Monthly Archives: June 2016

Demi Syaqiqah – P12

Mereka sama-sama melonjak kegembiraan melihat keputusan yang terpapar di papan kenyataan sekolah. Syaqiqah lulus dengan cemerlang! Bahkan merupakan salah seorang dari sepuluh pelajar tercemerlang di sekolah mereka.

Dian mencuit pipi Syaqiqah kegeraman. Tidak menyangka adiknya itu sudah pun tamat sekolah menengah tinggi. “Nanti adik boleh belajar sama-sama dengan akak kat KL tu. Tak sabarnya nak tunggu..”

Syaqiqah menguntum senyum. Tangan Dian digenggan erat tandanya dia sangat berterima kasih kepada kakak kesayangannya itu.

“Kenapa ni?” Dian menyoal, hairan melihat Syaqiqah berdiam diri.

Syaqiqah pantas menggeleng. Tangannya bergerak mempamerkan percakapannya. -Adik sayang akak, sayang sangat-sangat.

Dian ketawa kecil. Bahu Syaqiqah dipaut erat. “Thank you. Akak pun sayang gila-gila dengan adik akak seorang ni. Tak sabarnya nak bagitahu ibu dengan abah yang adik lulus dengan cemerlang!”

Syaqiqah mengerutkan dahi. Setahunya jadual mengajar Hannan masih belum tamat. Mengapa pula ibu mereka tiada di sekolah? -Ibu tak de kat sekolah?

Dian menggeleng. “Ibu call akak tadi. Ibu kata ibu balik tengok abah” Dian melepas nafas perlahan.

-Akak..

Dian ketawa kecil melihat Syaqiqah. “Kita balik jalan kaki je lah ye… Tak de kereta nak bawa..”

-Akak… Syaqiqah memanggil lagi. Dia dapat merasakan Dian punya sesuatu yang berbuku di hati. Apakah Dian masih marah akan kejadian langgar lari yang menimpa abah mereka dua tahun lalu?

“Ya… akak bengang” Dian dapat membaca air muka Syaqiqah.

-Kan ibu dah cakap.. ni semua ujian untuk kita. Kan tanda Allah sayang tu…

“Eeee..” Dian mencubit pipi mulus Syaqiqah. “Adik ni baik sangat tau. Nasib baik ada akak jaga. Kalau tak mesti selalu kena buli. Manalah akak tak geram.. Dia dahlah langgar abah kita sampai lumpuh, langgar lari pula tu. Apa dia ingat negara kita ni tak de undang-undang ke? Polis pun satu, kata nak carilah apalah bagai. Akhirnya sampai sekarang tak jumpa-jumpa. Kesian abah… kesian ibu.. kesian lagi kita…”

Syaqiqah ketawa kecil. Sebenarnya sudah lebih sepuluh kali dia mendengarkan ayat yang sama dari Dian. Ayat itulah yang menjadi basahan bibirnya semenjak abah mereka ditimpa kemalangan dua tahun lalu.

“Gelak je kerja dia. Suara tak de..”

Syaqiqah ketawa lagi. Terhibur sungguh dia dengan Dian. Kepala sengaja dilentokkan hingga mengenai bahu Dian. Dian mencebik bibir. “Manjanya…”

Syaqiqah senyum. Pipi Dian dicium sekilas. Menjadi amalannya setelah sekian lama, pipi Dian pasti akan dicium setiap kali dia ingin meluahkan rasa sayangnya. Itulah juga apa yang Syaqiqah lakukan terhadap abah juga ibu. Dian menepuk lembut bahu Syaqiqah. “Buat depan orang. Kalau orang tak tahu kita adik beradik silap hari bulan orang ingat kita ni lesbian tau..!”

Langkah mereka berdua berhenti seketika. Dian mengerut dahi memandang rumah mereka dari jauh. “Adik”.

