Demi Syaqiqah – P21

Wajahnya yang asalnya tidak beriak itu kini jelasnya mempamerkan riak terkejut. Mana tidaknya, dia berjalan dengan tenang mahu menuju ke perpustakaan untuk menemui adik kesayangannya tapi tiba-tiba dia dihalang.

Sudahlah dia dihalang, dia dikejutkan pula dengan kata-kata dari lelaki itu.

“Apa kau cakap?” Dian menyoal mencari kepastian.

“Aku tak bergurau. Aku nak bawa kau jumpa daddy aku” Adib mengulang kata-katanya lagi.

Dian melepas nafas. “Look, Adib. Kau faham tak, aku tak suka kau kacau aku lebih-lebih lagi adik aku. Jadi..”

“Aku dah tunjuk bukti pada kau, tapi kau tak nak percayakan aku. Ni je jalan yang aku nampak. Kalau kau jumpa daddy aku, kau akan percaya yang aku tak menipu” Adib menegaskan.

“Kau serius dengan Iqah?”

“Kau tak nampak lagi Dian? Ya aku mengaku aku yang salah. Kau bencikan aku disebabkan apa yang aku buat pada Iqah dulu. Tapi tu sebab aku tak tahu Iqah hilang ingatan. Aku fikir bila dia nampak aku, dia akan kenal aku macam mana aku kenal dia..”

“Aku nak tanya kau satu soalan” kali ini suara Dian juga berubah serius.

“Sila”.

“Selama ni, kau pernah tak berusaha cari dia? Kau tahu tak betapa susahnya hidup dia sampai dia boleh jadi bisu macam tu?”

Kali ini air mata Adib tumpah. Matanya terpejam rapat menyesali masa lalu yang tidak boleh diulang kembali. Melihatkan itu, Dian dian seketika. Namun hanya seminit dua. “Aku minta maaf Adib. Bukan aku tak percaya dan bukan aku tak nak tolong kau, tapi aku tak nak adik aku kembali pada hidup dia yang perit tu. Kalau betul masa lalu dia bahagia, kenapa sampai sekarang dia tak ingat masa lalu dia? Sampai sekarang dia tak ingat kehidupan dia sebelum dia jumpa keluarga aku. Semua tu bukan disebabkan kehidupan lalu dia ke? Kehidupan lalu Iqah yang ada kau di dalamnya, aku tak nak dia kembali”.

Adib membuka mata perlahan. Fahamlah dia mengapa Dian sangat bencikannya. Dian berpendapat dialah yang membuat Syaqiqah jadi seperti sekarang ini.

Dian sudah hilang dari pandangan. Pasti sudah menemui adik kesayangannya. Dan Adib buntu sendirian. Fikirnya setelah dia menceritakan semuanya pada Dian, Dian akan terbuka hati untuk membantunya. Tapi ternyata, dia masih gagal meraih kepercayaan penjaga Syaqiqah itu.

###########

-Kenapa ni?

Dian memandang adiknya. Wajah polos itu diteliti sepenuhnya. Entah mengapa, dia terasa bersalah pula terhadap Syaqiqah, juga Adib. Tepatkah tindakannya terhadap Adib?

“Akak nak minta maaf” Dian tiba-tiba membuat suara sedih.

-Akak pelik..

Dian sengih mendengar kata-kata Syaqiqah. “Tak de, akak cuma nak minta maaf”.

-Ada benda tak kena ni. Syaqiqah membetulkan duduk menghadap kakaknya. Saat itu mereka sedang dalam teksi, pulang menuju ke rumah.

“Tak ada apalah. Akak cuma terasa macam nak minta maaf..” Dian mengalih pandangan, mengelak pandangan mata Syaqiqah.

-Akak.. Syaqiqah memaut lengan kakaknya. Dia terasa tidak sedap hati pula.

Dian menoleh. “Tak de apa-apalah sayang.. Kita dah sampai rumah, jom!” Dian langsung membuka pintu kereta dan keluar meninggalkan Syaqiqah yang kebingungan.

##########

Sampul surat itu dibuka dan dua gambar itu diperhati. “Bos, ini…”

“Aku tahu. Kau dah bunuh perempuan ni dulu. Aku bukan nak suruh kau cari dia”.

