Monthly Archives: July 2016

Demi Syaqiqah – P15

Tun Maryamul Azra memandang Adib yang baru turun dari biliknya. Aneh, anaknya itu hari ini turun menggunakan tangga bukan lif seperti selalunya.

“Morning mommy” Adib menarik kerusi di meja makan. Melihat mommy selera bersarapan hari itu menyejukkan hatinya. Jika tidak, dialah yang terpaksa membawa sarapan yang dimasak Cik Zah naik ke bilik Tun Maryamul Azra.

“Morning sayang.. Tidur lepas subuh la ni.. Pukul sepuluh baru muncul” Tun Maryamul Azra mencedok laksa goreng ke dalam pinggan Adib.

Adib ketawa. Iyalah, mana mungkin dia boleh tidur malam tadi. Sibuk menyiapkan tugasannya hingga awal pagi. Mahu tidur matanya tidak mahu lelap pula. Semuanya gara-gara gadis yang dilihat dua minggu lalu.

Dia merasakan gadis itu seperti.. Adibah? Tapi tak mungkinlah. Dia sudah memohon bantuan untuk memeriksa nama pelajar di seluruh universiti, tiada yang bernama Adibah Syaqiqah Syamran.

Dia juga tidak tahu bagaimana harus memulakan pencarian walaupun dia yakin itu adalah Adibahnya. Dia sendiri kebuntuan untuk membuat pencarian.

“Dib busy lah mommy. Banyak sangat assignment. Semalam tu tak tidur menyiapkan assignmentlah..”

Tun Maryamul Azra mengangguk memahami. “Biasalah tu. Last year kan.. memang busynya lebih dari sebelum-sebelumnya”.

“Mommy…”

Tun Maryamul Azra memandang puteranya. Nada suaranya sudah berubah. Serius. Ada apa yang tidak kena?

“Dib rasa. Dib dah jumpa..” ayatnya mati. Bimbang pula dia. Andai gadis itu bukan Adibah, hancur pula harapan mommy untuk menemui Adibah.

“Kenapa?”

Adib menggeleng dengan senyuman. Langsung saja laksa goreng di dalam pinggan dimasukkan ke dalam mulut serakus mungkin. Sekeping roti disambar sambil dia menghirup kopi putih panas yang terhidang.

Tun Maryamul Azra mengerut dahi melihat kelakuan Adib yang tiba-tiba berubah.

Licin saja cawannya, Adib langsung mengangkat punggung. “Mommy, baru Dib ingat Dib nak keluar, ada hal. Dib naik mandi dulu”.

“Ya Allah budak ni. Nak ke mana cepat sangat? Tercekik nanti!” dan Adib hilang dari pandangan. Menyusup menaiki tangga seperti halilintar.

 

###########

 

Syaqiqah memejam matanya lama. Dan membukanya buat seketika lalu kelopak matanya ditutup kembali. Langkah itu diulang buat beberapa kali.

Kemudian jari menekan batang hidung untuk melegakan mata. Kerutan dahinya diratakan. Dan sebuah nafas dilepaskan.

Baru masuk tiga bulan dia belajar, sudah beberapa kali dia tertidur di dalam kelas. Dian sudah naik risau dengan keadaan dirinya. Saban hari dia diajak ke klinik oleh kakaknya itu

Tapi Syaqiqah tahu keadaan dirinya. Dia tahu dia sihat wal afiat. Dia tahu tidak ada masalah pada tubuh badannya. Cuma.. dia masih belum biasa dengan keadaan ini. Kata ibu, itu perkara biasa.

Liurnya ditelan. Air putih yang berada di sebelah komputer riba di hirup. Dipandang Dian yang sudah lena tidur di katil. Sekilas terpancar senyuman dari wajah Syaqiqah.

Walaupun apartment itu ada dua buah bilik, Dian bertegas mahu tinggal sebilik dengannya. Kata Dian, bilik yang kedua itu untuk Hannan jika dia punya kelapangan untuk ke Kuala Lumpur.

Syaqiqah juga lebih suka tinggal sebilik dengan Dian. Dia rasa selamat. Dia rasa disayangi. Dia rasa dikasihi oleh kakak terbaik di dunia.

Wajahnya diraup. Entah kenapa, wajah Adib Mubarak tiba-tiba terbayang pada mata. Syaqiqah menggelengkan kepala berkali-kali. ‘Kenapa dengan aku ni?’

Syaqiqah melepas nafas. Sudah sebulan berlalu. Tapi bayangan hari itu masih tidak dapat dia lupakan. Walhal dalam ingatannya wajah Adib Mubarak pun samar-samar.

Dian sudah berkali memberi pesanan. Jangan ambil tahu tentang Adib Mubarak. Jangan pernah ingin tahu segala hal yang berkaitan dengan Adib Mubarak. Kerana jika dia sudah terkait dengan Adib Mubarak, hidupnya tidak akan pernah tenang.

Dian cuma mahu mereka belajar hingga selesai. Dan jika Hannan izinkan, mereka mahu bekerja di Melaka andai Hannan tidak mahu pindah ke Kuala Lumpur. Jika ada Adib Mubarak dalam jadual hidup mereka, Dian yakin mereka tidak akan dapat belajar dengan tenang.

Iyalah. Adib pelajar lelaki paling popular di universiti. Memang dia punya ramai peminat terutama dari kalangan wanita. Yang membenci juga tak kurang hebat. Mungkin sakit hati dengan tuah hidupnya yang dilahirkan dari keluarga kaya raya.

