Demi Syaqiqah – P16

“Hai!”
Dian terkejut. Badannya sedikit terundur ke belakang. Wajah Adib dipandang.
“Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam” jawab Dian tegang. Langkahnya laju menuju pada kaunter perpustakaan. Hajatnya untuk membaca di perpustakaan dibatalkan bila Adib muncul entah dari mana.
“Saya nak pinjam semua ni”.
“Kad?”
“Dian..”
Dian membulatkan matanya. Dompetnya dibuka mencapai kad keahlian perpustakaan. “Cepat sikit eh.. Ada beruk gila kat sebelah saya ni…”
Penjaga kaunter itu tersenyum kecil. Sakit pula hati dia dengan wajah itu. Adib dipandang. Ternyata Adib sedang meminta penjaga kaunter untuk melambatkan proses peminjaman.
“Jangan kacaulah!” Dian meninggi suara.
Adib sengih. “Dengarlah apa aku nak cakap ni…”
“Kak cepat sikit” Dian menggesa penjaga kaunter.
Adib memandang Dian sekilas dan kemudian kembali memandang penjaga kaunter. “Kak Reez jangan daftarkan nama dia. Adib janji Adib suruh daddy naikkan gaji Kak Reez bulan ni”.
Dian mengetap bibir. Lupa pula dia lelaki bernama Adib Mubarak itu ber’pengaruh besar’. “Jangan ingat kau ada duit, kau boleh dapat semuanya”.
“Well.. tu kelebihan aku, so aku gunalah..” Adib sengaja menyakitkan hati Dian.
“Tak pelah kak. Saya tak jadi nak pinjam” Dian menjeling Adib dan langsung keluar dari perpustakaan. Apa yang telah dia lakukan hingga Adib mengejarnya begini sekali?

###########

Senyum dikuntum melihat mata-mata memandang. Apa agaknya yang tidak kena hari itu? Mengapa mereka menjadi perhatian?
Syaqiqah memandang Dian di sisi. Tangan bergerak mengikut bahasanya. Menyoal mengapa terasa mereka bagai diperhati hari ini?
Dian memandang. Bagaimana dia harus menjawab? Dia sebolehnya tidak mahu Syaqiqah melibatkan diri dengan Adib. Kerana inilah dia bertahan dengan gangguan Adib yang hampir seminggu. Kerana Dian tahu yang dimahukan Adib adalah maklumat tentang Syaqiqah.
-Akak…
Dian menguntum senyum. “Biarlah dia orang tu. Tak cukup makan ubat agaknya”.
Syaqiqah mengerut dahi namun malas untuk menyoal lebih banyak. Bimbang lebih banyak soalan membuatkan Dian rimas. Akhirnya mereka berpisah sebaik saja tiba di kelas Syaqiqah.
Setelah memastikan Adib tiada di situ untuk mengganggu Syaqiqah, Dian langsung saja beransur dari situ menuju ke kelasnya.
Matanya mengecil melihat rakan sekelasnya melambai-lambai dari jauh. Dian menoleh sekeliling kalau-kalau yang dilambai adalah orang lain. Tapi macam tidak…
“Dian! Dian!”
Dian melajukan langkah. Cemas pula dia bila dilambai begitu. “Kenapa?”
Tangannya ditarik. Mata membulat melihat buku-buku dibalut bagai hamper berada di atas meja pensyarah. Siap dengan banner yang tertulis ‘Aku minta maaf’.
Dian memandang sekeliling. Namanya jelas tertulis pada sekeping kertas yang diikat bersama hamper itu. ‘DIANA NADIA SULAIMAN’. Dia berjalan perlahan menuju ke arah meja pensyarah.
Hamper itu dibuka perlahan. Satu demi satu riben ditanggalkan sambil mata melihat sekeliling. Malunya dia bila menjadi perhatian rakan sekelas begitu. Dalam hati dia menyumpah seranah sendiri.
Buku-buku yang dijadikan hadiah diperhati satu persatu. Buku-buku itu masih baru.. sangat baru pada hakikatnya. Mungkin baru dibeli beberapa jam yang lalu.
Dian mengecilkan mata. Ya! Dia sudah ingat.. Semua ini adalah buku-buku yang mahu dia pinjam dari perpustakaan semalam. Bahkan itu lengkap dengan jilid-jilidnya. Dia tidak perlu lagi meminjam jilid empat dan lima kerana semuanya lengkap. Teramat lengkap.
Siapa punya kerja ya? Dian berfikir sendiri. Cuba mengingat kejadian lepas. Jadi semua ini adalah… Adib!!
“Suka tak?”
Dian menoleh. Memandang Adib yang melangkah perlahan ke arahnya dari pintu belakang. Bibirnya diketap. Geram bercampur sakit hati. Dan marah pastinya.
“Handsomenya!”
“Adiblah..”
“Cute gila Adib”.
“My prince charming…”
“Dian dengan Adib…?”
Matanya sudah dipejam rapat. Mendengar suara-suara bisikan itu pun sudah menyakitkan hatinya. Adib yang sudah terpacak di hadapannya dipandang. “Kau gila ke?”
“Aku nak minta maaf. Fasal semalam”.
“Setakat pinjamkan buku sudahlah. Siap berhamper, berbanner bagai. Nanti orang ingat…”
“Mulut orang mana kita boleh nak tutup..” Adib memintas. Terasa seronok pula dia mengenakan gadis bernama Dian ini.
Dian malas mahu melayan. Buku-buku itu dipandang. Dan dia mengangkatnya menuju ke meja. “By the way, thanks for all of this”.
Banner yang tergantung ditarik hingga banner itu terkoyak separuh. “Tolong jap” Dian memanggil salah seorang temannya.
Sesudah banner itu dibuang ke dalam tong sampah, Dian langsung saja kembali ke mejanya semula. Buku nota bersama pen dikeluarkan dari beg. Sekilas dia tersenyum memandang Adib yang masih bingung di hadapan kelas. ‘Hari ni, menang..!’
Adib melepaskan sebuah keluhan. Lain yang dirancang lain pula yang jadi. ‘Tak pe Adib. Banyak lagi masa, banyak lagi tenaga.. Yang penting kau dapatkan kepercayaan Dian. Macam mana kau nak ambil maklumat fasal adik dia kalau kau tak ngam dengan kakak dia?’

