Monthly Archives: February 2016

Demi Syaqiqah – P6

“Minta maaf, Tun. Kami dah cuba buat yang terbaik tapi nyawa Encik Syamran dan Puan Afiqah tak dapat diselamatkan”.
“Innalillah…” Tun Adib Nasir menguntum senyum lemah. Tangan memaut tubuh isteri yang sudah lemah longlai. “Yam..”
“Nampaknya Allah lebih sayangkan mereka bertiga” sambung doktor wanita bertudung bawal itu.
Bertiga? Kalau dicampur dengan kandungan Afiqah, bukankah mereka berempat? Mengapa pula bertiga? Tun Maryamul Azra memandang Tun Adib Nasir. “Maksud doktor?” Tun Adib Nasir menyoal.
“Encik Syamran, Puan Afiqah dan bayi yang dikandung Pun Afiqah. Ketiga-tiganya kami tak dapat nak selamatkan”.
Tun Maryamul Azra mengerutkan dahi. Lalu bagaimana dengan Adibah? Mata memandang Tun Adib Nasir. Dia pasti suaminya itu pasti memikirkan perkara yang sama.
“Tak de budak perempuan sekali dengan dia orang?” Tun Maryamul Azra menyoal.
Doktor menggeleng. Dia begitu pasti hanya mereka bertiga yang dihantar ambulans tadi.
“Tak mungkin doktor. Syam ada anak perempuan, berumur lima tahun. Dia ada sekali dalam kereta tu” Tun Adib Nasir menambah fakta. Mustahil Adibah tidak terlibat dalam kemalangan ini sedangkan mereka tahu Syamran dan Afiqah tidak meninggalkan Adibah.
“Maaf Tun. Memang tak ada. Saya dah buat pemeriksaan sebelum masuk bilik kecemasan tadi. Memang seorang lelaki dewasa dengan seorang wanita hamil. Iaitu Encik Syamran dan isterinya, Puan Afiqah”.
Tun Maryamul Azra memandang Tun Adib Nasir. Ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa pula Adibah tiada di dalam kereta?
“Maaf Tun. Saya nak minta diri. Ada beberapa hal nak kena selesaikan”.
“Silakan..” Tun Adib Nasir tersenyum.
Tun Maryamul Azra memandang Tun Adib Nasir. “Abang, mana Dibah?”
Tun Adib Nasir menggelengkan kepalanya. Dia sendiri bingung mendengar kata-kata sang doktor. Bagaimana Adibah boleh tidak ada dalam kereta?

###########

‘Sebuah kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta Honda Camry telah dilaporkan beberapa jam tadi. Kemalangan itu berlaku disebabkan kecuaian pemandu kereta Honda yang mahu melanggar lampu isyarat berwarna merah tanpa melihat kedatangan lori tersebut. Lori tersebut hilang kawalan dan terbalik serta-merta. Manakala kereta Honda pula terbabas ke dalam hutan dan melanggar sebatang pokok besar. Dilaporkan pemandu lori cedera parah manakala pemandu dan semua penumpang kereta Honda meninggal dunia.
Baiklah, berita selanjutnya..’

Jalal senyum sinis mendengar berita utama malam itu. Tidak sangka semuanya semudah ini. Hanya dengan sekelip mata nyawa Tun Adib Nasir sekeluarga sudah melayang.
“Sayang..” Dia memandang Amnah di sisi.
“Ya?”
“Jom kita pergi holiday” Jalal mengambil Amy dari ribaan Amnah.
Amnah memandang sang suami. “Holiday? Tapi Amy sekolah kan..”
“Kita ambil cuti seminggu dua. Nanti saya cakap dengan pihak sekolah” Jalal mengusap Amy penuh kasih.
Amnah tersenyum. Dia tidak tahu apa yang membuatkan suaminya tiba-tiba segembira ini. Tapi dia tahu, jika suaminya gembira dia pun turut gembira.

#########

Jenazah Syamran, Afiqah dan bayi dibawa pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga atas permintaan dan arahan Tun Adib Nasir. Tun Adib Nasir mahu ketiga-tiganya dikuburkan di Kuala Lumpur agar mudah untuk dia dan ahli keluarganya menziarahi kubur mereka kelak.
Dia mengupah jemaah masjid berdekatan untuk memandikan dan mengkafankan ketiga-tiga arwah. Sebaik semuanya selesai, jenazah langsung ditanam serta-merta.
Tun Adib Nasir tidak mahu semuanya bertangguh. Kalau boleh, biarlah semuanya selesai sesegera yang mungkin. Kepalanya sudah berserabut dengan kemalangan yang tiba-tiba. Juga kehilangan Adibah yang keberadaannya kini tidak tahu di mana.

###########

Matanya membulat membaca akhbar pagi itu. Penumbuknya digenggam bila membaca nama-nama mangsa yang maut dalam kemalangan petang semalam. ‘Syamran bin Syahid dan isteri, Afiqah binti Ahmad’.
“Bodoh!” Surat khabar itu dicampak pada Pisau yang berada di hadapannya.
“Maaf bos, saya..”
“Kau cakap dengan aku yang naik kereta tu Nasir kan? Tengok siapa yang mati? Driver dia, bukan dia. Dasar tak boleh diharap!” Jalal meninggi suara.
“Bos, saya…”
“Aku dah tak nak dengar apa-apa lagi. Kau ambil duit ni dan berambus dari Malaysia sekarang. Sementara hal ni belum terbongkar. Aku tak nak kau dengan aku-aku sekali dapat susah” Jalal mencampak sebuah beg buruk pada Pisau.
“Baik bos”.
“Buat sementara ni kau jangan balik Malaysia. Tunggu sampai aku panggil baru kau balik. Kalau kau ingkar arahan aku, apa-apa jadi aku takkan tolong kau. Faham?!”
“Faham bos” Pisau mengambil beg yang diberi padanya dan langsung meninggalkan banglo mewah itu. Di kepalanya sudah merangka-rangka apa yang mahu dilakukan seterusnya.
“Papa…”
Jalal melepas nafas mendengar suara itu. Dia tidak mahu wajah bengisnya dilihat isteri juga anaknya. “Ya Amy..” Dia menguntum senyum dan melangkah ke arah Amy yang sudah siap berpakaian cantik.
“Cantiknya anak papa..”
“Mama kata papa nak bawa pergi holiday..”
“Ya sayang..” Jalal ketawa kecil dan mendukung puteri tunggal kesayangannya.
Amnah melangkah menuruni tangga sambil memandang Jalal. “Tadi saya dengar suara abang marah-marah. Cakap dengan siapa?”
Jalal diam sebentar. “Tak de apa-apalah. Cakap dalam telefon. Anak papa dah ready?”
“Yes!” Amy menjerit kegembiraan. Amnah ketawa kecil melihat Amy yang seronok mahu bercuti.
“Jom sayang..” Jalal memaut bahu isteri dan mereka sama-sama melangkah keluar dari banglo.

########

Adibah membuka mata perlahan. Dia memandang sekeliling. Di mana dia berada sekarang?
Cuaca sudah cerah, dan kereta sudah mula kelihatan. Ada beberapa manusia yang lalu-lalang namun semua tak hiraukannya.
Dia bangun dari pembaringan. Adibah sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh tidur di kaki lima itu. Tangannya memegang kepala yang masih terasa sakit.
Adibah melihat tangannya. Mujur darah sudah tiada pada tangannya. Dia tidak tahu dahinya luka dan darahnya sudah kering. Hanya melepas nafas kelegaan kerana darah tidak terlihat pada mata kasar.
Dia berjalan melalui kedai-kedai. Kepalanya terasa berpinar-pinar kerana suhu badan yang mulai naik mendadak akibat yang keluar semalam. Dia yang masih kecil langsung tidak memahami mengapa tubuhnya terasa begini.
Adibah memegang tekak yang mula terasa haus. Tapi dia tidak melihat sesiapa yang dikenali. Ke mana pergi umi dan abi? Ke mana perginya mommy dan daddy? Abang, abang di mana?
Adibah mula mengalirkan air mata namun tiada suara yang keluar. Air matanya terus mengalir membasahi pipinya yang sudah pun comot terkena itu ini. Adibah akhirnya berhenti di sebuah kedai makan.
Matanya hanya memandang makanan yang bersusun di atas meja. Perutnya sudah berbunyi memandang ayam goreng yang berada di balik gerai kaca. Adibah memegang perutnya. Laparnya..
“Adik”.
Adibah menoleh. Memandang lelaki yang menegurnya. Entah kenapa Adibah menjadi takut tiba-tiba. Dia terundur ke belakang sedikit.
“Adik, mak adik mana? Adik buat apa kat sini seorang-seorang?” lelaki itu menyoal. Kasihan pula dia melihat anak perempuan ini. Sudahlah kecil lagi, berada dalam keadaan yang tidak terurus pula.
Adibah menggeleng kepala. Dia tidak tahu semuanya. Dia bagaikan tidak memahami soalan lelaki itu.
“Adik” lelaki itu memaut bahu Adibah. Wajah Adibah dipegang dan dia mula terasa suhu badan Adibah yang panas. “Adik demam ni..”
Adibah menggeleng lagi. Kali ini dia mengundur dan terus melarikan diri. Entah mengapa dia terasa sangat takut. Dia terus berlari hingga akhirnya tiba di kawasan meletak kenderaan.
Adibah duduk di atas pembahagi jalan dan menangis lagi. Umi, umi.. Dia hanya memanggil di dalam hati. Sungguh dia sudah tidak mampu untuk berjaga. Abi.. Umi.. Adibah terus memanggil, namun hanya di dalam hati.
Dia sudah tidak mampu lagi untuk bersuara. Terbayang keadaan umi dan abi sebelum dia keluar dari kereta. Akhirnya dia berada di tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana.
‘Abi.. Umi.. Mommy… Daddy.. Dibah nak balik. Abang,, abang kat mana? Dibah nak balik…’
Tanpa sedar akhirnya Adibah terlelap di situ.

############

“Mommy..”
Tun Maryamul Azra memandang Adib yang memanggil. Ketika itu mereka sedang dalam perjalanan pulang ke villa. Baru saja membawa Adib menziarahi kubur Syamran, Afiqah juga bayi mereka. Malam tadi ketika majlis pengebumian, dia meminta Enon tidak mengejutkan Adib kerana tidak mahu tidur Adib terganggu. “Kenapa?”
“Abi dengan umi dah meninggal dunia kan?”
Tun Maryamul Azra menganggukkan kepalanya. Dia pasti anaknya yang sudah berumur lapan tahun memahami apa yang dimaksudkan dengan meninggal dunia.
“Baby sekali?” Adib menyoal lagi.
Tun Maryamul Azra mengangguk lagi. Adib memeluk mommynya. Dia tahu mommynya sedih, dia juga sedih. Jika abi dan umi sudah tiada, selepas ini siapa yang mahu membawa dia keluar berjalan? Siapa yang mahu memasakkan bihun goreng buatnya? Bihun goreng umi adalah bihun goreng tersedap di dunia.
“Adib menangis?” Tun Maryamul Azra menyoal.
Adib mengangguk. “Mommy.. Kalau umi dengan abi dah tak de, macam mana dengan Dibah?”
Tun Maryamul Azra terdiam. Mata memandang Tun Adib Nasir yang duduk di sebelah pemandu. Sungguh, mereka sama-sama tidak punya jawapan untuk soalan Adib.