“Bos nak suruh aku cari budak ni ke?”

Anggukan diberikan. “Aku tak yakin budak tu dah mati..”

“Tapi bos, bukan ke polis dh umumkan tiga nyawa yang terkorban?”

“Mana kau tahu tiga nyawa tu dia orang tiga beranak?”

Diam. Sesungguhnya dia juga tiada jawapan untuk diberikan. Dua gambar itu diteliti lagi. “Bos nak aku cari budak ni ke?”

“Aku tak pasti. Tapi kau cubalah. Adibah tu sekarang umur dia dalam 20 – 21, muka dia pula.. rasanya macam mak dia. Ni..” sekeping gambar lagi dihulur.

“Syam?”

“Kalau muka dia tak sama dengan mak dia, mestilah macam ayah dia kan. Aku nak kau cari budak tu sampai dapat, hidup atau mati”.

“Baik bos” Pisau mengukir senyum. Arahan Jalal pasti akan dituruti dengan senang hati.

##########

‘Aku minta maaf Adib. Bukan aku tak percaya dan bukan aku tak nak tolong kau, tapi aku tak nak adik aku kembali pada hidup dia yang perit tu.’

Adib kebuntuan. Dua tiga hari ini kata-kata itu asyik bermain di kepalanya. Kata-kata Dian hakikatnya… menusuk ke dalam hati.

‘Kalau betul masa lalu dia bahagia, kenapa sampai sekarang dia tak ingat masa lalu dia? Sampai sekarang dia tak ingat kehidupan dia sebelum dia jumpa keluarga aku.’

Ayat seterusnya diingati lagi. Adibah… abang minta maaf. Minta maaf atas semuanya… Perlahan, sekali lagi.. entah kali ke berapa dia juga tidak tahu, air matanya menitis lagi. Kerana gadis bernama Adibah Syaqiqah.

‘Semua tu bukan disebabkan kehidupan lalu dia ke? Kehidupan lalu Iqah yang ada kau di dalamnya, aku tak nak dia kembali.’

Ayat yang terakhir membuatkan Adib ‘rebah’ terus.Air matanya mengalir laju bila ayat itu berulang kali diingati. ‘Semua tu bukan disebabkan kehidupan lalu dia ke? Kehidupan lalu Iqah yang ada kau di dalamnya, aku tak nak dia kembali.’

Daddy dan mommy masih lagi dalam percutian. Perbualan dengan mommy pagi tadi jelasnya membuktikan betapa mommy sedang bahagia di Jerman. Ke mana sajalah agaknya daddy membawa mommy selepas ini.?

Adib melepas nafasnya. Bagaimana caranya untuk melembutkan hati Dian? Bagaimana caranya agar Dian sudi membantunya mendapatkan Adibahnya kembali?

##########

Dia menguntum senyum manis melihat gadis cantik itu menuruni tangga bersama tudung fesyen terkini yang tersarung pada kepala.

“Amy..”

“Adib..!” Amy melajukan langkahnya menuruni tangga mewah itu. Teruja pula bila melihat Adib menunggunya.

Amnah yang sedang berbual dengan Adib ketawa kecil melihat tingkah laku anaknya. Amy, Amy.. sudah besar panjang pun sikapnya masih seperti anak-anak.

“Lama ke Adib tunggu?”

“Taklah. Adib pun baru sampai” Adib berdiri tegak menyambut gadis itu.

Amy memandang mama kesayangannya. “Mama.. Amy pergi dulu”.

Amnah mengangguk. Membiarkan tubuhnya dipeluk puteri kesayangan. Kemudian pipinya menjadi ‘mangsa’ ciuman Amy. Dia menguntum senyun sendiri melihat pasangan itu melangkah keluar dari rumah.

“Kita nak pergi mana?” Amy bertanya penuh keterujaan.

“Amy nak pergi mana?” Adib menyoal sambil menghidupkan enjin kereta.

Amy senyum berfikir. “Jom tengok wayang?”

“Wayang?” Adib menyoal memohon kepastian. Bukannya Amy tidak tahu dia tidak suka tempat gelap sebegitu.

