Demi Syaqiqah – P14

Syaqiqah memandang beg bagasinya yang berada di atas katil. Nafas dilepas perlahan. Beratnya rasa mahu meninggalkan ibu di Melaka dan pergi belajar bersana Dian di Kuala Lumpur.

Tapi dia bukannya ada pilihan lain. Kata ibu, inilah adalah harapan terbesar abah mereka. Abah mahu dia dan Dian belajar di Kuala Lumpur kerana tahap pendidikan di sana lebih tinggi. Mungkin, Syaqiqah sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran itu.

“Adik!” Dian masuk ke biliknya dan memeluk tubuhnya seerat mungkin.

Syaqiqah tersenyum memandang Dian yang sudah melepaskan pelukan. Dian mengerut dahi melihat wajah Syaqiqah yang kelihatannya ada kerisauan tersendiri. “Kenapa ni? Adik tak nak pergi belajar ke?”

Syaqiqah mencebik bibir. -Adik nak belajar kat sini. Adik sayang nak tinggal ibu seorang. Siapa nak jaga ibu kalau ibu sakit?

Dian tersenyum nipis. “Adik.. Ibu yang suruh adik ikut akak belajar kat KL tu. Dah dua tahun adik tak buat apa lepas sekolah menengah. Adik kena belajar, buka sikit kepala tu…”

-Belajar kat sini jelah. Ibu sibuk nak paksa adik ikut akak belajar kat KL.

Dian ketawa kecil melihat wajah muram Syaqiqah. Tangannya yang sibuk membebel ditangkap ‘Dian’. “Tak pe adik.. Akak memang nak bawa ibu pindah KL sekali. Nanti kalau dah kerja lagi susah nak balik sini. Ibu bukan bagi kerja kat sini, asyik ulang ayat yang sama.. Abah kata blah blah blah.. Abah kata itu, abah kata ini.. Abah pun juga, apa entah ada kat KL tu. Sibuk nak suruh belajar kat sanalah, kerja kat sanalah..”

Kali ini Syaqiqah yang ketawa. Awalnya dia yang berdolak dalih, tapi sekarang Dian pula. Kakaknya itu kalau sudah membebel memanglah parah. Bebelannya boleh saja mengalahkan segala ‘pakar membebel’ dalam dunia.

Dian menjeling. Syaqiqah suka saja ketawakannya bila dia membebel. Entah apa yang kelakar dengan bebelannya dia juga tidak tahu. Yang pasti sedari dulu, Syaqiqah selalu saja ketawa mendengar dia membebel.

“Dah habis gelak?” Dian bertanya separuh menyindir. Syaqiqah memuncungkan bibir, teknik memujuk Dian yang sudah berbaur rajuk kata-katanya. Sebuah ciuman dilayangkan pada kakaknya.

Dian ketawa sambil menyambut ciuman layang dari Syaqiqah. “Sayang adik akak. Akak sayang adik akak sampai bila-bila..”

 

##########

 

Adib memandang lama gambar itu. Memegang lama bingkai gambar itu. “Dibah…”

Jari jemarinya bermain pada wajah kaku itu. Rindunya dia pada Adibah tidak terkira. Tapi bimbang juga andai dia bertemu Adibah saat ini, dia tidak mengenali wajah itu. Tapi ada satu hal yang dia pasti. Jika wajah Adibah persis mirip umi, sekali pandang pun dia boleh mengenali wajah itu. Dia sangat yakin.

Dia sudah bertemu dengan Atik untuk meminta maklumat yang sudah Atik kumpulkan. Penerangan yang diberi Atik padanya membuatkan Adib faham mengapa susah benar menemui Adibah Syaqiqah yang sudah dicari bertahun-tahun.

Manakan tidak, petunjuk yang ada hanya sekeping gambar ketika Adibah kecil bersama nama penuhnya. Menurut Atik dia mengesyaki Adibah berada di selatan tanah air.