############

Dahinya berkerut melihat sebuah kereta polis berada di luar perkarangan villanya. Mengapa pula ada polis yang bertandang ke rumahnya?
“Tun, ada tetamu” Cik Zah yang menunggu di pintu memberitahu.
Tun Adib Nasir menganggukkan kepalanya. “Kak Zah minta dia orang tunggu kat mana?”
“Ada kat ruang tamu”.
Tun Adib Nasir mengangguk lagi. Dia memandang Tun Maryamul Azra dan Adib yang berada di belakangnya. “Saya pergi jumpa tetamu dulu”.
Tun Maryamul Azra menganggukkan kepalanya. Dia juga sudah terlalu mengantuk kerana berkejar ke sana ke mari sejak semalam. Dia mahu berehat untuk beberapa ketika.
“Kak Zah minta Enon tengokkan Adib. Saya nak rehat” Tun Maryamul Azra memandang Cik Zah
Cik Zah menganggukkan kepalanya. Tangan mengambil Adib dari Tun Maryamul Azra dan membiarkan Tun Maryamul Azra melangkah masuk.
“Tuan muda lapar? Nak makan apa? Biar Cik Zah sediakan..”

#########

“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Tun” dua orang lelaki berpakaian seragam pegawai polis menghulurkan tangan memandang Tun Adib Nasir.
Tun Adib Nasir tersenyum dan menyambut huluran keduanya. Dia kenal salah seorang dari mereka, Inspektor Ghazali. Inspektor Ghazali merupakan kenalannya sewaktu dia belajar di luar negara dulu. Tapi mereka tidaklah rapat. Hanya kenalan biasa-biasa. Lagi seorang, dia memang tidak kenal.
“Tun, kenalkan pembantu saya, Fazri”.
“Apa khabar Tun?” Fazri menunduk memberi tanda hormat.
“Baik”. Tun Adib Nasir memandang dan mereka bertiga duduk kembali. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
Inspektor Ghazali mengangguk. “Macam ni Tun. Sekarang ni kes kemalangan Encik Syamran berada bawah tanggungjawab saya”.
“Ok, saya faham. Jadi…?”
Inspektor Ghazali melepas nafas. Dia memandang Fazri sekilas dan mula berkata-kata. “Setelah pihak kami membuat siasatan terhadap kereta yang Encik Syamran gunakan, kami dapati ada sesuatu yang tak kena dengan kereta tu”.
Tun Adib Nasir mengerutkan dahinya. “Maksud Inspektor, ada kemungkinan kemalangan ni bukan sebuah kemalangan?” Dia mula dapat menangkap maksud kedatangan kedua pegawai polis itu.
Inspektor Ghazali menganggukkan kepalanya. “Kami mengesyaki kemalangan yang dialami Encik Syamran dan Puan Afiqah adalah sebuah pembunuhan terancang”.
Tun Adib Nasir melepas nafasnya. Sebuah hal yang langsung tidak pernah tersangka dek akal fikirannya. Mata memandang kertas pembentangan yang mula dibentangkan Fazri.
Segala permasalahan yang berkaitan dengan kereta dan menimbulkan syak wasangka pihak polis menjadi topik perbincangan mereka tengah hari itu.

Demi Syaqiqah – P5

“Fika..” Syamran melangkah masuk ke bilik tidur. Memandang Afiqah yang duduk bersandar pada katil sambil membetulkan rambutnya yang panjang mengurai.
Afiqah memandang sang suami. “Ya?”
“Syam ingat nak bawa Fika dengan Dibah balik Muar jap”.
Afiqah mengerutkan dahi. Sudah beberapa tahun mereka tidak pulang ke kampung Syamran di Muar,Johor. Mengapa tiba-tiba? “Ada apa-apa ke?”
Syamran mengambil tempat di sisi isterinya. Dia memaut jari-jemari Afiqah dan berkata, “Syam rasa kita macam dah lama sangat tak balik Muar tu. Rumah arwah walid tu nak kena tengok-tengok juga. Syam pun nak kena jumpa mak long, pak long, mak andak,pak su,maksu… Keluarga belah arwah walid. Lama sangat dah tak balik kampung ni..”
Afiqah menganggukkan kepalanya. “Fika ikut je. Nak pergi bila?”
Syamran menguntum senyum sambil tangan kanannya mengusap pipi Afiqah penuh kasih. “Terima kasih sayang.. Tulah, Syam nak kena bincang dengan Nasir dulu. Kalau tak de apa-apa dalam masa terdekat ni lah”.
Afiqah menganggukkan kepalanya. “Terpulang Syamlah. Fika dengan Dibah ok je mana-mana pun..”

########

Dahinya berkerut melihat penyata kewangan yang diserahkan setiausahanya berkenaan peruntukan kewangan untuk projek di Langkawi. Mengapa peruntukan terakhir ini jumlahnya RM 0,000,000.00 ?
Tangannya mencapai telefon pejabat dan segera mendail nombor cawangan di Langkawi. “Hello”.
“Ya Encik Jalal?”
“Boleh emelkan pada saya perbelanjaan projek untuk kali terakhir? Saya nak tahu berapa jumlah peruntukan terakhir yang dikeluarkan”.
“Maaf Encik Jalal. Tun dah keluarkan nama Encik Jalal dari senarai pemegang saham jadi sebarang..”
“Apa awak cakap?” Jalal memotong kata-kata pembicara.
“Tun dah keluarkan nama Encik Jalal dari senarai pemegang saham..”
“Keluarkan nama saya dari senarai?”
“Ya Encik Jalal. Tun dah keluarkan nama Encik Jalal dari senarai pemegang saham jadi sebarang maklumat tidak boleh diberitahu pada Encik Jalal”.
Jalal terdiam. Sampai begini sekali Tun Adib Nasir melancarkan perang terhadapnya? “Boleh saya tahu nama saya digantikan oleh siapa?”
“Maaf Encik Jalal tapi saya diarahkan untuk rahsiakan semuanya dari pengetahuan Encik Jalal”.
“Tak pe, saya faham. Terima kasih”. Jalal menekan butang merah pada skrin sentuh telefon pintarnya. Telefon pintarnya dipandang lama da ia akhirnya dicampak hingga terkena pada dinding. Jatuh melurut dan pecah berderai.
Penumbuk digenggam erat dan dilepaskan di atas meja. Dokumen-dokumen yang bersusun di atas meja habis bertaburan di lantai akibat amukan lelaki itu. “Kurang ajar punya Nasir! Macam ni kau layan aku?!”
Telefon pintarnya di atas meja diambil dan dia segera mendail nombor lelaki itu. Lelaki itu, pembantunya yang selalu melakukan kerja-kerja sebegini untuknya, Pisau.
“Bos”.
“Pisau, aku nak kau ambil tindakan sekarang. Pastikan nyawa dia putus, hancur lumat. Aku nak bagi satu Malaysia tahu yang Tun Adib Nasir dah mati”.

#########

Dua buah bagasi diletakkan di dalam bonet kereta. Dia menguntum senyum memandang Tun Adib Nasir yang membantunya memasukkan barang.
“Susah-susah je kau bagi aku guna kereta ni. Aku boleh naik bas” Syamran memandang.
“Banyaklah kau punya bas. Guna kereta ni lagi bagus. Aku kesian dengan Fika tu, dah besar perut dia. Kau ingat kalau naik bas selesa ke?” Tun Adib Nasir mula membebel pendek.
Syamran ketawa. “Baiklah bos”.
Mereka ketawa bersama melangkah menuju ke Tun Maryamul Azra dan Afiqah yang sedang berbual.
“Fika” Syamran memanggil.
Afiqah mengangguk dengan senyuman. Dia memeluk Tun Maryamul Azra buat seketika. Tun Adib Nasir ketawa kecil melihat keadaan isterinya. “Fika tu pergi seminggu je Yam..”
Tun Maryamul Azra ikut menguntum senyum. “Ye.. Tengoklah perut Fika ni, dah macam nak bersalin esok lusa. Kalau terbersalin kat Muar nanti, bagitahulah..”
Afiqah ketawa kecil. “Yelah..”
Tun Maryamul Azra melilaukan matanya mencari kelibat Adib dan Adibah. Ke mana pula budak berdua ini? “Adib Dibah mana?”
Dan semua mula mencari. Akhirnya mereka berempat tersenyum melihat Adib dan Adibah yang berada di balik kereta.
“Dibah janji pergi sekejap je tau..”
Adibah menganggukkan kepalanya. “Umi kata pergi seminggu je”.
“Dibah jangan tinggalkan abang lama-lama”.
“Dibah tak tinggalkan abanglah. Dibah cuma pergi balik rumah nyai sekejap je…”
Adib memeluk Adibah. Beratnya rasa hati mahu melepaskan Adibah pergi. Dia tidak tahu kenapa, tapi dia dapat merasakan ini pertemuan terakhir mereka.
“Abang nangis lagi?” Adibah yang berada di dalam pelukan Adib menyoal. Dia tidak faham mengapa sejak akhir-akhir ini Adib kerap mengalirkan air mata?
Adib melepaskan pelukannya. Dia mengesat wajah, menghilangkan air mata yang tersisa. “Dibah kenalah balik cepat-cepat kalau tak nak abang nangis..”
“Ye, abang!” Adibah ketawa.
Adib mencebik bibir. Dia susah hati mahu melepaskan Adibah boleh pula Adibah ketawa senang hati. Nampak sangat seronok mahu meninggalkannya.
“Abang marah ke?” Adibah hairan melihat wajah masam Adib.
“Dah, Adib Dibah.. Lamanya sembang mengalahkan orang tua” Tun Maryamul Azra muncul entah dari mana dan memisahkan mereka, mematikan segala niat Adib untuk berbicara.
“Mommy…” Adib merengek memanggil mommynya.
“Nak apa?”
“Boleh Adib ikut Dibah?”
Tun Maryamul Azra ketawa dalam gelengan kepalanya. “Adib.. Dibah tu pergi seminggu je. Tak lama pun..”
Adib memuncungkan bibir. Adibah memeluk Tun Maryamul Azra, setuju dengan kata-katanya. “Tapi mommy..”
“Dah jangan banyak songeh. Kenapa mengada tiba-tiba ni..?”
Adib melepas nafas. Dia mengikuti mommynya melangkah pada daddy. Melihat abi dan umi masuk ke dalam kereta. Adibah duduk di belakang sambil melambai tangan padanya.
Kereta berjalan keluar meninggalkan villa besar itu. Dan air mata Adib tiba-tiba jatuh. Mengapa dia berperasaan seperti ini? Dia benar-benar merasakan ini pertemuan terakhirnya dengan Adibah.

