Demi Syaqiqah – P12

Mereka sama-sama melonjak kegembiraan melihat keputusan yang terpapar di papan kenyataan sekolah. Syaqiqah lulus dengan cemerlang! Bahkan merupakan salah seorang dari sepuluh pelajar tercemerlang di sekolah mereka.

Dian mencuit pipi Syaqiqah kegeraman. Tidak menyangka adiknya itu sudah pun tamat sekolah menengah tinggi. “Nanti adik boleh belajar sama-sama dengan akak kat KL tu. Tak sabarnya nak tunggu..”

Syaqiqah menguntum senyum. Tangan Dian digenggan erat tandanya dia sangat berterima kasih kepada kakak kesayangannya itu.

“Kenapa ni?” Dian menyoal, hairan melihat Syaqiqah berdiam diri.

Syaqiqah pantas menggeleng. Tangannya bergerak mempamerkan percakapannya. -Adik sayang akak, sayang sangat-sangat.

Dian ketawa kecil. Bahu Syaqiqah dipaut erat. “Thank you. Akak pun sayang gila-gila dengan adik akak seorang ni. Tak sabarnya nak bagitahu ibu dengan abah yang adik lulus dengan cemerlang!”

Syaqiqah mengerutkan dahi. Setahunya jadual mengajar Hannan masih belum tamat. Mengapa pula ibu mereka tiada di sekolah? -Ibu tak de kat sekolah?

Dian menggeleng. “Ibu call akak tadi. Ibu kata ibu balik tengok abah” Dian melepas nafas perlahan.

-Akak..

Dian ketawa kecil melihat Syaqiqah. “Kita balik jalan kaki je lah ye… Tak de kereta nak bawa..”

-Akak… Syaqiqah memanggil lagi. Dia dapat merasakan Dian punya sesuatu yang berbuku di hati. Apakah Dian masih marah akan kejadian langgar lari yang menimpa abah mereka dua tahun lalu?

“Ya… akak bengang” Dian dapat membaca air muka Syaqiqah.

-Kan ibu dah cakap.. ni semua ujian untuk kita. Kan tanda Allah sayang tu…

“Eeee..” Dian mencubit pipi mulus Syaqiqah. “Adik ni baik sangat tau. Nasib baik ada akak jaga. Kalau tak mesti selalu kena buli. Manalah akak tak geram.. Dia dahlah langgar abah kita sampai lumpuh, langgar lari pula tu. Apa dia ingat negara kita ni tak de undang-undang ke? Polis pun satu, kata nak carilah apalah bagai. Akhirnya sampai sekarang tak jumpa-jumpa. Kesian abah… kesian ibu.. kesian lagi kita…”

Syaqiqah ketawa kecil. Sebenarnya sudah lebih sepuluh kali dia mendengarkan ayat yang sama dari Dian. Ayat itulah yang menjadi basahan bibirnya semenjak abah mereka ditimpa kemalangan dua tahun lalu.

“Gelak je kerja dia. Suara tak de..”

Syaqiqah ketawa lagi. Terhibur sungguh dia dengan Dian. Kepala sengaja dilentokkan hingga mengenai bahu Dian. Dian mencebik bibir. “Manjanya…”

Syaqiqah senyum. Pipi Dian dicium sekilas. Menjadi amalannya setelah sekian lama, pipi Dian pasti akan dicium setiap kali dia ingin meluahkan rasa sayangnya. Itulah juga apa yang Syaqiqah lakukan terhadap abah juga ibu. Dian menepuk lembut bahu Syaqiqah. “Buat depan orang. Kalau orang tak tahu kita adik beradik silap hari bulan orang ingat kita ni lesbian tau..!”

Langkah mereka berdua berhenti seketika. Dian mengerut dahi memandang rumah mereka dari jauh. “Adik”.

Syaqiqah memandang Dian sesaat dan memandang rumah mereka. Dahinya ikut berkerut memandang perkarangan rumah yang kelihatan sesak dengan manusia.

Dian mula tidak sedap hati. Begitu juga Syaqiqah. Dian menarik tangan Syaqiqah, melajukan langkah mereka. “Kenapa ramai orang berkumpul kat rumah kita ni?”

 

############

 

Dia melangkah perlahan menuju ke tempat meletak kenderaan. Sengaja dia memandu sendiri, malas mahu meminta pemandunya menghantar dia ke syarikat.

“Tuan..”

Jalal mengerut dahi. Siapa yang memanggilnya? Takkanlah…

“Tuan” suara itu memanggil lagi.

