi pun bakal isteri Abang Syakir ni best friend forever aku! Tapi takkanlah Abang Syakir tak bagitahu kau apa-apa?”
Fah menggeleng. Dia tersenyum melihat tiga orang pembantu butik beriringan membawakan 9 helai baju lainnya. Memang benar Syakir tidak memaklumkan apa-apa padanya.
‘Awak tak payah risau, tak payah buat apa-apa. Cuma tunggu masa untuk jadi isteri saya yang sah’. Fah senyum sendiri mengingat ayat itu.

#########

“Apa opah cakap?”
“Fah nikah, buat kenduri kat villa boleh?”
Mata Fah membulat. Mata Beel juga membulat. “Buat kat villa?” Keduanya menyoal serentak.
Puan Sri Normah ketawa kecil melihat reaksi kedua ‘cucu’nya itu. Anggukan diberikan dalam tawanya.
Fah memandang Beel dan Beel memandang Fah. Beel menarik nafas sedalamnya. “Memang Abang Syakir belum jumpa tempat kan?”
Fah mengangguk. “Tapi tak susahkan opah ke?” Matanya memandang raut wajah wanita tua itu.
Puan Sri Normah ketawa lagi. “Susah apanya? Fah dah macam cucu opah sendiri. Lagipun villa ni besar, boleh jemput ramai. Tak payah susah-susah sewa dewan. Kan?”
Fah mengangguk mengakui kata-kata Puan Sri Normah. “Tapi Fah rasa..”
Beel langsung memaut tangan sahabatnya itu. “Aku rasa bagus juga cadangan opah tu. Mesti opah sunyi kan? Sebab tulah opah suruh buat kat sini”.
Puan Sri Normah tersenyum. Iyalah, villa sebesar ini hanya ada dia, Zamri dan Sakinah, Pak Lan juga Mak Jah, dan Irah serta Putih. Berapa kerat sangatlah yang ada. Sekali sekala ia meriah dengan majlis-majlis apa salahnya?
“Kalau macam tu nanti Beel cakap dengan Abang Syakir. Rasanya dia ok je…”
Fah tersenyum, begitu juga Beel. Nampaknya opah memang menginginkan majlis diadakan di villa. Pada Beel yang tidak sabar menanti status Fah berubah, dia terima saja cadangan opah itu.
Dan pada Fah yang bakal memegang status isteri tidak lama lagi, dia hanya berharap agar semuanya berjalan lancar selancar-lancarnya.

##########

Mata yang masih belum pejam membuatkan telinganya laju menangkap bunyi ketukan pintu. Seluruh anggotanya lantas bergerak membuatkan tubuhnya berlari anak membuka pintu bilik.
“Tak tidur lagi?”
Dia menggeleng. Memandang abang yang berdiri tegak bagai pengawal keselamatan. Rambutnya yang kusut masai dikemaskan dengan sanggul siput yang menjadi kebiasaannya.
“Boleh abang masuk?”
Anggukan diberikan. Fah kembali masuk ke dalam bilik dan Safwan mengikut. Pintu bilik dibiarkan terbuka luas. “Kenapa belum tidur?”
Fah senyum. “Tak boleh tidurlah, abang…”
“Excited? Nervous?”
Fah senyum lagi. Keduanya juga benar. Mana tidaknya, esok adalah hari pernikahannya. Esok adalah hari dia bergelar isteri. Esok adalah hari dia menjadi isteri kepada lelaki bernama Syakir bin Sya’rani.
Safwan memandang wajah adiknya. “Dah nak jadi isteri orang kan adik abang seorang ni?”
Fah senyum nipis. “Fah takut..”
Safwan mengangguk. “Biasalah tu. Nak masuk alam baru, jumpa orang baru, masuk kehidupan baru. Kalau ibu ayah masih hidup, mesti dia orang paling gembira hari ni…”
Diam. Sunyi sepi. Suasana kosong bila kedua beradik itu sama-sama mengingati ibu ayah mereka. Air mata Fah menitis tiba-tiba. “Abang rindu ibu ayah ke?”
“Fah tak rindu? Mesti Fah nak ayah yang jadi wali kan?” Safwan menyoal melihat air mata Fah yang mengalir.
Fah mengangguk. “Tapi ayah tak de. Fah lagi nak abang daripada tak de wali..”
Safwan memaut kepala adiknya. Memeluk erat agar sedihnya hilang. Dia tahu Fah terasa kekurangan kasih dari mereka yang bergelar ibu bapa. Tapi percayalah, dia sudah cuba yang terbaik untuk membesarkan dan menjaga adik kesayangannya itu.
“Abang seronok bila Syakir serius dengan Fah. Tak main-main macam yang abang fikir. Menunjukkan abang berjaya tunaikan tanggungjawab abang dengan baik. Jalankan amanah yang arwah ayah dengan arwah ibu tinggalkan untuk abang..” Safwan bersuara sambil mengusap lembut kepala Fah.
“Terima kasih sebab jaga Fah selama ni..”
Safwan ketawa. “Terima kasih? Kan abang ni abang Fah. Memanglah tanggungjawab abang untuk jaga adik abang ni. Bila Fah dah kahwin, tak bermaksud tanggungjawab abang dah selesai. Dia cuma dah ringan sebab dah terbahagi dua antara abang dengan Syakir. Tapi Fah tetap bawah tanggungjawab abang”.
Fah mengangkat wajah memandang abangnya. “Maknanya Fah ada dua guardian la kan?”
“Pandai” Safwan mencuit hidung adik manjanya itu.
“Abang, terima kasih sebab jadi abang Fah”.
“Fah pun, terima kasih sebab jadi adik abang..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s