###########

Pisau. Dia menguntum senyum melihat kereta mewah Tun Adib Nasir meninggalkan villa itu. Dia begitu pasti di dalam kenderaan itu adalah Tun Adib Nasir sekeluarga.
Kerjanya mudah. Hanya perlu me’nipis’kan wayar brek. Di awal perjalanan segalanya tampak biasa, namun bila wayar brek benar-benar terputus.. Dia ketawa senang hati.
Telefon pintarnya mendail nombor bosnya. “Hello bos, semuanya dah beres. Saya jamin akan masuk berita pukul 8.00 malam”.

###########

“Dibah..”
“Dibah…”
Dahi Syamran berkerut bila panggilannya tidak disahut anak perempuannya itu. Afiqah menoleh ke belakang untuk melihat apa sebenarnya yang sedang dilakukan Adibah. “Tidur dah..”
“Tidur? Dibah, kita dah nak sampai ni…” Syamran meninggikan suaranya.
“Biar je la dia tidur. Nanti dah sampai, bangunlah tu..” Afiqah menguntum senyum.
Syamran ketawa mengalah. “Yelah sayang..”
Afiqah mengurut bahu suaminya yang sudah mula mengantuk. Syamran tersenyum memandang Afiqah yang mengusap kandungan yang sudah mula membesar. “Macam dah tak lama baby nak keluar..”
Afiqah ketawa. Begitu juga Syamran. Kereta yang sudah mula hampir dengan lampu isyarat membuatkan kaki Syamran menekan brek kaki.
Afiqah hanya berdiam diri sambil melihat hadapan. Syamran mula panik bila brek yang ditekan kakinya tidak memberi kesan. “Fika..”
“Kenapa Syam tak berhenti? Lampu merah tu..” Afiqah memandang, kereta makin hampir dengan lampu isyarat.
“Brek tak makan” Syamran bersuara serius.
Afiqah mengerut dahi. Kaki Syamran masih cuba menekan brek. Namun tidak memberi kesan pada kereta. “Syam..” Afiqah mula bersuara panik.
Syamran cuba menenangkan diri. Mata sudah menangkap sebuah lori yang melepasi dari arah selatan. Kereta yang laju berjalan membuatkan Syamran bertambah panik. Dan sebaik kereta melepasi lampu isyarat…
Lori mengelak dari terkena kereta, membuatkan lori melanggar pembahagi jalan. Pemandu yang hilang kawalan tidak dapat mengawal stereng menyebabkan lori terbalik serta merta.
Mujur jalan kosong ketika itu. Jadi tiada kenderaan lain. Kereta yang dipandu Syamran juga hilang kawalan ketika cuba mengelak dari lori membuatkan kereta terbabas masuk ke dalam hutan yang berada di sepanjang jalan.
Kereta akhirnya melanggar sebuah pokok dan remuk di bahagian hadapan. Kepala Syamran terhantuk mengenai stereng dan kepalanya berdarah. Tangannya menyedarkan Afiqah yang sudah tidak sedarkan diri. “Sayang bangun…”
Syamran memandang perut Afiqah yang sudah terperosok ke dalam. Hanya sekali lihat Syamran sudah tahu kandungannya tidak dapat diselamatkan. “Fika..”
Tangan cuba mencapai Adibah yang berada di tempat meletak kaki. Namun pergerakannya terbatas disebabkan terhimpit membuatkan tangannya tidak mengenai anak perempuannya itu.
Syamran cuba bertahan. Namun keadaannya membuatkan dia tidak dapat bertahan lama. Dan akhirnya dia tidak sedarkan sedang tangan kirinya memegang tangan Afiqah.

##########

Tun Maryamul Azra mengambil pisau di dalam almari untuk memotong buah-buahan yang tersedia di atas meja.
“Tun, biar saya buat” Anum muncul dari pintu dan mendekati Tun Maryamul Azra.
“Tak pe lah. Biar saya buat. Ada tak Fika call?”
Anum menggeleng. “Tak de Tun”.
“Sepatutnya dah sampai ni. Kenapa belum call lagi?”
Anum hanya mendiamkan diri. Mata memerhati gerak-geri Tun Maryamul Azra.
“Ouchh..” Tun Maryamul Azra mencampakkan pisau ke tepi.
“Tun” Anum berlari ke sinki mengambil kain melihat darah yang mengalir dari jari Tun Maryamul Azra.
Tun Maryamul Azra hanya melihat apa yang Anum lakukan. Dia sendiri tiba-tiba tertanya bagaimana pisau itu boleh terkena jarinya? Hati menjadi tidak ‘enak’ secara tiba-tiba.

##########

Matanya terbuka perlahan. Badannya terasa tidak selesa dengan kedudukannya. Dia bangun mengambil tempat di tempat yang sepatutnya.
Mata terbuka luas bila melihat abi dan umi di hadapan. “Umi.. Bangun.. Umi” Adibah mula mengalirkan air mata.
Mata memandang abi di sisi umi. “Abi.. Bangunlah..abi..”
Adibah memandang sekeliling. Dia tidak tahu dia berada di mana. Tangannya mengejutkan Afiqah tapi uminya itu tetap juga tidak sedar. Dia menjerit dengan tangisan memanggil abi tapi abi tidak menyahut.
Adibah mula takut melihat darah yang ber’sepah’ di dalam kereta. Wajah abi umi keduanya berdarah. Tangan abi juga berdarah. Tangan umi juga berdarah.
Adibah masih lagi menangis. Kepala terasa sakit dan matanya mula berpinar. Tapi Adibah tidak mahu pengsan. Matanya gagah dibuka dan mula terasa sesuatu mengalir keluar melalui dahinya. Adibah mencalit cairan di dahi dan melihatnya.
Darah… Adibah mula meronta. Dia tidak suka darah. Dia tahu dia akan demam panas bila ada darah yang mengalir keluar. Adibah akhirnya membuka pintu kereta dan keluar dari kereta.

###########

Bunyi telefon rumah yang berbunyi membuatkan suasana makan malam terganggu. Tun Maryamul Azra memandang Cik Zah yang bergegas mengangkat telefon. Siapa agaknya yang menghubungi?
“Ada tak Fika call?”
Tun Maryamul Azra menggeleng. “Belum sampai kut. Tak call-call pun..”
Tun Adib Nasir mengangguk. Barangkali tekaan isterinya benar. Mungkin Syamran dan Afiqah masih belum tiba di Muar. Tapi, takkanlah bertolak dari pagi hingga sekarang masih juga belum tiba?
“Tun..” Cik Zah yang sudah selesai menjawab panggilan memanggil.
“Kenapa?” Tun Adib Nasir memandang. Riak wajah Cik Zah menandakan ada sesuatu berlaku.
Tun Maryamul Azra turut memandang. Apa yang mahu diberitahu Cik Zah? Adib yang berada di meja makan turut memandang. Menanti kata-kata pembantu rumah mereka itu.
“Hospital Muar telefon. Encik Syam dengan Puan Fika kemalangan”.
“Ya Allah!” Tun Maryamul Azra rebah di lantai saat itu juga.
“Tun” Anum berlari mendapatkan Tun Maryamul Azra. Memaut tubuh wanita yang sudah tidak sedarkan diri itu.
Tun Adib Nasir memandang Cik Zah. “Macam mana keadaan dia orang sekarang?”
“Masih belum tahu, Tun”.
Tun Adib Nasir mengangguk. Dia mengambil telefon pintarnya dan menghubungi setiausahanya. Dia harus ke Muar sekarang juga.

Demi Syaqiqah – P4

“Fika”.
Afiqah yang masih bertelekung menoleh memandang Tun Maryamul Azra yang melangkah laju ke arahnya. “Kenapa ni?”
“Aku nak minta Enon lapkan badan Dibah” Afiqah memberitahu.
“Demam dah?”
Anggukan diberikan buat sahabatnya itu. Namun tak lama dahinya berkerut. ‘Demam dah?’ Ertinya, temannya itu tahu apa yang berlaku. Apa yang menimpa Adibah sehingga suhu badannya naik begitu. “Kau..”
“Adib bawa Dibah keluar”.
“Adib? Bawa Dibah keluar?”
Tun Maryamul Azra melepas nafas sambil mengangguk. “Dia tahu kita tak bagi dia keluar berdua. Dia keluar senyap-senyap. Nasib baik Bob jumpa”.
“Bob?”
“Anak Pak Cik Zaki”.
“Oh..” Afiqah mula dapat membayangkan Bob yang dimaksudkan temannya.
“Tapi kakinya dah luka dulu. Seluar putih yang dia pakai tadi Enon dah rendam”.
Afiqah melepas nafas. “Adib.. Adib..”
Tun Maryamul Azra menguntum senyum nipis. Iya, satu kelemahan Adibah. Mahu dikata penyakit juga bukan, kelebihan juga bukan, kelemahan juga mungkin tidak tepat. Yang pasti ia membuatkan sesiapa yang melihat Adibah terluka akan sedikit susah hati.
Jika ada walau sedikit darah yang mengalir keluar dari tubuhnya, suhu badannya akan meningkat. Dia akan mengalami demam panas untuk tiga hingga empat hari biasanya.
Sudah habis daya mereka menanya pada pihak hospital juga semua pakar perubatan yang berteraburan di Malaysia, namun tiada jawapan pasti yang ditemui. Setiap kali imbasan pemeriksaan kesihatan dilakukan hasilnya sama. Adibah sihat wal afiat tanpa sebarang cacat cela.
Awalnya Syamran dan Afiqah memang susah hati yang teramat. Apakah anak gadis mereka yang satu-satunya terkena ubat guna-guna atau sebagainya? Tapi lama kelamaan mereka sudah mula biasa dengan tindak balas tubuh Adibah.
“Aku dah marah Adib tadi. Kalau Bob tak jumpa, agaknya Dibah tu dah pitam dulu..”
Afiqah tersenyum. Dia sekadar memberi anggukan kepala. Tun Maryamul Azra memanggil Enon yang tidak tahu di mana keberadaannya.
“Enon! Enon!”
“Ya Tun” terkocoh-kocoh Enon datang bila namanya dipanggil.
“Tolong tengokkan Dibah tu. Dah mula meracau dah.. Awak tolong lapkan badan dia supaya panasnya reda”.
Enon menganggukkan kepalanya, menuruti permintaan Tun Maryamul Azra. Dia berlalu ke dapur bagi menyediakan air untuk mengelap badan Adibah.
Tun Maryamul Azra memandang Afiqah. “Kau dah ok ke? Tak de pening-pening dah..?”
Afiqah menguntum senyum. “Dah kurang sikit. Adib punya jasa, aku risau sangat masa Dibah meracau tadi. Aku tak tahu pun yang dia ada luka kat kaki tu mula-mula. Tapi bila dah tahu kenapa dia demam, tak de lah susah hati sangat..”
Tun Maryamul Azra mengangguk memahami. Afiqah memandang. “Aku naik dululah. Tak boleh tinggal Dibah lama-lama”.
Anggukan diberikan. Dan Tun Maryamul Azra menghantar Afiqah dengan pandangan mata. Masih ingat lagi sewaktu awal-awal mereka mahu biasa dengan perubahan drastik Adibah bila mengalami luka, sekalipun luka kecil.
Satu villa kelam-kabut memikirkan mengapa Adibah jadi begitu? Sedangkan sewaktu bayinya, dia belum menunjukkan sebarang tanda. Semuanya bermula ketika Adibah berusia setahun. Sejak itu, mereka sangat berhati-hati agar Adibah tidak mengalami luka dengan mudahnya.
Memang dia hanya akan demam panas tapi kata doktor yang merupakan doktor peribadi keluarga ini, Dr.Omar jika terlalu kerap mengalami demam panas begitu, badannya akan mengalami kekejangan untuk satu tempoh dan ia mungkin akan membuatkan perjalanan saraf otak Adibah terganggu.