Mereka membenci Adib tapi tidak boleh menyentuh Adib. Jika ada apa-apa yang berlaku, pastinya semua pensyarah akan menyebelahi Adib. Jika seorang Tun Adib Nasir menarik diri dari persatuan ibu bapa di universiti, boleh hancur universiti mereka kerana pengaruh Tun Adib Nasir.

Itulah pesanan Dian. Diulang berkali-kali kerana Dian paling faham dirinya. Syaqiqah juga tidak tahu apa yang tak kena dengan dirinya. Bukannya dia sukakan Adib Mubarak, tapi.. dia merasakan ada sesuatu pada Adib Mubarak.

 

##########

 

Dian menguntum senyum melihat Syaqiqah melangkah ke bilik komputer. Syaqiqah mahu mencari maklumat untuk tugasannya yang baru diberikan tadi.

Mee goreng di dalam pinggan disuap ke mulutnya. Dilicinkan segera kerana mahu menyertai Syaqiqah di bilik komputer.

 

#########

 

Kasutnya dipandang dengan keluhan nafas. Adib duduk memakai kasut dengan tangan ligat mengikat tali kasut.

Penatnya dia menghadap komputer riba dari pagi. Perutnya tiba-tiba berkeroncong menandakan dia sedang kelaparan. Lantas Adib berdiri dan membuka langkah menujub kekantin.

 

#########

 

Fail yang berada di tangan ditekap ke dada. Syaqiqah memperlahankan langkah bila menyedari ada seseorang menuju dari arah bertentangan. Barangkali mahu ke kantin menjamah makanan.

Adib melajukan langkah dan dia berselisihan dengan satu-satunya gadis yang berada diruang itu.

Selangkah.. Dua langkah.. Dan langkahnya mati.

Adib terhenti.

Syaqiqah berhenti. Perasaan Syaqiqah tiba-tiba menjadi aneh. Fail yang tertekap didada dipeluk erat. Syaqiqah berpaling.

Perlahan Adib memusingkan tubuh. Matanya membulat memandang wajah itu. Nafas yang tadinya tenang kini bertukar menjadi ribut taufan. Wajah itu.. Wajah itu.. Persis wajah umi!

Adibah mendiamkan diri. Lelaki di hadapannya ini.. Bukankah ini Adib Mubarak? Matanya tertumpu pada wajah yang jelas memperlihatkan riak terkejut.

Adib menenangkan diri. Dia tahu, dia tahu itu Adibahnya. Dia tahu itu Adibahnya. Automatik kakinya berlari anak menuju pada gadis itu. Tubuh itu dipeluk erat. Erat seerat-eratnya.

Syaqiqah kaku di dalam pelukan. Buat pertama kalinya dia dipeluk seorang lelaki tak dikenali. Dia mahu melepaskan diri tapi entah mengapa, tubuhnya bagai disihir agar tetap diam di dalam pelukan Adib.

Air mata yang muka bertakung dikesat sebelum dia melepaskan pelukan. Wajah yang agak ketakutan itu dipandang lama. “Dibah.. abang rindu… Sangat-sangat..” dan air matanya perlahan mengalir.

Syaqiqah kembali ke dunia nyata. Wajah yang menangis di hadapannya dipandang. Menyedari tangannya berada di dalam genggaman lelaki itu, Syaqiqah meronta minta dilepaskan.

“Dibah.. abang ni. Dibah tak kenal abang ke?” air mata Adib makin galak mengalir.

Syaqiqah menggeleng-gelengkan kepala. Apa yang Adib Mubarak bicarakan? Siapa Dibah? Siapa abang? Air matanya mula menitis ketakutan.

“Dibah…” Adib menguatkan genggaman.

Syaqiqah cuba menolak tubuh Adib Mubarak. Tapi tenaga lelaki itu jelasnya dua tiga kali ganda lebih kuat darinya. ‘Akak..’ Syaqiqah mula menangis.

 

###########

 

Dian berlari ke bilik komputer. Perasaannya jelas mengatakan Syaqiqah dalam kesusahan. Apa agaknya kesusahan yang menimpa adiknya itu?

Dia berlari selaju mungkin. Langkahnya terhenti melihat Syaqiqah yang sedang menangis. Wajahnya pucat, adiknya itu ketakutan.

“Woi!” Dian menjerkah.

Genggaman Adib terlepas. Dia menoleh ke belakang. Matanya memandang gadis yang menjerkahnya tadi.

Syaqiqah langsung saja bersembunyi di belakang Dian. Takut benar dia dengan reaksi Adib tadi. Tubuhnya terhinjut-hinjut menahan tangis.

“Kau buat apa kat adik aku?” Dian menyoal kasar. Sambil tangannya mengusap kepala Syaqiqah, cuba menenangkan.

Adib mengerutkan dahi. Mujur air matanya sudah dikesat tadi, jika tidak malulah dia. “Ni adik kau?”

“Ini adik aku. Kau buat apa kat dia?” Dian menjeling.

“Tak mungkin. Dibah tak de kakak. Dia mungkin ada adik, tapi Dibah tak mungkin ada kakak” Adib menggelengkan kepala.

Dian mendengus. Entah apa yang dikatakan Adib, dia sendiri tidak mengerti. “Iqah ok tak?” Dian memandang wajah Syaqiqah yang memerah.

Syaqiqah mengetap bibir. Dia masih tidak berani menatap wajah Adib. Dian melepas nafas. Tahu adiknya itu mahu segera pulang. “Jom kita balik ye sayang..”

