Demi Syaqiqah – P9

Adib Mubarak

Adib Mubarak

“Assalamualaikum. Villa Tun Adib Nasir”.

“Waalaikumussalam. Jalal ni”.

“Oh.. Ya En.Jalal. Ada apa yang boleh dibantu?”

“Saya nak pergi rumah. Ada orang tak?”

“Maaf En.Jalal. Buat masa ni, Tun tak nak terima tetamu”.

“Boleh saya tahu apa yang berlaku?”

“Maaf En.Jalal, sebenarnya..”

“Anum!!!”

“Maaf En.Jalal, kalau tak de hal penting tun pesan jumpa kat syarikat. Assalamualaikum”.

Jalal memandang telefon rumahnya. Bibirnya mengukirkan sebuah senyuman. Nampaknya ada sesuatu yang disembunyikan di villa itu daripadanya.

Barangkali ianya perkara yang besar. Jika tidak mengapa telefon yang berada pada Anum dirampas dan Cik Zah yang mengakhiri perbualannya? Apa yang sedang berlaku di rumah mewah itu? Jalal ingin tahu tapi dia juga berasa senang hati. Boleh jadi dia akan menerima satu lagi khabar baik.

Tun Adib Nasir sakit? Atau Tun Adib Nasir tenat? Atau mungkin Tun Adib Nasir telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir? Jalal ketawa senang hati.

 

#########

 

Tun Maryamul Azra memandang Omar yang sedang memberi penerangan pada Tun Adib Nasir. Memanglah kata-kata seorang doktor itu tidak seratus peratus boleh dipercayai, tapi sebagai seorang doktor pastilah dia melakukan yang terbaik dalam memastikan kesihatan pesakitnya berada pada paras normal.

“Aku rasa Adib ni terlalu rindukan Dibah.. Kau ada cakap apa-apa kat dia?” Omar menyoal Tun Adib Nasir.

Tun Adib Nasir menghela nafas panjang. Sekilas dia memandang sang isteri yang setia membelai putera tunggal mereka, dan memandang sahabat merangkap doktornya semula. “Aku rasa baik kita sembang kat luar je..”

Omar mengangguk memberi persetujuan. Tun Adib Nasir mengusap isterinya sejenak sebelum membuntuti Omar ke luar.

“Aku tak tahu nak jawab apa kalau Adib tanya fasal Dibah” Tun Adib Nasir memulakan bicara.

Omar melepas nafasnya. “Kalau susah sangat, kau cakap dengan dia, Dibah terlibat dalam kemalangan tu sekali. Memang permulaannya dia akan sedih tapi lama-lama mesti dia boleh terima. Waktu tu, dia sendiri akan move-on”.

Tun Adib Nasir memandang. Kata-kata Omar ada benarnya. Tapi dia langsung tidak bersedia untuk menghadapi respon dari putera kesayangannya itu. Bukannya dia tidak tahu betapa sayangnya Adib pada Adibah.

 

########

 

“Macam mana dengan anak saya, doktor?” Hannan memandang doktor wanita yang kemas bersanggul di hadapannya.

Doktor wanita yang memakai tag nama ‘Nurul’ itu menguntum senyum. “Puan jangan risau. Dia cuma demam panas biasa. Tiada tanda-tanda yang perlu untuk puan risaukan…”

Hannan melepas nafas kelegaan. Hanya Tuhan yang tahu betapa risaunya dia mendengar Adibah meracau sepanjang perjalanan ke hospital yang tidak sejauh mana.

“Cuma…”

Hannan mengerutkan dahi. “Cuma apa doktor?”

“Tentang masalah yang puan cakap tadi. Anak puan tak boleh bercakap..?”

Hannan menganggukkan kepalanya. “Saya jumpa dia kat tepi jalan. Dan saya dah uruskan soal pengambilan anak angkat di jabatan pendaftaran…”

Dr.Nurul mengangguk tanda memahami. Hati kecilnya sedikit kagum dengan Hannan. Kalaulah dia, mustahil anak yang tidak tahu asal usulnya itu diambil sebagai anak angkat.

“Ada apa-apa yang tak kena ke?” Hannan menyoal melihat reaksi doktor yang berlainan dari yang dia jangka.

“Saya ingat..” Dr.Nurul menanggalkan cermin mata yang menghiasi wajahnya.

Hannan menanti penuh cemas. Apa agaknya yang mahu diperkatakan Dr.Nurul?

“Mungkin anak puan kena tinggal kat hospital untuk beberapa ketika. Supaya kita boleh kaji apa sebenarnya masalah anak puan. Samada dia tak boleh bercakap atas sebab-sebab tertentu atau dia memang tak boleh bercakap dari lahir”.

