Demi Syaqiqah – P11

Tun Maryamul Azra yang sedang membaca majalah wanita bulanan mengalihkan pandangan memandang suaminya. Melihat Tun Adib Nasir yang sedang memakai kemeja hitamnya.

“Tak pergi office ke?” Tun Maryamul Azra menyoal. Selalunya suami kesayangannya itu akan memakai kemeja berwarna bersama kot untuk ke pejabat. Jika memakai kemeja hitam, adalah tempat yang akan dia pergi.

Tun Adib Nasir menguntum senyum. “Saya nak jumpa Omar. Dia kata dah jumpa private investigator untuk cari Dibah”.

Tun Maryamul Azra langsung saja menutup majalah di tangan. Matanya membulat dan bersinar memandang sang suami. “Betul ke?”

Tun Adib Nasir senyum lagi. Sekadar jawapan juga sudah cukup buat isterinya. Tempoh hidup bersama lebih 10 tahun membuatkan mereka benar-benar saling memahami.

 

##############

 

Dian ketawa kecil melihat tangan Syaqiqah yang bergerak memberitahu kata-katanya. Tidak sangka pula dia akan belajar bahasa isyarat seumur hidup.

-Kenapa Kak Dian gelak?

Makin galak Dian ketawa kerana soalan Syaqiqah. Dia mencuit pipi Syaqiqah yang dirasakan sangat comel itu.

Syaqiqah memuncungkan bibir. -Kak Dian jahat!

Dian memperlahankan tawanya. “Alalala… adik kakak. Iqah panggil kakak je, jangan panggil Kak Dian..”

Syaqiqah buat tidak dengar. Dia bangun dari kusyen dan melangkah kaki menuju ke dapur. Menarik baju Hannan yang sedang memasak makan malam.

“Ya sayang.. Kenapa Iqah?”

-Kak Dian gelakkan Iqah.

Hannan memandang Dian yang mengekori Syaqiqah dari belakang. “Apa ni Dian? Jangan dikacau adik tu, kesian tau..”

Dian tersenyum dan melangkah mendekati Hannan dan Syaqiqah. “Ibu, Dian nak tukar namalah”.

Hannan mengerutkan dahi mendengar kata-kata Dian. Begitu juga Syaqiqah yang kehairanan mendengar kata-kata kakaknya.

“Dian nak panggik Iqah adik. Ibu pun kena panggil adik. Iqah panggil Dian kakak. Ibu abah pun panggil kakak. Jadi kakak adik ..” Dian menunjuk pada dirinya kemudian pada Syaqiqah pula.

Hannan memandang Syaqiqah. Tangan bergerak mengikut bahasa isyarat yang telah menjadi cara komunikasi mereka. -Iqah setuju dengan Kak Dian?

Syaqiqah mengangguk menampakkan barisan gigi putihnya. Hannan menguntum senyum dan membelai kepala Syaqiqah. “Oklah tu. Nanti abah balik kerja Dian cakap dengan abah”.

“Kakaklah ibu..” Dian menegur.

“Iye.. kakak..” Hannan mencuit pipi puterinya. Wajah Syaqiqah dipandang penuh kasih. Sedar tak sedar rupanya sudah hampir dua tahun Syaqiqah bersama keluarga mereka.

Mereka masih lagi berulang-alik bertemu janji dengan Dr.Soleh yang dicadangkan Dr.Nurul hampir dua tahun lalu. Keadaan Syaqiqah sudah muka ceria juga selalu saja tersenyum bahagia. Namun dia masih juga tidak mahu bercakap seperti sediakala.

Kata Dr.Soleh dia perlu diberikan masa. Ada kemungkinan Syaqiqah sendiri sudah lupa apakah peristiwa hitam yang melandanya itu. Dan ‘menyimpan’ suara dan kebolehannya bercakap adalah salah satu senjata untuk melindungi diri.

