Demi Syaqiqah – P8

Dia membaringkan puteri kesayangannya di atas kusyen yang berada di ruang hadapan. Wajah mulus itu dicium penuh kasih sebelum dia menanggalkan kotnya dan menyelimuti tubuh anak kecilnya itu.

Amnah menguntum senyum melihat perilaku suami tercinta. Jelas memperlihatkan betapa suaminya itu menyayangi puteri tunggal mereka. “Abang” Amnah memanggil.

Jalal tersenyum memandang isteri. “Saya ingat nak pergi ziarah Tun Adib Nasir esok. Ada benda nak bincang, boleh ucap takziah atas apa yang menimpa keluarga Syam”.

Amnah mengangguk menyetujui. “Macam tak sangkakan.. Sekelip mata je melayang nyawa satu keluarga”.

Jalal mengangguk mengiakan kata-kata sang isteri. “Ajal maut bukan kerja kita kan?”

Sedang di dalam hatinya ketawa besar kerana salahnya Pisau membunuh Syamran sekeluarga mula memperlihatkan hasil bila keadaan di Legasi Adib sedikit kucar-kacir akibat ketiadaan Syamran. Nampaknya Pisau tetaplah pembantu yang boleh dia harapkan.

Jalal ketawa lagi dalam hati. Sepertinya akan tiba suatu saat nanti di mana dia harus memanggil Pisau pulang ke Malaysia. Namun saatnya bukan sekarang kerana Jalal tahu Tun Adib Nasir tidak akan mendiamkan diri terhadap kemalangan yang menimpa Syamran sekeluarga.

 

##########

 

Hannan melepaskan sebuah senyuman kelegaan di dalam kereta. Nampaknya kunjungannya ke Jabatan Pendaftaran Negeri membuahkan hasil. Anak kecil yang diselamatkannya dipandang penuh kasih.

Nama penuh kanak-kanak itu adalah Adibah Syaqiqah bt Syamran. Saat ini usianya adalah empat tahun. Dia telah pun bertanya tentang asal-usul kanak-kanak itu. Dan pegawai yang bertugas ada bercerita tentang kemalangan yang baru menimpa pemilik nama ibu bapa anak gadis itu.

Dan tiada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak terhadap ketiadaan atau kehilangan Adibah Syaqiqah bt Syamran. Itu pun pegawai yang bertugas bermurah hati dan ringan mulut untuk membantunya. Agak lama jugalah dia menanti pegawai itu menghubungi orang sana-sini untuk mendapatkan maklumat.

Dan setelah pasti tiada yang mencari Adibah Syaqiqah, langsung saja disuarakan hasratnya untuk mengambil Adibah Syaqiqah sebagai anak angkatnya. Dan semuanya berjalan lancar dengan keizinan suaminya Sulaiman.

Jadi sekarang Adibah Syaqiqah sudah menjadi anak angkatnya. Sah di sisi undang-undang, juga perkara yang sangat menggembirakannya. Bagaimana agaknya respon Dian puterinya saat tahu dia bakal mendapat seorang adik?

 

#########

 

Adib membuka baju sekolahnya dan melangkah masuk ke bilik air. Sesudah mandi, dia menunaikan solat zohor dan mengambil tempat di sisi katil.

Adib termenung sendiri memandang gambar dia bersama Adibah sewaktu dia masuk ke sekolah darjah satu. Gambar itu diambil dan wajah Adibah dipandang. Nafas kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun itu dilepaskan.

“Dibah.. Dibah kat mana sekarang? Abang tanya umi dengan abi, semua tak nak jawab. Dibah kat mana…?” Adib merintih dengan air mata yang mulai mengalir membasahi pipinya. Dia benar-benar merindui Adibah. Sangat-sangat rindukan Adibah Syaqiqah.

Dan pandangan Adib mula berpinar-pinar sebelum dunianya menjadi gelap-gelita.

