Demi Syaqiqah – P4

“Fika”.
Afiqah yang masih bertelekung menoleh memandang Tun Maryamul Azra yang melangkah laju ke arahnya. “Kenapa ni?”
“Aku nak minta Enon lapkan badan Dibah” Afiqah memberitahu.
“Demam dah?”
Anggukan diberikan buat sahabatnya itu. Namun tak lama dahinya berkerut. ‘Demam dah?’ Ertinya, temannya itu tahu apa yang berlaku. Apa yang menimpa Adibah sehingga suhu badannya naik begitu. “Kau..”
“Adib bawa Dibah keluar”.
“Adib? Bawa Dibah keluar?”
Tun Maryamul Azra melepas nafas sambil mengangguk. “Dia tahu kita tak bagi dia keluar berdua. Dia keluar senyap-senyap. Nasib baik Bob jumpa”.
“Bob?”
“Anak Pak Cik Zaki”.
“Oh..” Afiqah mula dapat membayangkan Bob yang dimaksudkan temannya.
“Tapi kakinya dah luka dulu. Seluar putih yang dia pakai tadi Enon dah rendam”.
Afiqah melepas nafas. “Adib.. Adib..”
Tun Maryamul Azra menguntum senyum nipis. Iya, satu kelemahan Adibah. Mahu dikata penyakit juga bukan, kelebihan juga bukan, kelemahan juga mungkin tidak tepat. Yang pasti ia membuatkan sesiapa yang melihat Adibah terluka akan sedikit susah hati.
Jika ada walau sedikit darah yang mengalir keluar dari tubuhnya, suhu badannya akan meningkat. Dia akan mengalami demam panas untuk tiga hingga empat hari biasanya.
Sudah habis daya mereka menanya pada pihak hospital juga semua pakar perubatan yang berteraburan di Malaysia, namun tiada jawapan pasti yang ditemui. Setiap kali imbasan pemeriksaan kesihatan dilakukan hasilnya sama. Adibah sihat wal afiat tanpa sebarang cacat cela.
Awalnya Syamran dan Afiqah memang susah hati yang teramat. Apakah anak gadis mereka yang satu-satunya terkena ubat guna-guna atau sebagainya? Tapi lama kelamaan mereka sudah mula biasa dengan tindak balas tubuh Adibah.
“Aku dah marah Adib tadi. Kalau Bob tak jumpa, agaknya Dibah tu dah pitam dulu..”
Afiqah tersenyum. Dia sekadar memberi anggukan kepala. Tun Maryamul Azra memanggil Enon yang tidak tahu di mana keberadaannya.
“Enon! Enon!”
“Ya Tun” terkocoh-kocoh Enon datang bila namanya dipanggil.
“Tolong tengokkan Dibah tu. Dah mula meracau dah.. Awak tolong lapkan badan dia supaya panasnya reda”.
Enon menganggukkan kepalanya, menuruti permintaan Tun Maryamul Azra. Dia berlalu ke dapur bagi menyediakan air untuk mengelap badan Adibah.
Tun Maryamul Azra memandang Afiqah. “Kau dah ok ke? Tak de pening-pening dah..?”
Afiqah menguntum senyum. “Dah kurang sikit. Adib punya jasa, aku risau sangat masa Dibah meracau tadi. Aku tak tahu pun yang dia ada luka kat kaki tu mula-mula. Tapi bila dah tahu kenapa dia demam, tak de lah susah hati sangat..”
Tun Maryamul Azra mengangguk memahami. Afiqah memandang. “Aku naik dululah. Tak boleh tinggal Dibah lama-lama”.
Anggukan diberikan. Dan Tun Maryamul Azra menghantar Afiqah dengan pandangan mata. Masih ingat lagi sewaktu awal-awal mereka mahu biasa dengan perubahan drastik Adibah bila mengalami luka, sekalipun luka kecil.
Satu villa kelam-kabut memikirkan mengapa Adibah jadi begitu? Sedangkan sewaktu bayinya, dia belum menunjukkan sebarang tanda. Semuanya bermula ketika Adibah berusia setahun. Sejak itu, mereka sangat berhati-hati agar Adibah tidak mengalami luka dengan mudahnya.
Memang dia hanya akan demam panas tapi kata doktor yang merupakan doktor peribadi keluarga ini, Dr.Omar jika terlalu kerap mengalami demam panas begitu, badannya akan mengalami kekejangan untuk satu tempoh dan ia mungkin akan membuatkan perjalanan saraf otak Adibah terganggu.

