DILARANG NIKAHI AKU – 110 (AKHIR)

Dia tersenyum mencapai mug yang berada di dalam almari. Suasana di villa sudah mulai bising dengan kehadiran keluarga terdekat walau majlis belum dimulai.
Dia mahu membuat milo panas buat Fah yang tidak lalu makan sejak semalam. Barangkali terlalu cemas untuk melalui hari bersejarah dalam hidupnya.
“Beel..”
Beel yang baru menuang susu pekat di dalam mug memandang sang pemanggil. Wajah mak longnya muncul di dapur dan dia mengambil tempat pada kerusi yang tersedia.
“Ya mak long?” Beel memandang dengan senyuman.
Sakinah melepas nafas melihat anak saudaranya itu. Beel yang dulunya hanya memakai jeans bersama t-shirt berlengan pendek, kini sudah memakai tudung. Juga blouse dan skirt labuh yang mempamerkan ciri-ciri kewanitaannya. “Mak long nak cakap sikit”.
Beel mengangguk. Dia meninggalkan air milo yang masih belum siap dan mengambil tempat di sisi Sakinah.
Sakinah menarik nafas sedalamnya. “Mak long nak minta maaf”.
Beel mengerut dahi. “Minta maaf? Sebab..?”
Sakinah melepas nafasnya. Tangan anak saudaranya diambil dan diusap penuh kasih. “Waktu arwah Su masih hidup, mak long banyak sakitkan kamu. Sakitkan hati kamu. Mak long tak pernah sayang kamu macam mana kamu sayang mak long. Mak long minta maaf”.
Beel menggeleng melihat mata wanita itu sudah mula berkaca. “Beel ok. Mak long jangan macam ni…”
“Sekarang mak long dah faham kenapa Haikal senang-senang jatuh cinta dengan kamu. Padahal dengan arwah Su dulu..”
“Kak Su tak salah. Mak long pun tak salah. Beel pun tak salah. Dalam hal ni, tak de siapa yang salah. Mak long jangan macam ni…”
Sakinah menggelengkan kepalanya. “Mak long salah. Mak long tak anggap kamu sebagai anak saudara. Tapi mak long anggap macam musuh. Tapi sekarang…” Sakinah menguntum senyum dalam air matanya. Pipi anak kepada adik kandung suaminya itu diusap. “Mak long dah tahu, mak long dah sedar. Beel anak saudara terbaik yang mak long ada..”
Beel hanya tersenyum. Kasihan dia melihat air mata mak longnya. Tapi semuanya sudah pun berlalu. Apa yang berlalu biarkanlah ia berlalu. Beel juga tidak menyimpan sebarang dendam buat ibu saudaranya itu.
“Mak long sayang Beel” Sakinah akhirnya memeluk tubuh itu. Tidak lagi dapat membendung rasa bersalahnya. Betapa dia sedar, selama ini bukanlah anak saudaranya itu terlebih nakal tapi dia yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu saudara yang baik..