 

##########

 

Dia membuka mata perlahan bila terdengar namanya dipanggil. “Adibah Syaqiqah.. Bangun sayang. Kita dah sampai rumah ni..”

Adibah memandang wajah wanita itu. Dia tahu wanita itu yang telah melanggarnya dan juga menyelamatkannya.

“Kenapa Dibah..?” Hannan menyoal penuh kasih. Entah dari mana nama panggilan Dibah itu muncul, tapi dia merasakan itulah nama yang baik buat Adibah Syaqiqah.

Adibah mengeraskan tubuhnya. Tidak suka dipanggil Dibah. Ada sesuatu pada nama itu. Sesuatu yang mengingatkan dia pada sejarah hitam hidupnya. Dia tidak mahu dipanggil dengan nama Dibah lagi.

“Dibah..” Hannan mengusap wajah Adibah namun anak kecil itu tidak memberikan sebarang respon. “Turun sayang. Kak Dian dengan abah dah tunggu kat dalam”.

Adibah membuat wajah selamba. Tidak beriak, tidak merespon apa-apa. Dia mahu memberitahu dia tidak suka dipanggil Adibah, tapi dia tidak tahu bagaimana caranya. Dia mahu bercakap tapi dia tidak mampu bersuara.

Hannan mengerutkan dahi. Sepertinya ada sesuatu yang Adibah tidak puas hati, tapi apa? Hannan bingung sendiri. Dia hanya punya seorang anak, itu pun Dian sudah berumur enam tahun dan merupakan seorang anak yang sangat mudah dijaga. Dian bukan jenis budak yang menunjukkan sesuatu dengan tindakan.

Jika tidak berpuas hati, dia akan menyuarakannya. Bila marah, dia akan memberitahu apa yang dia marahkan dan bagaimana caranya untuk membuatkan dia hilang marah. Jadi Hannan juga Sulaiman tidak perlu pening-pening memikirkan caranya untuk memujuk puteri tunggal mereka itu.

“Ibu!” Kedengaran suara jeritan dari pintu.

Hannan memandang. Tersenyum melihat Dian yang sedang memakai kasut lantas berlari menuju ke arahnya. “Abah kata ibu nak bawa balik adik untuk Dian. Mana?”

Hannan menunjuk ke arah Adibah yang membeku di dalam kereta. Lantas Dian melangkah mendekati Adibah. Dan memandang ibunya bersilih ganti. “Comellah ibu”.

Hannan mengangguk. Dia mengusap kepala Dian untuk beberapa saat.

Adibah memandang gadis di hadapannya. Menurutnya usiia mereka tidak berapa berbeza. Tapi cara gadis itu memandangnya, membuatkan dia sedikit takut. Adibah mula berundur ke belakang menjauhi Dian.

Dian memandang Hannan. “Nama dia siapa?”

“Adibah Syaqiqah”.

Dian menguntum senyum. “Nama adik Adibah Syaqiqah?”

Adibah diam. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak. Soalan Dian dibiarkan tidak berjawapan.

Dian memandang lama. Dia dapat merasakan ‘adik’nya itu takut padanya. “Kalau macam tu, Kak Dian panggil Adibah boleh?”

Adibah membuat muka. Dia tidak mahu! Dia bukan Adibah! Dia tidak suka nama itu! Dia tidak mahu dipanggil Adibah lagi..!!!!

Dian senyum sendiri. Dia tahu Adibah tidak suka dia memanggilnya Adibah. “Kalau panggil Syaqiqah suka?”

Adibah lantas mengangguk. Wajahnya yang cemberut tadi pantas mempamerkan senyuman manisnya.

Dian ketawa kecil. “Syaqiqah panjang sangat. Kak Dian panggil Iqahlah.. Boleh kan?”

Adibah mengangguk lagi. Dia ketawa tanpa suara. Dian memandang ibunya. Ada sesuatu yang dia musykilkan. Mengapa Syaqiqah tidak mengeluarkan suara apa-apa? Apakah dia bisu?