“Kejap” Adib menahan langkah dua beradik itu.

“Kau nak apa lagi?!” Dian menyinga. Pantang betul dia dengan lelaki yang mengganggu adik kesayangannya.

“Kau Dian, budak tahun 3 kan?” Adib mencari kepastian.

“Gila!” Dian menjeling dan langsung memaut tubuh Syaqiqah berlalu dari situ. Menyampah dia dengan Adib ini. Dia fikir dia popular, dia boleh sesuka hati mengganggu Syaqiqah?

Adib melepaskan nafasnya. Dia sudah menemui Adibah. Tapi banyak hal yang perlu dia pastikan. Dan buat masa ini kuncinya hanya satu. Dian.

 

##########

 

Selesai memberikan bayaran teksi kepada pemandu, Dian memimpin Syaqiqah keluar dari teksi. Tubuhnya masih terhenjut-henjut menahan tangis. Ditambah dengan sedu-sedan yang pastinya membuatkan Dian sakit hati bila teringatkan kejadian tadi.

Syaqiqah dipandang. “Iqah..” Dian memanggil lembut.

“Iqah ok tak ni?”

Syaqiqah melentokkan kepala kedalam pelukan Dian. Dia terasa benar-benar letih. Kini yang berada didalam fikirannya hanya ibu. Semata-mata ibu.

Dian mengusap kepala Syaqiqah penuh kasih. Segera adiknya itu dibimbing naik ke rumah mereka.

 

###########

 

Kereta yang dipandu tiba-tiba terhenti apabila Adib menekan brek. Bunyi hon bertalu-talu dari belakang menyedarkan Adib bahawa dia berada di tengah jalan raya. Signal kekiri diberikan dan Adib memandu ketepi.

Sesudah lampu kecemasan dihidupkan Adib mencapai telefon pintarnya. Tapi bila skrin telefon pintarnya dihidupkan, Adib buntu. Mengapa telefon pintarnya diambil? Pada siapa dia harus bertanya? Pada siapa dia mahu bertanya?

Adib melepaskan sebuah keluhan berat. Dia benar-benar pasti gadis yang dipanggil Iqah tadi adalah Adibahnya. Tapi bagaimana dia harus mencari kepastian? Adib menunduk hingga kepalanya mengenai stereng kereta. Tanpa sedar hon ditekan. Melepaskan seribu satu keserabutan yang terkumpul di kepala.

Jika benar gadis tadi adalah Adibah. Mengapa gadis itu sama sekali tidak mengenalinya? Katakanlah masa telah berlalu dan mereka berdua pun sudah menginjak dewasa. Tapi takkanlah Adibah langsung tidak mengenalinya? Lagipula dia sudah memperkenalkan diri.

Lagi satu, sejak bila pula Adibah memiliki seorang kakak? ” Aaaaaaaaahhh….!!!!! ” Adib menjerit. “Peningnya kepala otakkkk…!!!! ”

Adib menarik nafas sedalamnya. Dalam sedalam-dalamnya. Sekarang yang terpenting adalah dia harus pulang ke rumah. Esok dia akan kembali ke universiti dengan satu semangat baru. Dia harus menemui Dian untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku.

 

############

 

Senyum dikuntum melihat Syaqiqah melangkah perlahan menuju ke meja makan.

– Wah sedapnya akak masak malam ni.

“Macam nilah adik akak. Tak delah nak berkurung lama-lama dalam bilik tu” Dian mengambil tempatnya di meja makan.

Syaqiqah mencebik -Adik sihat lagilah…

Tangan diangkat membaca doa dan mereka mula makan. Dian memandang Syaqiqah yang berlagak biasa. Semuanya nampak normal sahaja tapi Dian tahu ada yang Syaqiqah sembunyikan.

Syaqiqah mengangkat wajah memandang Dian. Tahu sangat kakaknya itu punya seribu satu soalan mahu diaju padanya.

“Bolehke akak tanya ni?”

Syaqiqah mengangguk. Dia juga tidak punya apa yang mahu disembunyikan dari pengetahuan kakaknya.

Dian menarik nafas. “Adik kenal ke Adib tu? Kenapa dia macam kenal adik je?”

– Tak. Adik tak kenal. Adik pun tak tahu kenapa dengan dia.

“Tapi cara Adib tu….”

– Akak tak percaya adik ke?

“Tak. Bukan akak tak percaya adik. Akak cuma nak kepastian je.

– Akak jangan risau. Adik takkan buat perkara yang akak tak suka. Adik janji.

Dian menguntum senyum manis. Dia mempercayai kata-kata Syaqiqah. Dia juga tidak mahu mereka punya kaitan dengan lelaki bernama Adib Mubarak.

 

###########

 

Lama dia menghadap cermin. Meneliti wajahnya yang rata-rata dikatakan orang ‘cantik’.

Amy melepas nafas perlahan. Jika dia benar-benar cantik mengapa sampai sekarang Adib masih tidak tertarik padanya? Amy tahu rupa paras luaran bukanlah perkara penting buat Adib. Tapi bukankah dia sudah bersikap sebaik-baiknya demi lelaki itu?

Apa lagi yang harus dia lakukan supaya Adib sedar dia sentiasa berada di sisi Adib. Mengapa fikiran dan hati Adib sentiasa dipenuhi dengan Adibah, Adibah dan Adibah…?

Sedangkan gadis itu telah lama meninggal dunia. Gadis bernama Adibah Syaqiqah itu tidak lagi wujud di muka bumi ini..!! Apa istimewanya Adibah berbanding dirinya. Sedari kecil Amy selalu merasa kalah dengan anak itu.