#########

Dia tersenyum memandang mak andam yang sudah selesai menyoleknya. Kata Beel, wanita pertengahan umur itu diupah Haikal. Merupakan kenalan Haikal juga.
“Cantik Cik Sofwah” puji wanita itu.
“Terima kasih”.
Wanita itu ketawa sendiri. Suka dia melihat seri pengantin yang terpancar dari wajah gadis ini. Pastinya dia teruja untuk bergelar isteri.
“Milo panas dah siap!”
Fah memandang Beel yang melangkah masuk menatang segelas milo panas. Mak andam juga ikut mengukir senyum. “Kalau macam tu, mak cik keluar dulu. Tak nak kacau Puan Beel dengan Cik Sofwah”.
Beel ketawa kecil. “Terima kasih Cik Dilah”.
Dia mengangguk dan melangkah keluar. Meninggalkan Beel dan Fah berdua di bilik itu. “Nah, minum ni”.
Fah menyambut huluran Beel. Namun wajah tidak beriak mencerminkan perasaan gemuruhnya saat ini. Beel ketawa kecil melihat reaksi Fah. “Relaxlah..”
“Senanglah kau cakap. Dah berapa tahun lepas kau kahwin. Kak Putih mana?”
“Dia tengah tolong kat dapur. Dia kata nak naik, tapi kejap lagi kut”.
“Suria?”
“Dengan papanya lah.. Haikal tak bagi aku pegang Suria, dia kata pergi tengok Fah. Takut pengsan sebelum akad nikah” Beel berseloroh.
Fah mencubit paha Beel atas rasa sakit hatinya. “Kau ni!”
Beel ketawa lagi. Dia memaut tangan Fah dan memandang wajah itu. “Tahniah Fah. Tahniah”.
Fah ikut tersenyum melihat senyuman Beel. Namun dahinya berkerut melihat air mata yang jatuh dari wajah sahabat sehidup sematinya itu. “Kenapa kau nangis?”
Beel menarik nafas. “Macam tak percaya. Kau dah nak jadi isteri orang”.
Fah menahan air mata yang sudah bertakung. Bimbang solekannya comot akibat air mata yang tumpah. Kasihan pula pada Cik Dilah jika solekannya comot. Harus menacap juga pastinya memakan masa dan tenaga.
“Pengantin tak cantik kalau menangis” Beel memandang dengan senyuman. Dia perasan akan mata Fah yang sudah mula berair.
“Dah tu kau nangis kenapa?” Fah menjeling, mencapai tisu dan mengesat matanya lembut.
“Aku terharu kut. Yelah, kau dah nak kahwin. So status kita dah sama. Tak macam sebelum ni..” Beel sengih sambil mengesat air matanya.
Fah ketawa kecil. Beel.. Beel… Macam-macam!
“Pengantin jangan nangis. Nanti comot muka kau..”
Fah tersenyum memegang pipi Beel. Keduanya tersenyum dan berpelukan. Sesungguhnya dalam persahabatan, apa yang dia rasakan itulah juga yang kita rasa.