Syaqiqah memandang Dian sesaat dan memandang rumah mereka. Dahinya ikut berkerut memandang perkarangan rumah yang kelihatan sesak dengan manusia.

Dian mula tidak sedap hati. Begitu juga Syaqiqah. Dian menarik tangan Syaqiqah, melajukan langkah mereka. “Kenapa ramai orang berkumpul kat rumah kita ni?”

 

############

 

Dia melangkah perlahan menuju ke tempat meletak kenderaan. Sengaja dia memandu sendiri, malas mahu meminta pemandunya menghantar dia ke syarikat.

“Tuan..”

Jalal mengerut dahi. Siapa yang memanggilnya? Takkanlah…

“Tuan” suara itu memanggil lagi.

Mata Jalal membulat melihat wajah yang keluar dari balik dinding. “Pisau? Bila kau balik? Aku tak suruh kau balik”.

 

###########

 

Langkah kaki mereka terhenti di pintu rumah. Orang-orang surau membaca Surah Yasin mengelilingi seseorang yang dibaluti dengan kain putih. Hanya wajahnya yang tidak ditutup tapi Dian dan Syaqiqah tidak dapat melihat wajah itu.

Namun melihat Hannan yang berada di sisinya dengan linangan air mata, Dian dan Syaqiqah sudah tahu siapakah yang menjadi sasaran Surah Yasin yang dibacakan.

“Ibu..” Dian melangkah masuk, lemah. Syaqiqah membuntuti dari belakang. Wajah keduanya sudah dipenuhi dengan linangan air mata.

Hannan memandang wajah kedua puterinya. Senyum diukir dalam keadaan teramat lemah. Tangan didepakan menyambut kedua puterinya. Dian di sebelah kanan manakala Syaqiqah di sebelah kirinya. Keduanya dipeluk erat penuh kasih.

“Ibu…” Dian memanggil dalam esakannya.

Hannan mengangguk. “Abah dah tinggalkan kita.. Abah dah tinggalkan kita buat selamanya. Abah dah balik kampung asal. Abah dah tak de..”

Ketika itu barulah Dian dan Syaqiqah memandang ke arah sekujur tubuh yang berada di hadapan mereka. Wajah itu dilihat lebih teliti. Abah…

“Cium abah.. kali terakhir. Lepas ni pak imam nak solat jenazah dan kebumikan terus” Hannan masih rasional sekalipun wajah sudah banjir dengan air mata.

Dian mendahului sebagai seorang kakak. Tubuhnya mengesot ke hadapan sedikit. Tangan kanan memaut tangan arwah Sulaiman manakala tangan kirinya menyentuh wajah arwah Sulaiman dengan linangan air mata. “Abah…”

Wajahnya didekatkan mengenai wajah arwah Sulaiman. Bibirnya lembut dikenakan pada dahi sang abah yang sangat-sangat disayanginya. Dia tidak sangka abahnya akan meninggalkan dirinya secepat ini. Dia langsung tidak pernah terfikir abah akan pergi secepat ini.

Syaqiqah mendekati abahnya. Dian memberi ruang buat adiknya pula memberi kucupan terakhir buat abah kesayangan mereka. Berbeza dengan Dian, Syaqiqah lebih memilih untuk mencium pipi abahnya. Lama dia mencium arwah Sulaiman dengan air mata yang mengalir. Namun air matanya dihalang dari mengenai wajah sang abah.

Kesenangan hidupnya sekarang adalah kerana abah. Jika tidak kerana abah, dia juga tidak tahu nasibnya saat ini. Keizinan yang diberikan abahlah membuatkan dia dapat berada di dalam keluarga bahagia ini.

Dia diberi segalanya tak kurang dan tak lebih dari Dian. Dia merasakan dia benar-benar anak kandung mereka. Hingga kadang dia sendiri terlupa dia hanyalah seorang ‘anak kutip’ yang tidak diketahui asal usulnya.

