Demi Syaqiqah – P3

Dia ketawa gembira melihat keadaan Adib yang sudah comot dipenuhi pasir. “Padan muka!”
Adib ketawa melihat Adibah ketawa. Tangannya lantas mengambil pasir yang berada di dalam perkarangan kolam ikan dan melumurnya ke wajah Adibah.
Adibah menjerit. Dia tidak suka bila pasir itu dilumur pada wajah. Terasa berpasir seluruh muka. Tangan lantas membersihkan pasir di seluruh muka dan memandang Adib. Dia ketawa mengekek bila tangannya mencapai paip air. Mahu menyembur pada Adib.
Namun Adib laju menangkap helah Adibah. Dia berlari ke arah kepala paip air dan membukanya. Membuatkan Adibah yang tidak menyedari perkara itu basah terkena air.
Adibah mencampak paip air dan Adib menutup kepala paip kembali. Apakah Adibah merajuk? Adib mula susah hati. “Dibah..”
Ternyata Adib salah menyangka. Adibah menolak Adib hingga budak lelaki itu terjatuh dan dia ketawa lagi. “Padan muka! Padan muka!”
Adib gelak besar. Nampaknya hari ini mood Adibah sangat baik. Apakah kerana dia bakal menjadi seorang kakak? Selalunya jika dia bergurau kasar sebegini, pasti harus memikirkan seribu satu cara untuk memujuk Adibah. Tapi hari ini…
“Kenapa?” Adibah melangkah pada Adib bila melihat ‘abang’nya itu diam sahaja.
“Dibah nak keluar?”
Adibah mengerut dahi. Maksud Adib.. “Keluar?”
“Jom kita keluar”.
“Umi dengan mommy tak bagi. Nanti kita kena marah..” Adibah memandang Adib serius.
“Jomlah.. Kita pergi tengok taman kat luar tu. Abang dah lama teringin nak tengok..”
“Kita ajak Kak Enon?”
“Tak nak”.
“Kita ajak Kak Anum?”
“Tak nak. Kita pergi dua orang je. Abang dengan Dibah..” Adib bersungguh mahu keluar berdua.
Adibah menggeleng kepala. Dia tidak suka melanggar kata-kata umi dan mommy. Tidak mahu dimarahi teruk nanti. Tapi Adib berbeza. Lagi dilarang lagi dibuat. Lagi dimarah lagi dia mahu mencari fasal.
“Jomlah..” Adib memujuk.
Adibah berlari meninggalkan Adib. Tidak mahu menyertai Adib dengan rancangan jahatnya. Namun Adib tiba-tiba menangis. “Dibah tak sayang abang! Dibah tak sayang abang…”
Adibah berpatah balik. Dia memeluk Adib yang masih lagi menunduk sambil menangis. “Dibah sayanglah… Oklah, Dibah ikut.. Shhh…”
Adib senyum jahat di dalam pelukan Adibah. Tahu sangat taktiknya itu pasti menjadi untuk memujuk Adibah. Lantas dia memandang Adibah dengan air mata yang masih bersisa. “Betul nak ikut!?”
Adibah mengangguk dan Adib menguntum senyum. Tangan Adibah ditarik. “Jom”.

###########

Afiqah melangkah keluar lemah dari bilik air. Tangan berpaut pada tiang katil sambil melangkah ke katinya. Walaupun kandungannya sudah berusia lima bulan namun mabuknya masih sama.
Dia melepas nafas. Dulu sewaktu mengandungkan Adibah tidak pula dia mabuk sebegini rupa, mengapa agaknya? Sewaktu mengandungkan Adibah dahulu, mabuknya hanya dua bulan pertama. Juga tubuhnya tidak selemah ini. Selepas tiga bulan pertama, dia boleh melakukan kerja-kerja seperti biasa.
“Makan..” Tun Maryamul Azra melangkah masuk bersama Anum di belakangnya.
Afiqah memandang. “Apa tu?”
“Bubur ayam. Kau ok tak? Aku tengok kau makan semua keluar balik. Jadi aku minta Kak Zah buatkan bubur ayam. Larat tak?” Tun Maryamul Azra mengambil tempat di sisi Afiqah.
Afiqah menguntum senyum. “Buat susah kau je..”
“Tak de maknanya. Anum, sini dulang tu..”
Anum melangkah mendekati Tun Maryamul Azra. Dia menghulurkan dulang yang terisi semangkuk bubur ayam bersama segelas air putih.
“Awak boleh sambung kerja. Terima kasih Anum. Tengokkan Adib dengan Dibah sekali..”
“Baik Tun” Anum menguntum senyum dan berlalu pergi. Tun Maryamul Azra mengacau bubur ayam yang masih berasap. “Makan sikit ea..”
Afiqah hanya memandang lemah. Dia senyum nipis melihat keprihatinan Tun Maryamul Azra padanya.