Adibah hanyalah anak seorang pemandu. Sedangkan dia anak pegawai kanan bahkan papanya merupakan pekerja yang paling lama berkhidmat dengan Tun Adib Nasir. Lalu apa lebihnya Adibah?

Hampir menitis air mata Amy memikirkan hal itu. Terasa kerdilnya berlawan dengan orang yang telah tiada. Terasa hinanya berlawan dengan orang yang telah mati.

Laungan azan menandakan masuknya waktu subuh mematikan lamunan Amy. Segera dia bangun dari duduk dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Mengambil wudhu untuk menunaikan solat subuh.

 

###########

.

Jam tangan dipandang. Katanya kelas Dian akan berakhir jam 2.30 petang. Lagi lima minit sebelun tiba waktunya.

Segera Adib menutup buku yang sedang dibacanya di perpustakaan. Dia meminta diri dari Harraz yang menemaninya di perpustakaan tadi. Harraz juga ternyata mahu keluar dari perpustakaan. Katanya ada ‘date’ dengan teman wanita.

Sesaat dua dia menantu di depan pintu kelas Dian, akhirnya pelajar di kelas itu mulai beransur keluar. Hasrat hati Adib mahu saja masuk menemui Dian tapi dia bimbang ada mata yang memerhati pula.

Berbicara di luar juga tidak kurang yang memerhati, tapi sekurangnya mungkin Dian lebih selesa jika mereka berbual di luar.

“Dian” Adib langsung saja menahan langkah gadis itu sebaik Dian melangkah keluar. Mujur ada temannya yang memberitahu kesukaan Dian keluar kelas melalui pintu belakang, jika tidak .. hancur harapannya untuk menemui gadis itu.

“Kau nak apa?” Dian memandang dengan wajah sakit hati.

“Kau marah lagi fasal semalam?”

“Aku kenal kau ke nak marah kau?” selamba Dian menjawab. Langkah diatur meninggalkan Adib. Dia tidak punya masa untuk melayan lelaki ini.

“Dian” Adib menarik tangan Dian, dia tidak punya cara lain untuk membuat gadis itu berhenti.

Dian menarik tangannya dari cengkaman Adib. “Sejak bila aku ada hubungan dengan kau ni?” Dian menengking.

Adib melepas nafas. Dia melihat sekeliling. Banyak pula mata yang melihat. Pasti sedari tadi mereka menonton drama ini. “Aku ada hal penting nak cakap dengan kau”.

“Aku tak de masa” Dian melihat sekeliling dan muka memasang langkah beransur pergi.

“Adik kau..”

Dian menoleh kembali. Jari telunjuknya dihalakan pada wajah Adib dengan matanya yang membulat. “Jangan sesekali kau sentuh adik aku!”

Belum sempat Adib menahan, Dian sudah hilang dari pandangan. Adib melepas nafas. Keras sungguh hati gadis bernama Dian ini. Kalaulah gadis lain di universiti itu, pasti sudah menggedik kegembiraan jika dia mahu menemui mereka.

Ikutkan hati mahu saja dia terus menemui Adibah, tapi dia tidak tahu Adibah pelajar kursus apa. Juga dengan wajah ketakutan Adibah semalam, mahukah Adibah menemuinya?

 

 

 

 

Demi Syaqiqah – P14

Syaqiqah memandang beg bagasinya yang berada di atas katil. Nafas dilepas perlahan. Beratnya rasa mahu meninggalkan ibu di Melaka dan pergi belajar bersana Dian di Kuala Lumpur.

Tapi dia bukannya ada pilihan lain. Kata ibu, inilah adalah harapan terbesar abah mereka. Abah mahu dia dan Dian belajar di Kuala Lumpur kerana tahap pendidikan di sana lebih tinggi. Mungkin, Syaqiqah sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran itu.

“Adik!” Dian masuk ke biliknya dan memeluk tubuhnya seerat mungkin.

Syaqiqah tersenyum memandang Dian yang sudah melepaskan pelukan. Dian mengerut dahi melihat wajah Syaqiqah yang kelihatannya ada kerisauan tersendiri. “Kenapa ni? Adik tak nak pergi belajar ke?”

Syaqiqah mencebik bibir. -Adik nak belajar kat sini. Adik sayang nak tinggal ibu seorang. Siapa nak jaga ibu kalau ibu sakit?

Dian tersenyum nipis. “Adik.. Ibu yang suruh adik ikut akak belajar kat KL tu. Dah dua tahun adik tak buat apa lepas sekolah menengah. Adik kena belajar, buka sikit kepala tu…”

-Belajar kat sini jelah. Ibu sibuk nak paksa adik ikut akak belajar kat KL.

Dian ketawa kecil melihat wajah muram Syaqiqah. Tangannya yang sibuk membebel ditangkap ‘Dian’. “Tak pe adik.. Akak memang nak bawa ibu pindah KL sekali. Nanti kalau dah kerja lagi susah nak balik sini. Ibu bukan bagi kerja kat sini, asyik ulang ayat yang sama.. Abah kata blah blah blah.. Abah kata itu, abah kata ini.. Abah pun juga, apa entah ada kat KL tu. Sibuk nak suruh belajar kat sanalah, kerja kat sanalah..”

Kali ini Syaqiqah yang ketawa. Awalnya dia yang berdolak dalih, tapi sekarang Dian pula. Kakaknya itu kalau sudah membebel memanglah parah. Bebelannya boleh saja mengalahkan segala ‘pakar membebel’ dalam dunia.

