Demi Syaqiqah – P6

“Minta maaf, Tun. Kami dah cuba buat yang terbaik tapi nyawa Encik Syamran dan Puan Afiqah tak dapat diselamatkan”.
“Innalillah…” Tun Adib Nasir menguntum senyum lemah. Tangan memaut tubuh isteri yang sudah lemah longlai. “Yam..”
“Nampaknya Allah lebih sayangkan mereka bertiga” sambung doktor wanita bertudung bawal itu.
Bertiga? Kalau dicampur dengan kandungan Afiqah, bukankah mereka berempat? Mengapa pula bertiga? Tun Maryamul Azra memandang Tun Adib Nasir. “Maksud doktor?” Tun Adib Nasir menyoal.
“Encik Syamran, Puan Afiqah dan bayi yang dikandung Pun Afiqah. Ketiga-tiganya kami tak dapat nak selamatkan”.
Tun Maryamul Azra mengerutkan dahi. Lalu bagaimana dengan Adibah? Mata memandang Tun Adib Nasir. Dia pasti suaminya itu pasti memikirkan perkara yang sama.
“Tak de budak perempuan sekali dengan dia orang?” Tun Maryamul Azra menyoal.
Doktor menggeleng. Dia begitu pasti hanya mereka bertiga yang dihantar ambulans tadi.
“Tak mungkin doktor. Syam ada anak perempuan, berumur lima tahun. Dia ada sekali dalam kereta tu” Tun Adib Nasir menambah fakta. Mustahil Adibah tidak terlibat dalam kemalangan ini sedangkan mereka tahu Syamran dan Afiqah tidak meninggalkan Adibah.
“Maaf Tun. Memang tak ada. Saya dah buat pemeriksaan sebelum masuk bilik kecemasan tadi. Memang seorang lelaki dewasa dengan seorang wanita hamil. Iaitu Encik Syamran dan isterinya, Puan Afiqah”.
Tun Maryamul Azra memandang Tun Adib Nasir. Ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa pula Adibah tiada di dalam kereta?
“Maaf Tun. Saya nak minta diri. Ada beberapa hal nak kena selesaikan”.
“Silakan..” Tun Adib Nasir tersenyum.
Tun Maryamul Azra memandang Tun Adib Nasir. “Abang, mana Dibah?”
Tun Adib Nasir menggelengkan kepalanya. Dia sendiri bingung mendengar kata-kata sang doktor. Bagaimana Adibah boleh tidak ada dalam kereta?

###########

‘Sebuah kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta Honda Camry telah dilaporkan beberapa jam tadi. Kemalangan itu berlaku disebabkan kecuaian pemandu kereta Honda yang mahu melanggar lampu isyarat berwarna merah tanpa melihat kedatangan lori tersebut. Lori tersebut hilang kawalan dan terbalik serta-merta. Manakala kereta Honda pula terbabas ke dalam hutan dan melanggar sebatang pokok besar. Dilaporkan pemandu lori cedera parah manakala pemandu dan semua penumpang kereta Honda meninggal dunia.
Baiklah, berita selanjutnya..’

Jalal senyum sinis mendengar berita utama malam itu. Tidak sangka semuanya semudah ini. Hanya dengan sekelip mata nyawa Tun Adib Nasir sekeluarga sudah melayang.
“Sayang..” Dia memandang Amnah di sisi.
“Ya?”
“Jom kita pergi holiday” Jalal mengambil Amy dari ribaan Amnah.
Amnah memandang sang suami. “Holiday? Tapi Amy sekolah kan..”
“Kita ambil cuti seminggu dua. Nanti saya cakap dengan pihak sekolah” Jalal mengusap Amy penuh kasih.
Amnah tersenyum. Dia tidak tahu apa yang membuatkan suaminya tiba-tiba segembira ini. Tapi dia tahu, jika suaminya gembira dia pun turut gembira.

#########

Jenazah Syamran, Afiqah dan bayi dibawa pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga atas permintaan dan arahan Tun Adib Nasir. Tun Adib Nasir mahu ketiga-tiganya dikuburkan di Kuala Lumpur agar mudah untuk dia dan ahli keluarganya menziarahi kubur mereka kelak.
Dia mengupah jemaah masjid berdekatan untuk memandikan dan mengkafankan ketiga-tiga arwah. Sebaik semuanya selesai, jenazah langsung ditanam serta-merta.
Tun Adib Nasir tidak mahu semuanya bertangguh. Kalau boleh, biarlah semuanya selesai sesegera yang mungkin. Kepalanya sudah berserabut dengan kemalangan yang tiba-tiba. Juga kehilangan Adibah yang keberadaannya kini tidak tahu di mana.

