Demi Syaqiqah – P5

“Fika..” Syamran melangkah masuk ke bilik tidur. Memandang Afiqah yang duduk bersandar pada katil sambil membetulkan rambutnya yang panjang mengurai.
Afiqah memandang sang suami. “Ya?”
“Syam ingat nak bawa Fika dengan Dibah balik Muar jap”.
Afiqah mengerutkan dahi. Sudah beberapa tahun mereka tidak pulang ke kampung Syamran di Muar,Johor. Mengapa tiba-tiba? “Ada apa-apa ke?”
Syamran mengambil tempat di sisi isterinya. Dia memaut jari-jemari Afiqah dan berkata, “Syam rasa kita macam dah lama sangat tak balik Muar tu. Rumah arwah walid tu nak kena tengok-tengok juga. Syam pun nak kena jumpa mak long, pak long, mak andak,pak su,maksu… Keluarga belah arwah walid. Lama sangat dah tak balik kampung ni..”
Afiqah menganggukkan kepalanya. “Fika ikut je. Nak pergi bila?”
Syamran menguntum senyum sambil tangan kanannya mengusap pipi Afiqah penuh kasih. “Terima kasih sayang.. Tulah, Syam nak kena bincang dengan Nasir dulu. Kalau tak de apa-apa dalam masa terdekat ni lah”.
Afiqah menganggukkan kepalanya. “Terpulang Syamlah. Fika dengan Dibah ok je mana-mana pun..”

########

Dahinya berkerut melihat penyata kewangan yang diserahkan setiausahanya berkenaan peruntukan kewangan untuk projek di Langkawi. Mengapa peruntukan terakhir ini jumlahnya RM 0,000,000.00 ?
Tangannya mencapai telefon pejabat dan segera mendail nombor cawangan di Langkawi. “Hello”.
“Ya Encik Jalal?”
“Boleh emelkan pada saya perbelanjaan projek untuk kali terakhir? Saya nak tahu berapa jumlah peruntukan terakhir yang dikeluarkan”.
“Maaf Encik Jalal. Tun dah keluarkan nama Encik Jalal dari senarai pemegang saham jadi sebarang..”
“Apa awak cakap?” Jalal memotong kata-kata pembicara.
“Tun dah keluarkan nama Encik Jalal dari senarai pemegang saham..”
“Keluarkan nama saya dari senarai?”
“Ya Encik Jalal. Tun dah keluarkan nama Encik Jalal dari senarai pemegang saham jadi sebarang maklumat tidak boleh diberitahu pada Encik Jalal”.
Jalal terdiam. Sampai begini sekali Tun Adib Nasir melancarkan perang terhadapnya? “Boleh saya tahu nama saya digantikan oleh siapa?”
“Maaf Encik Jalal tapi saya diarahkan untuk rahsiakan semuanya dari pengetahuan Encik Jalal”.
“Tak pe, saya faham. Terima kasih”. Jalal menekan butang merah pada skrin sentuh telefon pintarnya. Telefon pintarnya dipandang lama da ia akhirnya dicampak hingga terkena pada dinding. Jatuh melurut dan pecah berderai.
Penumbuk digenggam erat dan dilepaskan di atas meja. Dokumen-dokumen yang bersusun di atas meja habis bertaburan di lantai akibat amukan lelaki itu. “Kurang ajar punya Nasir! Macam ni kau layan aku?!”
Telefon pintarnya di atas meja diambil dan dia segera mendail nombor lelaki itu. Lelaki itu, pembantunya yang selalu melakukan kerja-kerja sebegini untuknya, Pisau.
“Bos”.
“Pisau, aku nak kau ambil tindakan sekarang. Pastikan nyawa dia putus, hancur lumat. Aku nak bagi satu Malaysia tahu yang Tun Adib Nasir dah mati”.