Dian memaut tubuh Syaqiqah, menenangkannya. Mereka sama-sama bersedih dengan pemergian abah tersayang. Hannan memandang kedua puterinya. Bagaimana agaknya hidup selepas ini? Bagaimana agaknya perasaan membesarkan kedua puterinya tanpa Sulaiman di sisi?

 

############

 

Mata menjeling jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Dia sudah bosan menanti daddy yang masih juga belum pulang dari kerja. Bilalalh daddy akan pulang? Dia ada hal penting yang mahu dibicarakan.

Adib tahu esok seawal jam 4.00 pagi daddy punya penerbangan ke Jepun untk berjumpa salah seorang klien penting syarikat. Mungkin daddy hanya akan pulang untuk menukar pakaian juga melihat mommy.

Pintu yang terbuka menarik perhatian Adib. Langsung saja tangan menekan alat kawalan jauh dan menutup televisyen yang ditonton. Langkah kaki menuju pada Tun Adib Nasir yang baru masuk ke dalam rumah.

“Daddy..”

Tun Adib Nasir menoleh memandang Adib yang menanti di belakangnya. “Adib belum tidur?”

Adib menguntum senyum. “Dib ada benda nak bincang dengan daddy”.

Tun Adib Nasir mengerutkan dahinya. Apakah hal yang mahu dibicarakan Adib. Apakah ia begitu penting hingga anak tunggalnya itu sanggup menunggunya pada tengah malam begini?

 

Demi Syaqiqah – P11

Tun Maryamul Azra yang sedang membaca majalah wanita bulanan mengalihkan pandangan memandang suaminya. Melihat Tun Adib Nasir yang sedang memakai kemeja hitamnya.

“Tak pergi office ke?” Tun Maryamul Azra menyoal. Selalunya suami kesayangannya itu akan memakai kemeja berwarna bersama kot untuk ke pejabat. Jika memakai kemeja hitam, adalah tempat yang akan dia pergi.

Tun Adib Nasir menguntum senyum. “Saya nak jumpa Omar. Dia kata dah jumpa private investigator untuk cari Dibah”.

Tun Maryamul Azra langsung saja menutup majalah di tangan. Matanya membulat dan bersinar memandang sang suami. “Betul ke?”

Tun Adib Nasir senyum lagi. Sekadar jawapan juga sudah cukup buat isterinya. Tempoh hidup bersama lebih 10 tahun membuatkan mereka benar-benar saling memahami.

 

##############

 

Dian ketawa kecil melihat tangan Syaqiqah yang bergerak memberitahu kata-katanya. Tidak sangka pula dia akan belajar bahasa isyarat seumur hidup.

-Kenapa Kak Dian gelak?

Makin galak Dian ketawa kerana soalan Syaqiqah. Dia mencuit pipi Syaqiqah yang dirasakan sangat comel itu.

Syaqiqah memuncungkan bibir. -Kak Dian jahat!

Dian memperlahankan tawanya. “Alalala… adik kakak. Iqah panggil kakak je, jangan panggil Kak Dian..”

Syaqiqah buat tidak dengar. Dia bangun dari kusyen dan melangkah kaki menuju ke dapur. Menarik baju Hannan yang sedang memasak makan malam.

“Ya sayang.. Kenapa Iqah?”

-Kak Dian gelakkan Iqah.

Hannan memandang Dian yang mengekori Syaqiqah dari belakang. “Apa ni Dian? Jangan dikacau adik tu, kesian tau..”

Dian tersenyum dan melangkah mendekati Hannan dan Syaqiqah. “Ibu, Dian nak tukar namalah”.

Hannan mengerutkan dahi mendengar kata-kata Dian. Begitu juga Syaqiqah yang kehairanan mendengar kata-kata kakaknya.

“Dian nak panggik Iqah adik. Ibu pun kena panggil adik. Iqah panggil Dian kakak. Ibu abah pun panggil kakak. Jadi kakak adik ..” Dian menunjuk pada dirinya kemudian pada Syaqiqah pula.