###########

Matanya membulat membaca akhbar pagi itu. Penumbuknya digenggam bila membaca nama-nama mangsa yang maut dalam kemalangan petang semalam. ‘Syamran bin Syahid dan isteri, Afiqah binti Ahmad’.
“Bodoh!” Surat khabar itu dicampak pada Pisau yang berada di hadapannya.
“Maaf bos, saya..”
“Kau cakap dengan aku yang naik kereta tu Nasir kan? Tengok siapa yang mati? Driver dia, bukan dia. Dasar tak boleh diharap!” Jalal meninggi suara.
“Bos, saya…”
“Aku dah tak nak dengar apa-apa lagi. Kau ambil duit ni dan berambus dari Malaysia sekarang. Sementara hal ni belum terbongkar. Aku tak nak kau dengan aku-aku sekali dapat susah” Jalal mencampak sebuah beg buruk pada Pisau.
“Baik bos”.
“Buat sementara ni kau jangan balik Malaysia. Tunggu sampai aku panggil baru kau balik. Kalau kau ingkar arahan aku, apa-apa jadi aku takkan tolong kau. Faham?!”
“Faham bos” Pisau mengambil beg yang diberi padanya dan langsung meninggalkan banglo mewah itu. Di kepalanya sudah merangka-rangka apa yang mahu dilakukan seterusnya.
“Papa…”
Jalal melepas nafas mendengar suara itu. Dia tidak mahu wajah bengisnya dilihat isteri juga anaknya. “Ya Amy..” Dia menguntum senyum dan melangkah ke arah Amy yang sudah siap berpakaian cantik.
“Cantiknya anak papa..”
“Mama kata papa nak bawa pergi holiday..”
“Ya sayang..” Jalal ketawa kecil dan mendukung puteri tunggal kesayangannya.
Amnah melangkah menuruni tangga sambil memandang Jalal. “Tadi saya dengar suara abang marah-marah. Cakap dengan siapa?”
Jalal diam sebentar. “Tak de apa-apalah. Cakap dalam telefon. Anak papa dah ready?”
“Yes!” Amy menjerit kegembiraan. Amnah ketawa kecil melihat Amy yang seronok mahu bercuti.
“Jom sayang..” Jalal memaut bahu isteri dan mereka sama-sama melangkah keluar dari banglo.

########

Adibah membuka mata perlahan. Dia memandang sekeliling. Di mana dia berada sekarang?
Cuaca sudah cerah, dan kereta sudah mula kelihatan. Ada beberapa manusia yang lalu-lalang namun semua tak hiraukannya.
Dia bangun dari pembaringan. Adibah sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh tidur di kaki lima itu. Tangannya memegang kepala yang masih terasa sakit.
Adibah melihat tangannya. Mujur darah sudah tiada pada tangannya. Dia tidak tahu dahinya luka dan darahnya sudah kering. Hanya melepas nafas kelegaan kerana darah tidak terlihat pada mata kasar.
Dia berjalan melalui kedai-kedai. Kepalanya terasa berpinar-pinar kerana suhu badan yang mulai naik mendadak akibat yang keluar semalam. Dia yang masih kecil langsung tidak memahami mengapa tubuhnya terasa begini.
Adibah memegang tekak yang mula terasa haus. Tapi dia tidak melihat sesiapa yang dikenali. Ke mana pergi umi dan abi? Ke mana perginya mommy dan daddy? Abang, abang di mana?
Adibah mula mengalirkan air mata namun tiada suara yang keluar. Air matanya terus mengalir membasahi pipinya yang sudah pun comot terkena itu ini. Adibah akhirnya berhenti di sebuah kedai makan.
Matanya hanya memandang makanan yang bersusun di atas meja. Perutnya sudah berbunyi memandang ayam goreng yang berada di balik gerai kaca. Adibah memegang perutnya. Laparnya..
“Adik”.
Adibah menoleh. Memandang lelaki yang menegurnya. Entah kenapa Adibah menjadi takut tiba-tiba. Dia terundur ke belakang sedikit.
“Adik, mak adik mana? Adik buat apa kat sini seorang-seorang?” lelaki itu menyoal. Kasihan pula dia melihat anak perempuan ini. Sudahlah kecil lagi, berada dalam keadaan yang tidak terurus pula.
Adibah menggeleng kepala. Dia tidak tahu semuanya. Dia bagaikan tidak memahami soalan lelaki itu.
“Adik” lelaki itu memaut bahu Adibah. Wajah Adibah dipegang dan dia mula terasa suhu badan Adibah yang panas. “Adik demam ni..”
Adibah menggeleng lagi. Kali ini dia mengundur dan terus melarikan diri. Entah mengapa dia terasa sangat takut. Dia terus berlari hingga akhirnya tiba di kawasan meletak kenderaan.
Adibah duduk di atas pembahagi jalan dan menangis lagi. Umi, umi.. Dia hanya memanggil di dalam hati. Sungguh dia sudah tidak mampu untuk berjaga. Abi.. Umi.. Adibah terus memanggil, namun hanya di dalam hati.
Dia sudah tidak mampu lagi untuk bersuara. Terbayang keadaan umi dan abi sebelum dia keluar dari kereta. Akhirnya dia berada di tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana.
‘Abi.. Umi.. Mommy… Daddy.. Dibah nak balik. Abang,, abang kat mana? Dibah nak balik…’
Tanpa sedar akhirnya Adibah terlelap di situ.