Amy mengangguk. “Amy tahu Adib tak suka.. tapi, please.. kali ni je?”

Adib senyum. “Ok. First and last time?”

“Deal!”

############

Usai kelas, Dian menuju ke kelas Syaqiqah buat menjemputnya makan tengah hari bersama. Dia senyum sendiri menunggu di belakang pintu kelas adik kesayangannya itu.

-Akak..! Terkedek-kedek gadis kecil molek itu berlari mendapatkan kakaknya. Namun langkahnya mati di pertengahan jalan bila melihat gerangan manusia yang berada di belakang Dian.

Dian mengerut dahi bila melihat perilaku Syaqiqah. Lantas kepalanya ditoleh melihat ke belakang.

“Dian”.

“Kau nak apa lagi Adib?” Dian menyoal dengan nada menyampah. Sudah seminggu lelaki itu tidak mengganggunya. Fikirnya Adib sudah putus asa mahu meminta pertolongan darinya, rupanya..

“Aku nak cakap sikit dengan kau” Adib bersuara perlahan, menyedari Syaqiqah sudah berada tepat di sisi Dian.

Dian melepas nafas. Anggukan diberikan. “Adik pergi kantin dulu?”

-Tak pe. Adik tunggu kat dalam boleh?

Dian menguntum senyum. Fail di tangan Dian diambil Syaqiqah. Dan Syaqiqah masuk ke dalam kelas semula.

“Kau nak apa?”

“Seminggu ni, aku asyik fikir apa yang kau cakap pada aku. Aku mengaku aku salah.. Sebab tu aku perlukan kau untuk tebus balik salah dan silap aku”.

“Adib tolonglah. Aku dah cakap terus terang lagi bersuluh, aku tak nak. Aku tak nak Iqah balik pada kau. Aku tak nak, kau faham tak?” Dian menegaskan.

“Kau cakap je apa yang perlu aku buat, Dian. Aku nak Adibah aku balik”.

“Kalau kau dapat Adibah kau balik, kau nak buat apa?” Dian meninggi suara, memotong kata-kata Adib yang dia sendiri tidak tahu sudah di penghujung atau belum.

“Demi Syaqiqah aku sanggup buat apa saja. Aku perlukan kau untuk dapatkan dia balik”.

“Aku tak nak, aku minta maaf.” Dian berpaling.

Adib menarik tangan Dian. “Apa lagi yang kau nak aku buat Dian?”

Dian menarik tangannya dari pegangan Adib. “Sebab ni lah aku tak nak tolong kau! Kau fikir apa yang kau nak, semua kau kena dapat! Memang spesies anak orang kaya ada perangai macam tu.”

Dian menarik nafas sedalamnya sebelum menyambung semula, “Kau boleh buat tanpa aku, tapi kau pilih untuk minta tolong aku. Kenapa? Sebab kau tak nak fikir sendiri. Aku tak nampak, aku langsung tak nampak apa bagusnya aku kembalikan Adibah kau tu. Dia lebih bahagia jadi Syaqiqah Sulaiman dari Adibah Syaqiqah yang kau sayang sangat. Kau tak nampak ke? Atau kau ada nampak dia tak bahagia sekarang..?”

Adib diam. “Kau tak faham,Dian. Kau tak faham betapa aku sayangkan dia..”

“Kau pun tak faham betapa aku sayangkan adik aku!” Dian menjerkah. Suaranya kali ini tinggi yang teramat. Geram dengan sikap Adib yang tidak faham bahasa. Dia tidak sudi menolong Adib! Apa yang susah sangat?

“Dian..”

“Dahlah Adib. Aku penatlah dengan kau. Bahasa melayu pun tak faham ke?” ayatnya mati di situ. Nafasnya turun naik menahan marah. Beberapa minit suasana sunyi. Dian membuka suara dengan lebih tenang. “Ok, kau cakap kau boleh buat apa saja demi Syaqiqah kan? Buktikan”.

“Maksud kau?”

“Buktikan pada aku, yang demi Syaqiqah kau sanggup buat semuanya. Dan aku janji, aku akan tolong kau dari awal hingga akhir”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s