Hannan memandang Syaqiqah. Tangan bergerak mengikut bahasa isyarat yang telah menjadi cara komunikasi mereka. -Iqah setuju dengan Kak Dian?

Syaqiqah mengangguk menampakkan barisan gigi putihnya. Hannan menguntum senyum dan membelai kepala Syaqiqah. “Oklah tu. Nanti abah balik kerja Dian cakap dengan abah”.

“Kakaklah ibu..” Dian menegur.

“Iye.. kakak..” Hannan mencuit pipi puterinya. Wajah Syaqiqah dipandang penuh kasih. Sedar tak sedar rupanya sudah hampir dua tahun Syaqiqah bersama keluarga mereka.

Mereka masih lagi berulang-alik bertemu janji dengan Dr.Soleh yang dicadangkan Dr.Nurul hampir dua tahun lalu. Keadaan Syaqiqah sudah muka ceria juga selalu saja tersenyum bahagia. Namun dia masih juga tidak mahu bercakap seperti sediakala.

Kata Dr.Soleh dia perlu diberikan masa. Ada kemungkinan Syaqiqah sendiri sudah lupa apakah peristiwa hitam yang melandanya itu. Dan ‘menyimpan’ suara dan kebolehannya bercakap adalah salah satu senjata untuk melindungi diri.

Lagi dua minggu Syaqiqah perlu dimasukkan ke sekolah rendah. Ikutkan hati dia mahu saja Syaqiqah bersekolah di sekolahnya mengajar. Senang dia mahu menjaga puteri keduanya itu. Lagipun Dian juga bersekolah di sekolah yang sama. Cuma dia tidak tahu apakah guru besarnya akan bersetuju memandangkan dia tiada upaya untuk bercakap?

Dr.Soleh menyarankan dia dan suaminya menyekolahkan Syaqiqah bersama kanak-kanak kurang upaya supaya dia merasa dia masih lagi beruntung berbanding kanak-kanak lain. Boleh membiasakan Syaqiqah dengan suasana persekolahan juga membuang rasa malu dan rasa rendah diri yang rata-ratanya menghuni orang kurang upaya.

Namun dia dan Sulaiman masih belum sempat membincangkan apa-apa lagi. Kalau boleh dia mahu membiarkan Syaqiqah di sekolah kurang upaya buat beberapa ketika dan kemudiannya meletakkan dia di sekolah biasa bersama Dian. Hannan tahu betapa Dian menyayangi adiknya itu, mustahil Dian akan memejam mata jika Syaqiqah ditimpa masalah. Jadi ia tak mendatangkan kerisauan buat dirinya.

 

###############

 

Omar mendiamkan diri melihat ketegangan wajah Tun Adib Nasir. Pulang dari syarikat membawa masalah dengan Jalal yang masih juga belum habis. Menghadap pula masalah mendatang yang bertimpa-timpa.

“Sir..” Omar memanggil.

Tun Adib Nasir melepas nafas memandang pemuda di hadapannya. Pemuda bernama Atik yang sudah dua tahun dia kenali. Omarlah yang mengenalkan lelaki itu padanya. Penyiasat peribadi yang dia upahkan untuk mencari Adibah.

“Tun…” Atik menegur. Tidak pernah dia melihat Tun Adib Nasir semarah ini.

“Saya bagi masa dah setahun. Awak boleh cakap awak belum jumpa puteri saya. Bahkan awak cakap awak tahu dia kat mana. Awak ni buat kerja ke tak?” Tun Adib Nasir masih bernada marah namun mendatar suaranya. Tidak sekuat tadi.

Omar melepas nafas. “KL ni memang kecil Nasir. Tapi bukan senang nak cari orang. Lagilah Adibah hilang tak bawa apa-apa, tak bertanda apa-apa. Manalah kita tahu mana dia pergi..”