 

#########

 

“Dibah…”

Enon melepas nafas mendengar nama yang dipanggil Adib. Tuala putih yang digunakan untuk mengelap kepala Adib direndam di dalam mangkuk yang terisi air batu.

Lalu asam jawa yang sudah direndam Cik Zah diambil dan diletakkan di dahi anak majikannya itu. “Adib…” Enon memanggil lembut.

“Dibah..” Adib memanggil lagi.

Enon hanya memandang kosong. Matanya masih terpejam tapi mulut meracau-racau memanggil Adibah.

Pintu yang terbuka membuatkan Enon mengalih pandangan. Senyum dikuntum manis buat Tun Maryamul Azra yang melangkah masuk. “Macam mana dengan Adib?”

Enon menggelengkan kepalanya. “Tak tahulah tun. Dari tadi dia asyik panggil Dibah je..”

Tun Maryamul Azra melepas nafas. Dia mengambil mangkuk asam jawa dari tangan Enon dan meminta Enon meninggalkan mereka berdua di dalam bilik itu.

Hakikatnya bukan Adib saja yang rindukan Adibah, dia juga begitu. Walau Adib tidak tahu bahawa Adibah tidak terlibat dalam kemalangan, dia pasti merasakan Adibah masih hidup. Kerana itulah dia tidak putus memanggil Adibah.

Bagaimanalah agaknya keadaan Adibah sekarang? Apa agaknya khabar berita anak kawan terbaiknya itu?

 

###########

 

Jalal mengerut dahi melihat Tun Adib Nasir melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat utama. Dalam fikirannya lelaki itu sedang tenat. Jadi ianya tidak benar?

“Kita mulakan meeting kita. Sebelum tu, saya nak minta maaf sebab dah beberapa kali tak ikut meeting dan tak datang syarikat. Anak saya Adib jatuh sakit disebabkan cuaca panas melampau”.

Kelihatan semua ahli lembaga pengarah memberi anggukan bersetuju dengan alasan yang Tun Adib Nasir katakan. Jalal memandang dengan senyum sinis.

Adib jatuh sakit. Pasti kerana dia sudah tahu bahawa Adibah sudah terbunuh dek kemalangan yang berlaku. Bagus juga, inilah masa yang sesuai untuk dia lihatkan Amy adalah orang yang paling sesuai berada di sisi Adib.

 

###########

 

Syaqiqah membuka mata seluasnya. Melihat suasana sekeliling. Di mana dia ya?

Mata memandang sebelah kanan. Dia menguntum senyum melihat Hannan yang sedang membancuh air di dalam mug.

“Iqah dah bangun?”

Syaqiqah mengangguk perlahan. Hannan merasa dahi Syaqiqah menggunakan tangan kanannya. Hannah mencium kepala Syaqiqah lembut. Nampaknya suhu badan Syaqiqah masih juga belum turun.

Tapi Hannan tidak terlalu risau. Dr.Nurul telah memberi pengesahan bahawa demamnya hanya akan berlarutan buat beberapa hari. Juga ia tidak mendatangkan mudharat buat tubuh Syaqiqah yang mampu menampung panas badan yang ditanggung.

“Iqah nak makan? Ibu ada masak bubur untuk Iqah. Nanti petang abah dengan Kak Dian datang”.

Syaqiqah menggeleng. Dia bangun dari pembaringan dan memandang Hannan. Hannan mengerutkan dahi. Dia tahu ada sesuatu yang mahu disampaikan Syaqiqah tapi mereka tidak punya cara untuk berinteraksi.

“Iqah nak apa?”

Syaqiqah memandang seketika. Bagaimana mahu dia katakan bahawa dia ingin ke bilik air? Syaqiqah akhirnya turun dari katil dan memakai seliparnya. Hannah hanya melihat dan membuntuti Syaqiqah dari belakang.

Pabila Syaqiqah berhenti di hadapan bilik air, Hannan ketawa kecil. Dia membongkok memandang Syaqiqah yang memandangnya. “Iqah nak masuk bilik air?”

Syaqiqah mengangguk dengan senyum menampakkan giginya. Hannan mencuit pipi Syaqiqah. “Iqah masuk, ibu tunggu kat luar?”

Syaqiqah mengangguk lagi. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air bila Hannan membuka pintu. Hannan ketawa sendiri dengan gelagat anak gadisnya itu. Terasa untungnya dia yang bertemu dengan Adibah Syaqiqah.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s