##########

-Wow..!!
“Untungkan?”
Syaqiqah mengangguk laju. Dia berlari anak menuju pada Dian. Separuh dari buku yang dibawa Dian diambil. Dan mereka sama-sama berjalan menuju ke perhentian.
Memasuki pintu rumah, kedua beradik itu langsung meletakkan buku-buku itu di atas meja. Dan sama -sama berbaring pada kusyen yang berada di ruang tamu.
“Berat!” Dian mengeluh sambil menanggalkan tudung yang tersarung pada tubuh.
Syaqiqah membuka mata. Memandang Dian. Dia mendekati Dian dan jari telunjuknya mencucuk-cucuk paha Dian.
“Ya?” Dian membuka mata, memandang adik kesayangan.
Telefon pintar di tangan diserahkan pada kakaknya. Dian menyambut dengan kerutan dahi. Nafas dilepas bersama sebuah dengusan melihat gambar yang ditunjuk Syaqiqah.
“Ni bukan macam yang adik sangka..”
-Adik belum sangka apa-apa lagi.. Syaqiqah sudah tersenyum sendiri.
“Adik..”
Syaqiqah menggeleng. Dia tersenyum memandang skrin telefon pintarnya. Gambar hamper yang tertulis nama kakaknya berserta banner besar yang tergantung di dinding kelas tertulis ‘Aku minta maaf’.
-Ada orang nak tackle akak ke?
“Merapulah.! Tu semua kerja Adib”.
-Adib? Syaqiqah mengerut dahi.
“Ya! Adib yang tiba-tiba peluk adik hari tu” Dian memandang Syaqiqah.
Wajah Syaqiqah berubah. Bingung. Jadi Adib sukakan kakaknya?
“Ha!” Dian menepuk kepala Syaqiqah lembut. “Jangan nak fikir bukan-bukan. Dia buat semua ni sebab nak ambil tahu fasal adiklah. Tapi akak buat tak layan.. Tu yang dia gila sekarang ni. Sibuk nak ikut akak ke sana ke sini…”
Syaqiqah mengangguk memahami. Baru dia faham.. Jadi semua ini ditempuh Dian untuk melindunginya. Sesaat dua dia tersenyum dan tubuh Dian dirangkuk erat. -Tapi adik tak nak akak susah sebab adik.
“Susah apa bendanya. Adikkan adik akak, jadi akak kena jaga elok-elok. Kalau akak yang sekarang ni Adib kejar sebab nak ambil tahu fasal adik pun dah serabut macam ni, akak tak boleh bayangkan keadaan adik macam mana. Akak tak nak semua tu. Biar akak tempuh susah, jangan adik tempuh susah. Akak tak sanggup nak tengok adik akak seorang ni derita..” Dian membebel panjang sambil tangan mengusap pipi Syaqiqah penuh kasih.
Syaqiqah tersenyum dan memeluk kakaknya kembali. Untungnya dia punya Dian sebagai kakak. Sayangnya dia pada kakaknya ini. Sayang teramat sayang.