Tun Adib Nasir melepas nafas. “Apa khabar dia sekarang? Hidup ke tidak pun tak tahu. Sihat ke tak? Makan minum macam mana? Tidur baring kat mana? Entah-entah bawah jambatan, tepi jalan.. Anak aku tu Omar, anak kawan baik aku. Anak kawan sehidup semati aku. Sepatutnya aku yang kena jaga dia bila Syam dah tak de, masalahnya sekarang dia hilang dan tak de seorang pun yang tahu dia kat mana”.

Atik mendiamkan diri. Setahun berkerjasama dengan Tun Adib Nasir dia tahu betapa penyabarnya Tun Adib Nasir itu. Dia bukan tidak berusaha. Maklumat yang dia dapat hanya sekeping gambar bersama nama penuh Adibah. Sudah satu Kuala Lumpur dia selidik namun dia tidak menemukannya. Kini dia sedang dalam proses mahu meluaskan pencariannya di negeri bersebelahan dahulu.

“Dahlah Atik. Awak boleh balik. Saya harap awak sungguh-sungguh cari puteri saya. Kalau tak apa yang saya bayar selama ni, saya haramkan”.

Atik mengangguk dan melangkah keluar dari restoran mewah itu. Tun Adib Nasir meneguk teh hijau yang dipesan tadi. Melegakan tekak yang kehausan kerana tidak berhenti bercakap sedari tadi.

“Aku dengar hari tu Inspektor Ghazali jumpa kau?”

Tun Adib Nasir memandang sekilas kemudian menganggukkan kepalanya. “Pihak polis dah kenalpasti kemalangan yang berlaku. Memang pembunuhan, bukan kemalangan biasa”.

Mata Omar membulat. “Maksud kau ada orang nak bunuh arwah Syam?”

Tun Adib Nasir menggelengkan kepalanya. “Ada orang cuba nak bunuh aku”.

Dahi Omar berkerut mempamerkan seribu satu tanda tanya. Makin ditanya makin pening kepalanya. Akhirnya Omar berdiam menanti Tun Adib Nasir membuka bicara memulakan cerita.

“Ada orang cuba bunuh aku. Kata inspektor dia mungkin orang terdekat sebab dia tahu rutin harian aku. Dia tahu aku naik kereta apa setiap pagi. Cuma pagi tu, Syam nak balik Muar. Aku tak terfikir pula dia nak naik bas. Katanya tak nak menyusahkan aku. Bisinglah aku Mar. Bukan dekat Muar ke KL ni, dengan Fika yang sarat.. aku suruh juga dia bawa kereta aku balik. Tapi siapa sangka…” riak wajah Tun Adib Nasir mula berubah mengenang peristiwa hitam yang telah berlalu kira-kira dua tahun lalu itu. Air mata yang ditahan dilap menggunakan jari jemari. Tidak mungkin Syamran sekeluarga ada penggantinya.

“Kau ok?” Omar risau melihat keadaan temannya itu.

Tun Adib Nasir menguntum senyum. “Tak pe. Sekarang hal tu biar pihak polis settlekan. Yang penting, aku nak cari Dibah dan uruskan syarikat aku dengan baik. Aku nak pastikan Jalal tak dapat ambil alih syarikat dengan begitu mudah”.

 

##############

 

“Mommy….”

Adib melangkah masuk ke dalam bilik Tun Maryamul Azra. Melihat ibu kesayangannya yang terbaring di atas katil. “Mommy tak larat lagi?”

Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Dia mencapai bantal di sebelahnya dan cuba untuk duduk. Adib membantu Tun Maryamul Azra dengan memaut tubuh tua itu.

“Dah besar anak mommy”.

Adib ketawa kecil. Matanya meliar melihat tubuh badannya yang membesar sesuai dia yang sudah berusia 21 tahun. “Adib nak ajak mommy makan. Cik Zah dah masakkan lauk kegemaran mommy”.