#########

Briefcase bersama kot dihempas di atas meja. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan Tun Adib Nasir hari ini. Beraninya dia merendahkan martabat Jalal dengan mengatakan darjat Syamran lebih tinggi darinya?
“Papa…”
Mata Jalal terbuka bila terasa kakinya dipaut anak kecil itu. Dia menguntum senyum memandang anak perempuan tunggalnya, Amelia atau lebih mesra dipanggil Amy. “Sayang..”
“Papa baru balik dari pejabat?” becok Amy menyoal.
“Ye, sayang. Mama mana?”
“Mama tengah tidur. Papa penat?”
“Taklah.. Papa tak penat. Papakan cari duit untuk Amy, untuk mama. Mana boleh penat,kan?”
Amy ketawa menampakkan barisan giginya. “Sayang papa..” sebuah ciuman singgah di pipi Jalal.
Jalal mengusap Amy penuh kasih. Inilah anak perempuannya, ratu hatinya juga cinta hatinya. Dialah yang paling disayangi Jalal di dunia ini. Anak perempuan hasil perkahwinannya dengan wanita yang dicintai, Amnah.
Dia bertungkus lumus melakukan segalanya demi kesenangan mereka berdua. Dia pulun mencari segala kemewahan juga buat mereka berdua. Dan dia tidak sesekali akan membiarkan sesiapa pun menjadi penghalang.
Amy yang sedang bermain dengan tali lehernya dicium penuh kasih. Dia akan pastikan Amy mendapat segalanya. Segalanya yang terbaik di dalam terbaik.
Tangan mencapai telefon pintar di dalam poket kotnya. Dia menguntum senyum sendiri memandang nombor telefon yang tertera di skrin. Dia sudah tahu siapa yang boleh diarah untuk melakukan kerja ini. Cepat, cekap juga senyap.

##########

Syamran menjeling Tun Adib Nasir yang sedari tadi berdiam diri di sebelahnya. “Nasir”.
“Ya?”
“Kau ok tak ni?”
Tun Adib Nasir melepaskan sebuah keluhan. “Aku tak percaya Jalal sanggup buat macam ni”.
“Tapi aku percaya” Syamran melepaskan nafas dalam pemanduannya.
“Maksud kau?” Tun Adib Nasir menyoal, kurang memahami maksud kata-kata Syamran.
“Dah berapa kali dia gelapkan duit syarikat Nasir. Bukan sikit, berjuta-juta. Kau pun tahu, tapi kau bagi peluang sebab dia merayu dan ungkit kisah persahabatan ayah dia dengan Pak Cik Uthman. Kita pun tahu memang ayah dia berjasa besar dalam Legasi Adib. Tapi Nasir, kau maafkan dia berapa kali pun aku tak rasa dia boleh berubah. Kita ni macam simpan gunting dalam lipatan kain tau”.
Tun Adib Nasir mengeluh lagi. Apakah semuanya kerana salahnya yang sentiasa bersedia untuk memaafkan lelaki itu? Dia sedar ayah Jalal sangat berjasa dalam syarikatnya. Dia memaafkan Jalal juga atas hal itu. Juga setiap kali Jalal membuat hal, Jalal sudah berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Kerana itulah pintu kemaafan sentiasa terbuka buat lelaki itu. “Kau rasa salah aku ke Syam?”
“Aku tak kata salah siapa-siapa. Tapi aku nak kau ambil tindakan tegas. Kau ni lembut hati sangat, memang dari dulu. Kau tahu?”
“Aku tak fikir dia serius nak ambil alih kuasa dalam Legasi Adib tu”.
“Nasir, Nasir. Ni lah sebabnya Pak Cik Uthman tak bagi aku tinggalkan kau. Sebab kau ni senang sangat nak kena tipu. Bila jadi macam ni, kau mengadu. Esok lusa bila Jalal tu merayu minta maaf kau yang senang-senang nak maafkan dia” Syamran melepaskan rasa tidak senang hatinya.
Tun Adib Nasir mengeluh lagi. Iya, dia akui mungkin ini salahnya. Tapi dia bukannya sengaja. Pandangannya menghala pada Syamran yang masih lagi memandu. Untungnya dia memiliki teman seperti Syamran. Dia tidak tahu bagaimana agaknya hidup ini jika tiada Syamran.
“Syam”.
“Apa?”
“Terima kasih banyak..”
Syamran mengerutkan dahinya. Tun Adib Nasir dipandang. “Demam?”
Tun Adib Nasir mengalih pandangannya. “Tulah kau. Kalau aku buat scene drama sikit cakap aku demam. Cakap aku sakit, cakap aku tak betul”.
Syamran ketawa mendengar kata-kata Tun Adib Nasir. Nasir, Nasir. Sudah tua bangka pun perangai masih seperit kanak-kanak Ribena. Sudah memiliki anak pun masih begini sikapnya. “Yelah. Sama-sama. Dah.. Kita dah sampai ni. Kau tak yah buat muka serabut tu, kau sendiri yang cakap tak nak buat Yam dengan Fika susah hati dengan masalah Legasi Adib”.

###########

Dia yang baru pulang dari sekolah turun dari kereta. Langkah kaki menuju pada Afiqah yang leka menikmati pemandangan taman mini yang menghiasi villa itu.
“Umi…” Adib memanggil.
Afiqah menoleh. Dia menguntum senyum memandang Adib yang masih lagi berbaju sekolah sambil menggalas beg sekolahnya. “Ya sayang..”
“Adib minta maaf?”
Afiqah ketawa kecil. “Meh sini..” dia memanggil anak kecil itu.
Adib mendekati uminya. Mengambil tempat di sisi umi yang tiada sesiapa. Afiqah mengusap kepala Adib lembut. “Umi tahu Adib tak sengaja kan?”
Adib mengangguk. “Tapi Adib yang buat Dibah demam”.
“Adib pun tahu yang Dibah selalu demam. Adib kenalah jaga Dibah elok-elok bagi dia tak demam. Adib nak dapat adik lagi sorang ni” Afiqah berhenti seketika dan memegang kandungannya. Dan dia menyambung semula, “Adib janji dengan umi, lepas ni jaga Dibah elok-elok. Boleh?”
Adib menguntum senyum. “Adib janji Adib akan jaga Dibah sampai Dibah besar macam umi”.
Afiqah ketawa lagi dengan gelengan kepalanya. “Kalau macam tu, bila Dibah besar macam umi, Adib tak nak jaga dah?”
“Nak! Adib nak jaga Dibah sampai bila-bila!!” laju Adib menjawab.
Afiqah senyum. Anak kecil ini.. Moga benarlah apa yang dikatakan Adib. Semoga semuanya diizinkan Tuhan. Janganlah ditarik ketenangan hidup mereka ketika ini. Tuhan…

#########

Pintu bilik dibuka. Dia melangkah masuk ke dalam bilik berwarna hijau muda itu. Langkah kaki menuju pada katil yang menempatkan Adibah kesayangannya.
Adib menanggalkan beg sekolahnya di atas meja. Dan mendekati Adibah yang masih lena tidur. Dia memandang Adibah lama. Tangannya merasa pipi Adibah yang panas. Kepalanya ditutupi cool fever membuatkan Adib tidak dapat menyentuh dahinya.
Mata Adibah terbuka perlahan. Dia tersedar bila merasa ada tangan yang menyentuh pipinya. “Abang..” Adibah bersuara lemah.
Adib menguntum senyum. “Dibah ok?”
“Ok. Kenapa abang nangis..?” Adibah menyoal bila melihat mata Adib yang berkaca.
Adib menggeleng. Dia tidak suka melihat Adibah lemah begini. Lebih-lebih lagilah keadaan Adibah sekarang ini disebabkan dia. “Abang minta maaf..”
“Kenapa abang minta maaf?”
Adib terus teresak-esak bila mendengar soalan Adibah. Dirinya sendiri tidak dapat menerangkan rasa bersalah yang ditanggung. Bagaimana dia harus menerangkan pada Adibah yang baru hendak belajar mengenal dunia itu?
“Abang takut Dibah tak ok ke? Kan Dibah cakap Dibah ok?” Adibah memandang Adib yang masih lagi belum berhenti menangis.
“Abang sayang Dibah tau..”
Adibah senyum. Dia tidak tahu mengapa Adib menangis. Tapi dia suka mendengar Adib menyebut sayang padanya. Dia mengangguk. “Dibah pun sayang abang..”
“Abang janji takkan tinggalkan Dibah” Adib menghulurkan jari kelingking bagi memberi janji.
“Dibah pun takkan tinggalkan abang” Adibah membalas huluran Adib. Memberi janji serupa.
“Abang janji lepas ni abang akan jaga Dibah baik-baik sangat”.
Adibah mengangguk dengan senyuman. Adib juga ikut tersenyum. Sama-sama saling memandang dengan senyuman.

#########

“Aku nak kau ikut orang ni. Awasi 24 jam tanpa henti. Kau boleh ajak sesiapa yang kau nak. Yang penting, boleh dipercayai dan tak banyak soal”.
Lelaki itu mengambil gambar yang dihulur Jalal padanya. Dia melihat gambar itu lama. Oh, lelaki ini. Terkenal satu Malaysia. Semuanya gara-gara gelaran ‘Tun’ yang diberi padanya walhal umurnya masih belum mencecah 40-an. “Baik bos”.
“Bagus”.
“Ada apa-apa lagi yang bos nak suruh?”
“Kau buat dulu. Jangan ambil apa-apa tindakan”.
“Baik”.
“Nanti bila aku bagi arahan untuk ambil tindakan, jangan lengahkan”.
“Baik bos”.
Jalal menguntum senyum ‘jahat’nya. Segalanya akan berjalan mengikut rancangan rapinya. Bila Tun Adib Nasir mengambil tindakan melancarkan perang terhadapnya, nyawa lelaki itu akan dia ambil.
Jalal ketawa senang hati. Terasa bagai raja yang mengawal kehidupan hamba. Kini hidup Tun Adib Nasir di bawah kekuasaannya.