#########

Briefcase bersama kot dihempas di atas meja. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan Tun Adib Nasir hari ini. Beraninya dia merendahkan martabat Jalal dengan mengatakan darjat Syamran lebih tinggi darinya?
“Papa…”
Mata Jalal terbuka bila terasa kakinya dipaut anak kecil itu. Dia menguntum senyum memandang anak perempuan tunggalnya, Amelia atau lebih mesra dipanggil Amy. “Sayang..”
“Papa baru balik dari pejabat?” becok Amy menyoal.
“Ye, sayang. Mama mana?”
“Mama tengah tidur. Papa penat?”
“Taklah.. Papa tak penat. Papakan cari duit untuk Amy, untuk mama. Mana boleh penat,kan?”
Amy ketawa menampakkan barisan giginya. “Sayang papa..” sebuah ciuman singgah di pipi Jalal.
Jalal mengusap Amy penuh kasih. Inilah anak perempuannya, ratu hatinya juga cinta hatinya. Dialah yang paling disayangi Jalal di dunia ini. Anak perempuan hasil perkahwinannya dengan wanita yang dicintai, Amnah.
Dia bertungkus lumus melakukan segalanya demi kesenangan mereka berdua. Dia pulun mencari segala kemewahan juga buat mereka berdua. Dan dia tidak sesekali akan membiarkan sesiapa pun menjadi penghalang.
Amy yang sedang bermain dengan tali lehernya dicium penuh kasih. Dia akan pastikan Amy mendapat segalanya. Segalanya yang terbaik di dalam terbaik.
Tangan mencapai telefon pintar di dalam poket kotnya. Dia menguntum senyum sendiri memandang nombor telefon yang tertera di skrin. Dia sudah tahu siapa yang boleh diarah untuk melakukan kerja ini. Cepat, cekap juga senyap.

##########

Syamran menjeling Tun Adib Nasir yang sedari tadi berdiam diri di sebelahnya. “Nasir”.
“Ya?”
“Kau ok tak ni?”
Tun Adib Nasir melepaskan sebuah keluhan. “Aku tak percaya Jalal sanggup buat macam ni”.
“Tapi aku percaya” Syamran melepaskan nafas dalam pemanduannya.
“Maksud kau?” Tun Adib Nasir menyoal, kurang memahami maksud kata-kata Syamran.
“Dah berapa kali dia gelapkan duit syarikat Nasir. Bukan sikit, berjuta-juta. Kau pun tahu, tapi kau bagi peluang sebab dia merayu dan ungkit kisah persahabatan ayah dia dengan Pak Cik Uthman. Kita pun tahu memang ayah dia berjasa besar dalam Legasi Adib. Tapi Nasir, kau maafkan dia berapa kali pun aku tak rasa dia boleh berubah. Kita ni macam simpan gunting dalam lipatan kain tau”.
Tun Adib Nasir mengeluh lagi. Apakah semuanya kerana salahnya yang sentiasa bersedia untuk memaafkan lelaki itu? Dia sedar ayah Jalal sangat berjasa dalam syarikatnya. Dia memaafkan Jalal juga atas hal itu. Juga setiap kali Jalal membuat hal, Jalal sudah berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Kerana itulah pintu kemaafan sentiasa terbuka buat lelaki itu. “Kau rasa salah aku ke Syam?”
“Aku tak kata salah siapa-siapa. Tapi aku nak kau ambil tindakan tegas. Kau ni lembut hati sangat, memang dari dulu. Kau tahu?”
“Aku tak fikir dia serius nak ambil alih kuasa dalam Legasi Adib tu”.
“Nasir, Nasir. Ni lah sebabnya Pak Cik Uthman tak bagi aku tinggalkan kau. Sebab kau ni senang sangat nak kena tipu. Bila jadi macam ni, kau mengadu. Esok lusa bila Jalal tu merayu minta maaf kau yang senang-senang nak maafkan dia” Syamran melepaskan rasa tidak senang hatinya.
Tun Adib Nasir mengeluh lagi. Iya, dia akui mungkin ini salahnya. Tapi dia bukannya sengaja. Pandangannya menghala pada Syamran yang masih lagi memandu. Untungnya dia memiliki teman seperti Syamran. Dia tidak tahu bagaimana agaknya hidup ini jika tiada Syamran.
“Syam”.
“Apa?”
“Terima kasih banyak..”
Syamran mengerutkan dahinya. Tun Adib Nasir dipandang. “Demam?”
Tun Adib Nasir mengalih pandangannya. “Tulah kau. Kalau aku buat scene drama sikit cakap aku demam. Cakap aku sakit, cakap aku tak betul”.
Syamran ketawa mendengar kata-kata Tun Adib Nasir. Nasir, Nasir. Sudah tua bangka pun perangai masih seperit kanak-kanak Ribena. Sudah memiliki anak pun masih begini sikapnya. “Yelah. Sama-sama. Dah.. Kita dah sampai ni. Kau tak yah buat muka serabut tu, kau sendiri yang cakap tak nak buat Yam dengan Fika susah hati dengan masalah Legasi Adib”.