Tun Maryamul Azra menggelengkan kepalanya. “Mommy tak de selera. Adib makan dengan Enon dan Anumlah..”

Adib memuncungkan mulutnya. “Adib nak makan dengan mommy. Daddy dah mesej tadi, dia kata dia balik lewat malam atau tak balik langsung. Adib faham daddy banyak kerja..”

Tun Maryamul Azra senyum manis. Anak tunggalnya, satu-satunya putera yang dia miliki. Sudah besar panjang pun, sikapnya seperti kanak-kanak lagi. “Mommy tak de selera”.

Adib melepaskan nafas. “Dah lama mommy sakit macam ni. Mommy tak ambil ubat dengan Uncle Omar ke?”

“Mommy selalu mimpi Dibah. Mommy yakin muka dia mesti sebiji macam arwah Fika waktu remaja”.

Adib mendiamkan diri. Ya, Adibah Syaqiqah kesayangannya. Ke mana agaknya gadis itu menghilang? Jika diikutkan dia sudah berusia 18 tahun saat ini.

Apakah Adibah membesar sesuai usianya? Atau tubuhnya tetap kecil seperti mereka berdua di zaman kanak-kanak dahulu? Apakah dia makin cantik? Punya wajah lembut seperti umi? Atau berwajah tenang seperti abi?

Adib tidak mampu membendung lagi. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia rindukan gadis itu. Betapa dia rindukan raut wajah Adibah. Betapa dia rindukan gelak tawa Adibah.

 

 

 

 

Demi Syaqiqah – P10

Matanya yang terbuka secara tiba-tiba mengejutkan Enon. Hampir saja mangkuk kaca yang berada dalam pegangan Enon terlepas.

“Adib..” Enon memanggil.

“Kak Enon.. Dibah mana?”

Soalan drastik dari Adib membuatkan Enon mati kutu. Apa jawapan yang harus dia berikan pada anak majikannya itu? Mangkuk kaca yang berada dalam pegangan langsung saja diletakkan di atas meja.

“Kak Enon.. Adib tanya ni..”

Enon memandang dengan kerutan dahi. Lantas dahi Adib dirasa. Ya, panasnya sudah kurang. Membuatkan Adib tekad ingin mencari tahu di mana keberadaan gadis kesayangannya itu.

Pintu bilik Adib dibuka dari luar. Mengalih perhatian Adib juga Enon. Tun Adib Nasir melangkah masuk bersama Tun Maryamul Azra. “Adib..” keduanya mengucap serentak.

Enon bangun dari kedudukan. Memberi ruang pada Tun Maryamul Azra untuk mengambil tempat di sisi puteranya.

“Enon boleh keluar dulu. Saya dengan Yam ada benda nak bincang dengan Adib..” Tun Adib Nasir bersuara sambil memandang wanita yang diupah menjaga Adib dan Adibah sedari kecil itu.

Enon mengangguk penuh taat. Tuala putih yang berada di atas meja diambil bersama mangkuk kaca yang dipegang tadi. Berjalan meninggalkan mereka sekeluarga di dalam bilik.

“Mana Dibah?”

Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra mengerut dahi mendengar soalan Adib.

“Mommy, daddy.. Mana Dibah?”

Tun Adib Nasir melepas nafas. Dia mengambil tempat di sisi kanan Adib. “Daddy ada benda nak bagitahu”.

“Dibah mati sekali dalam accident tu?” Adib langsung saja memotong.

“Tak..” lembut Tun Maryamul Azra berbicara.

“Adib dengar baik-baik apa yang daddy nak cakap. Polis kata Dibah tak de dalam kereta yang abi bawa” Tun Adib Nasir berhenti seketika. Ucapannya lambat-lambat kerana mahu Adib faham.

Adib mengangguk. Dia tidak menyampuk. Dia tahu ceritanya belum tamat di situ.