Lagi dua minggu Syaqiqah perlu dimasukkan ke sekolah rendah. Ikutkan hati dia mahu saja Syaqiqah bersekolah di sekolahnya mengajar. Senang dia mahu menjaga puteri keduanya itu. Lagipun Dian juga bersekolah di sekolah yang sama. Cuma dia tidak tahu apakah guru besarnya akan bersetuju memandangkan dia tiada upaya untuk bercakap?

Dr.Soleh menyarankan dia dan suaminya menyekolahkan Syaqiqah bersama kanak-kanak kurang upaya supaya dia merasa dia masih lagi beruntung berbanding kanak-kanak lain. Boleh membiasakan Syaqiqah dengan suasana persekolahan juga membuang rasa malu dan rasa rendah diri yang rata-ratanya menghuni orang kurang upaya.

Namun dia dan Sulaiman masih belum sempat membincangkan apa-apa lagi. Kalau boleh dia mahu membiarkan Syaqiqah di sekolah kurang upaya buat beberapa ketika dan kemudiannya meletakkan dia di sekolah biasa bersama Dian. Hannan tahu betapa Dian menyayangi adiknya itu, mustahil Dian akan memejam mata jika Syaqiqah ditimpa masalah. Jadi ia tak mendatangkan kerisauan buat dirinya.

 

###############

 

Omar mendiamkan diri melihat ketegangan wajah Tun Adib Nasir. Pulang dari syarikat membawa masalah dengan Jalal yang masih juga belum habis. Menghadap pula masalah mendatang yang bertimpa-timpa.

“Sir..” Omar memanggil.

Tun Adib Nasir melepas nafas memandang pemuda di hadapannya. Pemuda bernama Atik yang sudah dua tahun dia kenali. Omarlah yang mengenalkan lelaki itu padanya. Penyiasat peribadi yang dia upahkan untuk mencari Adibah.

“Tun…” Atik menegur. Tidak pernah dia melihat Tun Adib Nasir semarah ini.

“Saya bagi masa dah setahun. Awak boleh cakap awak belum jumpa puteri saya. Bahkan awak cakap awak tahu dia kat mana. Awak ni buat kerja ke tak?” Tun Adib Nasir masih bernada marah namun mendatar suaranya. Tidak sekuat tadi.

Omar melepas nafas. “KL ni memang kecil Nasir. Tapi bukan senang nak cari orang. Lagilah Adibah hilang tak bawa apa-apa, tak bertanda apa-apa. Manalah kita tahu mana dia pergi..”

Tun Adib Nasir melepas nafas. “Apa khabar dia sekarang? Hidup ke tidak pun tak tahu. Sihat ke tak? Makan minum macam mana? Tidur baring kat mana? Entah-entah bawah jambatan, tepi jalan.. Anak aku tu Omar, anak kawan baik aku. Anak kawan sehidup semati aku. Sepatutnya aku yang kena jaga dia bila Syam dah tak de, masalahnya sekarang dia hilang dan tak de seorang pun yang tahu dia kat mana”.

Atik mendiamkan diri. Setahun berkerjasama dengan Tun Adib Nasir dia tahu betapa penyabarnya Tun Adib Nasir itu. Dia bukan tidak berusaha. Maklumat yang dia dapat hanya sekeping gambar bersama nama penuh Adibah. Sudah satu Kuala Lumpur dia selidik namun dia tidak menemukannya. Kini dia sedang dalam proses mahu meluaskan pencariannya di negeri bersebelahan dahulu.

“Dahlah Atik. Awak boleh balik. Saya harap awak sungguh-sungguh cari puteri saya. Kalau tak apa yang saya bayar selama ni, saya haramkan”.

Atik mengangguk dan melangkah keluar dari restoran mewah itu. Tun Adib Nasir meneguk teh hijau yang dipesan tadi. Melegakan tekak yang kehausan kerana tidak berhenti bercakap sedari tadi.

“Aku dengar hari tu Inspektor Ghazali jumpa kau?”