############

“Mommy..”
Tun Maryamul Azra memandang Adib yang memanggil. Ketika itu mereka sedang dalam perjalanan pulang ke villa. Baru saja membawa Adib menziarahi kubur Syamran, Afiqah juga bayi mereka. Malam tadi ketika majlis pengebumian, dia meminta Enon tidak mengejutkan Adib kerana tidak mahu tidur Adib terganggu. “Kenapa?”
“Abi dengan umi dah meninggal dunia kan?”
Tun Maryamul Azra menganggukkan kepalanya. Dia pasti anaknya yang sudah berumur lapan tahun memahami apa yang dimaksudkan dengan meninggal dunia.
“Baby sekali?” Adib menyoal lagi.
Tun Maryamul Azra mengangguk lagi. Adib memeluk mommynya. Dia tahu mommynya sedih, dia juga sedih. Jika abi dan umi sudah tiada, selepas ini siapa yang mahu membawa dia keluar berjalan? Siapa yang mahu memasakkan bihun goreng buatnya? Bihun goreng umi adalah bihun goreng tersedap di dunia.
“Adib menangis?” Tun Maryamul Azra menyoal.
Adib mengangguk. “Mommy.. Kalau umi dengan abi dah tak de, macam mana dengan Dibah?”
Tun Maryamul Azra terdiam. Mata memandang Tun Adib Nasir yang duduk di sebelah pemandu. Sungguh, mereka sama-sama tidak punya jawapan untuk soalan Adib.

############

Dahinya berkerut melihat sebuah kereta polis berada di luar perkarangan villanya. Mengapa pula ada polis yang bertandang ke rumahnya?
“Tun, ada tetamu” Cik Zah yang menunggu di pintu memberitahu.
Tun Adib Nasir menganggukkan kepalanya. “Kak Zah minta dia orang tunggu kat mana?”
“Ada kat ruang tamu”.
Tun Adib Nasir mengangguk lagi. Dia memandang Tun Maryamul Azra dan Adib yang berada di belakangnya. “Saya pergi jumpa tetamu dulu”.
Tun Maryamul Azra menganggukkan kepalanya. Dia juga sudah terlalu mengantuk kerana berkejar ke sana ke mari sejak semalam. Dia mahu berehat untuk beberapa ketika.
“Kak Zah minta Enon tengokkan Adib. Saya nak rehat” Tun Maryamul Azra memandang Cik Zah
Cik Zah menganggukkan kepalanya. Tangan mengambil Adib dari Tun Maryamul Azra dan membiarkan Tun Maryamul Azra melangkah masuk.
“Tuan muda lapar? Nak makan apa? Biar Cik Zah sediakan..”

#########

“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Tun” dua orang lelaki berpakaian seragam pegawai polis menghulurkan tangan memandang Tun Adib Nasir.
Tun Adib Nasir tersenyum dan menyambut huluran keduanya. Dia kenal salah seorang dari mereka, Inspektor Ghazali. Inspektor Ghazali merupakan kenalannya sewaktu dia belajar di luar negara dulu. Tapi mereka tidaklah rapat. Hanya kenalan biasa-biasa. Lagi seorang, dia memang tidak kenal.
“Tun, kenalkan pembantu saya, Fazri”.
“Apa khabar Tun?” Fazri menunduk memberi tanda hormat.
“Baik”. Tun Adib Nasir memandang dan mereka bertiga duduk kembali. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
Inspektor Ghazali mengangguk. “Macam ni Tun. Sekarang ni kes kemalangan Encik Syamran berada bawah tanggungjawab saya”.
“Ok, saya faham. Jadi…?”
Inspektor Ghazali melepas nafas. Dia memandang Fazri sekilas dan mula berkata-kata. “Setelah pihak kami membuat siasatan terhadap kereta yang Encik Syamran gunakan, kami dapati ada sesuatu yang tak kena dengan kereta tu”.
Tun Adib Nasir mengerutkan dahinya. “Maksud Inspektor, ada kemungkinan kemalangan ni bukan sebuah kemalangan?” Dia mula dapat menangkap maksud kedatangan kedua pegawai polis itu.
Inspektor Ghazali menganggukkan kepalanya. “Kami mengesyaki kemalangan yang dialami Encik Syamran dan Puan Afiqah adalah sebuah pembunuhan terancang”.
Tun Adib Nasir melepas nafasnya. Sebuah hal yang langsung tidak pernah tersangka dek akal fikirannya. Mata memandang kertas pembentangan yang mula dibentangkan Fazri.
Segala permasalahan yang berkaitan dengan kereta dan menimbulkan syak wasangka pihak polis menjadi topik perbincangan mereka tengah hari itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s