##########

Keduanya berjalan perlahan dan senyap keluar dari pagar. Adib yang lebih dewasa juga lebih ‘akal’nya membuka pintu pagar dengan sangat berhati-hati agar tiada bunyi. Jenuh juga mahu menyorok dari pak pengawal yang mengawasi villa itu 24 jam.
Adib menarik tangan Adibah yang agak lambat darinya. “Jom”.
Adibah menguntum senyum. Tiba-tiba terasa seronok pula mahu melakukan sesuatu yang jarangnya dia lakukan. “Ok”.
Keduanya berjalan hingga tiba ke jalan raya perumahan. Tiada kereta ketika itu. Sesuai dengan waktu yang menunjukkan pukul 10.30 pagi. Tambah pula hari ini adalah hari minggu. Pastilah tiada yang tinggal di rumah kerana semuanya keluar bercuti.
Adib dan Adibah bagai tergamam melihat suasana di luar. Iyalah, selama ini mana pernah dibiarkan bermain sendirian di luar. Jadi bila dapat bermain tanpa pengawasan orang dewasa, berbagai perkara yang boleh dilakukan.
“Abang, nak main tu!” Adibah menunjuk ke arah buaian yang berada di taman.
“Jom” Adib penuh yakin menarik tangan Adibah dan mereka berlari anak menuju ke taman permainan. Dia sangat yakin walaupun dia masih kecil, dia mampu menjaga Adibah kerana dia seorang lelaki.
Adibah senyum sendiri. ‘Seronoknya dapat main buaian!’ Dia bermonolog sendirian.
Langkah keduanya terhenti. Keduanya terkejut melihat beberapa ekor anjing liar yang berkeliaran di sekeliling taman permainan itu. Adib memandang Adibah dan Adibah menggeleng. Dia memang tidak sukakan anjing.
Adib mengajak Adibah berlari namun Adibah mula menangis sebaik salah seekor anjing itu melihatnya. Adib menarik tangan Adibah dan terus berlari. Namun tangisan Adibah telah memanggil anjing-anjing itu agar ‘mengejar’ mereka.
“Dibah cepat!” Adib bersuara kuat.
Anjing-anjing liar itu sudah semakin hampir namun Adibah tidak mampu berlari lagi. Jarak yang tadinya dirasakan sangat dekat kini menjadi sangat jauh.
“Dibah!”
Adibah akhirnya jatuh tersungkur dengan tangisannya. Lututnya tepat mengenai jalan raya yang berbatu. Adib melihat anjing-anjing liar itu sudah berhenti mengejar tapi makin mendekat. Apa yang harus dia lakukan?
Adibah terus-terusan menangis. Membuatkan Adib bingung mahu bertindak. Mahu memujuk, mahu berlari meninggalkan Adibah atau mahu pulang memanggil pak pengawal?
Dia akhirnya memeluk Adibah erat. Memujuk Adibah agar berhenti menangis. Kepalanya ditundukkan tidak mahu melihat anjing-anjing yang semakin mendekat.
“Shuuh.. Shuuh..!” Kedengaran bunyi seseorang menghalau anjing-anjing liar itu.
Adib mengangkat wajahnya dan melihat. Seorang lelaki dewasa bertubuh gempal memandangnya. Dahi lelaki dewasa itu berkerut memandang Adib. “Ya Allah! Kamu berdua ni dari rumah Tun kan? Macam mana boleh ada kat luar ni?”
Adib memandang. Tidak berani menjawab mahupun mengatakan apa-apa. Dia tahu dia telah melakukan kesalahan besar.
Lelaki gempal itu menanggalkan pelukan Adib dan melihat Adibah. Air mata Adibah diseka lembut. “Shh..” dia memujuk.
“Darah..” Adibah mula panik melihat darah yang mengenai seluar panjang berwarna putih di lututnya.
“Ya Allah..” lelaki gempal itu menggeleng-geleng. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lantas dia mendukung Adibah dan menarik tangan Adib. Mereka harus dihantar pulang ke rumah.