Adib pun baru teringat bahawa kampung Adibah di Muar, Johor. Tapi adakah Muar berada di selatan tanah air?

Dalam sedar air mata Adib jatuh mengalir membasahi pipinya. Rindu benar dia pada gadis itu. Yang dulunya disayangi sebagai seorang adik dan kini.. dia pasti kerana rindu yang menggunung membuatkan dia jatuh cinta pada Adibah yang tidak diketahui keberadaannya.

Ya, Adib yakin. Dia menantikan Adibah yang menjadi cinta pertamanya. Adibah yang menjadi penantiannya selama ini.

Adib ketawa kecil bersama gambar yang sudah ditekup pada dadanya. Apalah perkara yang dia merepek dari tadi? Cinta pertama, penantian segala bagai.

Ketukan di pintu menarik perhatian Adib. Wajah Tun Maryamul Azra terpampang pada daun pintunya. “Mommy”.

“Adib buat apa?”

Adib mengerutkan dahi. Pintu bilik dibuka seluas mungkin. Memberi laluan buat Tun Maryamul Azra melangkah masuk. “Mommy bukannya sihat pun. Kenapa mommy cari Dib ni?”

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Adib buat apa dari tadi?”

Adib senyum. Bingkai gambar diletak kemas di atas meja lampu tidurnya.

“Ada orang datang cari Adib. Dari tadi Cik Zah call, tak angkat-angkat” Tun Maryamul Azra memandang telefon rumah yang terletak kemas di sudut bilik. Iyalah, villa sebesar ini membuatkan penghuninya tak betah menjerit-jerit memanggil penghuni lainnya. Apatah lagi untuk ke tingkat atas tingkat bawah memanggil dari dekat.

Adib sengih. ” Sorry susahkan mommy. Mommy dah tengok ke siapa yang datang?”

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Turunlah cepat”.

 

###########

 

Instant shawl yang tersarung pada kepala dibetulkan. Teruja pula dia bila melangkah masuk ke dalam villa itu. Iyalah sudah lama dia meninggalkan negara Malaysia tercinta kerana menyambung pelajarannya.

Teruja pula dia mahu menemui Adib yang teramat dirindui. Blouse kembangnya dikemaskan buat menemui Adib. Seluar jeans yang dipakai dipandang dengan senyuman.

Tentu sekali, dia kelihatan sempurna. Jika lelaki lain yang melihatnya, pasti mereka akan langsung terjatuh hati padanya. Tapi Adib lain.. Ya dia tahu itu. Ada seseorang yang ditunggu Adib sedari dulu.

“Assalamualaikum”.

Dia menahan debaran dengan senyuman. Lantas begnya diletakkan di atas sofa dan dia menoleh memandang empunya suara. “Waalaikumussalam”.

Adib mengerutkan dahi. “Amy?”

Amy mengangguk penuh manis. Dia yang tadinya bajet ayu langsung saja berlari menuju pada Adib. Lengannya merangkul tubuh Adib dan memeluk erat. Namun hanya seketika kerana Amy tersedar dia sudah dewasa. Sengih menampakkan barisan giginya.

“Lupa pula Amy dah besar” Amy ketawa kecil.

“Sedar pun. Ni ha yang baik” Adib menghulurkan tangan dan Amy menyambutnya. Mereka bersalaman bersama senyuman sendiri.

“So berapa lama Amy stay Malaysia this time?” Adib menyoal sambil memandang Anum yang sopan menghidangkan air bersama makanan ringan buat mereka berdua.

“Nope! Amy dah habis belajar. So Amy stay Malaysia sampai bila-bila. Amy akan menempek kat Adib sampai bila-bila” dan Amy ketawa sendiri.

 

############

 

Mereka berdua melangkah perlahan masuk ke dalam universiti. Syaqiqah menggenggam erat jari jemari Dian. Dian ketawa kecil, tahu sangat adiknya itu ketakutan melangkah ke dunia baru.

