Demi Syaqiqah – P18

Adibah Syaqiqah

Adibah Syaqiqah


Syaqiqah memandang Adib yang masih mengah. ‘Awak nak apa?’ dia bertanya di dalam hati.
Adib melepaskan sebuah nafas panjang. “Saya..”
Syaqiqah menanti. Apa agaknya yang mahu Adib katakan?
“Saya.. saya nak kenal.. saya nak kenal awak”.
Syaqiqah mengerutkan dahi. Kenal? Kenal yang bagaimana maksudnya? Bukankah saat ini mereka sudah saling kenal?
“Saya nak kenal awak dengan lebih dalam.. Nak kenal dengab lebih rapat..”
“Adik!”
Suara itu membantutkan perbualan sehala mereka. Adib memejam mata lama. Dian sudah datang, penyelamat Syaqiqah sudah datang. Patutnya dia bercakap lebih laju tadi.
“Adik” Dian menarik Syaqiqah agar menjauh dari Adib.
Syaqiqah menguntum senyum manis. -Adik tak tahu Adib nak apa. Dari tadi dia diam je..
Dian memandang Adib sekilas dan kembali memandang Syaqiqah. “Betul ni? Dia tak buat apa-apa? Dia tak de buat apa-apa langsung?”
Syaqiqah ketawa kecil. -Tak de. Kenapa akak risau sangat ni?
“Akak tak percaya orang laki ni. Lagi-lagi Adib tu.. Dah banyak kali akak cakap jangan kacau adik!”
Adib melepas nafas. Apa yang dia saksikan sudah cukup menjadi bukti. Jadi benarlah seperti yang dia dengar. Adibahnya bisu. Gadis itu tidak boleh berkata-kata seperti dahulu.
Hampir saja jatuh air mata melihat dua beradik itu berbual. Dengan gaya yang ditunjukkan Syaqiqah, Adib yakin dia sudah selesa dengan bahasa isyarat yang dia gunakan. Ertinya.. dia sudah lama berkeadaan begitu.
Dian menarik tangan Syaqiqah dan melangkah pada Adib. “Kau nak apa? Kan aku dah cakap jangan kacau adik aku.?”
Adib diam. Dia masih terkejut dengan kenyataan yang baru diketahui. Lama dia memandang Syaqiqah yang menunduk. Mata dipejam mengelakkan Dian melihat air matanya.
Dian mengerutkan dahi. Rasanya dia melihat hujung mata Adib yang basah. Apakah dia menangis? Menangis lagi? Tapi itu semua tidak penting buatnya. Biarlah Adib dengan perasaannya sendiri.
“Jom adik!” Dian langsung menarik tubuh Syaqiqah.
Syaqiqah memandang ke belakang sekilas. Dia melihat dengan jelas Adib yang mengalirkan air mata sambil memandang sayu ke arahnya. Seribu satu persoalan timbul.