###########

“Kenapa ni?” Tun Maryamul Azra menyoal Anum dan Enon yang keduanya kelihatan kelam kabut di dapur.
“Tun..” keduanya mengucap serentak.
Tun Maryamul Azra meletakkan pinggan kotor ke dalam sinki. Afiqah telah pun diberi ubat agar dia dapat tidur, melelapkan mata juga merehatkan diri.
“Kenapa?”
“Aaa…” Anum tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Enon lebih lagilah berdiam. Bagaimana mahu memberitahu Tun Maryamul Azra bahawa Adib dan Adibah tidak dapat ditemui?
“Kenapa?” Tun Maryamul Azra meninggikan suara. Dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jika tidak masakan kedua pembantu rumahnya kelihatan serba tidak kena.
“Adib dengan Dibah hilang..” Anum bersuara perlahan.
“Apa?” mata Tun Maryamul Azra membulat. “Adib dengan Dibah hilang?”
Anum dan Enon mengangguk. “Kami minta maaf Tun”.
“Dah cari satu villa ni?”
Anggukan diberikan. Tun Maryamul Azra mulai tidak sedap hati. Ke mana perginya budak berdua itu? “Dah tanya Pak Mat?” Tun Maryamul Azra menyoal merujuk pada pengawal yang menjaga keluar masuk rumah.
Anum dan Enon mengangguk lagi. Tun Maryamul Azra melepas nafas. “Ya Allah..”
Bunyi loceng membuatkan perhatian mereka teralih. Segera mereka bertiga berlari anak menuju ke pintu utama.
Wajah Pak Mat adalah yang pertama dilihat. “Pak Mat” Tun Maryamul Azra memandang.
“Ni Tun, Bob jumpa Adib dengan Dibah kat taman mainan sana tu…”
Mata Tun Maryamul Azra membulat lagi. Memandang Adibah yang berada di dalam dukungan Bob. Bob merupakan anak lelaki jiran selang tiga buah rumah darinya. “Dibah..”
“Kaki dia luka Tun. Rasanya terjatuh masa kena kejar dengan anjing tadi” Bob menerangkan sebab dia mendukung kanak-kanak perempuan itu.
Tun Maryamul Azra mengangguk memahami. Matanya tajam memandang Adib yang sedari tadi menundukkan kepalanya. Itulah Adib. Bila dia melakukan kesalahan, begitulah gayanya.
“Anum, Enon, bawak Adib Dibah masuk dalam”.
Anum mengambil tangan Adib yang memegang Bob sementara Enon mengambil Adibah dari dukungan Bob.
“Terima kasihlah sebab hantarkan budak-budak tu..”
“Saya sebenarnya nak pergi kedai depan. Tapi ternampak budak berdua tu. Tu yang saya hantar ke sini. Pelik juga tak de orang dewasa yang tengokkan..” Bob memberitahu.
Tun Maryamul Azra senyum lagi. “Terima kasih” sedang di hati menggelegak marahkan anak lelaki tunggalnya. Pandai-pandai menyelinap keluar dari villa, lihatlah apa yang terjadi.
“Saya balik dululah..”
“Terima kasih, Bob”.
“Sama-sama. Saya gerak dulu, Pak Mat”.
Bob berlalu dengan senyuman. Tun Maryamul Azra memandang Pak Mat. “Pak Mat tak sedar bila budak berdua tu keluar?”
“Memang tak sedar Tun. Tapi Pak Mat rasa dia keluar ikut pintu belakang. Pak Mat dah tengok CCTV tadi, memang tak de gambar budak berdua tu..”
“Saya tak rasa dia keluar dari belakang. Tak pelah, Pak Mat. Pak Mat pergilah buat kerja. Nak kena Adib ni…”

