Demi Syaqiqah – P7

“Umi…”
Adibah memisat mata yang baru terbuka. Dia di mana? Dia melihat sekeliling. Banyak kereta yang berada di situ. Dia? Dia tidur di atas batu-bata yang keras dan kotor.
Air mata Adibah menitis ketakutan. Dia mahu menjerit memanggil umi namun suaranya tidak keluar. Dia mahu meronta memanggil abi namun tiada suara yang terhasil dari anak tekaknya.
Dia melihat kereta di hadapannya bergerak. Membuatkan Adibah terundur ke belakang kerana terkejut. Air mata merembes lagi. ‘Mana abang? Abang janji nak jaga Dibah.. Abang!’
Hanya di dalam hati. Sedaya mana pun dia cuba menjerit, tiada sebarang bunyi yang keluar. Wajah Adibah sudah comot dengan air mata ditambah dengan kekotoran wajah yang sudah beberapa hari tidak berbasuh.
Dia bangun dari duduk dan melangkah perlahan. Saat itu juga dia terpandang anjing yang berada tidak jauh darinya. Adibah mula panik, dia bencikan makhluk itu. Dia tidak suka anjing, dia takut..
Adibah akhirnya berlari ke tengah jalan. Tanpa melihat kiri kanan, gadis kecil yang tidak tahu apa-apa itu melintas. Dan…
Street…!!!

########

“Adiiiiib! Adiiibaaaah!!”
Tun Maryamul Azra tersenyum nipis mendengar kata-kata dari pembantu rumahnya itu. Kelakar pula bila Enon tiba-tiba menjerit memanggil nama Adibah di belakang nama Adib. Barangkali sudah terbiasa dengan rutin hariannya yang asyik menjerit memanggil Adib Adibah.
Anum yang sedang mengelap dapur menjeling Enon. Dia tidak mahu nama Adibah disebut di hadapan Tun Maryamul Azra. Bimbang wanita itu susah hati memikirkan Adibah yang disayanginya.
“Maaf Tun” Enon menunduk memohon maaf menyedari kesalahannya.
Tun Maryamul Azra menguntum senyum lagi. “Tak pe… Mesti awak pun rindu Dibah kan?”
Enon hanya menguntum senyum kelat. Untung majikannya ini seorang yang baik dan lembut hati, jika majikan lain pasti sudah habis dia dibahan atas kesalahannya itu.
Adib datang ke dapur berlari-lari. Menyahut panggilan Enon yang memanggilnya ke dapur. Tepat di pintu dapur entah bagaimana, Adib tiba-tiba tersadung dan jatuh tertiarap. Bingkai gambar yang dipegangnya tercampak dan jatuh tepat di kaki Tun Maryamul Azra.
“Ya Allah!” Tun Maryamul Azra sempat menjeling bingkai gambar yang pecah sebelum berlari anak mendapatkan puteranya. “Macam mana Adib jalan?”
Adib menggeleng sambil membuat muka. Dia bangun dibantu oleh mamanya. Anum segera berlari mendapatkan bingkai gambar, bimbang kacanya berterabur dan dipijak orang.
“Kejap!” Tun Maryamul Azra menjerit kecil.
Anum tidak jadi mencapai kaca yang berterabur di dalam bingkainya. Sebaliknya mendapatkan Adib di dalam pegangan Tun Maryamul Azra.
Tun Maryamul Azra melangkah perlahan. Dia memandang bingkai gambar di lantai. Gambar Adib dan Adibah yang ditangkap sewaktu mereka dua buah keluarga bercuti di Pulau Langkawi.
Dia tiba-tiba terasa tidak sedap hati. Lebih-lebih lagi melihat kaca yang hanya berterabur pada wajah Adibah. Nafasnya ditarik perlahan. Mengapa tiba-tiba terasa tidak sedap hati? Apakah ada sesuatu yang menimpa Adibah?

########

“Ya Allah..!” Hannan menekan brek kaki. Dia menenangkan dada yang berombak kencang dek brek tadi.
Segera Hannan membuka pintu kereta dan keluar dari kereta bila teringat gadis kecil yang tiba-tiba melintas. Langkahnya laju menuju pada gadis kecil itu.
“Adik.. Adik..” Hannan memanggil. Nafas ditarik perlahan. Dia memaut tubuh gadis kecil itu. Nafasnya mula kencang kembali melihat gadis kecil itu sudah tidak sedarkan diri.
Langsung tubuh kecil itu didukung dan dibawa masuk ke dalam kereta. Dia harus membawa gadis kecil itu ke klinik temannya.