##########

Amy melambai pada Adib yang melangkah keluar dari perkarangan universiti. Dia tersenyum manis melihat Adib berlari anak menuju ke arahnya.
“Jom” Amy memandang.
Adib senyum sekilas. “Adib bawa kereta”.
“No problem. Adib ada tempat parkir khas kan. So leave it. Esok Amy hantar”.
Adib ketawa kecil. Amy, Amy.. Memanglah bagai anak kecil. Tapi Adib layankan saja. Iyalah tidak rugi dia mengikut rentak Amy yang sudah dianggap bagai adik kecilnya itu.
“So nak pergi mana?” Adib menyoal pada Amy yang memandu.
“Date?”
Adib ketawa kecil. “Ha ha..”
Amy memuncungkan bibir. “Kenapa gelak?”
“Funny.. Mana ada orang date dengan adik sendiri” Adib memandang.
Amy diam seketika. “Kalau macam tu.. Abang.. belanja adik makan?”
Adib mengangguk dengan sebuah senyuman. “Deal.. adik!”

###########

“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam”.
Adib mengerutkan dahi mendengar suara itu. “Daddy ada rumah..?”
Tun Adib Nasir mengangguk memandang anaknya. Tangannya menyambut huluran tangan Adib yang mahu menyalaminya. “Daddy nak slow down sikit.. Adib dah nak habis study and.. boleh masuk syarikat lepas tu”.
Adib mengerut dahi. “Daddy… daddy kan dah janji nak kasi rehat setahun..”
“Yeah.. And?”
“Daddy nak suruh masuk office? Manage company?”
Tun Adib Nasir ketawa kecil. “Maksud daddy once Adib dah ready..”
“Fuh.. lega” Adib ketawa mengekek.
Tun Adib Nasir menggeleng-geleng kepala melihat reaksi anak tunggalnya itu. “Lewat balik, keluar dengan siapa?”
“Amy”.
Tun Adib Nasir mengangguk perlahan. Menyebut nama Amy teringat pula pada Jalal. Dua minggu lepas mereka berperang lagi. Mujur hingga saat ini Jalal masih menjaga batasnya.
Jika dia sudah keterlaluan, memang Tun Adib Nasir tidak teragak-agak untuk mengusirnya dari syarikat. Harap-harap sajalah Amy tidak mewarisi perangai tidak semenggah bapanya.
“Oklah daddy. Dib masuk bilik dulu. Nak rehat…”