############

“Cakap dengan mommy, Adib minta izin siapa?”
Adib diam. Sedari tadi semua soalan mommynya dijawab dengan berdiam diri. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab.
“Adib!” Tun Maryamul Azra meninggi suara.
Enon yang sedang mencuci luka Adibah memandang Tun Maryamul Azra. Dia tahu majikannya itu sudah tidak dapat mengawal emosi. Siapa yang tidak tahu betapa Tun Maryamul Azra sayangkan Adibah?
Tun Maryamul Azra memandang Adibah yang telah pun lelap. Dia telah meminta Enon memberi Adibah ubat tahan sakit agar anak kecil itu tidak meronta saat lukanya dicuci. Dan sekarang Adibah telah pun terlelap. Pasti kerana kesan ubat juga penat yang ditanggung.
“Enon, awak bagitahu Fika ke?”
“Tak Tun”.
Tun Maryamul Azra melepas nafas lega. Dia tidak mahu rehat temannya itu terganggu. “Adib, jawab soalan mommy”.
Adib diam lagi. Tun Maryamul Azra mengetap bibir. Tangannya mencapai rotan yang sedari tadi dipegang Anum. Dia bukannya jenis yang suka merotan anak, tapi dia paling benci bila soalannya tidak dijawab. Lagipun, kesalahan Adib kali ini memang berat.
“Tun” Enon dan Anum bersuara serentak, tidak mahu melihat tuan muda mereka dirotan.
Tun Maryamul Azra memandang Anum dan Enon tajam. Dia tidak suka bila pembantu rumahnya masuk campur urusan dalam keadaan begitu. “Cakap dengan mommy..”
“Adib nak keluar jalan..” Adib mula bersuara melihat rotan di tangan mommynya.
“Selama ni Adib tak jalan ke? Mommy daddy bawa Adib keluar pergi sana pergi sini. Pergi dengan umi abi dah selalu. Mommy, daddy, abi, umi semua Adib jalan-jalan! Adib tu kecil lagi, baru sekolah rendah. Bawa Dibah pula tu, tengok apa dah jadi kat Dibah? Tak kesian kat umi ke? Adib pun tahu umi tengah sakit kan? Kenapa buat perangai?!” satu hayunan rotan singgah di kaki Adib.
Adib menahan esak kerana menanggung kesakitan yang teramat sangat. Dia tetap tidak mahu mengalirkan air mata. Biarlah dia menangis di dalam bilik saja, bukan di hadapan mommy.
“Kalau Adibah kena apa-apa tadi, apa Adib nak jawab dengan daddy? Apa Adib nak jawab dengan abi?” Tun Maryamul Azra merotan lagi untuk kali ke dua. Dan tangannya melepaskan rotan itu.
“Anum, simpan rotan tu” Tun Maryamul Azra memberi arahan. Bimbang tindakannya dikawal perasaan marah yang melampau.
Adib memberanikan diri memandang mommynya. Air matanya mulai jatuh mengalir walaupun sudah cuba ditahan. Sakit yang teramat di kaki membuatkan air matanya tetap tumpah jua. “Mommy…”
Tun Maryamul Azra melepas nafas. Hiba hatinya melihat air mata Adib. Dia duduk berlutut dan memegang tangan anak lelakinya. “Adib jangan buat lagi ye, jangan buat mommy susah hati”.
Adib mengangguk. “Mommy, Adib minta maaf. Adib cuma nak keluar jalan-jalan.. Adib nak main dengan Dibah..”
Tun Maryamul Azra menyeka air mata Adib. “Janji jangan buat lagi?”
“Janji. Adib minta maaf” dan Tun Maryamul Azra memeluk anak kesayangannya erat. Dia bukan sengaja mahu merotan Adib, tapi dia tidak mahu Adib mengulang kesalahannya. Bagaimana jika sesuatu terjadi pada mereka sewaktu mereka di luar tadi? Boleh jadi diculik atau dibunuh? Apa yang harus dia lakukan..?