Dian menjeling. Syaqiqah suka saja ketawakannya bila dia membebel. Entah apa yang kelakar dengan bebelannya dia juga tidak tahu. Yang pasti sedari dulu, Syaqiqah selalu saja ketawa mendengar dia membebel.

“Dah habis gelak?” Dian bertanya separuh menyindir. Syaqiqah memuncungkan bibir, teknik memujuk Dian yang sudah berbaur rajuk kata-katanya. Sebuah ciuman dilayangkan pada kakaknya.

Dian ketawa sambil menyambut ciuman layang dari Syaqiqah. “Sayang adik akak. Akak sayang adik akak sampai bila-bila..”

 

##########

 

Adib memandang lama gambar itu. Memegang lama bingkai gambar itu. “Dibah…”

Jari jemarinya bermain pada wajah kaku itu. Rindunya dia pada Adibah tidak terkira. Tapi bimbang juga andai dia bertemu Adibah saat ini, dia tidak mengenali wajah itu. Tapi ada satu hal yang dia pasti. Jika wajah Adibah persis mirip umi, sekali pandang pun dia boleh mengenali wajah itu. Dia sangat yakin.

Dia sudah bertemu dengan Atik untuk meminta maklumat yang sudah Atik kumpulkan. Penerangan yang diberi Atik padanya membuatkan Adib faham mengapa susah benar menemui Adibah Syaqiqah yang sudah dicari bertahun-tahun.

Manakan tidak, petunjuk yang ada hanya sekeping gambar ketika Adibah kecil bersama nama penuhnya. Menurut Atik dia mengesyaki Adibah berada di selatan tanah air.

Adib pun baru teringat bahawa kampung Adibah di Muar, Johor. Tapi adakah Muar berada di selatan tanah air?

Dalam sedar air mata Adib jatuh mengalir membasahi pipinya. Rindu benar dia pada gadis itu. Yang dulunya disayangi sebagai seorang adik dan kini.. dia pasti kerana rindu yang menggunung membuatkan dia jatuh cinta pada Adibah yang tidak diketahui keberadaannya.

Ya, Adib yakin. Dia menantikan Adibah yang menjadi cinta pertamanya. Adibah yang menjadi penantiannya selama ini.

Adib ketawa kecil bersama gambar yang sudah ditekup pada dadanya. Apalah perkara yang dia merepek dari tadi? Cinta pertama, penantian segala bagai.

Ketukan di pintu menarik perhatian Adib. Wajah Tun Maryamul Azra terpampang pada daun pintunya. “Mommy”.

“Adib buat apa?”

Adib mengerutkan dahi. Pintu bilik dibuka seluas mungkin. Memberi laluan buat Tun Maryamul Azra melangkah masuk. “Mommy bukannya sihat pun. Kenapa mommy cari Dib ni?”

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Adib buat apa dari tadi?”

Adib senyum. Bingkai gambar diletak kemas di atas meja lampu tidurnya.

“Ada orang datang cari Adib. Dari tadi Cik Zah call, tak angkat-angkat” Tun Maryamul Azra memandang telefon rumah yang terletak kemas di sudut bilik. Iyalah, villa sebesar ini membuatkan penghuninya tak betah menjerit-jerit memanggil penghuni lainnya. Apatah lagi untuk ke tingkat atas tingkat bawah memanggil dari dekat.

Adib sengih. ” Sorry susahkan mommy. Mommy dah tengok ke siapa yang datang?”

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Turunlah cepat”.

 

###########

 

Instant shawl yang tersarung pada kepala dibetulkan. Teruja pula dia bila melangkah masuk ke dalam villa itu. Iyalah sudah lama dia meninggalkan negara Malaysia tercinta kerana menyambung pelajarannya.

Teruja pula dia mahu menemui Adib yang teramat dirindui. Blouse kembangnya dikemaskan buat menemui Adib. Seluar jeans yang dipakai dipandang dengan senyuman.

Tentu sekali, dia kelihatan sempurna. Jika lelaki lain yang melihatnya, pasti mereka akan langsung terjatuh hati padanya. Tapi Adib lain.. Ya dia tahu itu. Ada seseorang yang ditunggu Adib sedari dulu.

“Assalamualaikum”.

Dia menahan debaran dengan senyuman. Lantas begnya diletakkan di atas sofa dan dia menoleh memandang empunya suara. “Waalaikumussalam”.

Adib mengerutkan dahi. “Amy?”

Amy mengangguk penuh manis. Dia yang tadinya bajet ayu langsung saja berlari menuju pada Adib. Lengannya merangkul tubuh Adib dan memeluk erat. Namun hanya seketika kerana Amy tersedar dia sudah dewasa. Sengih menampakkan barisan giginya.

“Lupa pula Amy dah besar” Amy ketawa kecil.

“Sedar pun. Ni ha yang baik” Adib menghulurkan tangan dan Amy menyambutnya. Mereka bersalaman bersama senyuman sendiri.

“So berapa lama Amy stay Malaysia this time?” Adib menyoal sambil memandang Anum yang sopan menghidangkan air bersama makanan ringan buat mereka berdua.

“Nope! Amy dah habis belajar. So Amy stay Malaysia sampai bila-bila. Amy akan menempek kat Adib sampai bila-bila” dan Amy ketawa sendiri.

 

############

 

Mereka berdua melangkah perlahan masuk ke dalam universiti. Syaqiqah menggenggam erat jari jemari Dian. Dian ketawa kecil, tahu sangat adiknya itu ketakutan melangkah ke dunia baru.

