Demi Syaqiqah – P2

Dia cemas menunggu di dalam bilik tidur Afiqah. Apakah keputusan yang bakal diperoleh? Apakah benar Afiqah hamil atau dia yang tersalah?
Pandangannya tepat pada Afiqah yang melangkah keluar dengan wajah kecewa. “Tak ke?”
Afiqah mencebik bibir. Memandang wajah Tun Maryamul Azra dengan wajah redupnya. “Aku..”
Tun Maryamul Azra memeluk Afiqah. “Tak pe.. Belum ada rezeki..” Dia pula yang rasa bersalah. Iyalah, bukankah dia yang memeriksa Afiqah tadi?
Afiqah ketawa terbahak-bahak. Alat penguji kehamilan ditunjukkan pada Tun Maryamul Azra.
Mata Tun Maryamul Azra membulat. “Afiqah!” Suara bercampur geram dan teruja.
Afiqah ketawa. “Aku mengandung.. Menunjukkan ilmu kedoktoran kau masih boleh pakai lagilah. Kan?”
Tun Maryamul Azra mencubit lengan Afiqah. “Buat aku sakit jantung je kau ni! Habis, bila nak pergi klinik?”
Afiqah memandang kalendar. Berfikir-fikir. “Nantilah dulu. Aku nak bagitahu Syam berita baik ni. Mesti Dibah seronok nak dapat adik”.

##############

“Tun”.
Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra yang sedang menonton televisyen memandang Anum yang memanggil.
“Ya Anum” Tun Maryamul Azra memandang.
“Ada tetamu datang”.
Tun Maryamul Azra memandang suami di sisi. Tun Adib Nasir memberi anggukan kepala. “Awak pergi sediakan air dengan makanan ringan”.
“Baik Tun” Anum berlalu.
Tun Maryamul Azra masih lagi memandang suaminya. Dalam memberi erti kata, ‘siapakah tetamu yang bertandang?’
“Jalal datang. Dia kata ada hal nak bincang…”
Tun Maryamul Azra menganggukkan kepala. Dia mengikuti Tun Adib Nasir ke ruang tetamu.
“Apa khabar Tun?” Jalal menguntum senyum memandang majikannya itu.
Tun Adib Nasir menganggukkan kepalanya. “Duduk”.
Tun Maryamul Azra memandang sekeliling. Mencari-cari kalau Jalal ada membawa keluarganya.
“Datang seorang?” Tun Adib Nasir menyoal.
“Saya ada bawa Amy. Dia tengah main dengan Adib kat taman”.
Tun Maryamul Azra memandang. Meninggalkan Amy bersama Adib adalah perkara yang tidak berapa baik. Ini kerana Adib sangat tidak sukakan Amy. Semuanya gara-gara Amy terlalu cemburukan Adibah yang mendapat segala perhatian dari Adib. “Saya pergi tengok anak-anak”.
Tun Adib Nasir menganggukkan kepalanya. Dan Jalal mula membuka topik kerja mereka.

#############

Adib ketawa melihat Adibah melompat-lompat akibat ulat daun yang ditunjukkannya.
“Abang jahat!” Adibah mengomel sendiri sambil memandang Adib.
Adib menyelesaikan tawanya. Bimbang pula ‘adik’nya itu merajuk lama-lama. Ulat daun di tangannya dibuang dan dia mendekati Adibah. “Dibah janganlah marah abang..”
“Abang tu, suka buat Dibah marah. Dibah tak suka ulat!” kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggikan suaranya.
Adib memandang. Apakah Adibah sudah merajuk. “Dibah tak marah kan?”
“Marahlah. Dibah tak nak kawan dengan abang. Dibah nak pergi kat mommy”.
“Dibah..” Adib mengekori Adibah yang sudah mula meninggalkan taman.
Adibah mengeraskan hati. Geram betul dia dengan Adib. Suka benar mengusiknya. Apakah Adib ingat dirinya suka diusik-usik?
“Hai”. Amy muncul entah dari mana. Mematikan langkah laju Adib juga Adibah.
Adibah mengukir senyum. “Kak Amy”.
Amy mencebik bibir melihat Adibah. Senyum hingga ke pipi terukir bila memandang Adib. Dia langsung melangkah menuju pada Adib. “Adib…”
“Kau datang dari mana?” Adib yang sudah berusia lapan tahun menyoal.
Amy ketawa. “Datang dengan papa. Jom main dengan Amy”.
Adib menggeleng. Dia menolak Amy perlahan. “Aku nak main dengan Dibah”.
“Tak yahlah main dengan Dibah” Amy menolak Adibah hingga anak kecil itu terjatuh.
Adibah hanya memandang. Dia bagaikan bingun di situ. Adib membulatkan mata. Pantang benar dia jika ada orang lain bertindak kasar dengan Adibah. “Kau buat apa ni?”
Amy memandang Adib yang meninggi suara. Mengapa tiba-tiba dia dimarahi? Wajah sudah mula berubah dan akhirnya tangisannya pecah di situ.
Adib menggelengkan kepala. Tangan lantas membantu Adibah untuk berdiri semula. Menyampah benar dia dengan anak Uncle Jalal ini. Mengada terlebih!
“Adib!” Tun Maryamul Azra yang baru tiba membulatkan mata. Terkebil-kebil dia melihat Amy menangis.
“Amy ni buat Dibah dulu” Adib mengerutkan dahi. Mahu membela Adibah kesayangannya.
Tun Maryamul Azra melepas nafas. Dia duduk lutut dan menarik Amy ke dalam pelukannya. “Sini sayang..”
“Aunty, Adib jahat. Dia buat Amy…”
“Shhhh…” Tun Maryamul Azra memujuk Amy. Belakang anak kecil itu diusap-usap perlahan. Mata memandang Adib dengan pandangan tajam. Ada hukuman yang harus diberikan pada anaknya itu. Tidak pernah dia mendidik Adib agar berlaku kasar pada orang lain.