##########

Hanya dengan sekali lafaz, Nur Sofwah binti Hisyam sah bergelar isteri kepada Syakir bin Sya’rani. Beel sentiasa di sisi memaut sahabat baiknya itu. Juga Putih di sebelah kirinya membahu perasaan gementar yang dia rasakan.
Haikal mengatakan Syakir sangat gementar dan cemas semasa akad nikah. Tapi dari pemerhatian Beel, pemuda itu tampak berkeyakinan tinggi. Jadi lafaznya hanya sekali sahaja dan ia sudah sah.
Beel keluar dari bilik melayani tetamu. Fah harus bersiap untuk bersanding pula. Nampaknya tenaga Fah akan dikerah habis-habisan hari ini. Putih juga sudah masuk ke dapur semula, banyak kerja yang harus diselesaikan.
Dia terperanjat kecil bila bahunya dipaut tiba-tiba. Beel memandang tukang peluk yang tersengih-sengih. “Sayang..”
Beel melepas nafas. “Ya.. Suria mana?”
Haikal melentokkan kepala mengenai kepala Beel. “Tidur. Kat bilik..”
“Depan orang ni..” Beel menolak Haikal perlahan jauh darinya.
Haikal ketawa. “Macam mana Fah tadi? Meleleh tak..?”
Beel mengerut dahi. Meleleh? “Menangis ke?”
Haikal mengangkat keningnya. Mengiakan pertanyaan Beel.
“Mestilah nangis. Normal-lah perempuan..”
“Kira awak tak normah lah kan?”
“Ha?”
“Yelah. Fah menangis terharu. Awak menangis sebab kena kahwin paksa..” Haikal menyindir dalam diam. Bibirnya sedari tadi mengukirkan senyum, mengimbau kembali saat mereka bernikah dahulu.
Beel menjeling. Lengan Haikal dicubit kuat. Membuatkan suaminya itu mengaduh perlahan. Beel mencebik bila Haikal sibuk membuat muka. Matanya tiba-tiba menangkap susuk tubuh yang terasa bagai dikenali.
“Hani?”
Yang dipanggil menoleh. “Beel!”
“Hani…” Beel maju ke arah Hani yang hanya tidak jauh dari mereka. Mereka berpelukan buat beberapa ketika, melepaskan rindu kerana sudah lama tidak bertemu.
Memeluk Hani erat membuatkan Beel terasa ada sesuatu yang lain pada teman baiknya itu. Dahinya berkerut melihat wajah Hani yang agak tembam dari dulu. Apakah kerana mereka sudah lama tidak bertemu membuatkan dia terasa lain?
“Abang Haikal”.
“Assalamualaikum Hani. Lama tak jumpa kan?” Haikal memandang Hani yang ayu mengenakan tudung bawal jingga bersama blouse labuh.
“Lama tak jumpa. Awak apa khabar?” Pandangan Hani teralih pada Beel yang memandangnya sedari tadi.
“Baik. Macam mana awak boleh ada kat sini? Datang dari Penang?”
Hani tersenyum menampakkan barisan giginya. Dia mengangguk. “Kenduri Fah, mestilah saya datang..”
Beel mengerut dahi. Dia menarik tangan Hani dan memusingkan tubuh temannya itu. Ada kelainan.
Hani mengerut dahi. “Kenapa?”
Beel mengecilkan matanya. Lantas tangannya laju menyentuh perut Hani. Ya, dia tahu! Perutnya ‘buncit’ dari kebiasaan. Juga tegang seakan-akan.. “Awak mengandung ke?”
Hani ketawa kecil. Memandang Haikal yang membuat muka terkejut. Memandang Beel yang menayangkan wajah syak wasangkanya. “Ya”.
“Hani mengandung?” Haikal menyoal, bagai tidak percaya dengan kenyataan yang diberikan Hani.
Hani mengangguk dengan senyuman. “Hani mengandung. Dah masuk tiga bulan”.
“Tak aci! Kenapa tak bagitahu?” Beel menjerit separuh suaranya.
Haikal tersenyum. “Depan orang sayang..” dia mengingatkan.
Beel sengih. “Bila kahwin?”.
“Nak masuk lapan bulan dah”.
Beel mencebik bibirnya. “Tak aci..” Dia mula merengek bagai anak kecil. Rasa tidak percaya sahaja. Rupanya Hani telah berkahwin di luar pengetahuannya.
“Ni kan awak dah tahu. Marah ke?”
Beel mencebik. Mahunya tak marah? Kawan berkahwin tetapi kita tidak tahu. Tup tup sudah hamil. Siapalah yang tidak marah? Tapi bukannya kemarahannya dapat membantu apa-apa.. Bibirnya dimuncungkan sebagai tanda berkecil hati.
“Datang dengan suami lah ni?” Haikal menyoal melihat Beel masih belum hilang rajuknya.
Hani mengangguk. Beel membulatkan mata. “Mana? Siapa?”