“Adik ni fikir banyak sangatlah. Jangan takut, akak ada. Demi Syaqiqah… akak akan buat apa saja”.

Syaqiqah ketawa sendiri. Mengapa ayat ‘Demi Syaqiqah’ yang terlontar dari mulut Dian lain macam bunyinya? Terasa seperti pasangan baru bercinta pula.

Dian mencubit lengan Syaqiqah hingga adik manjanya itu mengaduh. “Ingat akak tak tahu ke apa yang adik fikir?”

-Ayat akak cliche sangat. Rasa meremang dengar.

“Iyelah tu..” Dian ketawa sendiri. Dan dia memandang wajah Syaqiqah dalam sedalam dalamnya. Memberi seluruh perhatian dan tumpuan pada wajah manis di hadapannya. “Tapi akak cakap betul. Demi adik, akak akan buat apa saja. Adik tak tahu betapa besarnya erti kedatangan adik dalam hidup akak”.

Sebuah ciuman hinggap di pipi Dian. Dan Dian membalasnya dengan memeluk Syaqiqah erat. Apa yang dia katakan, dia benar-benar maksudkannya. Demi Syaqiqah, dia sanggup lakukan apa saja. Demi Syaqiqah, dia akan lakukan segalanya.

 

##########

 

Sikat yang berada di tangannya diletakkan di atas meja. Cermin dipandang sekilas dan dia mencapai fail di atas katil. Nafas ditarik. ‘Semangat, Dib. Last year! Lepas ni boleh cari Dibah habis-habisan’.

Adib membuka pintu biliknya dan menutup lampu bilik. “Alamak, lupa!” Adib menjerit tiba-tiba.

Spontan tangannya memetik suis lampu dan biliknya kembali cerah. Adib berlari anak menuju ke ruang kecil di sebelah katilnya. Bingkai gambar yang berada di atas penghadang katil diambil dan dicium lama. Gambar terakhir Adibah yang berada padanya. “Dibah, abang pergi kelas dulu ye.. Lagi setahun je, nanti kita jumpa”.

Pelajaran hari itu agak mudah baginya. Iyalah, dia mengambil jurusan pengurusan usahawan yang memang merupakan bidang juga minatnya. Dia memang meminati pengurusan usahawan kerana melihat cara Tun Adib Nasir menguruskan perusahaan keluarga mereka sedari kecil.

Langkah kakinya laju menuju ke kantin universiti. Terasa lapar pula perutnya. Matanya membulat melihat sebuah meja yang dipenuhi makanan tertulis namanya. Dia perasan ada mata-mata yang memandang dengan pandangan tidak menyenangkan.

Cemburu? Sakit hati? Gembira? Sedih? Entahlah, Adib tak pedulikan semua itu. Yang penting sekarang, siapa yang buat perkara gila seperti ini padanya?

“Surprise!”

Adib ketawa kecil melihat Amy melangkah ke meja itu dengan senyum lebarnya. Dia melihat Amy menarik kerusi dan duduk di meja itu.

Amy memandang Adib dengan kerutan dahi dan senyuman di bibir. “Adib.. termenung apa lagi? Come!”

Adib melangkah sambil menggelengkan kepalanya. “Apalah Amy buat ni? Buat malu je..”

Amy memandang sekeliling. Ya, memang ramai yang melihat. Tapi Amy tahu itu kerana Adib sememangnya popular di universiti itu. Anak tunggal Tun Adib Nasir yang sememangnya merupakan penyumbang utama di universiti itu.

“Biarlah apa orang nak cakap. Susah-susah Amy minta mama masakkan tau” Amy ligat mencedok itu ini dan meletakkannya di pinggan Adib. “Makan!”

Adib senyum senget. “Aunty masak.. ingatkan Amy masak sendiri”.

“Adib..!”

“Ok tuan puteri, patik makan sekarang”.

 

#########

 

“Kenapa adik berhenti?” Dian melajukan langkah mendekati Syaqiqah. Hairan melihat adiknya itu berhenti di pintu kantin. Tadi sibuk sangat dengan laparnya.

Syaqiqah memandang Dian yang berada di sebelahnya. Kemudian mata memandang meja di hadapan matanya.

Dian memandang. “Oh.. tulah Adib Mubarak. Anak tunggal Tun Adib Nasir. Ayah dialah yang banyak buat sumbangan kat U kita ni. Yang tengah makan dengan dia tu.. Tunang dia kut. Orang kata tunang tapi akak tak pastilah.. Nama dia Amy ke Ally entah..”

Syaqiqah mengecilkan matanya. Menumpukan sepenuh perhatian pada wajah Adib Mubarak yang dikatakan Dian. Bunyi perutnya yang berkeroncong mengalih perhatian sesaat dua kemudian.

“Kan dah lapar tu.. Jom makan” Dian langsung saja menarik tangan Syaqiqah masuj ke kantin, melewati meja makan Adib Mubarak.

 

##########

 

Wajahnya diangkat bila gadis berdua itu melewati mejanya. Dia terasa bagai pernah mengenali salah seorang dari dua gadis itu. Dahinya berkerut cuba mencari kepastian.

Amy memandang bila terperasan ekor mata Adib yang bergerak memandang dua gadis yang baru melewati meja mereka. “Kenapa?”

Adib diam tidak menjawab. Hakikatnya soalan Amy langsung tidak didengari. Dia lebih sibuk cuba mengingati siapa gadis yang melewati meja mereka tadi.

“Adib..”