Hannan bagai memahami maksud pandangan Dian. “Iqah sakit” dia berbisik pada anaknya.

Dian mengangguk. Tangannya dihulurkan pada Syaqiqah dan dia menarik Syaqiqah masuk ke dalam untuk bertemu abah pula. Hannan menguntum senyum manis. Leganya dia bila Dian dapat menyesuaikan diri dengan kehadiran Syaqiqah.

Syaqiqah menguntum senyum menampakkan barisan giginya. Perlahan dia menapak mengikut jejak langkah Dian. Ya, mulai hari ini, saat ini dan detik ini, dia adalah Syaqiqah bukan lagi Adibah. Dia mahu dikenali dengan nama Syaqiqah. Dia mahu semua orang memanggilnya Iqah seperti yang dipanggil Dian.

 

 

##########

 

Jalal memandang Amy yang sibuk menggayakan gaun kembang yang dibelinya sewaktu bercuti di Eropah tempoh hari. Anak gadisnya itu memanglan cantik. Cantik dan sangat comel.

Nampaknya Adib yang bodoh kerana lebih memilih untuk menyayangi Adibah berbanding anak kesayangannya. “Amy” Jalal memanggil.

“Papa!!” Amy berlari memeluk papa kesayangannya.

Jalal menyambut tubuh kecil Amy seraya mendukungnya. “Anak papa tengah buat apa?”

“Amy nak tunjuk baju ni kat Adib. Cantik tak?”

“Cantik sayang..” Jalal mencium pipi mulus milik Amy.

Amy tersengih memandang Jalal. “Bila kita nak pergi rumah Adib? Mama kata hari ni papa nak bawa pergi rumah Adib?”

Jalal menguntum senyum. Terlupa pula mahu menghubungi villa milik Tun Adib Nasir terlebih dahulu. Jika Tun Adib Nasir sekeluarga tiada di rumah, sia-sia jugalah kedatangannya ke sana.

 

###########

 

Pintu bilik Adib diketuk perlahan. “Adib.. Adiiib…”

Nafas dilepas. Enon kehairanan sendiri. Jam sudah pukul 3.00 petang namun Adib masih juga belum muncul di dapur. Selalunya jika lebih jam 2.00 petang, dia sudah terpacak di dapur memberitahu dia lapar.

Enon mengetuk pintu bilik Adib lagi. Nama tuan mudanya itu dilaung agar Adib mendengar panggilannya. Enon mula tidak sedap hati bila ketukannya tidak mendatangkan hasil. Langsung saja pintu bilik Adib dibuka perlahan.

Membulat matanya melihat Adib terbaring dengan separuh tubuhnya menjulur ke lantai. “Adib!” Enon meluru masuk.

Tubuh tuan mudanya itu disentuh perlahan. Enon melepas nafas. Tubuh Adib panas, nampaknya Adib demam. Bingkai gambar yang berada di lantai diambil dan diletakkan semula ke tempatnya.

Lantas tangan laju mencapai telefon dan menghubungi bilik Tun Maryamul Azra memberitahu akan keadaan puteranya itu.

 

###########

 

 

“Ibu! Ibu! Iqah demam!”

Hannan yang sedang memeriksa kertas peperiksaan muridnya langsung memandang Dian yang memanggilnya. “Apa Dian cakap?”

“Iqah demam. Badan dia panas sangat..” Dian menarik tangan Hannan, meminta dia meninggalkan kerjanya buat seketika.

Merasa tubuh Syaqiqah yang panas membuatkan Hannan tidak senang duduk. Akhirnya, dia meminta Dian bersiap. Dia mahu membawa Syaqiqah ke hospital. Alang-alang sudah bertemu doktor, bolehlah dia menanyakan hal ‘kebisuan’ Syaqiqah.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s