Hani senyum nipis. Tangan menunjuk pada seorang lelaki yang membelakangi mereka. Sedang berbual dengan beberapa kenalan Syakir. “Dia kenal pengantin lelaki, pernah kerja sama-sama”.
Beel mengerut dahi. Siapa? Apakah dia mengenalinya atau tidak? Siapa agaknya lelaki bertuah itu? Yang menjadi suami Hani juga ayah pada bayi yang dikandung Hani?
“Abang..” Hani memanggil. Dia mendekati lelaki itu.
Senyuman yang terpancar dari wajah lelaku itu membuatkan Haikal dan Beel berpandangan. “Qamar?”
Hani ketawa kecil. Dia mengangguk. Qamar mengikutinya menuju pada Haikal dan Beel. “Kenalkan.. Suami saya, Qamar”.
“Assalamualaikum, Abang Haikal..” Qamar tersenyum sambil tangannya berjabat dengan Haikal.
“Waalaikumussalam. Panjang umur” Haikal menguntum senyum separuh memerli.
Qamar tersenyum. “Apa cerita Beel?”
“Macam mana kau orang…” Beel membuat muka tidak puas hati. Bencinya bila dia sebagai teman baik tidak tahu apa-apa!
Hani ketawa kecil mendengar kata-kata Beel. Nada yang jelas menggambarkan dia sedang berkecil hati. “Dah jodoh kan..” Hani mencapai tangan Beel sebagai tanda memujuk.
“Bila kau balik?” Beel memandang Qamar.
“Kita orang dah kahwin lapan bulan. Aku dah balik kira-kira setahun” Qamar sengih.
“Tak cakap apa-apa pun..”
Haikal memaut bahu Beel. Bimbang isterinya itu terlalu ikutkan emosi. “Dah jodoh dia orang kan..”
“Bukan nak cerita dengan saya apa-apa. Sampai hati…” Beel memuncungkan bibir. “Tapi… Apa-apa pun, tahniah Qamar. Dapat juga Hani akhirnya..”
Hani tersenyum dan melentokkan kepala pada Qamar yang memaut bahunya. Beel mencebik. Pegangan Hani dilepaskan. Menyampah pula dia melihat pasangan itu.
“Kau pun sama. Rahsia-rahsia je dengan aku. Rupanya suami isteri, cakap adik-beradik..” Qamar memulangkan paku buah keras.
Haikal ketawa. “Kiranya Qamar dah tahu..”
“Mahunya tak tahu Abang Haikal. Reza separuh mati bagitahu. Kecewa betul dia.. Tapi nak buat macam mana kan? Saya sendiri tak sangka yang Beel kesayangan dia ni dah ada suami. Lagilah Reza..”
Beel terdiam. Sementara Haikal mengukir senyum. Beel memandang Hani yang turut memandangnya. Keduanya sedikit janggal dengan topik yang dibuka lelaki berdua itu.
“Reza apa khabar?” Haikal menyoal lagi. Beel memandang dengan kerutan dahinya. Apakah suaminya itu sengaja mahu menyoal atau benar-benar ingin tahu khabar lelaki itu..?
Haikal menguatkan pautannya pada bahu Beel. Tidak mahu isteri kesayangannya tersalah sangka. Dia bukan mahu mengusik isterinya tapi dia benar-benar mahu tahu khabar Reza.
Hani dan Qamar berpandangan. Qamar melepas nafas. Kepala digeleng-geleng. “Masih harapkan isteri Abang Haikal?”
“Apa?” Beel menyoal, serentak dengan Haikal.
“Saya tak tipu. Memang Beel orang pertama yang Reza suka, orang pertama yang Reza cinta. Sampai sekarang dia tak nak balik Malaysia, takut terjumpa Beel dengan Abang Haikal. Saya dah suruh dia lupakan Beel, lepaskan Beel dan dia pun dah cuba.. Tapi…” kata-kata Qamar terhenti.
“Aku tak de niat nak…” Beel mengucap perlahan.
“Bukan salah kau. Soal macam ni, kita pun tak boleh nak paksa-paksa..” Qamar cuba menenangkan hati kawan baik isterinya itu.
“Awak tak salah..” Hani mengusap tangan Beel yang baru dicapai. Kasihan pula dia melihat wajah Beel yang menggambarkan rasa bersalahnya.
“Tak pe. Nanti masa yang akan sembuhkan hati Reza. Sayang jangan risau..” Haikal memandang Beel.
Beel mengukirkan senyum tawar. Kalaulah dia tahu semuanya akan jadi begini, sudah pasti dia tidak berahsia dengan sesiapa tentang statusnya dari dulu. Menyesal dia kerana tidak mahu menuruti kata-kata Haikal.
Tapi semuanya hanya kalau semata. Apa yang telah berlaku tidak dapat diulang semula. Bukankah masa yang telah berlalu tidak akan kembali semula? Kerana itulah orang berkata, apa yang sudah berlaku biarkanlah ianya berlalu, dan apa yang akan mendatang hadapilah ia dengan cemerlang.