Dan Tun Adib Nasir menyambung,”Polis kata kereta tu memang ada umi dengan abi je. Dibah hilang tak tahu pergi mana. Daddy tak cakap dengan polis yang Dibah ada sekali. Sebab daddy tak nak orang jahat tahu kalau Dibah hidup lagi. Jadi sekarang daddy tengah cari Dibah lagi. Daddy pun tak tahu Dibah kat mana. Kalau Adib besar nanti, Adib boleh tolong papa cari”.

Adib berdiam diri. Akalnya terpusing-pusing memikirkan sesuatu. Adibah hilang dan daddynya tidak memberitahu kehilangan Adibah pada pihak polis kerana tidak mahu orang jahat tahu jikalau Adibah masih hidup.

“Adib” Tun Maryamul Azra memanggil. Risau pula dia melihat ke’diam’an Adib.

Adib menguntum senyum. “Adib nak jadi detektif macam Detektif Conan tu. Adib nak cari Dibah sampai jumpa”.

Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra saling berpandangan. Dan perlahan keduanya menguntum senyum. Sudah terlepas satu beban berat yang menghuni selama ini. Mujur penerimaan Adib tidak seburuk yang disangkakan.

 

##############

 

“Iqah, ayah dengan Kak Dian datang tu..”

Syaqiqah yang leka menonton kartun ‘Puteri’ pada telefon pintar milik Hannan memandang. Telefon pintar di tangan dilepaskan dan dia memandang Dian yang sedang melangkah masuk bersama Sulaiman.

“Iqah..” Dian langsung saja memeluk erat tubuh kecil itu.

Syaqiqah ketawa kecil tanpa suara. Membuatkan Hannan dan Sulaiman sama-sama terpegun dengan wajah comel milik Syaqiqah. Sulaiman mencium ubun-ubun Syaqiqah yang masih di dalam pelukan Dian.

“Ibu, bila Iqah boleh keluar hospital?” Dian menyoal sambil mengambil tempat di sisi Syaqiqah.

Sulaiman menguntum senyum. “Kenapa Dian tanya?”

“Dian tak sukalah Iqah duduk sini. Kalau Iqah balik rumah kan best?”

“Dian..” Hannan mengusap lembut pipi Dian. “Iqah kan tak sihat lagi. Sebab tu lah doktor tak bagi dia balik rumah. Nanti kalau Iqah dah sihat… baru Iqah boleh balik”.

Dian memuncungkan mulutnya. “Dian tahu mesti Iqah tak suka duduk hospital kan?”

Syaqiqah mengangguk mengiyakan kata-kata Dian. Sulaiman ketawa kecil. “Iqah tak suka duduk hospital sebab apa?”

Syaqiqah memandang. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu. Mulutnya terbuka mahu berkata-kata namun tiada suara yang keluar. Menyedari wajah Syaqiqah yang mula kecewa kerana tidak dapat mengeluarkan suara, Hannan langsung saja memeluk anak kecil itu. “Tak pe sayang.. Nanti ibu belikan buku dengan pensil, Iqah boleh belajar tulis dengan Kak Dian…”

Dian dan Sulaiman mengangguk. “Kak Dian boleh ajar. Lagipun ibu kata tahun depan Iqah dah masuk Darjah Satu. Kat sekolah mesti cikgu ajar. Kan abah?”

Sulaiman mengangguk penuh mesra. Syaqiqah yang berada di dalam pelukan Hannan diambil dan dipeluk erat. Sama seperti Hannan, dia juga merasakan untungnya dia yang menjadi ‘abah’ kanak-kanak itu. Kini dia hanya berharap mereka sekeluarga dapat menjaga Syaqiqah sebaik mungkin.

 

############

 

Jalal tersenyum mendengar keterujaan puterinya untuk bertemu Adib. Dia tersengih sendiri mendengar nama Adib yang sedari tadi meniti di mulut Amy.

“Amboi.. seronoknya dia nak jumpa Adib” Amnah mengusik puteri kesayangannya.