“Adib..”

“Adib..!” kali ini suara Amy sedikit meninggi.

“Ya?” Adib membulatkan mata, menjawab panggilan Amy.

“Adib ingat apa? Tengok apa?”

Adib senyum sekilas. “Tak ada apalah. Sedap ayam goreng ni..”

Amy terdiam. Dipuji kesedapan ayam goreng, tapi yang berada di suapannya adalah sotong goreng. Kalau begitu, bolehkah dikatakan dia tidak kenapa-apa?

 

#########

 

Hannan meletak beg tangannya di atas sofa seraya bersandar melepaskan lelah. Ada pelajar buat perangai di kelasnya tadi. Jenuh juga dia memujuk rayu agar pelajarnya kembali belajar seperti sediakala.

Tudungnya ditanggalkan dan dia membuka ikatan rambut. Rambutnya dibelai lembut sebelum ia diikat semula bila telefon pintar Hannan berbunyi.

Hannan menguntun senyum lebar mendapati ia panggilan dari Dian. Langsung saja butang menerima panggilan ditekan.

“Assalamualaikum” Hannan memberi salam lembut.

“Waalaikumussalam. Ibu! Rindu!”

Hannan menguntum senyum bagai dua anaknya itu ada di hadapan mata. “Ibu pun rindu dengan akak. Adik mana?”

“Ada kat sebelah ni. Sibuk nak rampas telefon, bukan boleh cakap pun”.

Hannan senyum lagi. Tidak lama dia mendengar suara Dian mengaduh. Pasti ‘dibelasah’ Syaqiqah. Dia tergelak membayangkan mereka berdua bergaduh manja di hadapannya.

“Ibu, adik marah. Dia dah cakap tadi nak buat video call. Saja je akak usik dia, mengamuklah tu… Adik!”

Hannan ketawa lagi. Menjadi seorang ibu, anaklah yang paling membahagiakan. Melihat wajah anak, mendengar suara anak, mendengar tangisan anak juga merupakan kebahagiaan.

“Ibu.. nanti akak call balik ye. Adik ni nak kena ni..” dan panggilan mati. Hannan memandang skrin telefon pintar yang tertera gambar Dian juga Syaqiqah. Dua permata hati, jatung jiwa raganya. Dia benar-benar merindukan mereka berdua.

 

Demi Syaqiqah – P13

Adib nak cari Dibah sendiri”.
Dahi Tun Adib Nasir berkerut. Mata Tun Adib Nasir turut membulat. “Apa Adib cakap?”
“Adib nak cari Dibah sendiri, boleh tak daddy?” kali ini nada suara Adib lebih teratur.
Tun Adib Nasir melepas nafasnya. “Adib nak cari Dibah?”
Adib mengangguk. “Dib tahu daddy upah Abang Atik untuk cari Dibah. Tapi dah 15 tahun Adib tunggu daddy. 15 tahun tu bukan kejap daddy. Abang Atik pun dah dua orang anak dia”.
Tun Adib Nasir memandang tajam. “Adib tak habis belajar lagi”.
“Adib cuma nak daddy restu dan bagi keizinan Adib nak cari Dibah sendiri. Adib tahu daddy percayakan Abang Atik. Adib tak cakap yang Adib tak percayakan dia, tapi Adib lebih percayakan diri Adib. Dah lama sangat Adib jadi penunggu, sekarang Adib sendiri yang nak cari Dibah…” bersungguh Adib cuba meyakinkan daddynya.
“Kalau itu yang Adib nak, Adib tahu daddy takkan halang kan?”
Adib menguntum senyum manis. Langsung tubuh Tun Adib Nasir dipeluk erat. Erat dan makin erat hingga akhirnya Tun Adib Nasir meminta Adib melepaskannya kerana dia kerimasan juga kelemasan.
“Adib cakap je apa yang Adib perlukan. Insya-Allah daddy akan sentiasa sokong Adib”.

########

Air mata kedua gadis itu menitis mendengar Hannan membaca surat yang ditinggalkan Sulaiman buat mereka bertiga. Sulaiman sepertinya tahu-tahu saja masanya sudah tiba. Suratnya dilengkapi dengan pesanan untuk dua orang anak gadisnya.
“Akhir sekali, abah minta akak dan adik saling menjaga, saling menyayangi, saling bantu-membantu, dan saling jaga ibu. Sayang ibu macam mana ibu sayang akak, macam mana ibu sayang adik. Dan jaga kehormatan diri, jaga kehormatan keluarga. Jaga nama baik abah ibu dan jaga nama baik keluarga kita..”
Dian memejam matanya rapat. Dia memandang Syaqiqah di hadapan mata. Tangan mereka saling bertaut sementara sebelah lagi tangan erat memeluk Hannan.
“Ibu…” Dian memanggil Hannan dengan mata berkaca.
“Ya akak…”
“Macam mana rasanya hidup tanpa abah?”
Hannan terdiam mendengar soalan Dian. Dian sudah dewasa, sudah 19 tahun umurnya. Tapi Hannan tahu betapa Dian sangat rapat dan sayang dengan abahnya. Maklumlah ahli keluarga mereka hanya empat orang. Jadi pastinya mereka saling rapat antara satu sama lain.
Syaqiqah menyentuh jemari Hannan tanda memanggil. -Ibu jangan tinggalkan kami.
Hannan membelai pipi Syaqiqah penuh kasih. “Akak.. adik.. ajal maut tu kan di tangan Tuhan. Kita sebagai hamba hanya boleh cuba yang terbaik untuk teruskan hidup. Tapi percayalah.. walau apa pun yang berlaku pada ibu.. Ibu tak pernah berhenti sayangkan anak-anak ibu..”
Mendengar saja ayat yang dikeluarkan Hannan, merembes keluar air mata Dian dan Syaqiqah. Jika sekarang mereka tiada abah, bagaimana pula suatu hari nanti di saat mereka kehilangan ibu?