###########

Suasana di pantai sangat tenang ketika itu. Safwan tersenyum sendiri sambil tangannya laju mencapai cucur udang yang digoreng Fah tadi. Bersila di atas tikar sambil menikmati angin pantai adalah perkara yang sudah lama tidak dia lakukan.
Fah tersenyum melihat abangnya yang duduk sendirian di atas tikar. Dia dapat lihat apa yang dipandang abangnya. Pasti abangnya memandang ke hadapan. Memandang Beel, Haikal dan Suria yang sedang bermain air pantai bersama.
“Kenapa ni?” Syakir di sisinya memandang. Sudah dua bulan mereka bergelar suami isteri, dia benar-benar gembira memperisterikan gadis itu.
“Taklah. Syakir tengoklah abang tu..”
Syakir memandang pada Safwan yang ditunjuk Fah. Ya, dia melihat perkara yang sama. Safwan memandang Beel, dan masih memandang Beel. Dia tahu abang iparnya itu masih lagi punya perasaan terhadap Beel. Dia lelaki, pastilah dia memahami isi hati lelaki itu.
“Fah risau ke?” Syakir menguatkan pegangan tangannya dengan Fah.
Fah menggeleng. “Nak cakap risau pun tak berapa betul. Fah kesian dengan abang, dia masih sayangkan Beel. Terang-terangan Beel tu dah bahagia dengan Abang Haikal..”
Syakir tersenyum. Kali ini tangan kanannya memaut bahu Fah manakala tangan kirinya erat menggenggam jari-jemari isterinya itu. “Fah jangan macam ni. Lama-lama nanti, Abang Wan akan jumpa orang yang sesuai jadi pengganti Beel dalam hati dia. Cuma masa je…”
Fah tersenyum. Kepalanya dilentokkan pada bahu Syakir. “Terima kasih Syakir…”
“Sama-sama kasih..” Syakir mencuit hidung Fah perlahan. Dan mereka berjalan menyisir pantai. Melangkah bersama menuju ke arah Safwan.

###########

Beel ketawa melihat Haikal terminum air masin akibat tolakan Suria. Boleh tahan ‘ganas’ juga anak gadisnya seorang itu. Apakah dia mewarisi genetik Beel yang agak ‘liar’ suatu ketika dahulu?
“Sayang gelakkan saya?” Haikal mengerut dahi. Sakit hatinya melihat isterinya ketawakannya.
Beel memasang langkah mahu melarikan diri dari Haikal. Tahu sangat dia bakal dikejar suaminya. Tangan Suria ditarik dan dia berlari bersama anaknya itu. “Lari Suria. Papa nak kejar tu..”
“Lari!” Suria berlari sambil ketawa besar. Comel sungguh bila kanak-kanak itu ketawa sepuasnya.
Haikal tersenyum. Tidak jadi dia mengejar isteri dan anaknya itu. Tangannya dilipat sambil dia berdiri melihat isteri dan anaknya bermain bersama. Isterinya, Nabilah Anisah juga anaknya Suria Annisa’.
Keduanya merupakan insan kesayangannya di muka bumi ini. Jika dilihat kisahnya bersama Beel dari dahulu, dia sendiri tidak sangka semuanya akan jadi begini. Tapi takdir Tuhan itu merupakan satu misteri. Yang jelas, semua yang berlaku pasti ada hikmah juga sebab-musababnya.
Apa yang Haikal harapkan kebahagiaan juga kegembiraan ini akan kekal buat selamanya. Sungguh dia adalah suami terbahagia ketika ini. Langkah kaki dipasang untuk mengejar anak-beranak itu.
“Sayang, saya kejar ni…!”

 

*TAMAT*

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s