Amy yang berada di tempat duduk belakang ketawa kecil. “Memanglah mama. Dah lama Amy tak jumpa Adib. Mesti Adib dah rindu Amy”.

Jalal ketawa kecil. Begitu juga Amnah. “Siapa yang rindu siapa sebenarnya ni?”

 

##############

 

Hannan menggenggam jemari Sulaiman yang berada dalam genggamannya. Risau pula menanti kata-kata dari Dr.Nurul yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Hanya memeriksa dokumen pesakit bernama Adibah Syaqiqah di hadapannya.

Dr.Nurul menguntum senyum melihat dua wajah di hadapannya. Dia faham perasaan mereka selaku ibu, bapa. Maklumlah dia juga seorang ibu. Sudah punya dua orang anak, seorang lelaki seorang perempuan.

“Pn.Hannan, En.Sulaiman.. Dah masuk tiga minggu kami buat pemerhatian terhadap Syaqiqah. Saya dapati Syaqiqah bukan bisu sejak lahir. Saya pasti ada sesuatu yang berlaku pada Syaqiqah sampai dia trauma hingga tak boleh bersuara. Jadi saya akan benarkan Syaqiqah keluar hospital.. Saya minta En.Sulaiman dan Pn.Hannan cari doktor ni” Dr.Nurul menghulurkan sekeping kad nama pada Sulaiman.

“Itu abang saya. Dia antara doktor psikologi terbaik kat Malaysia ni. Saya yakin dia dapat tolong Syaqiqah untuk bercakap semula”.

Hannan mengambil kad nama yang dihulurkan Sulaiman. Doktor psikologi kanak-kanak dan dewasa, Dr.Soleh.

“Maksud doktor, anak saya tak ada sakit fizikal?” Sulaiman menyoal.

Dr.Nurul menganggukkan kepalanya. “Syaqiqah bukan bisu. Tapi dia tak nak bercakap,tak mahu mengeluarkan suara. Sebab tu saya minta encik jumpa dengan abang saya. Insyaa Allah, dia mesti ada cara untuk sembuhkan Syaqiqah. Sebab mental dalam Syaqiqah yang bermasalah, bukan tubuh fizikalnya”.

Hannan menganggukkan kepala. Dia sanggup berjumpa segala jenis doktor asalkan Syaqiqah sembuh. Namun seandainya keadaan tidak mengizinkan Syaqiqah untuk sembuh, dia redha.

“Cuma saya cadangkan.. encik sekeluarga belajar bahasa isyarat”.

Bahasa isyarat? Sulaiman dan Hannan saling memandang. Untuk apa mereka sekeluarga belajar bahasa isyarat? Apa gunanya ilmu itu buat mereka sekeluarga?

“Bahasa isyarat boleh digunakan sebagai alat untuk encik dan puan bercakap, berbual, bersembang dengan Syaqiqah. Syaqiqah pun kena belajar untuk memudahkan perhubungan encik dan puan sekeluarga”.

Sulaiman dan Hannan tersenyum. Cadangan Dr.Nuruk memang bernas. Nampaknya mereka boleh menggunakan bahasa isyarat sebagai perantara. Barulah mereka dapat memahami Syaqiqah dengan lebih mendalam.

“Terima kasih doktor”.

 

##############

 

“Adib…”

Adib mengerutkan dahi mendengar suara itu. Gambar Adibah yang berada di tangannya langsung saja diletakkan semula pada tempatnya.

“Adib tengah buat apa?”

Adib menoleh ke belakang. Melihat Amy yang tersenyum mesra memandangnya. “Amy”.

Amy mengangguk. “Amy datang dengan papa. Papa tengah jumpa Uncle Nasir.”

Adib mengangguk memahami. Dia memandang Amy lama. Memandang Amy membuatkan dia teringat pada Adibah kesayangannya. Bagaimana agaknya khabar adik kecilnya itu?