#########

Dua buah bagasi diletakkan di dalam bonet kereta. Dia menguntum senyum memandang Tun Adib Nasir yang membantunya memasukkan barang.
“Susah-susah je kau bagi aku guna kereta ni. Aku boleh naik bas” Syamran memandang.
“Banyaklah kau punya bas. Guna kereta ni lagi bagus. Aku kesian dengan Fika tu, dah besar perut dia. Kau ingat kalau naik bas selesa ke?” Tun Adib Nasir mula membebel pendek.
Syamran ketawa. “Baiklah bos”.
Mereka ketawa bersama melangkah menuju ke Tun Maryamul Azra dan Afiqah yang sedang berbual.
“Fika” Syamran memanggil.
Afiqah mengangguk dengan senyuman. Dia memeluk Tun Maryamul Azra buat seketika. Tun Adib Nasir ketawa kecil melihat keadaan isterinya. “Fika tu pergi seminggu je Yam..”
Tun Maryamul Azra ikut menguntum senyum. “Ye.. Tengoklah perut Fika ni, dah macam nak bersalin esok lusa. Kalau terbersalin kat Muar nanti, bagitahulah..”
Afiqah ketawa kecil. “Yelah..”
Tun Maryamul Azra melilaukan matanya mencari kelibat Adib dan Adibah. Ke mana pula budak berdua ini? “Adib Dibah mana?”
Dan semua mula mencari. Akhirnya mereka berempat tersenyum melihat Adib dan Adibah yang berada di balik kereta.
“Dibah janji pergi sekejap je tau..”
Adibah menganggukkan kepalanya. “Umi kata pergi seminggu je”.
“Dibah jangan tinggalkan abang lama-lama”.
“Dibah tak tinggalkan abanglah. Dibah cuma pergi balik rumah nyai sekejap je…”
Adib memeluk Adibah. Beratnya rasa hati mahu melepaskan Adibah pergi. Dia tidak tahu kenapa, tapi dia dapat merasakan ini pertemuan terakhir mereka.
“Abang nangis lagi?” Adibah yang berada di dalam pelukan Adib menyoal. Dia tidak faham mengapa sejak akhir-akhir ini Adib kerap mengalirkan air mata?
Adib melepaskan pelukannya. Dia mengesat wajah, menghilangkan air mata yang tersisa. “Dibah kenalah balik cepat-cepat kalau tak nak abang nangis..”
“Ye, abang!” Adibah ketawa.
Adib mencebik bibir. Dia susah hati mahu melepaskan Adibah boleh pula Adibah ketawa senang hati. Nampak sangat seronok mahu meninggalkannya.
“Abang marah ke?” Adibah hairan melihat wajah masam Adib.
“Dah, Adib Dibah.. Lamanya sembang mengalahkan orang tua” Tun Maryamul Azra muncul entah dari mana dan memisahkan mereka, mematikan segala niat Adib untuk berbicara.
“Mommy…” Adib merengek memanggil mommynya.
“Nak apa?”
“Boleh Adib ikut Dibah?”
Tun Maryamul Azra ketawa dalam gelengan kepalanya. “Adib.. Dibah tu pergi seminggu je. Tak lama pun..”
Adib memuncungkan bibir. Adibah memeluk Tun Maryamul Azra, setuju dengan kata-katanya. “Tapi mommy..”
“Dah jangan banyak songeh. Kenapa mengada tiba-tiba ni..?”
Adib melepas nafas. Dia mengikuti mommynya melangkah pada daddy. Melihat abi dan umi masuk ke dalam kereta. Adibah duduk di belakang sambil melambai tangan padanya.
Kereta berjalan keluar meninggalkan villa besar itu. Dan air mata Adib tiba-tiba jatuh. Mengapa dia berperasaan seperti ini? Dia benar-benar merasakan ini pertemuan terakhirnya dengan Adibah.

###########

Pisau. Dia menguntum senyum melihat kereta mewah Tun Adib Nasir meninggalkan villa itu. Dia begitu pasti di dalam kenderaan itu adalah Tun Adib Nasir sekeluarga.
Kerjanya mudah. Hanya perlu me’nipis’kan wayar brek. Di awal perjalanan segalanya tampak biasa, namun bila wayar brek benar-benar terputus.. Dia ketawa senang hati.
Telefon pintarnya mendail nombor bosnya. “Hello bos, semuanya dah beres. Saya jamin akan masuk berita pukul 8.00 malam”.

###########

“Dibah..”
“Dibah…”
Dahi Syamran berkerut bila panggilannya tidak disahut anak perempuannya itu. Afiqah menoleh ke belakang untuk melihat apa sebenarnya yang sedang dilakukan Adibah. “Tidur dah..”
“Tidur? Dibah, kita dah nak sampai ni…” Syamran meninggikan suaranya.
“Biar je la dia tidur. Nanti dah sampai, bangunlah tu..” Afiqah menguntum senyum.
Syamran ketawa mengalah. “Yelah sayang..”
Afiqah mengurut bahu suaminya yang sudah mula mengantuk. Syamran tersenyum memandang Afiqah yang mengusap kandungan yang sudah mula membesar. “Macam dah tak lama baby nak keluar..”
Afiqah ketawa. Begitu juga Syamran. Kereta yang sudah mula hampir dengan lampu isyarat membuatkan kaki Syamran menekan brek kaki.
Afiqah hanya berdiam diri sambil melihat hadapan. Syamran mula panik bila brek yang ditekan kakinya tidak memberi kesan. “Fika..”
“Kenapa Syam tak berhenti? Lampu merah tu..” Afiqah memandang, kereta makin hampir dengan lampu isyarat.
“Brek tak makan” Syamran bersuara serius.
Afiqah mengerut dahi. Kaki Syamran masih cuba menekan brek. Namun tidak memberi kesan pada kereta. “Syam..” Afiqah mula bersuara panik.
Syamran cuba menenangkan diri. Mata sudah menangkap sebuah lori yang melepasi dari arah selatan. Kereta yang laju berjalan membuatkan Syamran bertambah panik. Dan sebaik kereta melepasi lampu isyarat…
Lori mengelak dari terkena kereta, membuatkan lori melanggar pembahagi jalan. Pemandu yang hilang kawalan tidak dapat mengawal stereng menyebabkan lori terbalik serta merta.
Mujur jalan kosong ketika itu. Jadi tiada kenderaan lain. Kereta yang dipandu Syamran juga hilang kawalan ketika cuba mengelak dari lori membuatkan kereta terbabas masuk ke dalam hutan yang berada di sepanjang jalan.
Kereta akhirnya melanggar sebuah pokok dan remuk di bahagian hadapan. Kepala Syamran terhantuk mengenai stereng dan kepalanya berdarah. Tangannya menyedarkan Afiqah yang sudah tidak sedarkan diri. “Sayang bangun…”
Syamran memandang perut Afiqah yang sudah terperosok ke dalam. Hanya sekali lihat Syamran sudah tahu kandungannya tidak dapat diselamatkan. “Fika..”
Tangan cuba mencapai Adibah yang berada di tempat meletak kaki. Namun pergerakannya terbatas disebabkan terhimpit membuatkan tangannya tidak mengenai anak perempuannya itu.
Syamran cuba bertahan. Namun keadaannya membuatkan dia tidak dapat bertahan lama. Dan akhirnya dia tidak sedarkan sedang tangan kirinya memegang tangan Afiqah.