###########

Dia yang baru pulang dari sekolah turun dari kereta. Langkah kaki menuju pada Afiqah yang leka menikmati pemandangan taman mini yang menghiasi villa itu.
“Umi…” Adib memanggil.
Afiqah menoleh. Dia menguntum senyum memandang Adib yang masih lagi berbaju sekolah sambil menggalas beg sekolahnya. “Ya sayang..”
“Adib minta maaf?”
Afiqah ketawa kecil. “Meh sini..” dia memanggil anak kecil itu.
Adib mendekati uminya. Mengambil tempat di sisi umi yang tiada sesiapa. Afiqah mengusap kepala Adib lembut. “Umi tahu Adib tak sengaja kan?”
Adib mengangguk. “Tapi Adib yang buat Dibah demam”.
“Adib pun tahu yang Dibah selalu demam. Adib kenalah jaga Dibah elok-elok bagi dia tak demam. Adib nak dapat adik lagi sorang ni” Afiqah berhenti seketika dan memegang kandungannya. Dan dia menyambung semula, “Adib janji dengan umi, lepas ni jaga Dibah elok-elok. Boleh?”
Adib menguntum senyum. “Adib janji Adib akan jaga Dibah sampai Dibah besar macam umi”.
Afiqah ketawa lagi dengan gelengan kepalanya. “Kalau macam tu, bila Dibah besar macam umi, Adib tak nak jaga dah?”
“Nak! Adib nak jaga Dibah sampai bila-bila!!” laju Adib menjawab.
Afiqah senyum. Anak kecil ini.. Moga benarlah apa yang dikatakan Adib. Semoga semuanya diizinkan Tuhan. Janganlah ditarik ketenangan hidup mereka ketika ini. Tuhan…

#########

Pintu bilik dibuka. Dia melangkah masuk ke dalam bilik berwarna hijau muda itu. Langkah kaki menuju pada katil yang menempatkan Adibah kesayangannya.
Adib menanggalkan beg sekolahnya di atas meja. Dan mendekati Adibah yang masih lena tidur. Dia memandang Adibah lama. Tangannya merasa pipi Adibah yang panas. Kepalanya ditutupi cool fever membuatkan Adib tidak dapat menyentuh dahinya.
Mata Adibah terbuka perlahan. Dia tersedar bila merasa ada tangan yang menyentuh pipinya. “Abang..” Adibah bersuara lemah.
Adib menguntum senyum. “Dibah ok?”
“Ok. Kenapa abang nangis..?” Adibah menyoal bila melihat mata Adib yang berkaca.
Adib menggeleng. Dia tidak suka melihat Adibah lemah begini. Lebih-lebih lagilah keadaan Adibah sekarang ini disebabkan dia. “Abang minta maaf..”
“Kenapa abang minta maaf?”
Adib terus teresak-esak bila mendengar soalan Adibah. Dirinya sendiri tidak dapat menerangkan rasa bersalah yang ditanggung. Bagaimana dia harus menerangkan pada Adibah yang baru hendak belajar mengenal dunia itu?
“Abang takut Dibah tak ok ke? Kan Dibah cakap Dibah ok?” Adibah memandang Adib yang masih lagi belum berhenti menangis.
“Abang sayang Dibah tau..”
Adibah senyum. Dia tidak tahu mengapa Adib menangis. Tapi dia suka mendengar Adib menyebut sayang padanya. Dia mengangguk. “Dibah pun sayang abang..”
“Abang janji takkan tinggalkan Dibah” Adib menghulurkan jari kelingking bagi memberi janji.
“Dibah pun takkan tinggalkan abang” Adibah membalas huluran Adib. Memberi janji serupa.
“Abang janji lepas ni abang akan jaga Dibah baik-baik sangat”.
Adibah mengangguk dengan senyuman. Adib juga ikut tersenyum. Sama-sama saling memandang dengan senyuman.

#########

“Aku nak kau ikut orang ni. Awasi 24 jam tanpa henti. Kau boleh ajak sesiapa yang kau nak. Yang penting, boleh dipercayai dan tak banyak soal”.
Lelaki itu mengambil gambar yang dihulur Jalal padanya. Dia melihat gambar itu lama. Oh, lelaki ini. Terkenal satu Malaysia. Semuanya gara-gara gelaran ‘Tun’ yang diberi padanya walhal umurnya masih belum mencecah 40-an. “Baik bos”.
“Bagus”.
“Ada apa-apa lagi yang bos nak suruh?”
“Kau buat dulu. Jangan ambil apa-apa tindakan”.
“Baik”.
“Nanti bila aku bagi arahan untuk ambil tindakan, jangan lengahkan”.
“Baik bos”.
Jalal menguntum senyum ‘jahat’nya. Segalanya akan berjalan mengikut rancangan rapinya. Bila Tun Adib Nasir mengambil tindakan melancarkan perang terhadapnya, nyawa lelaki itu akan dia ambil.
Jalal ketawa senang hati. Terasa bagai raja yang mengawal kehidupan hamba. Kini hidup Tun Adib Nasir di bawah kekuasaannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s