Demi Syaqiqah – P3

Dia ketawa gembira melihat keadaan Adib yang sudah comot dipenuhi pasir. “Padan muka!”
Adib ketawa melihat Adibah ketawa. Tangannya lantas mengambil pasir yang berada di dalam perkarangan kolam ikan dan melumurnya ke wajah Adibah.
Adibah menjerit. Dia tidak suka bila pasir itu dilumur pada wajah. Terasa berpasir seluruh muka. Tangan lantas membersihkan pasir di seluruh muka dan memandang Adib. Dia ketawa mengekek bila tangannya mencapai paip air. Mahu menyembur pada Adib.
Namun Adib laju menangkap helah Adibah. Dia berlari ke arah kepala paip air dan membukanya. Membuatkan Adibah yang tidak menyedari perkara itu basah terkena air.
Adibah mencampak paip air dan Adib menutup kepala paip kembali. Apakah Adibah merajuk? Adib mula susah hati. “Dibah..”
Ternyata Adib salah menyangka. Adibah menolak Adib hingga budak lelaki itu terjatuh dan dia ketawa lagi. “Padan muka! Padan muka!”
Adib gelak besar. Nampaknya hari ini mood Adibah sangat baik. Apakah kerana dia bakal menjadi seorang kakak? Selalunya jika dia bergurau kasar sebegini, pasti harus memikirkan seribu satu cara untuk memujuk Adibah. Tapi hari ini…
“Kenapa?” Adibah melangkah pada Adib bila melihat ‘abang’nya itu diam sahaja.
“Dibah nak keluar?”
Adibah mengerut dahi. Maksud Adib.. “Keluar?”
“Jom kita keluar”.
“Umi dengan mommy tak bagi. Nanti kita kena marah..” Adibah memandang Adib serius.
“Jomlah.. Kita pergi tengok taman kat luar tu. Abang dah lama teringin nak tengok..”
“Kita ajak Kak Enon?”
“Tak nak”.
“Kita ajak Kak Anum?”
“Tak nak. Kita pergi dua orang je. Abang dengan Dibah..” Adib bersungguh mahu keluar berdua.
Adibah menggeleng kepala. Dia tidak suka melanggar kata-kata umi dan mommy. Tidak mahu dimarahi teruk nanti. Tapi Adib berbeza. Lagi dilarang lagi dibuat. Lagi dimarah lagi dia mahu mencari fasal.
“Jomlah..” Adib memujuk.
Adibah berlari meninggalkan Adib. Tidak mahu menyertai Adib dengan rancangan jahatnya. Namun Adib tiba-tiba menangis. “Dibah tak sayang abang! Dibah tak sayang abang…”
Adibah berpatah balik. Dia memeluk Adib yang masih lagi menunduk sambil menangis. “Dibah sayanglah… Oklah, Dibah ikut.. Shhh…”
Adib senyum jahat di dalam pelukan Adibah. Tahu sangat taktiknya itu pasti menjadi untuk memujuk Adibah. Lantas dia memandang Adibah dengan air mata yang masih bersisa. “Betul nak ikut!?”
Adibah mengangguk dan Adib menguntum senyum. Tangan Adibah ditarik. “Jom”.

###########

Afiqah melangkah keluar lemah dari bilik air. Tangan berpaut pada tiang katil sambil melangkah ke katinya. Walaupun kandungannya sudah berusia lima bulan namun mabuknya masih sama.
Dia melepas nafas. Dulu sewaktu mengandungkan Adibah tidak pula dia mabuk sebegini rupa, mengapa agaknya? Sewaktu mengandungkan Adibah dahulu, mabuknya hanya dua bulan pertama. Juga tubuhnya tidak selemah ini. Selepas tiga bulan pertama, dia boleh melakukan kerja-kerja seperti biasa.
“Makan..” Tun Maryamul Azra melangkah masuk bersama Anum di belakangnya.
Afiqah memandang. “Apa tu?”
“Bubur ayam. Kau ok tak? Aku tengok kau makan semua keluar balik. Jadi aku minta Kak Zah buatkan bubur ayam. Larat tak?” Tun Maryamul Azra mengambil tempat di sisi Afiqah.
Afiqah menguntum senyum. “Buat susah kau je..”
“Tak de maknanya. Anum, sini dulang tu..”
Anum melangkah mendekati Tun Maryamul Azra. Dia menghulurkan dulang yang terisi semangkuk bubur ayam bersama segelas air putih.
“Awak boleh sambung kerja. Terima kasih Anum. Tengokkan Adib dengan Dibah sekali..”
“Baik Tun” Anum menguntum senyum dan berlalu pergi. Tun Maryamul Azra mengacau bubur ayam yang masih berasap. “Makan sikit ea..”
Afiqah hanya memandang lemah. Dia senyum nipis melihat keprihatinan Tun Maryamul Azra padanya.

##########

Keduanya berjalan perlahan dan senyap keluar dari pagar. Adib yang lebih dewasa juga lebih ‘akal’nya membuka pintu pagar dengan sangat berhati-hati agar tiada bunyi. Jenuh juga mahu menyorok dari pak pengawal yang mengawasi villa itu 24 jam.
Adib menarik tangan Adibah yang agak lambat darinya. “Jom”.
Adibah menguntum senyum. Tiba-tiba terasa seronok pula mahu melakukan sesuatu yang jarangnya dia lakukan. “Ok”.
Keduanya berjalan hingga tiba ke jalan raya perumahan. Tiada kereta ketika itu. Sesuai dengan waktu yang menunjukkan pukul 10.30 pagi. Tambah pula hari ini adalah hari minggu. Pastilah tiada yang tinggal di rumah kerana semuanya keluar bercuti.
Adib dan Adibah bagai tergamam melihat suasana di luar. Iyalah, selama ini mana pernah dibiarkan bermain sendirian di luar. Jadi bila dapat bermain tanpa pengawasan orang dewasa, berbagai perkara yang boleh dilakukan.
“Abang, nak main tu!” Adibah menunjuk ke arah buaian yang berada di taman.
“Jom” Adib penuh yakin menarik tangan Adibah dan mereka berlari anak menuju ke taman permainan. Dia sangat yakin walaupun dia masih kecil, dia mampu menjaga Adibah kerana dia seorang lelaki.
Adibah senyum sendiri. ‘Seronoknya dapat main buaian!’ Dia bermonolog sendirian.
Langkah keduanya terhenti. Keduanya terkejut melihat beberapa ekor anjing liar yang berkeliaran di sekeliling taman permainan itu. Adib memandang Adibah dan Adibah menggeleng. Dia memang tidak sukakan anjing.
Adib mengajak Adibah berlari namun Adibah mula menangis sebaik salah seekor anjing itu melihatnya. Adib menarik tangan Adibah dan terus berlari. Namun tangisan Adibah telah memanggil anjing-anjing itu agar ‘mengejar’ mereka.
“Dibah cepat!” Adib bersuara kuat.
Anjing-anjing liar itu sudah semakin hampir namun Adibah tidak mampu berlari lagi. Jarak yang tadinya dirasakan sangat dekat kini menjadi sangat jauh.
“Dibah!”
Adibah akhirnya jatuh tersungkur dengan tangisannya. Lututnya tepat mengenai jalan raya yang berbatu. Adib melihat anjing-anjing liar itu sudah berhenti mengejar tapi makin mendekat. Apa yang harus dia lakukan?
Adibah terus-terusan menangis. Membuatkan Adib bingung mahu bertindak. Mahu memujuk, mahu berlari meninggalkan Adibah atau mahu pulang memanggil pak pengawal?
Dia akhirnya memeluk Adibah erat. Memujuk Adibah agar berhenti menangis. Kepalanya ditundukkan tidak mahu melihat anjing-anjing yang semakin mendekat.
“Shuuh.. Shuuh..!” Kedengaran bunyi seseorang menghalau anjing-anjing liar itu.
Adib mengangkat wajahnya dan melihat. Seorang lelaki dewasa bertubuh gempal memandangnya. Dahi lelaki dewasa itu berkerut memandang Adib. “Ya Allah! Kamu berdua ni dari rumah Tun kan? Macam mana boleh ada kat luar ni?”
Adib memandang. Tidak berani menjawab mahupun mengatakan apa-apa. Dia tahu dia telah melakukan kesalahan besar.
Lelaki gempal itu menanggalkan pelukan Adib dan melihat Adibah. Air mata Adibah diseka lembut. “Shh..” dia memujuk.
“Darah..” Adibah mula panik melihat darah yang mengenai seluar panjang berwarna putih di lututnya.
“Ya Allah..” lelaki gempal itu menggeleng-geleng. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lantas dia mendukung Adibah dan menarik tangan Adib. Mereka harus dihantar pulang ke rumah.

###########

“Kenapa ni?” Tun Maryamul Azra menyoal Anum dan Enon yang keduanya kelihatan kelam kabut di dapur.
“Tun..” keduanya mengucap serentak.
Tun Maryamul Azra meletakkan pinggan kotor ke dalam sinki. Afiqah telah pun diberi ubat agar dia dapat tidur, melelapkan mata juga merehatkan diri.
“Kenapa?”
“Aaa…” Anum tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Enon lebih lagilah berdiam. Bagaimana mahu memberitahu Tun Maryamul Azra bahawa Adib dan Adibah tidak dapat ditemui?
“Kenapa?” Tun Maryamul Azra meninggikan suara. Dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jika tidak masakan kedua pembantu rumahnya kelihatan serba tidak kena.
“Adib dengan Dibah hilang..” Anum bersuara perlahan.
“Apa?” mata Tun Maryamul Azra membulat. “Adib dengan Dibah hilang?”
Anum dan Enon mengangguk. “Kami minta maaf Tun”.
“Dah cari satu villa ni?”
Anggukan diberikan. Tun Maryamul Azra mulai tidak sedap hati. Ke mana perginya budak berdua itu? “Dah tanya Pak Mat?” Tun Maryamul Azra menyoal merujuk pada pengawal yang menjaga keluar masuk rumah.
Anum dan Enon mengangguk lagi. Tun Maryamul Azra melepas nafas. “Ya Allah..”
Bunyi loceng membuatkan perhatian mereka teralih. Segera mereka bertiga berlari anak menuju ke pintu utama.
Wajah Pak Mat adalah yang pertama dilihat. “Pak Mat” Tun Maryamul Azra memandang.
“Ni Tun, Bob jumpa Adib dengan Dibah kat taman mainan sana tu…”
Mata Tun Maryamul Azra membulat lagi. Memandang Adibah yang berada di dalam dukungan Bob. Bob merupakan anak lelaki jiran selang tiga buah rumah darinya. “Dibah..”
“Kaki dia luka Tun. Rasanya terjatuh masa kena kejar dengan anjing tadi” Bob menerangkan sebab dia mendukung kanak-kanak perempuan itu.
Tun Maryamul Azra mengangguk memahami. Matanya tajam memandang Adib yang sedari tadi menundukkan kepalanya. Itulah Adib. Bila dia melakukan kesalahan, begitulah gayanya.
“Anum, Enon, bawak Adib Dibah masuk dalam”.
Anum mengambil tangan Adib yang memegang Bob sementara Enon mengambil Adibah dari dukungan Bob.
“Terima kasihlah sebab hantarkan budak-budak tu..”
“Saya sebenarnya nak pergi kedai depan. Tapi ternampak budak berdua tu. Tu yang saya hantar ke sini. Pelik juga tak de orang dewasa yang tengokkan..” Bob memberitahu.
Tun Maryamul Azra senyum lagi. “Terima kasih” sedang di hati menggelegak marahkan anak lelaki tunggalnya. Pandai-pandai menyelinap keluar dari villa, lihatlah apa yang terjadi.
“Saya balik dululah..”
“Terima kasih, Bob”.
“Sama-sama. Saya gerak dulu, Pak Mat”.
Bob berlalu dengan senyuman. Tun Maryamul Azra memandang Pak Mat. “Pak Mat tak sedar bila budak berdua tu keluar?”
“Memang tak sedar Tun. Tapi Pak Mat rasa dia keluar ikut pintu belakang. Pak Mat dah tengok CCTV tadi, memang tak de gambar budak berdua tu..”
“Saya tak rasa dia keluar dari belakang. Tak pelah, Pak Mat. Pak Mat pergilah buat kerja. Nak kena Adib ni…”