########

“Boleh aku masuk?”
Omar ketawa mendengar kata-kata Tun Adib Nasir. Dia yang baru selesai memeriksa fail pesakitnya meletakkan pen yang berada dalam genggaman. “Dah masuk baru tanya ke?”
Tun Adib Nasir ketawa kecil. “Apa khabar doktor?”
Omar mencebik bibirnya. “Khabar baik Tun. Tun sihat?” Omar mengangkat kening sambil menjawab soalan Tun Adib Nasir dengan soalan juga.
Tun Adib Nasir ketawa besar. Tidak lagi tersenyum seperti tadi. “Aku ada benda nak cerita ni..”
“Fasal Syam?”
“Polis kata ada kemungkinan kemalangan tu pembunuhan terancang” Tun Adib Nasir langsung saja ke tunjang utama.
Omar melepas nafasnya. “Logik. Musuh kau bukan musuh Syam. Tapi macam mana boleh Syam satu family…?” Ayat Omar mati di situ. Tidak tega rasanya dia menghabiskan ayatnya.
Tun Adib Nasir menggelengkan kepalanya perlahan. “Tapi bukan tu yang aku nak cerita, aku ada hal nak minta tolong”.
Omar mengerutkan dahi. Apa pula yang mahu dibincangkan kawan baiknya ini?
“Kau ingat anak sulung Syam?”
“Dibah? Peliklah kalau tak ingat. Kan kau punya bakal menantu tu?”
“Dibah tak de dalam kereta waktu orang ramai jumpa kereta tu..”
Omar mengerutkan dahi sekaligus membulatkan matanya. “Maksud kau Dibah tak terlibat dalam kemalangan tu?”
Tun Adib Nasir mengangguk. Omar memandang. “Tapi berita cakap sekeluarga, Syam sekeluarga terbunuh. Tiga nyawa terkorban. Tak termasuk Dibah?”
“Ramai tak tahu yang Fika mengandung. Tiga nyawa tu termasuk bayi dalam perut tu sebenarnya”.
Omar mengangguk. “Kau tak bagitahu pihak polis fasal Dibah?”
“Tu yang aku nak minta kau tolong. Aku tak buka mulut, dan aku larang Yam buka mulut. Aku tak nak dia orang tahu ada yang terselamat dari kemalangan tu. Kalau dia orang tahu, kau ingat nyawa Dibah akan selamat?”
Omar mula memahami maksud kedatangan Tun Adib Nasir yang sebenarnya. “Jadi sekarang ni kau nak minta aku tolong cari Dibah?”
Tun Adib Nasir mengangguk perlahan. “Aku minta maaf awal-awal kalau aku buat kau susah. Tapi aku dah tak nampak orang lain yang boleh aku percaya. Kau pun tahukan selain Syam dengan kau, aku tak percayakan orang lain”.

########

“Nampaknya budak ni tak apa-apa. Cuma luka-luka ringan je..” wanita berpakaian seragam doktor itu mengambil tempatnya sambil memandang Hannan yang setia berada di sisi gadis kecil yang dilanggarnya.
“Alhamdulillah.. Aku rasa budak ni macam tak de hala tuju. Kan, Zati?”
Dahi Doktor Zati berkerut. “Kau berkenan dengan budak ni?”
Hannan melepas nafas. Dia menganggukkan kepalanya. Langkahnya menuju pada Doktor Zati yang duduk di meja. “Kau rasa macam mana?”
Doktor Zati melepas nafas. “Aku tak de halangan. Cuma asal-usul budak ni kau tak tahu. Tiba-tiba kau nak ambil dia jadi anak angkat. Mana tahu anak mafia ke, gangster ke, atau pun anak pelacur.. GRO ke..”
“Zati!” Hannan mencubit paha Doktor Zati sakit hati. Geram dia dengan kata-kata yang dikeluarkan sahabatnya itu. “Kau ni bagilah semangat sikit.. Ada ke patut cakap macam tu?”
Doktor Zati melepas tawa. “Cuba kau tanya Sulaiman dulu. Tengok dia cakap apa”.
Hannan berdiri. Dia melangkah pada kanak-kanak perempuan yang masih lagi lena melelapkan mata. Wajah itu memang tenang pada pandangannya. Dan entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang mengikatnya dengan anak kecil ini. Membuatkan dia terasa benar-benar menyayangi anak ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s