##########

“Ok dah sampai..” Amy menguntum senyum memandang Adib di sisi.
Adib mengangguk dengan senyuman. “Terima kasih hantarkan Adib”.
“Dah janji kan semalam?”
“Ok. Adib turun dulu. Bawa kereta elok-elok” dan Adib membuka pintu kereta.
“Adib, nanti kita keluar lunch?”
Adib mengangguk sambil matanya menjeling cermin sisi. Dia mengukir senyum melihat Dian melangkah bersama adiknya. “Adib ada hal. Fasal lunch tu, nanti Adib text” dan dia langsung keluar dari kereta.
Amy mengerutkan dahi. Sesekali dia menjeling melalui cermin belakang namun tiada apa yang mencurigakan. Dan dia memandu pergi. Dia harus menemui papa di pejabat.
Adib melambai tangan pada Dian dan Syaqiqah yang makin hampir dengannya. Dian sudah mengeluh memandang wajah Adib. Manakala Syaqiqah menguatkan pautan tangannya pada tangan Dian.
“Assalamualaikum” Adib menghalangi mereka berdua.
“Waalaikumussalam” Dian menjawab perlahan.
“Ada kelas? Free tak?”
“Adik pergi kelas dulu” Dian bersuara tegas. Menolak Syaqiqah agar dia melangkah dahulu.
“Kau free?”
Dian menarik nafas dalam. Pagi-pagi lagi sudah memandang wajah Adib yang menyebalkan, memanglah merosakkan mood! “Kau nak apa? Boleh tak berhenti kacau aku? Satu U ni fikir kau nak tackle aku tahu tak?”
Adib sengih. “Kau tak bagi aku chance untuk bercakap panjang dengan kau. Jadi aku terpaksa buat macam tu..”
Dian memandang. “Ok. Aku bagi kau masa. Kau nak apa?”
“Adik kau..”
“Kenapa dengan adik aku?”
“Aku rasa … aku rasa aku kenal dia”.
Dian melepas nafas. “Masalahnya adik aku tak kenal kau. One more thing, aku kakak dia. Kalau kau kenal dia, mesti kau kenal aku juga. Tu je kau nak cakap?”
Adib diam. Bagaimana harus dia menjelaskan pada Dian? Dia perlu masa yang banyak. Setakat beberapa minit tidak cukup untuk menerangkan semuanya pada Dian.
Dian menggeleng kepalanya bagai membuang masa melayan Adib. Langkah dibuka mahu meninggalkan Adib.
“Kalau dia luka sikit pun, dia akan demam kan?” Adib langsung menyoal, teringat penyakit misteri Adibah suatu masa dulu.
Dian menoleh sekilas. “Gila!”