“Adik ni fikir banyak sangatlah. Jangan takut, akak ada. Demi Syaqiqah… akak akan buat apa saja”.

Syaqiqah ketawa sendiri. Mengapa ayat ‘Demi Syaqiqah’ yang terlontar dari mulut Dian lain macam bunyinya? Terasa seperti pasangan baru bercinta pula.

Dian mencubit lengan Syaqiqah hingga adik manjanya itu mengaduh. “Ingat akak tak tahu ke apa yang adik fikir?”

-Ayat akak cliche sangat. Rasa meremang dengar.

“Iyelah tu..” Dian ketawa sendiri. Dan dia memandang wajah Syaqiqah dalam sedalam dalamnya. Memberi seluruh perhatian dan tumpuan pada wajah manis di hadapannya. “Tapi akak cakap betul. Demi adik, akak akan buat apa saja. Adik tak tahu betapa besarnya erti kedatangan adik dalam hidup akak”.

Sebuah ciuman hinggap di pipi Dian. Dan Dian membalasnya dengan memeluk Syaqiqah erat. Apa yang dia katakan, dia benar-benar maksudkannya. Demi Syaqiqah, dia sanggup lakukan apa saja. Demi Syaqiqah, dia akan lakukan segalanya.

 

##########

 

Sikat yang berada di tangannya diletakkan di atas meja. Cermin dipandang sekilas dan dia mencapai fail di atas katil. Nafas ditarik. ‘Semangat, Dib. Last year! Lepas ni boleh cari Dibah habis-habisan’.

Adib membuka pintu biliknya dan menutup lampu bilik. “Alamak, lupa!” Adib menjerit tiba-tiba.

Spontan tangannya memetik suis lampu dan biliknya kembali cerah. Adib berlari anak menuju ke ruang kecil di sebelah katilnya. Bingkai gambar yang berada di atas penghadang katil diambil dan dicium lama. Gambar terakhir Adibah yang berada padanya. “Dibah, abang pergi kelas dulu ye.. Lagi setahun je, nanti kita jumpa”.

Pelajaran hari itu agak mudah baginya. Iyalah, dia mengambil jurusan pengurusan usahawan yang memang merupakan bidang juga minatnya. Dia memang meminati pengurusan usahawan kerana melihat cara Tun Adib Nasir menguruskan perusahaan keluarga mereka sedari kecil.

Langkah kakinya laju menuju ke kantin universiti. Terasa lapar pula perutnya. Matanya membulat melihat sebuah meja yang dipenuhi makanan tertulis namanya. Dia perasan ada mata-mata yang memandang dengan pandangan tidak menyenangkan.

Cemburu? Sakit hati? Gembira? Sedih? Entahlah, Adib tak pedulikan semua itu. Yang penting sekarang, siapa yang buat perkara gila seperti ini padanya?

“Surprise!”

Adib ketawa kecil melihat Amy melangkah ke meja itu dengan senyum lebarnya. Dia melihat Amy menarik kerusi dan duduk di meja itu.

Amy memandang Adib dengan kerutan dahi dan senyuman di bibir. “Adib.. termenung apa lagi? Come!”

Adib melangkah sambil menggelengkan kepalanya. “Apalah Amy buat ni? Buat malu je..”

Amy memandang sekeliling. Ya, memang ramai yang melihat. Tapi Amy tahu itu kerana Adib sememangnya popular di universiti itu. Anak tunggal Tun Adib Nasir yang sememangnya merupakan penyumbang utama di universiti itu.

“Biarlah apa orang nak cakap. Susah-susah Amy minta mama masakkan tau” Amy ligat mencedok itu ini dan meletakkannya di pinggan Adib. “Makan!”

Adib senyum senget. “Aunty masak.. ingatkan Amy masak sendiri”.

“Adib..!”

“Ok tuan puteri, patik makan sekarang”.