##########

Tun Maryamul Azra mengambil pisau di dalam almari untuk memotong buah-buahan yang tersedia di atas meja.
“Tun, biar saya buat” Anum muncul dari pintu dan mendekati Tun Maryamul Azra.
“Tak pe lah. Biar saya buat. Ada tak Fika call?”
Anum menggeleng. “Tak de Tun”.
“Sepatutnya dah sampai ni. Kenapa belum call lagi?”
Anum hanya mendiamkan diri. Mata memerhati gerak-geri Tun Maryamul Azra.
“Ouchh..” Tun Maryamul Azra mencampakkan pisau ke tepi.
“Tun” Anum berlari ke sinki mengambil kain melihat darah yang mengalir dari jari Tun Maryamul Azra.
Tun Maryamul Azra hanya melihat apa yang Anum lakukan. Dia sendiri tiba-tiba tertanya bagaimana pisau itu boleh terkena jarinya? Hati menjadi tidak ‘enak’ secara tiba-tiba.

##########

Matanya terbuka perlahan. Badannya terasa tidak selesa dengan kedudukannya. Dia bangun mengambil tempat di tempat yang sepatutnya.
Mata terbuka luas bila melihat abi dan umi di hadapan. “Umi.. Bangun.. Umi” Adibah mula mengalirkan air mata.
Mata memandang abi di sisi umi. “Abi.. Bangunlah..abi..”
Adibah memandang sekeliling. Dia tidak tahu dia berada di mana. Tangannya mengejutkan Afiqah tapi uminya itu tetap juga tidak sedar. Dia menjerit dengan tangisan memanggil abi tapi abi tidak menyahut.
Adibah mula takut melihat darah yang ber’sepah’ di dalam kereta. Wajah abi umi keduanya berdarah. Tangan abi juga berdarah. Tangan umi juga berdarah.
Adibah masih lagi menangis. Kepala terasa sakit dan matanya mula berpinar. Tapi Adibah tidak mahu pengsan. Matanya gagah dibuka dan mula terasa sesuatu mengalir keluar melalui dahinya. Adibah mencalit cairan di dahi dan melihatnya.
Darah… Adibah mula meronta. Dia tidak suka darah. Dia tahu dia akan demam panas bila ada darah yang mengalir keluar. Adibah akhirnya membuka pintu kereta dan keluar dari kereta.

###########

Bunyi telefon rumah yang berbunyi membuatkan suasana makan malam terganggu. Tun Maryamul Azra memandang Cik Zah yang bergegas mengangkat telefon. Siapa agaknya yang menghubungi?
“Ada tak Fika call?”
Tun Maryamul Azra menggeleng. “Belum sampai kut. Tak call-call pun..”
Tun Adib Nasir mengangguk. Barangkali tekaan isterinya benar. Mungkin Syamran dan Afiqah masih belum tiba di Muar. Tapi, takkanlah bertolak dari pagi hingga sekarang masih juga belum tiba?
“Tun..” Cik Zah yang sudah selesai menjawab panggilan memanggil.
“Kenapa?” Tun Adib Nasir memandang. Riak wajah Cik Zah menandakan ada sesuatu berlaku.
Tun Maryamul Azra turut memandang. Apa yang mahu diberitahu Cik Zah? Adib yang berada di meja makan turut memandang. Menanti kata-kata pembantu rumah mereka itu.
“Hospital Muar telefon. Encik Syam dengan Puan Fika kemalangan”.
“Ya Allah!” Tun Maryamul Azra rebah di lantai saat itu juga.
“Tun” Anum berlari mendapatkan Tun Maryamul Azra. Memaut tubuh wanita yang sudah tidak sedarkan diri itu.
Tun Adib Nasir memandang Cik Zah. “Macam mana keadaan dia orang sekarang?”
“Masih belum tahu, Tun”.
Tun Adib Nasir mengangguk. Dia mengambil telefon pintarnya dan menghubungi setiausahanya. Dia harus ke Muar sekarang juga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s