##########

Suasana di pejabat Tun Adib Nasir tegang. Syamran yang sedari tadi hanya duduk membaca akhbar di sofa tetamu kini sudah berada di sisi Tun Adib Nasir.
“Saya dah cakap jangan masuk campur dengan urusan projek ni. Macam mana awak boleh dapat 10% kalau awak tak masuk campur?”
“Tun Adib Nasir, macam mana saya dapat share dalam projek tu Tun tak perlu tahu. Dan saya tak rasa, ianya perkara yang perlu untuk Tun masuk campur” Jalal bersuara tegas.
“Jalal, saya rasa baik awak hentikan semua ni. Tak de faedahnya awak nak rebut hak dari projek tu. Sebab projek tu memang bukan hak awak.!!” Syamran menyokong Tun Adib Nasir.
“Kau tu cuma kuli je. Kau diam” Jalal membulatkan matanya.
“Syam bukan kuli aku. Dia personal assistant aku dan darjat dia lagi tinggi dari kau. Samada kau keluarkan nama kau dari projek tu atau aku keluarkan kau dari Legasi Adib. Dengan rekod yang kau ada, aku rasa tak susah untuk keluarkan kau dari Legasi Adib dan masukkan kau dalam lokap” Tun Adib Nasir bersuara tegas.
Jalal mengetap bibir, menggenggam penumbuknya. Berani-beraninya Tun Adib Nasir memalukan dia di hadapan Syamran sebegitu rupa. Fail di atas meja dicapai kasar.
Tun Adib Nasir masih memandang Jalal tajam. “Mana kau nak?”
Jalal memandang Syamran sekilas dan melangkah keluar dari pejabat Tun Adib Nasir. ‘Perkara ni takkan berhenti kat sini. Aku akan pastikan perbuatan kau hari ini dibalas dengan nyawa, Tun Adib Nasir!’ Ikrar Jalal penuh dendam.

##########

Dia membuka mata perlahan. Senyumnya dikuntum melihat Adibah lena tidur di sisinya. Jam dinding dipandang, sudah pukul 4.45 petang, dia harus menunaikan solat Asar.
Kepala ditundukkan untuk mencium dahi anaknya itu. Namun tangan yang menyentuh lebih laju menangkap suhu tubuh badan Adibah yang panas.
“Dibah… Dibah..” Afiqah yang tadinya lemah kini segar-bugar merisaui anaknya. Hilang sudah segala lelah tubuh yang dirasakan tanpa henti sejak mengandungkan anak keduanya ini.
Adibah tidak membuka mata. Tidak menyahut tidak juga bergerak membetulkan kedudukan. Afiqah mula risau. “Dibah.. Dibah..”
Dia bangun dari katil dan melangkah masuk ke bilik air. Mahu menunaikan solat Asar dahulu. Bimbang jika dia sibuk merisaui Adibah, dia bakal terlepas solat Asar.
Namun niat untuk menunaikan solat Asar terbatal sebaik melihat Adibah meracau. Dia membetulkan tidur Adibah yang kelihatan kesejukan. Tika tangannya terselak selimut yang menutupi Adibah, dia melihat lutut Adibah yang berbalut.
Dahi berkerut melihat lutut Adibah. Adibah luka? Kerana apa? Bagaimana? Nafas ditarik menenangkan diri. Dia sudah tahu mengapa Adibah demam panas begini. Jadi dia tidaklah terlalu risau.
Sejadah dibentangkan di ruang yang ada. Dia mahu menunaikan solat Asar terlebih dahulu. Apa-apa pun, solat haruslah diutamakan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s