############

“Cakap dengan mommy, Adib minta izin siapa?”
Adib diam. Sedari tadi semua soalan mommynya dijawab dengan berdiam diri. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab.
“Adib!” Tun Maryamul Azra meninggi suara.
Enon yang sedang mencuci luka Adibah memandang Tun Maryamul Azra. Dia tahu majikannya itu sudah tidak dapat mengawal emosi. Siapa yang tidak tahu betapa Tun Maryamul Azra sayangkan Adibah?
Tun Maryamul Azra memandang Adibah yang telah pun lelap. Dia telah meminta Enon memberi Adibah ubat tahan sakit agar anak kecil itu tidak meronta saat lukanya dicuci. Dan sekarang Adibah telah pun terlelap. Pasti kerana kesan ubat juga penat yang ditanggung.
“Enon, awak bagitahu Fika ke?”
“Tak Tun”.
Tun Maryamul Azra melepas nafas lega. Dia tidak mahu rehat temannya itu terganggu. “Adib, jawab soalan mommy”.
Adib diam lagi. Tun Maryamul Azra mengetap bibir. Tangannya mencapai rotan yang sedari tadi dipegang Anum. Dia bukannya jenis yang suka merotan anak, tapi dia paling benci bila soalannya tidak dijawab. Lagipun, kesalahan Adib kali ini memang berat.
“Tun” Enon dan Anum bersuara serentak, tidak mahu melihat tuan muda mereka dirotan.
Tun Maryamul Azra memandang Anum dan Enon tajam. Dia tidak suka bila pembantu rumahnya masuk campur urusan dalam keadaan begitu. “Cakap dengan mommy..”
“Adib nak keluar jalan..” Adib mula bersuara melihat rotan di tangan mommynya.
“Selama ni Adib tak jalan ke? Mommy daddy bawa Adib keluar pergi sana pergi sini. Pergi dengan umi abi dah selalu. Mommy, daddy, abi, umi semua Adib jalan-jalan! Adib tu kecil lagi, baru sekolah rendah. Bawa Dibah pula tu, tengok apa dah jadi kat Dibah? Tak kesian kat umi ke? Adib pun tahu umi tengah sakit kan? Kenapa buat perangai?!” satu hayunan rotan singgah di kaki Adib.
Adib menahan esak kerana menanggung kesakitan yang teramat sangat. Dia tetap tidak mahu mengalirkan air mata. Biarlah dia menangis di dalam bilik saja, bukan di hadapan mommy.
“Kalau Adibah kena apa-apa tadi, apa Adib nak jawab dengan daddy? Apa Adib nak jawab dengan abi?” Tun Maryamul Azra merotan lagi untuk kali ke dua. Dan tangannya melepaskan rotan itu.
“Anum, simpan rotan tu” Tun Maryamul Azra memberi arahan. Bimbang tindakannya dikawal perasaan marah yang melampau.
Adib memberanikan diri memandang mommynya. Air matanya mulai jatuh mengalir walaupun sudah cuba ditahan. Sakit yang teramat di kaki membuatkan air matanya tetap tumpah jua. “Mommy…”
Tun Maryamul Azra melepas nafas. Hiba hatinya melihat air mata Adib. Dia duduk berlutut dan memegang tangan anak lelakinya. “Adib jangan buat lagi ye, jangan buat mommy susah hati”.
Adib mengangguk. “Mommy, Adib minta maaf. Adib cuma nak keluar jalan-jalan.. Adib nak main dengan Dibah..”
Tun Maryamul Azra menyeka air mata Adib. “Janji jangan buat lagi?”
“Janji. Adib minta maaf” dan Tun Maryamul Azra memeluk anak kesayangannya erat. Dia bukan sengaja mahu merotan Adib, tapi dia tidak mahu Adib mengulang kesalahannya. Bagaimana jika sesuatu terjadi pada mereka sewaktu mereka di luar tadi? Boleh jadi diculik atau dibunuh? Apa yang harus dia lakukan..?

##########

Suasana di pejabat Tun Adib Nasir tegang. Syamran yang sedari tadi hanya duduk membaca akhbar di sofa tetamu kini sudah berada di sisi Tun Adib Nasir.
“Saya dah cakap jangan masuk campur dengan urusan projek ni. Macam mana awak boleh dapat 10% kalau awak tak masuk campur?”
“Tun Adib Nasir, macam mana saya dapat share dalam projek tu Tun tak perlu tahu. Dan saya tak rasa, ianya perkara yang perlu untuk Tun masuk campur” Jalal bersuara tegas.
“Jalal, saya rasa baik awak hentikan semua ni. Tak de faedahnya awak nak rebut hak dari projek tu. Sebab projek tu memang bukan hak awak.!!” Syamran menyokong Tun Adib Nasir.
“Kau tu cuma kuli je. Kau diam” Jalal membulatkan matanya.
“Syam bukan kuli aku. Dia personal assistant aku dan darjat dia lagi tinggi dari kau. Samada kau keluarkan nama kau dari projek tu atau aku keluarkan kau dari Legasi Adib. Dengan rekod yang kau ada, aku rasa tak susah untuk keluarkan kau dari Legasi Adib dan masukkan kau dalam lokap” Tun Adib Nasir bersuara tegas.
Jalal mengetap bibir, menggenggam penumbuknya. Berani-beraninya Tun Adib Nasir memalukan dia di hadapan Syamran sebegitu rupa. Fail di atas meja dicapai kasar.
Tun Adib Nasir masih memandang Jalal tajam. “Mana kau nak?”
Jalal memandang Syamran sekilas dan melangkah keluar dari pejabat Tun Adib Nasir. ‘Perkara ni takkan berhenti kat sini. Aku akan pastikan perbuatan kau hari ini dibalas dengan nyawa, Tun Adib Nasir!’ Ikrar Jalal penuh dendam.

##########

Dia membuka mata perlahan. Senyumnya dikuntum melihat Adibah lena tidur di sisinya. Jam dinding dipandang, sudah pukul 4.45 petang, dia harus menunaikan solat Asar.
Kepala ditundukkan untuk mencium dahi anaknya itu. Namun tangan yang menyentuh lebih laju menangkap suhu tubuh badan Adibah yang panas.
“Dibah… Dibah..” Afiqah yang tadinya lemah kini segar-bugar merisaui anaknya. Hilang sudah segala lelah tubuh yang dirasakan tanpa henti sejak mengandungkan anak keduanya ini.
Adibah tidak membuka mata. Tidak menyahut tidak juga bergerak membetulkan kedudukan. Afiqah mula risau. “Dibah.. Dibah..”
Dia bangun dari katil dan melangkah masuk ke bilik air. Mahu menunaikan solat Asar dahulu. Bimbang jika dia sibuk merisaui Adibah, dia bakal terlepas solat Asar.
Namun niat untuk menunaikan solat Asar terbatal sebaik melihat Adibah meracau. Dia membetulkan tidur Adibah yang kelihatan kesejukan. Tika tangannya terselak selimut yang menutupi Adibah, dia melihat lutut Adibah yang berbalut.
Dahi berkerut melihat lutut Adibah. Adibah luka? Kerana apa? Bagaimana? Nafas ditarik menenangkan diri. Dia sudah tahu mengapa Adibah demam panas begini. Jadi dia tidaklah terlalu risau.
Sejadah dibentangkan di ruang yang ada. Dia mahu menunaikan solat Asar terlebih dahulu. Apa-apa pun, solat haruslah diutamakan.

Demi Syaqiqah – P2

Dia cemas menunggu di dalam bilik tidur Afiqah. Apakah keputusan yang bakal diperoleh? Apakah benar Afiqah hamil atau dia yang tersalah?
Pandangannya tepat pada Afiqah yang melangkah keluar dengan wajah kecewa. “Tak ke?”
Afiqah mencebik bibir. Memandang wajah Tun Maryamul Azra dengan wajah redupnya. “Aku..”
Tun Maryamul Azra memeluk Afiqah. “Tak pe.. Belum ada rezeki..” Dia pula yang rasa bersalah. Iyalah, bukankah dia yang memeriksa Afiqah tadi?
Afiqah ketawa terbahak-bahak. Alat penguji kehamilan ditunjukkan pada Tun Maryamul Azra.
Mata Tun Maryamul Azra membulat. “Afiqah!” Suara bercampur geram dan teruja.
Afiqah ketawa. “Aku mengandung.. Menunjukkan ilmu kedoktoran kau masih boleh pakai lagilah. Kan?”
Tun Maryamul Azra mencubit lengan Afiqah. “Buat aku sakit jantung je kau ni! Habis, bila nak pergi klinik?”
Afiqah memandang kalendar. Berfikir-fikir. “Nantilah dulu. Aku nak bagitahu Syam berita baik ni. Mesti Dibah seronok nak dapat adik”.