#############

“Kenapa ni sayang..?” Jalal mengerut dahi melihat wajah anak kesayangannya yang sembap seperti baru selesai menangis.
Amy menahan sedu. “Adib buat”.
Jalal memandang Tun Adib Nasir di hadapannya. Bagaimana perkara ini harus diselesaikan?
Adib menjeling Amy tajam. Dia mengambil tempat di sisi daddynya. “Daddy..”
“Betul ke apa Amy cakap? Adib buat Amy?”
“Amy yang tolak Dibah dulu. Jatuh sikit nak menangis, Dibah jatuh dia tak menangis pun!”
Tun Adib Nasir membulatkan mata mendengar nada ‘kurang ajar’ yang dikeluarkan Adib. Mata memandang Tun Maryamul Azra yang berdiri sambil memegang tangan Adibah di sisinya. Anggukan diberikan Tun Maryamul Azra, membuktikan kata-kata Adib benar belaka.
Tun Adib Nasir melepas nafas. Bagaimana pun, Adib tidak seharusnya kasar begitu. “Minta maaf kat Uncle Jalal sekarang..”
Jalal memandang. Berkata apa-apa pun tidak. Hanya menjadi pemerhati keadaan.
“Kenapa Adib kena minta maaf?”
“Adib!”
“Adib tak nak” Adib menjeling daddynya.
“Adib Mubarak!”
Adib mencebik bibir. Memandang Jalal dengan wajah masamnya. “Adib minta maaf”.
“Kuat lagi..” Tun Adib Nasir bersuara.
“Adib minta maaf”.
“Kuat lagi”.
“Adib minta maaf!” Adib bersuara separuh menjerit.
Tun Adib Nasir melepas nafas. Dia menguntum senyum memandang Jalal. “Maaflah Jalal. Adib ni memang degil sikit..”
“Tak pe Tun. Biasalah budak-budak..” Jalal mempamerkan senyuman plastiknya.
Tun Adib Nasir mengangguk. Lega dia bila semuanya sudah selesai. Adib sudah pun beredar sejurus meminta maaf. Tun Adib Nasir membiarkan. Bila dia bersalah, dia harus tahu kesalahannya dan akibat yang harus ditanggung.
Jalal menggenggam penumbuk dalam diam. Sudahlah urus niaganya tidak berjalan lancar, segala rancangannya ditolak mentah-mentah oleh Tun Adib Nasir. Ditambah pula anak kesayangannya dibuli oleh anak lelaki itu. ‘Sabarlah.. Ada ubi ada batas, ada hari aku balas..’
Sedang dendam di hati makin membara.

############

Suasana di ruang makan tenang dan sentosa. Kedua buah keluarga berada di satu meja untuk menjamah makan malam.
Syamran memandang Afiqah dan Afiqah memandang Syamran. Tun Maryamul Azra ketawa sendiri melihat gerak-geri pasangan itu. Pasti mereka telah mendapat kesahihan dari sang doktor. Dia tahu siang tadi Syamran membawa Afiqah ke klinik.
“Kenapa awak gelak?” Tun Adib Nasir menyoal isterinya.
Tun Maryamul Azra diam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan.
“Aku ada pengumuman nak buat” Syamran memancing perhatian Tun Adib Nasir.
Semua mata memandang Syamran. Termasuklah Adib dan Adibah yang sedari tadi berada di meja bersama. Namun keduanya membisu kerana sudah diajar agar tidak bermain di depan rezeki.
“Fika mengandung” ucap Syamran perlahan, terang, jelas lagi nyata.
Tun Maryamul Azra dan Afiqah menguntum senyum bersama. Tun Adib Nasir memandang ketiga-tiga wajah itu. “Maknanya aku orang terakhir yang tahu ke?”
Syamran mengangguk. “Kau, Adib dengan Dibah..”
“Adib” Tun Maryamul Azra memanggil.
“Umi mengandung? Adib nak adik lelaki tau..” Adib ketawa sendiri sambil memandang Adibah.
“Dibah suka?” Syamran memandang anak perempuan kesayangannya.
Adibah memandang Adib. Sungguh dia bingung dengan perbincangan saat ini. “Mengandung tu apa?”
Adib memandang Adib dengan membulatkan matanya. Tun Maryamul Azra dan Tun Adib Nasir saling memandang sambil melepaskan tawa. Begitu juga Syamran dan Afiqah yang terhibur dengan soalan Adibah.
“Dibah nak dapat adik..” Syamran tersenyum menampakkan barisan giginya.
“Adik?” Adibah membulatkan matanya. Dia tersenyum memandang Adib. “Dibah nak dapat adik?”
Adib mengangguk. Dan Adibah bersorak sendiri. Dia kurang mengerti apa sebenarnya maksud adik itu, tapi dia tahu dia bakal mendapat teman. Dia ber’hooray’ sendiri.
“Sukanya dia..” Tun Adib Nasir tersenyum. Suka dia melihat keharmonian dua buah keluarga ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s