############

-+Nak jumpa. Aku kat bawah.
Dian mengerut dahi membaca mesej yang diterima. Dari siapa? Mesejnya berbunyi sungguh misteri.
-Akak.. Syaqiqah menarik hujung baju Dian. Hairan melihat Dian terhenti dari menuju ke dapur.
Dian menggelengkan kepala. Telefon pintarnya diletakkan semula dan pinggan di tangan dibawa ke dapur.
Syaqiqah menyelesaikan proses makan malamnya dan mengemas meja makan. Telefon pintar Dian yang berbunyi bertalu-talu menandakan mesej masuk dipandang sekilas. Dan dia melangkah ke dapur.
“Bisinglah fon ni” Dian berlari anak keluar dari dapur.
Syaqiqah memandang Dian yang berlari. Ada sesuatu pada kakaknya itu tapi dia tidak tahu. Mahu bertanya bimbang Dian tidak mahu berkongsi pula. Akhirnya dibiarkan saja. Sebaiknya dia menyambung tugasannya yang masih belum selesai.
Dian mencapai telefon pintar di atas meja. Melihat sepuluh mesej yang masuk melalui aplikasi ‘What’s App’. Mesej dari nombor yang sama namun siapakah gerangannya? Bukannya dia boleh melihat melalui tingkap. Rumah mereka a p a r t m e n t.
Gambar profail di teliti. Siapakah? Gambar yang diletak berupa pemandangan di tepi laut. Mesejnya juga tidak ada pengenalan diri. Diulang berkali bahawa dia berada di bawah dan mahu menemui Dian.
Dian yang awalnya mahu buat tak tahu membatalkan niat bila nombornya ditelefon. Lantas panggilan diangkat.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Aku ni..”
“Siapa?” Dian mengerut dahi. Mana ada manusia yang bernama Aku?
“Kau tak kenal suara aku?”
Dian melepas nafas. Mata dipejam seketika. Hanya seorang lelaki yang suka benar mengganggunya saat ini. “Adib ke?”
“Ya, aku. Aku kat bawah ni. Aku nak jumpa kejap boleh?”
“Kau datang rumah aku malam-malam ni apa hal?”
“Aku tunggu sepuluh minit. Kalau kau tak turun, aku naik. Kau nak ke adik kau nampak aku?”
Dan panggilan mati. Dian mendengus. Adib, memang dasar lelaki yang mahu menang. Semua harus mengikut rentaknya.
Dian menjengah bilik tidur. Syaqiqah masih membelek buku nota bersama buku rujukan yang menimbun. Tudungnya bersama cardigan nipis dicapai.
“Akak nak turun kejap”
-Ada apa?
Dian tersenyum. “Tak ada apalah. Ambil angin malam”.
Syaqiqah memandang dengan hujung anak mata hingga Dian hilang dari pandangan. Bukankah Dian paling benci keluar malam walau atas urusan apa pun? Inikan mahu mengambil angin. Biar betul kakaknya itu..
Dian memandang lelaki yang menanti itu. “Kau nak apa?”
Adib senyum kecil melihat Dian. Nampaknya tidak ada yang tidak boleh dia lakukan dengan menyebutkan Syaqiqah. Sayang benar Dian pada Syaqiqah.
Ya, siapa pun yang dekat dengan gadis itu akan menyayanginya. Seperti dia juga. Seperti mommy juga daddy. “Aku nak tahu”.
“Apa yang kau nak tahu?”
“Syaqiqah anak angkat kan?”
Dian diam. Matanya memandang wajah Adib. Siapa sebenarnya Adib? Dan mengapa dia sangat mahu tahu hal Syaqiqah? “Perlu tak aku jawab soalan kau?”
Adib melepas nafas. Dian dengan sikapnya yang keras kepala. “Aku rasa dia tunang aku yang hilang waktu kecil”.
Dian diam sesaat dan melepaskan tawa besar. “Tunang? Tunang dari kecil? Kau rasa ni zaman nenek moyang kita ke? Main tunang-tunang dari kecil?”
Adib melepaskan keluhan. Sudah dia agak respon Dian yang begitu. Dompet dikeluarkan dan gambar terakhir dia bersama Adibah dihulurkan. “Kau kenal budak ni kan?”
Dian diam lagi. Lidahnya kelu. Bagaimana dia melupakan wajah itu? Itulah Syaqiqah. Itulah Syaqiqah yang menjadi adiknya sekarang. Ertinya, kata-kata Adib benar?
Dian memandang Adib. Ah…. Adib bukannya boleh dipercayai. Dialah lelaki terakhir di dunia yang akan buat Dian percaya. “Kau ingat dengan gambar ni aku akan percaya cerita rekaan kau tu?”
“Aku cakap betul. Apa faedahnya kalau aku menipu?”
“Mana aku tahu? Kau suka adik aku, macam-macam cara kau boleh buat untuk dapatkan dia”.
“Kalau aku memang sukakan dia macam yang kau sangka, kau rasa aku susah payah ke nak dapatkan maklumat dari kau? Baik aku pikat dia terus. Susah payah aku cari kau untuk apa?”
Sunyi. Dian menunduk. Menggaru kepala yang tidak gatal. “Maksudnya kau tak suka adik aku?”
“Aku sayang dia lebih dari segalanya. Tapi aku perlu pastikan dia Adibah Syaqiqah yang aku cari. Sebab tu aku perlukan bantuan kau. Dia tak ingat aku langsung”.
“Aku tak percaya semua ni. Dan kau yang menyebabkan aku tak percayakan kau. Kau buat aku rasa kau tak boleh dipercayai..” Dian menghulur kembali gambar kepada Adib. Langkah kakinya dipasang mahu kembali ke rumah.
“Ada lagi satu yang aku pasti!”
Langkah Dian mati. Tubuhnya berpusing kembali. Menanti kata-kata seterusnya dari Adib.
“Kalau dia terluka, atau pun ada walau setitis darah yang keluar dari badan dia, dia akan demam panas. Bahkan mungkin sampai berhari-hari” Adib pasti itu. Masakan penyakit misteri itu boleh sembuh begitu saja? Setidaknya pasti Dian tahu mengenainya.
Kali ini Dian ketawa besar. “Kau tak fikir dulu ke sebelum cakap? Kau tahu tak kita orang ni perempuan? Kalau ada penyakit macam tu wujud dalam dunia ni, kau rasa macam mana kita orang uzur setiap bulan? Setiap kali uzur demam panas, macam tu?”
Dian berlalu dengan gelengan kepalanya. “Gila”.
Adib terpinga sendiri. Kata-kata Dian berulang main di telinganya. Kata-kata Dian pun benar. Tapi dia tidak menipu. Itu memang penyakit Adibahnya. Atau gadis itu sudah sembuh? Tapi bagaimana?
Adib bingung. Otaknya kusut. Fikirannya berserabut. Nampaknya dia harus menanyakan Uncle Omar hal ini.