##############

“Tun”.
Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra yang sedang menonton televisyen memandang Anum yang memanggil.
“Ya Anum” Tun Maryamul Azra memandang.
“Ada tetamu datang”.
Tun Maryamul Azra memandang suami di sisi. Tun Adib Nasir memberi anggukan kepala. “Awak pergi sediakan air dengan makanan ringan”.
“Baik Tun” Anum berlalu.
Tun Maryamul Azra masih lagi memandang suaminya. Dalam memberi erti kata, ‘siapakah tetamu yang bertandang?’
“Jalal datang. Dia kata ada hal nak bincang…”
Tun Maryamul Azra menganggukkan kepala. Dia mengikuti Tun Adib Nasir ke ruang tetamu.
“Apa khabar Tun?” Jalal menguntum senyum memandang majikannya itu.
Tun Adib Nasir menganggukkan kepalanya. “Duduk”.
Tun Maryamul Azra memandang sekeliling. Mencari-cari kalau Jalal ada membawa keluarganya.
“Datang seorang?” Tun Adib Nasir menyoal.
“Saya ada bawa Amy. Dia tengah main dengan Adib kat taman”.
Tun Maryamul Azra memandang. Meninggalkan Amy bersama Adib adalah perkara yang tidak berapa baik. Ini kerana Adib sangat tidak sukakan Amy. Semuanya gara-gara Amy terlalu cemburukan Adibah yang mendapat segala perhatian dari Adib. “Saya pergi tengok anak-anak”.
Tun Adib Nasir menganggukkan kepalanya. Dan Jalal mula membuka topik kerja mereka.

#############

Adib ketawa melihat Adibah melompat-lompat akibat ulat daun yang ditunjukkannya.
“Abang jahat!” Adibah mengomel sendiri sambil memandang Adib.
Adib menyelesaikan tawanya. Bimbang pula ‘adik’nya itu merajuk lama-lama. Ulat daun di tangannya dibuang dan dia mendekati Adibah. “Dibah janganlah marah abang..”
“Abang tu, suka buat Dibah marah. Dibah tak suka ulat!” kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggikan suaranya.
Adib memandang. Apakah Adibah sudah merajuk. “Dibah tak marah kan?”
“Marahlah. Dibah tak nak kawan dengan abang. Dibah nak pergi kat mommy”.
“Dibah..” Adib mengekori Adibah yang sudah mula meninggalkan taman.
Adibah mengeraskan hati. Geram betul dia dengan Adib. Suka benar mengusiknya. Apakah Adib ingat dirinya suka diusik-usik?
“Hai”. Amy muncul entah dari mana. Mematikan langkah laju Adib juga Adibah.
Adibah mengukir senyum. “Kak Amy”.
Amy mencebik bibir melihat Adibah. Senyum hingga ke pipi terukir bila memandang Adib. Dia langsung melangkah menuju pada Adib. “Adib…”
“Kau datang dari mana?” Adib yang sudah berusia lapan tahun menyoal.
Amy ketawa. “Datang dengan papa. Jom main dengan Amy”.
Adib menggeleng. Dia menolak Amy perlahan. “Aku nak main dengan Dibah”.
“Tak yahlah main dengan Dibah” Amy menolak Adibah hingga anak kecil itu terjatuh.
Adibah hanya memandang. Dia bagaikan bingun di situ. Adib membulatkan mata. Pantang benar dia jika ada orang lain bertindak kasar dengan Adibah. “Kau buat apa ni?”
Amy memandang Adib yang meninggi suara. Mengapa tiba-tiba dia dimarahi? Wajah sudah mula berubah dan akhirnya tangisannya pecah di situ.
Adib menggelengkan kepala. Tangan lantas membantu Adibah untuk berdiri semula. Menyampah benar dia dengan anak Uncle Jalal ini. Mengada terlebih!
“Adib!” Tun Maryamul Azra yang baru tiba membulatkan mata. Terkebil-kebil dia melihat Amy menangis.
“Amy ni buat Dibah dulu” Adib mengerutkan dahi. Mahu membela Adibah kesayangannya.
Tun Maryamul Azra melepas nafas. Dia duduk lutut dan menarik Amy ke dalam pelukannya. “Sini sayang..”
“Aunty, Adib jahat. Dia buat Amy…”
“Shhhh…” Tun Maryamul Azra memujuk Amy. Belakang anak kecil itu diusap-usap perlahan. Mata memandang Adib dengan pandangan tajam. Ada hukuman yang harus diberikan pada anaknya itu. Tidak pernah dia mendidik Adib agar berlaku kasar pada orang lain.

#############

“Kenapa ni sayang..?” Jalal mengerut dahi melihat wajah anak kesayangannya yang sembap seperti baru selesai menangis.
Amy menahan sedu. “Adib buat”.
Jalal memandang Tun Adib Nasir di hadapannya. Bagaimana perkara ini harus diselesaikan?
Adib menjeling Amy tajam. Dia mengambil tempat di sisi daddynya. “Daddy..”
“Betul ke apa Amy cakap? Adib buat Amy?”
“Amy yang tolak Dibah dulu. Jatuh sikit nak menangis, Dibah jatuh dia tak menangis pun!”
Tun Adib Nasir membulatkan mata mendengar nada ‘kurang ajar’ yang dikeluarkan Adib. Mata memandang Tun Maryamul Azra yang berdiri sambil memegang tangan Adibah di sisinya. Anggukan diberikan Tun Maryamul Azra, membuktikan kata-kata Adib benar belaka.
Tun Adib Nasir melepas nafas. Bagaimana pun, Adib tidak seharusnya kasar begitu. “Minta maaf kat Uncle Jalal sekarang..”
Jalal memandang. Berkata apa-apa pun tidak. Hanya menjadi pemerhati keadaan.
“Kenapa Adib kena minta maaf?”
“Adib!”
“Adib tak nak” Adib menjeling daddynya.
“Adib Mubarak!”
Adib mencebik bibir. Memandang Jalal dengan wajah masamnya. “Adib minta maaf”.
“Kuat lagi..” Tun Adib Nasir bersuara.
“Adib minta maaf”.
“Kuat lagi”.
“Adib minta maaf!” Adib bersuara separuh menjerit.
Tun Adib Nasir melepas nafas. Dia menguntum senyum memandang Jalal. “Maaflah Jalal. Adib ni memang degil sikit..”
“Tak pe Tun. Biasalah budak-budak..” Jalal mempamerkan senyuman plastiknya.
Tun Adib Nasir mengangguk. Lega dia bila semuanya sudah selesai. Adib sudah pun beredar sejurus meminta maaf. Tun Adib Nasir membiarkan. Bila dia bersalah, dia harus tahu kesalahannya dan akibat yang harus ditanggung.
Jalal menggenggam penumbuk dalam diam. Sudahlah urus niaganya tidak berjalan lancar, segala rancangannya ditolak mentah-mentah oleh Tun Adib Nasir. Ditambah pula anak kesayangannya dibuli oleh anak lelaki itu. ‘Sabarlah.. Ada ubi ada batas, ada hari aku balas..’
Sedang dendam di hati makin membara.

############

Suasana di ruang makan tenang dan sentosa. Kedua buah keluarga berada di satu meja untuk menjamah makan malam.
Syamran memandang Afiqah dan Afiqah memandang Syamran. Tun Maryamul Azra ketawa sendiri melihat gerak-geri pasangan itu. Pasti mereka telah mendapat kesahihan dari sang doktor. Dia tahu siang tadi Syamran membawa Afiqah ke klinik.
“Kenapa awak gelak?” Tun Adib Nasir menyoal isterinya.
Tun Maryamul Azra diam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan.
“Aku ada pengumuman nak buat” Syamran memancing perhatian Tun Adib Nasir.
Semua mata memandang Syamran. Termasuklah Adib dan Adibah yang sedari tadi berada di meja bersama. Namun keduanya membisu kerana sudah diajar agar tidak bermain di depan rezeki.
“Fika mengandung” ucap Syamran perlahan, terang, jelas lagi nyata.
Tun Maryamul Azra dan Afiqah menguntum senyum bersama. Tun Adib Nasir memandang ketiga-tiga wajah itu. “Maknanya aku orang terakhir yang tahu ke?”
Syamran mengangguk. “Kau, Adib dengan Dibah..”
“Adib” Tun Maryamul Azra memanggil.
“Umi mengandung? Adib nak adik lelaki tau..” Adib ketawa sendiri sambil memandang Adibah.
“Dibah suka?” Syamran memandang anak perempuan kesayangannya.
Adibah memandang Adib. Sungguh dia bingung dengan perbincangan saat ini. “Mengandung tu apa?”
Adib memandang Adib dengan membulatkan matanya. Tun Maryamul Azra dan Tun Adib Nasir saling memandang sambil melepaskan tawa. Begitu juga Syamran dan Afiqah yang terhibur dengan soalan Adibah.
“Dibah nak dapat adik..” Syamran tersenyum menampakkan barisan giginya.
“Adik?” Adibah membulatkan matanya. Dia tersenyum memandang Adib. “Dibah nak dapat adik?”
Adib mengangguk. Dan Adibah bersorak sendiri. Dia kurang mengerti apa sebenarnya maksud adik itu, tapi dia tahu dia bakal mendapat teman. Dia ber’hooray’ sendiri.
“Sukanya dia..” Tun Adib Nasir tersenyum. Suka dia melihat keharmonian dua buah keluarga ini.

Demi Syaqiqah – P1

Pagi yang tenang menjadi sebab dia bersama keluarga berkelah kecil-kecilan di laman villa milik Tun Adib Nasir yang merupakan majikan tersayangnya. Villa yang menyerupai istana itu merupakan villa yang menempatkan Tun Adib Nasir bersama isterinya Tun Maryamul Azra. Juga anak lelaki tunggal mereka merangkap satu-satunya pewaris segala harta dan kemewahan Tun Adib Nasir, Adib Mubarak.
“Abi…” anak gadisnya, Adibah Syaqiqah datang membawa sebiji mangkuk yang sudah kosong isinya. Syamran ketawa kecil melihat Adibah.
“Kenapa ni?” Isterinya, Afiqah menyambut huluran Adibah dan menariknya ke ribaan. Dahinya berkerut melihat mangkuk yang sudah tiada isinya. Tadi dia mengisinya dengan donut gula sebanyak tiga biji untuk dijamah anaknya itu. Takkanlah tidak sampai beberapa minit ianya sudah habis dimakan?
“Tu…” tangannya menunjuk pada seorang budak lelaki yang sedang berlari anak ke arah mereka.
“Dibah, abang minta maaf” ucap budak lelaki yang tua tiga tahun dari Adibah itu.
Adibah buat tidak tahu. Kedatangan budak lelaki itu dibiarkan. Geram benar dia dengan budak lelaki itu. Berani-beraninya dia menghabiskan ketiga-tiga biji donut yang diberi umi padanya.
“Abi, tengoklah Dibah tu..”
Syamran ketawa lagi. Dipandang wajah Adib Mubarak yang sememangnya menenangkan hati. Sememangnya anak majikannya itu punya tarikan yang dapat membuatkan sesiapa saja tersenyum.
Tun Adib Nasir majikan merangkap teman baiknya. Mereka berkenalan sejak di zaman sekolah menengah. Walaupun temannya itu berasal dari keluarga yang sangat berada, itu tidak menjadikan dia seorang yang lupa diri.
Kerapatan mereka membuatkan Tun Adib Nasir mengambil dia menjadi pembantu peribadi setelah dia mendirikan keluarga. Tun Adib Nasir berkahwin dengan Tun Maryamul Azra yang merupakan pilihan keluarga merangkap pilihan hatinya. Kisah cinta antara mereka hanya Syamran manusia yang mengetahuinya.
Dia juga bertemu jodoh dengan Afiqah beberapa tahun kemudian. Hakikatnya, Afiqah adalah kenalan Tun Maryamul Azra di sekolah menengah. Namun mereka hanya kenalan biasa-biasa dan tidaklah rapat mana. Tapi setelah keduanya berkahwin dengan Tun Adib Nasir dan Syamran yang sememangnya berkawan rapat, maka rapatlah mereka berdua.
Juga gelaran yang mereka gunakan. Adib memanggilnya abi dan memanggil Afiqah umi. Manakala, Adibah memanggil Tun Adib Nasir daddy, juga memanggil Tun Maryamul Azra dengan gelaran mommy. Sama-sama memanggil dengan gelaran yang masing-masing gunakan.
“Adib buat apa kat Dibah?” Afiqah memandang Adib yang sibuk mengadu pada suaminya.
“Abang habiskan Dibah punya donat! Tak nak kawan abang!” Adibah memandang uminya.
Afiqah ketawa. Kanak-kanak berdua ini selalu saja begini. Jika Adibah merajuk, Adib memujuk. Jika Adib merajuk, Adibah pula yang menjadi tukang pujuknya.
Syamran menolak Adib pada Afiqah. “Duduk sini, makan sama-sama. Banyak lagi yang umi buat..”
Adib memandang Adibah. Dia tidak suka gadis itu marahkannya. Donat di hadapan mata dihulurkan pada Adibah. “Jangan marah abang dah boleh tak?”
Adibah mencebik bibirnya. Afiqah dan Syamran ketawa. Adibah, merajuknya mengalahkan wanita dewasa.
“Janganlah merajuk.. Abang dah tak de kawan lain..”
Adibah memandang. Hatinya sudah mulai lembut barangkali. “Janji tak buat lagi?”
Adib bersungguh mengangguk. “Janji!”
Dan Adibah bangun dari ribaan Afiqah dan memeluk Adib. “Ok. Dibah tak marah dah..”