##########

Dian mengambil beg galasnya yang dibawa Syaqiqah. Dia memandang bas yang bakal membawa dia ke Kuala Lumpur. “Akak nak pergi dah..”
Hannan menguntum senyum memandang Dian. Pipi Dian diusap penuh kasih. “Akak belajar rajin-rajin kat KL tu. Ingat pesan abah, nanti semua dah selesai kat Melaka ni ibu hantar adik belajar dengan akak kat KL”.
Dian tersenyum. Namun tak lama dahinya berkerut. “Kalau ibu hantar adik belajar kat KL juga, siapa jaga ibu kat sini?”
Hannan ketawa kecil. Tangan kirinya tetap pada pipi Dian dan tangan kanannya naik mengusap kepala Syaqiqah. “Ibu dah tua. Jangan risaukan ibulah.. Ibukan mengajar lagi kat sekolah..”
Syaqiqah mencebikkn bibir. Kepala digeleng tanda tidak mahu meninggalkan Hannan sendirian jauh di Melaka. -Adik tak nak ikut akak.. Adik nak duduk dengan ibu..
Dian mengangguk menyetujui. “Ibu bagi adik belajar kat Melaka je lah. Kalau jauh sikit pun, weekend boleh balik.. Kalau akak kena tunggu cuti panjang baru balik..”
Hannan ketawa lagi. “Akak cepat, driver bas dah naik tu..”
Dian memandang bas yang sudah pun hidup enjinnya. Sementara pembantu pemandu pula sibuk memastikan semua penumpang di dalam bas sudah naik.
“Akak pergi dulu..” pipi Hannan dicium lama, dan kemudian dicium pula pipi Syaqiqah kesayangannya. Bersalaman dan menaiki bas. Nafas dilepas sebaik saja mendapat tempat di dalam bas. Hidupnya akan kembali sebagai seorang pelajar di Kuala Lumpur. Bilakah agaknya dia akan berjumpa ibu dan adik lagi?

############

Jalal membuat muka tegang memandang Pisau di hadapannya. Entah apa yang dilakukan lelaki itu sebenarnya. Bagaimanalah dia boleh membunuh seorang lelaki warganegara Thailand yang tidak bersalah hanya kerana geram? Kerana itulah dia pulang ke Malaysia, kerana dia sedang diburu pihak berkuasa di negara jiran.
“Otak kau kat lutut ke?”
“Sorry tuan”.
“Kau balik Malaysia nak suruh aku buat apa?”
“Saya…”
“Saya apa?” Jalal menyergah.
Pisau diam membisu. Hasrat hatinya pulang ke negara sendiri pada hakikatnya adalah untuk melepas rindu. Fikirnya Jalal gembira melihatnya tapi respon yang diterima lain pula.
“Abaikanlah ” Jalal tiba-tiba berkata setelah suasana sunyi buat seketika. “Kau balik pun bagus juga. Aku ada kerja nak bagi” Jalal tersenyum sendiri.
Dengan kehadiran Pisau di sisinya, dapatlah dia menjalankan rencananya dengan lebih mudah. “Kau ikut aku balik rumah. Aku bagi kau motor, senang kau nak buat kerja”.

#########

Langkah kakinya laju menuju pada bilik yang tertera nama daddynya, Tun Adib Nasir. Sampai di hadapan bilik, langkah Adib langsung saja terhenti kerana pintu bilik terbuka.
Jalal keluar bersama setiausahanya yang membawa dua buah fail di tangan. Pasti baru selesai membicarakan soal kerja bersama daddynya.
“Adib”.
Adib menguntum senyum. Tangan dihulur dan dia menyalami lelaki tua itu. “Uncle Jalal”.
“Lama tak nampak kamu. Jarang datang company ni.. Nak jumpa daddy?”
Adib ketawa kecil. “Daddy busy sangat.. ingat nak ajak daddy lunch sama-sama..”
Jalal senyum kecil. “Amy asyik sebut nama Adib je kat New York tu.. Adib ada contact Amy?”
Adib ikut tersenyum. Ya, Amy anak Uncle Jalal. Yang dia kenali sedari kecil. Memandang Amy membuatkan dia asyik teringat pada Adibah tersayang. Sedari kecil, selalunya mereka bermain bertiga walaupun Amy agak pembuli.
Tentu saja Amy sudah membesar dewasa selayaknya seorang gadis. Umurnya juga sudah menjangkau 20 tahun. Kali terakhir dia berjumpa Amy pun ketika Amy berusia 17 tahun. Selepas itu dia langsung saja pergi ke luar negara untuk sambung belajar. Katanya mahu belajar di luar negara dan setelah selesai, barulah mudah untuk membantu Adib menguruskan syarikat.
“Ada juga uncle. Tapi Amy sibuk belajarkan.. Jadi selalunya chat tak lama..”
Jalal ketawa. “Uncle ada kerja ni.. Adib masuklah”.
Adib melihat Jalal melangkah masuk ke ruangannya. Nafas dilepas buat seketika. Suatu hari nanti Amy akan pulang ke Malaysia. Bagaimanalah agaknya keadaan gadis itu sekarang ini?