Tun Adib Nasir memandang sekilas kemudian menganggukkan kepalanya. “Pihak polis dah kenalpasti kemalangan yang berlaku. Memang pembunuhan, bukan kemalangan biasa”.

Mata Omar membulat. “Maksud kau ada orang nak bunuh arwah Syam?”

Tun Adib Nasir menggelengkan kepalanya. “Ada orang cuba nak bunuh aku”.

Dahi Omar berkerut mempamerkan seribu satu tanda tanya. Makin ditanya makin pening kepalanya. Akhirnya Omar berdiam menanti Tun Adib Nasir membuka bicara memulakan cerita.

“Ada orang cuba bunuh aku. Kata inspektor dia mungkin orang terdekat sebab dia tahu rutin harian aku. Dia tahu aku naik kereta apa setiap pagi. Cuma pagi tu, Syam nak balik Muar. Aku tak terfikir pula dia nak naik bas. Katanya tak nak menyusahkan aku. Bisinglah aku Mar. Bukan dekat Muar ke KL ni, dengan Fika yang sarat.. aku suruh juga dia bawa kereta aku balik. Tapi siapa sangka…” riak wajah Tun Adib Nasir mula berubah mengenang peristiwa hitam yang telah berlalu kira-kira dua tahun lalu itu. Air mata yang ditahan dilap menggunakan jari jemari. Tidak mungkin Syamran sekeluarga ada penggantinya.

“Kau ok?” Omar risau melihat keadaan temannya itu.

Tun Adib Nasir menguntum senyum. “Tak pe. Sekarang hal tu biar pihak polis settlekan. Yang penting, aku nak cari Dibah dan uruskan syarikat aku dengan baik. Aku nak pastikan Jalal tak dapat ambil alih syarikat dengan begitu mudah”.

 

##############

 

“Mommy….”

Adib melangkah masuk ke dalam bilik Tun Maryamul Azra. Melihat ibu kesayangannya yang terbaring di atas katil. “Mommy tak larat lagi?”

Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Dia mencapai bantal di sebelahnya dan cuba untuk duduk. Adib membantu Tun Maryamul Azra dengan memaut tubuh tua itu.

“Dah besar anak mommy”.

Adib ketawa kecil. Matanya meliar melihat tubuh badannya yang membesar sesuai dia yang sudah berusia 21 tahun. “Adib nak ajak mommy makan. Cik Zah dah masakkan lauk kegemaran mommy”.

Tun Maryamul Azra menggelengkan kepalanya. “Mommy tak de selera. Adib makan dengan Enon dan Anumlah..”

Adib memuncungkan mulutnya. “Adib nak makan dengan mommy. Daddy dah mesej tadi, dia kata dia balik lewat malam atau tak balik langsung. Adib faham daddy banyak kerja..”

Tun Maryamul Azra senyum manis. Anak tunggalnya, satu-satunya putera yang dia miliki. Sudah besar panjang pun, sikapnya seperti kanak-kanak lagi. “Mommy tak de selera”.

Adib melepaskan nafas. “Dah lama mommy sakit macam ni. Mommy tak ambil ubat dengan Uncle Omar ke?”

“Mommy selalu mimpi Dibah. Mommy yakin muka dia mesti sebiji macam arwah Fika waktu remaja”.

Adib mendiamkan diri. Ya, Adibah Syaqiqah kesayangannya. Ke mana agaknya gadis itu menghilang? Jika diikutkan dia sudah berusia 18 tahun saat ini.

Apakah Adibah membesar sesuai usianya? Atau tubuhnya tetap kecil seperti mereka berdua di zaman kanak-kanak dahulu? Apakah dia makin cantik? Punya wajah lembut seperti umi? Atau berwajah tenang seperti abi?

Adib tidak mampu membendung lagi. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia rindukan gadis itu. Betapa dia rindukan raut wajah Adibah. Betapa dia rindukan gelak tawa Adibah.

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s