############

“Ok. Kalau macam tu, ada sesiapa lagi yang nak keluarkan cadangan atau komen apa-apa?”
Tun Adib Nasir memandang semua ahli lembaga pengarah yang berada di bilik mesyuarat. Kalau-kalau ada yang mahu menokok-tambah untuk kebaikan bersama. “Kalau tak de..”
“Tun”.
Tun Adib Nasir memandang yang empunya suara. Lelaki itu,anak arwah kawan baik bapanya. Yang sama-sama berganding bahu dengan bapanya, Adib Uthman dalam membina Legasi Adib yang begitu berjaya saat ini.
“Ya, Jalal”.
“Tentang projek di Pulau Langkawi..”
“Dah berapa kali saya cakap? Tentang projek di Langkawi jangan masuk campur. Itu saya akan uruskan sendiri” Tun Adib Nasir meninggi suara. Sudah berapa kali diulangi kepada ahli lembaga pengarah semuanya bahawa projek terbaru yang akan dilancarkan di Pulau Langkawi adalah haknya seorang. Projek itu dilakukan khas buat anaknya, Adib Nasir. Tidak mungkinlah dia mahu mereka semua masuk campur.
Jalal melepas nafas perlahan. Sakit hatinya dimalukan sebegitu di hadapan ahli lembaga pengarah yang lain. Dia tidak mahu mengaku kalah, tidak akan sekali-kali mengaku kalah. “Tapi Tun..”
“Kalau dah tak de apa-apa, kita bersurai..” Tun Adib Nasir memotong kata-kata Jalal dan menutup komputer ribanya. Membuatkan semua ahli lembaga pengarah yang lain menuruti perilakunya.
Jalal yang ditinggalkan sendirian di dalam bilik mesyuarat menggenggam penumbuknya. ‘Kurang ajar kau Nasir! Kau tengoklah nanti, aku akan kerjakan kau habis-habisan!’

############

“Kenapa kau mencuka je ni?” Syamran menyoal Tun Adib Nasir di sebelahnya. Hairan dengan wajah masam yang ditunjukkan Tun Adib Nasir sejak dia mengambilnya di Legasi Adib tadi.
“Aku bengang betul dengan Jalal tu..”
“Kenapa?”
“Yelah. Kau tahu kan projek kat Langkawi tu aku nak hadiahkan untuk Adib Adibah. Aku tak naklah orang lain masuk campur. Sejak aku umumkan fasal projek tu, tak habis-habis si Jalal tu menyibuk..” bebel Tun Adib Nasir beremosi.
Syamran menguntum senyum. “Mungkin Jalal nak membantu?”
“Yelah tu. Aku tahu sangat dia nak masukkan nama anak dia dalam shareholder! Jangan haraplah..”
“Nasir, Nasir. Mestilah Jalal sakit hati sebab Dibah dapat apa yang anak dia tak dapat. Habis, yang lain tak marah ke kau masukkan nama Dibah sebagai shareholder dalam projek Langkawin tu? Baru lima tahun si Dibah tu, Nasir”.
“Lima tahun.. Lagi dua puluh tahun dah boleh jadi isteri orang.. Eh, bukan isteri orang. Isteri Adib, menantu aku. Lagipun Syam, semua orang tahu yang aku dah cop Dibah tu untuk Adib” Tun Adib Nasir tersenyum sendiri memikirkan masa depan yang dirancang di dalam akal fikirannya.
“Yakin sangat kau ni. Kalaulah Adib dengan Dibah tu dah ada pilihan masing-masing bila besar nanti, apa kau nak buat?”
Tun Adib Nasir ketawa besar mendengar kata-kata teman baiknya. “Syam, Syam.. Kalau Dibah ada pilihan lain, aku percaya. Kalau Adib, sampai mati pun aku tak percaya. Kau tak nampak ke betapa si Adib tu sayangkan Dibah..”
Syamran hanya ketawa. ‘Suka hati kaulah Nasir…’

############

Tun Maryamul Azra tersenyum melihat Adib dan Adibah yang sedang membaca buku bersama. Entah apa yang dibaca dia juga tidak tahu. Entah yang dibaca Adibah betul atau tidak dia juga tidak tahu.
Adib yang berbaring di sisi Adibah membuatkan dia tambah tersenyum. Seorang lima tahun, seorang lagi lapan tahun tapi lagaknya sudah seperti orang dewasa.
“Adib! Dibah!” Tun Maryamul Azra memanggil.
“Ya mommy” Adib dan Adibah menjawab serentak. Keduanya berlari ke arah Tun Maryamul Azra yang berada tidak jauh dari mereka.
“Ada nampak umi?” Tun Maryamul Azra bertanya. Sedari tadi dia mencari kelibat Afiqah tapi tidak ketemu. Ke mana pula hilangnya teman baiknya itu?
Adib memandang Adibah yang sedang memegang anak patung beruang di tangannya. Kemudian dia memandang mommynya, “Adib rasa umi ada kat dalam. Adib tak nampak umi keluar pun”.
Adibah hanya mengangguk menyokong kata-kata Adib. Baginya, ianya tidak penting. Dia hanya mahu menyambung bacaan mereka tadi.
Tun Maryamul Azra tersenyum. “Tak pelah kalau macam tu. Pergilah sambung main, mommy nak cari umi. Kalau ada apa-apa, Adib panggil Cik Zah ye..”
Adib mengangguk. Tahu mommynya merujuk pada Cik Zah yang merupakan pembantu rumah di situ. Pembantu rumah merangkap pengasuh dia juga Adibah. Dan Cik Zah dibantu dua pembantu lain, Enon dan Anum.
Tun Maryamul Azra kembali melangkah masuk. Atau memang benar Afiqah berada di biliknya?
“Fika! Fika!” Tun Maryamul Azra mengetuk pintu bilik Afiqah. Bila ianya tidak dibuka, Tun Maryamul Azra memulas tombol pintu. Ternyata pintu tidak berkunci dan dia melangkah masuk.
Bunyi mencurigakan dari bilik air membuatkan Tun Maryamul Azra langsung menolak daun pintu. “Fika!”
Afiqah yang lemah di hadapan sinki memandang Tun Maryamul Azra. “Yam..”
“Kau kenapa ni?” Tun Maryamul Azra langsung memapah Afiqah keluar dari bilik air. Wanita itu didudukkan di atas katil.
Afiqah menggelengkan kepalanya. “Aku ok. Cuma tak sedap badan je..”
“Tak sedap badan?”
Afiqah mengangguk. “Pening-pening sikit, rasa nak muntah je..”
Tun Maryamul Azra memandang wajah temannya itu. Pening-pening dan muntah-muntah? Rasanya sewaktu Afiqah mengandungkan Adibah dahulu, beginilah keadaannya. Atau jangan-jangan…
“Kenapa?”
Tun Maryamul Azra diam tidak menjawab soalan Afiqah. Tangan Afiqah dicapai dan dia mula memeriksa nadi temannya itu. Afiqah membiarkan kerana dia tahu Tun Maryamul Azra ada ilmu kedoktoran serba-sedikit.
“Aku rasa..”
“Rasa?”
“Kau mengandung”.
Mata Afiqah membulat. “Aku mengandung?”
Tun Maryamul Azra mengangguk. “Tapi tak sure sangat, kita pergi kliniklah”.
Afiqah menggeleng dengan senyuman. Dia bangun dari katil dan membuka laci di meja lampu tidur. Dia mengeluarkan alat penguji kehamilan di dalamnya dan menguntum senyum teruja pada Tun Maryamul Azra.

DILARANG NIKAHI AKU – Penutup & Penghargaan

IMG-20160810-WA0005

Beel

IMG-20160810-WA0009

Suraya

IMG-20160810-WA0008

Fah

IMG-20160810-WA0010

Syakir

IMG-20160810-WA0007

Haikal

IMG-20160810-WA0006

Wan

Dengan lafaz Bismillah…
Wow! Alhamdulillah! Akhirnya habis jugak tulis cerita ni.. Cerita fasal Beel dan juga Haikal!
Rasanya setahun lebih jugaklah tulis cerita Dilarang Nikahi Aku ni. Memang macam-macam hal la yang berlaku! Macam-macam sangat.
Sebenarnya nak buat Putih berakhir dengan Safwan. Tapi bila fikir-fikir balik, baik buat Safwan setia dengan Beel hingga hujung cerita. Barulah lain dari yang lain.
Yelah setahun kut! Setahun bersamaan 365 hari kan? Lama tu. Kalau sehari bersamaan 24 jam, agak-agak 365 hari tu bersamaan berapa jam?
Terima kasihlah pada semua yang memberi ilham dan mencurahkan buah fikiran supaya cerita ni siap dan dapat dibaca semua!
Semoga anda semua berpuas hati dengan keseluruhan cerita ini. Jalan cerita, watak-watak, permulaan dan pengakhiran.
Sekian.. Terima kasih pada semua!