 

#########

 

“Kenapa adik berhenti?” Dian melajukan langkah mendekati Syaqiqah. Hairan melihat adiknya itu berhenti di pintu kantin. Tadi sibuk sangat dengan laparnya.

Syaqiqah memandang Dian yang berada di sebelahnya. Kemudian mata memandang meja di hadapan matanya.

Dian memandang. “Oh.. tulah Adib Mubarak. Anak tunggal Tun Adib Nasir. Ayah dialah yang banyak buat sumbangan kat U kita ni. Yang tengah makan dengan dia tu.. Tunang dia kut. Orang kata tunang tapi akak tak pastilah.. Nama dia Amy ke Ally entah..”

Syaqiqah mengecilkan matanya. Menumpukan sepenuh perhatian pada wajah Adib Mubarak yang dikatakan Dian. Bunyi perutnya yang berkeroncong mengalih perhatian sesaat dua kemudian.

“Kan dah lapar tu.. Jom makan” Dian langsung saja menarik tangan Syaqiqah masuj ke kantin, melewati meja makan Adib Mubarak.

 

##########

 

Wajahnya diangkat bila gadis berdua itu melewati mejanya. Dia terasa bagai pernah mengenali salah seorang dari dua gadis itu. Dahinya berkerut cuba mencari kepastian.

Amy memandang bila terperasan ekor mata Adib yang bergerak memandang dua gadis yang baru melewati meja mereka. “Kenapa?”

Adib diam tidak menjawab. Hakikatnya soalan Amy langsung tidak didengari. Dia lebih sibuk cuba mengingati siapa gadis yang melewati meja mereka tadi.

“Adib..”

“Adib..”

“Adib..!” kali ini suara Amy sedikit meninggi.

“Ya?” Adib membulatkan mata, menjawab panggilan Amy.

“Adib ingat apa? Tengok apa?”

Adib senyum sekilas. “Tak ada apalah. Sedap ayam goreng ni..”

Amy terdiam. Dipuji kesedapan ayam goreng, tapi yang berada di suapannya adalah sotong goreng. Kalau begitu, bolehkah dikatakan dia tidak kenapa-apa?

 

#########

 

Hannan meletak beg tangannya di atas sofa seraya bersandar melepaskan lelah. Ada pelajar buat perangai di kelasnya tadi. Jenuh juga dia memujuk rayu agar pelajarnya kembali belajar seperti sediakala.

Tudungnya ditanggalkan dan dia membuka ikatan rambut. Rambutnya dibelai lembut sebelum ia diikat semula bila telefon pintar Hannan berbunyi.

Hannan menguntun senyum lebar mendapati ia panggilan dari Dian. Langsung saja butang menerima panggilan ditekan.

“Assalamualaikum” Hannan memberi salam lembut.

“Waalaikumussalam. Ibu! Rindu!”

Hannan menguntum senyum bagai dua anaknya itu ada di hadapan mata. “Ibu pun rindu dengan akak. Adik mana?”

“Ada kat sebelah ni. Sibuk nak rampas telefon, bukan boleh cakap pun”.

Hannan senyum lagi. Tidak lama dia mendengar suara Dian mengaduh. Pasti ‘dibelasah’ Syaqiqah. Dia tergelak membayangkan mereka berdua bergaduh manja di hadapannya.

“Ibu, adik marah. Dia dah cakap tadi nak buat video call. Saja je akak usik dia, mengamuklah tu… Adik!”

Hannan ketawa lagi. Menjadi seorang ibu, anaklah yang paling membahagiakan. Melihat wajah anak, mendengar suara anak, mendengar tangisan anak juga merupakan kebahagiaan.

“Ibu.. nanti akak call balik ye. Adik ni nak kena ni..” dan panggilan mati. Hannan memandang skrin telefon pintar yang tertera gambar Dian juga Syaqiqah. Dua permata hati, jatung jiwa raganya. Dia benar-benar merindukan mereka berdua.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s