Mata Jalal membulat melihat wajah yang keluar dari balik dinding. “Pisau? Bila kau balik? Aku tak suruh kau balik”.

 

###########

 

Langkah kaki mereka terhenti di pintu rumah. Orang-orang surau membaca Surah Yasin mengelilingi seseorang yang dibaluti dengan kain putih. Hanya wajahnya yang tidak ditutup tapi Dian dan Syaqiqah tidak dapat melihat wajah itu.

Namun melihat Hannan yang berada di sisinya dengan linangan air mata, Dian dan Syaqiqah sudah tahu siapakah yang menjadi sasaran Surah Yasin yang dibacakan.

“Ibu..” Dian melangkah masuk, lemah. Syaqiqah membuntuti dari belakang. Wajah keduanya sudah dipenuhi dengan linangan air mata.

Hannan memandang wajah kedua puterinya. Senyum diukir dalam keadaan teramat lemah. Tangan didepakan menyambut kedua puterinya. Dian di sebelah kanan manakala Syaqiqah di sebelah kirinya. Keduanya dipeluk erat penuh kasih.

“Ibu…” Dian memanggil dalam esakannya.

Hannan mengangguk. “Abah dah tinggalkan kita.. Abah dah tinggalkan kita buat selamanya. Abah dah balik kampung asal. Abah dah tak de..”

Ketika itu barulah Dian dan Syaqiqah memandang ke arah sekujur tubuh yang berada di hadapan mereka. Wajah itu dilihat lebih teliti. Abah…

“Cium abah.. kali terakhir. Lepas ni pak imam nak solat jenazah dan kebumikan terus” Hannan masih rasional sekalipun wajah sudah banjir dengan air mata.

Dian mendahului sebagai seorang kakak. Tubuhnya mengesot ke hadapan sedikit. Tangan kanan memaut tangan arwah Sulaiman manakala tangan kirinya menyentuh wajah arwah Sulaiman dengan linangan air mata. “Abah…”

Wajahnya didekatkan mengenai wajah arwah Sulaiman. Bibirnya lembut dikenakan pada dahi sang abah yang sangat-sangat disayanginya. Dia tidak sangka abahnya akan meninggalkan dirinya secepat ini. Dia langsung tidak pernah terfikir abah akan pergi secepat ini.

Syaqiqah mendekati abahnya. Dian memberi ruang buat adiknya pula memberi kucupan terakhir buat abah kesayangan mereka. Berbeza dengan Dian, Syaqiqah lebih memilih untuk mencium pipi abahnya. Lama dia mencium arwah Sulaiman dengan air mata yang mengalir. Namun air matanya dihalang dari mengenai wajah sang abah.

Kesenangan hidupnya sekarang adalah kerana abah. Jika tidak kerana abah, dia juga tidak tahu nasibnya saat ini. Keizinan yang diberikan abahlah membuatkan dia dapat berada di dalam keluarga bahagia ini.

Dia diberi segalanya tak kurang dan tak lebih dari Dian. Dia merasakan dia benar-benar anak kandung mereka. Hingga kadang dia sendiri terlupa dia hanyalah seorang ‘anak kutip’ yang tidak diketahui asal usulnya.

Dian memaut tubuh Syaqiqah, menenangkannya. Mereka sama-sama bersedih dengan pemergian abah tersayang. Hannan memandang kedua puterinya. Bagaimana agaknya hidup selepas ini? Bagaimana agaknya perasaan membesarkan kedua puterinya tanpa Sulaiman di sisi?

 

############

 

Mata menjeling jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Dia sudah bosan menanti daddy yang masih juga belum pulang dari kerja. Bilalalh daddy akan pulang? Dia ada hal penting yang mahu dibicarakan.

Adib tahu esok seawal jam 4.00 pagi daddy punya penerbangan ke Jepun untk berjumpa salah seorang klien penting syarikat. Mungkin daddy hanya akan pulang untuk menukar pakaian juga melihat mommy.

Pintu yang terbuka menarik perhatian Adib. Langsung saja tangan menekan alat kawalan jauh dan menutup televisyen yang ditonton. Langkah kaki menuju pada Tun Adib Nasir yang baru masuk ke dalam rumah.

“Daddy..”

Tun Adib Nasir menoleh memandang Adib yang menanti di belakangnya. “Adib belum tidur?”

Adib menguntum senyum. “Dib ada benda nak bincang dengan daddy”.

Tun Adib Nasir mengerutkan dahinya. Apakah hal yang mahu dibicarakan Adib. Apakah ia begitu penting hingga anak tunggalnya itu sanggup menunggunya pada tengah malam begini?

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s