##########

Syaqiqah ketawa kecil melihat wajah masam kakaknya yang mengajaknya keluar makan tengah hari di kantin. Failnya dicapai dan dia melangkah keluar mendekati Dian.
“Adik lapar tak?”
Syaqiqah mengangguk dengan senyuman. -Kenapa akak masam je ni?
“Penat kena soal siasat dengan member tadi. Satu kelas tu fikir akak ada apa-apa dengan Adib. Siap ada yang bagi amaran lagi. Cakap fasal tunang Adiblah apalah..” bebel Dian.
Syaqiqah ketawa lagi. Lengan Dian dipaut. Kepalanya dilentok manja pada bahu Dian. Semuanya gara-gara Dian terlalu melindungi dia daripada Adib. -Akak tak penat ke?
“Adik… Kan akak dah cakap banyak kali, biar akak tanggung semua ni. Adik hanya perlu belajar rajin-rajin and then graduate cepat-cepat. Lepas tu kita boleh balik Melaka” Dian berkata panjang sambil mengusap pipi Syaqiqah.
Syaqiqah ketawa diikuti cubitan lembut hinggap pada pipinya. Dian melepas nafas. “Gelak, gelak, gelak.. Suara mana?”
Bertambahlah ketawa Syaqiqah. Dia sudah biasa diusik sebegitu jadi dia langsung tidak terasa. Syaqiqah tahu Dian langsung tak maksudkannya.
Langkah mereka terhenti bila mereka ditahan empat orang gadis dari arah bertentangan. Dian mengangkat wajah memandang mereka. “Nak apa?”
“So.. you’re Dian?” gadis yang berada di tengah menyoal.
Dian mengangguk dengan wajah selamba. Dia kenal mereka. Peminat tegar Adib. Dia pernah beberapa kali mendengar kawannya diperkenakan mereka. Katanya mereka berempat ini anak keluarga berada yang rapat dengan keluarga Adib. Tapi sayang, Adib langsung tidak kisahkan mereka.
Syaqiqah mula tidak sedap hati. Dia dapat merasakan keempat empat gadis di hadapannya kini mahu mencari fasal dengan Dian. Tangannya menarik-narik baju Dian agar beredar dari situ, bimbang terjadi apa-apa. Bukan Syaqiqah tidak kenal perangai kakaknya yang pantang dicabar itu.
“Cis, tak cantik pun.. Ingatkan cantik manalah sampai kecoh satu U yang Adib gilakan kau”.
Dian ketawa yang dibuat-buat. “Haha.. at least cantik lagi aku daripada kau. Kalau tak mesti Adib dah pandang kau kan?”
Gadis itu mengetap bibirnya. Gadis di sisinya sudah mahu mengangkat tangan, geram dengan mulut lancang Dian tapi dihalang gadis itu.
“Kenapa? Tak berani? Nak tampar, tamparlah. Mana tahu esok lusa kau orang pula yang makan penampar Adib” Dian mencebik.
Syaqiqah menarik Dian agar meninggalkan mereka namun Dian berkeras. Dia bukannya gadis yang senang-senang boleh diganggu oleh siapa pun. Apa mereka fikir orang kebanyakan seperti Dian tidak punya maruah?
Gadis itu tersengih. “Kau fikir Adib gilakan kau, kau boleh pijak kepala kita orang?”
Kali ini Dian ketawa lepas. “Kau nak bagi aku pijak kepala kau ke? Aku on je…” keningnya diangkat.
Syaqiqah mendengus. Tidak suka Dian bersikap dan berbahasa kasar begitu. Kali ini dia menggunakan seluruh kudratnya untuk menarik Dian agar beredar. Dan kali ini Dian menurut. Habis kudrat saja bergaduh dengan orang seperti mereka ini.
“Oi, budak bisu! Kau cakap dengan kakak kau..”
Kali ini Dian tidak teragak-agak lagi. Dia menarik lengannya dari genggaman Syaqiqah dan berpatah balik. Gadis yang memanggil ‘budak bisu’ tadi dipandang dan…
Pang!! Sebuah tamparan hinggap pada pipinya. Dian membulatkan mata. Jari telunjuknya diangkat hingga mengenai hidung gadis itu. “Kau dengar sini! Sekali lagi aku dengar kau panggil adik aku macam tu, muka cantik kau takkan ada beza dengan pengemis tepi jalan!”
Dan Dian langsung menarik Syaqiqah pergi dari situ. Dia boleh tahan kalau dirinya dihina juga dikutuk. Tapi kalau Syaqiqah, diusik sedikit pun dia tidak rela. Disentuh sedikit pun akan membuatkan dia bertukar watak.
Gadis itu menggenggam jari jemarinya. Sementara tiga temannya mengusap pipinya yang merah bertanda tapak tangan. Sabar, ada ubi ada batas. Ada hari aku balas, Dian!

###########

Perlahan wajahnya terukir senyum lemah melihat album gambar mereka dua buah keluarga. Wajah Syamran dilihati. Wajah Afiqah diperhati. Dan wajah Adibah diteliti. Rindunya dia pada mereka.
‘Al fatihah’, dalam hati Tun Maryamul Azra membacakan Suratul Fatihah yang diniatkan buat arwah Syamran dan Afiqah. Semoga arwah tenang di alam sana.
Air matanya tumpah juga saat meneliti wajah Adibah. Bagaimana agaknya khabar gadis itu? Tahun ini dia sudah berumur 20 tahun. Pastinya dia membesar menjadi gadis anggun dan ayu persis Afiqah. Lembut juga berbudi bahasa seperti Syamran.
“Puan..”
Tun Maryamul Azra memandang. Wajah Cik Zah tersenyum nyata di depan mata. “Ya Kak Zah..”
“Kak Zah nak tanya tentang menu malam ni. Tuan kata tuan nak bawa tetamu kan?”
Tun Maryamul Azra mengangguk. Dan matanya kembali pada gambar-gambar lama itu. “Saya rindu Dibah..”
Cik Zah tersenyum. Dia mengambil tempat di sisi Tun Maryamul Azra. Dia juga merasakannya walaupun ia tidak seberat rindu Tun Maryamul Azra. Iyalah, dia melihat Adibah sejak dari dalam kandungan hinggalah anak itu berusia lima tahun. Pastinya rasa sayangnya tumpah pada anak itu.
“Kak Zah pun rindu kan?”
Cik Zah mengangguk. “Puan tak apa-apa ke?”
Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Dahlah Kak Zah. Jom kita ke dapur. Nak kena tengok apa menu yang sesuai untuk makan malam ni..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s