############

Omar melepaskan sebuah nafas panjang sambil bersandar pada kerusi empuk di dalam pejabatnya. Letihnya menjalankan tugas sebagai seorang doktor hari ini. Untuk malam ini saja, dia membedah seorang pesakit dan menjahit luka tiga orang pesakit.
Matanya dibuka mendengar bunyi panggilan masuk. Telefon pintarnya dicapai dan mata melihat nama Adib Nasir pada skrin. “Assalamualaikum” Omar menjawab panggilan.
“Waalaikumussalam. Maaf uncle.. Adib mengganggu ke tengah malam macam ni?”
Omar senyum sendiri. “Rasanya kalau tak penting Adib tak call uncle malam-malam macam ni kan?”
“Adib tak boleh tidur. Asyik teringat hal ni”.
“Adib nak cakap apa?”
“Adib nak jumpa uncle boleh ke?”
“Bila? Sekarang?”
Adib mengangguk. “Boleh Adib jumpa sekarang?”
Omar memandang jam di dinding. Pukul dua pagi? Adib mahu menemuinya sekarang? “Boleh je.. Uncle ada kat hospital ni..”
“Thanks uncle. Kalau macam tu, Adib datang sekarang”.
Dan panggilan dimatikan. Omar memandang telefon pintarnya. Ada apa dengan Adib sebenarnya? Kalau dahulu, hal yang membuat Adib tak tentu arah seingatnya.. hanya tentang Adibah. Tapi sudah lama Adib tidak membicarakan gadis itu. Mengapa tiba-tiba?

###########

Pedal minyak ditekan kuat hingga kelajuan melebihi 120 km/jam. Otaknya sangat terganggu dengan kenyataan yang diberikan Dian malam tadi.
Dia yang awalnya pulang ke rumah dan merencana untuk tidur membatalkan niat bila kata-kata Dian asyik terngiang di telinga. Akibatnya, jam dua pagi dia berada di dalam kereta. Dalam perjalanan menuju ke Hospital Kuala Lumpur untuk menemui Omar.
Pintu bilik Omar ditolak perlahan. Adib pasti Omar sedang menantinya. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Masuklah Dib”.
Adib sengih dan melangkah masuk. “Uncle tunggu Adib ke?”
Omar senyum sekuntum. “Ya..”
Adib langsung saja mengambil tempat pada ruang rehat kecil di pejabat Omar. Yang terletaknya set sofa bersama sebuah meja kecil. “Maaflah mengganggu uncle..”
“Bagus juga Adib datang. Uncle pun dah mengantuk sangat ni. Lepas zohor baru boleh balik rehat ni..”
Adib mengangguk memahami. Kerja sebagai doktor memanglah memenatkan. Namun mereka sangatlah berjasa dalam kehidupan seharian manusia. Jika tiada doktor, apalah yang akan terjadi.
“Adib nak tanya fasal Dibah. Uncle ingat Dibah..?”
Omar diam sebentar. Sudah dia agak. Nampaknya ia berlaku tepat mengikut sangkaannya. “Takkanlah uncle tak ingat calon menantu kesayangan daddy Adib… Bakal isteri Adib kan?”
Adib tersenyum simpul namun hanya sesaat. “Uncle ingatkan fasal penyakit dia?”
Angguk lagi. Ya, penyakit misteri Adibah yang sangat mengganggu Tun Adib Nasir juga arwah Syamran. Masakan dia lupa dengan penyakit itu.
“Ada kemungkinan tak penyakit tu sembuh?”
“Hmmm…” Omar berfikir sebentar. “Sebenarnya tak mustahil walau pun tak ada dalam istilah perubatan. Tu semua kerja Allah. Cuma kalau bagi uncle.. mungkin ada konsep, dapat satu hilang satu. Mungkin?”
‘Dapat satu hilang satu?’ “Maksud uncle, ada kaitan dengan.. Dibah sekarang bisu. Yang paling aneh sekali dia tak ingat langsung tentang masa lalu dia. Dia tak ingat Adib.. langsung”.
Omar menganggukkan kepalanya. “Adib dah jumpa Dibah?”
Adib mengangguk. “Adib yakin tu dia. Tapi macam Adib cakaplah.. Dia tak ingat Adib. Dia bisu. Adib dah test, dia memang tak bercakap langsung. Adib tak tahu nak buat macam mana..”
Omar tersenyun mendengar. Sudah bertahun berlalu namun Adib masih menyayangi Adibah dengan mendalam. Dia dapat lihat itu, bahkan dari cara Adib bercakap pun sudah membuktikan betapa dia sayangkan Adibah.
“Tapi..” Adib memandang. “Daddy tak bagitahu uncle ke?”
“Tak sempat jumpa lagi. Uncle busy, daddy pun busy.. Adibah.. sihat?”
Adib senyum manis. “Sihat. Selain tak boleh bercakap, Dibah nampak bahagia sangat dengan kehidupan dia sekarang. Bahagia..”
“Ada keluarga angkat atau rumah kebajikan?”
“Keluarga angkat. Dia orang jaga Dibah baik sangat. Kalau uncle jumpa Dibah sekarang, uncle pun akan ada pendapat yang sama dengan Adib..”
Omar senyum. Anggukan diberikan lagi. Adib.. Adib.. Sudah menemui Adibah yang merupakan pengarang jantungnya kembali. Nampaknya kehidupan mungkin akan bertambah manis buatnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s