Demi Syaqiqah – P23

Matanya merenung tepat pada papan skrin projektor yang berada di hadapan kelas. Pun begitu, otaknya ke lain. Akalnya ligat memikirkan soal lelaki bernama Adib Mubarak yang satu itu.

Nampaknya Adib mengotakan kata-katanya. Untuk enan hari ini, dia langsung tidak mengganggu hidup mereka dua beradik. Bahkan, Dian langsung tidak pernah melihat Adib. Terserempak apatah lagi terlihat dari jauh.

Esok cukup seminggu sesuai permintaannya. Dian terfikir apakah lusa Adib akan kembali mengganggu dia dan Syaqiqah? Dia tidak tahu. Dia tidak pasti.

Jujur Dian tenang tanpa gangguan Adib. Pun begitu, ada sesuatu yang mengganggunya. Mengapa dengan mudahnya Adib menuruti permintaannya untuk tidak lagi mengganggu mereka dua beradik?

Tapi satu hal yang Dian pasti, tindakan Adib ini jelas membuktikan betapa dia pedulikan gadis bernama Syaqiqah itu. Dian sedikit yakin bahawa Adib benar-benar menyayangi dan mencintai Syaqiqah seperti yang dia katakan. Lagipun, bukankah mereka sama-sama mahu yang terbaik buat Syaqiqah?

Enam hari ini juga Syaqiqah tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia hairan dengan ketidakmunculan Adib. Itu tentu sekali menggembirakan Dian yang separuh mati merisaui adik kesayangannya itu. Atau mungkin itu kerana.. Syaqiqah tidak tahu sebanyak yang Dian tahu.

“Dian, kau tahu tak Tun Adib Nasir nak datang melawat?”

Dian berpaling. Memandang teman yang memberi perkhabaran. “Kau cakap apa, Lainah?”

Gadis yang dipanggil Lainah mengerutkan dahi. “Kau tak dengar ke? Aku tanya, kau tahu Tun Adib Nasir nak datang?”

“Maksud kau, bapa Adib ke?”

Lainah mengangguk laju. “Kenapa kau semacam je ni?”

Dian menggelengkan kepalanya. “Tak de”.

“Ke kau takut?”

Dian memandang kehairanan. “Takut apa?”

“Yelah, kan tengah kecoh Adib nak tackle kau. Entah-entah, bapa dia nak datang tengok kau tak?” Lainah sengih sendiri dengan usikannya.

“Gila ke?” Dian ketawa memandang Lainah. Menafikan kata-kata Lainah. Pun begitu dia sangsi. Teringat ajakan Adib untuk menemui Tun Adib Nasir beberapa bulan lalu. Apakah dua hal ini berkaitan?

#############

Adib tersenyum melihat mommy sedang bersenang-lenang di ruang rehat villa mereka. “Mommy”.

Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Tangan mendepa meminta Adib memeluknya. Dan Adib pantas duduk memeluk Tun Maryamul Azra yang sedang duduk di atas kerusi roda.

“Mommy nampak fresh sikit hari ni” Adib sengih memandang Tun Maryamul Azra dan kemudian memandang Enon yang menjaga momny dari tadi. Tersenyum sebagai tanda terima kasih kerana menjaga mommynya dengan baik.

“Ingat mommy ni ikan ke ada fresh tak fresh? Kalau Enon muda lagi, mesti Adib nak kahwin dengan Enon kan?” sengaja Tun Maryamul Azra mengusik.

Enon ketawa kecil mendengar kata-kata majikannya. Adib membuat muka. “Apa mommy cakap ni? Kak Enon jaga Adib dari kecil kut. Lagi pun mommy Adib kan ada Dibah” Adib menongkat dagunya pada peha Tun Maryamul Azra.

“Manjanya anak mommy seorang ni” Tun Maryamul Azra mencuit pipi Adib.

“Maaf tun, Adib.. saya masuk dulu”.

“Pergilah sambung kerja” Tun Maryamul Azra menguntum senyum manisnya.

“Kejap Kak Enon. Adib nak jus boleh?” Adib mengedipkan mata, membodek.

Enon ketawa kecil dan menganggukkan kepalanya. Dan dia masuk ke dalam. Adib memaut jari jemari Tun Maryamul Azra. “Mommy tak marah kan, fasal Dibah?”

Tun Maryamul Azra menggangguk sambil tangan kanannya mengusap lembut kepala anaknya. “Daddy dah cerita dengan mommy, Dibah tak ingat kita langsung. Dan dia.. tak boleh cakap. Mommy tahu Adib mesti tengah cari jalan untuk kembalikan ingatan Dibah kan?”

Tangan Adib langsung membawa tangan kiri mommynya pada pipi. “Adib janji bila Dibah dah ingat semuanya, Adib akan bawa dia jumpa mommy”.

Tun Maryamul Azra mengangguk. “Tahu dia hidup bahagia, selamat, sihat pun dah cukup bagi mommy. Sekurangnya mommy tahu Dibah tak derita selama ni”.

“Tapi mommy..”

“Kenapa?”

Saat itu, Enon muncul menghidangkan jus yang diminta Adib. Sekaligus, menghidangkan pisang goreng untuk dijamah dua berana itu. Dan Enon meminta diri kembali.

“Kalau Dibah tak derita, kenapa dia bisu?” langsung Adib menyoal bagaikan Tun Maryamul Azra tahu jawapannya.

“Itulah yang Adib kena cari. Adib nak Dibah balik kan?”

Adib mengangguk. Telefon pintarnya dikeluarkan dan dia membuka galeri gambar. Folder ‘AS’ dibuka dan terpamerlah gambar Syaqiqah yang selama ini ditangkap curi-curi. “Mommy tengok ni..”

Tun Maryamul Azra memandang. Dia menyambut huluran Adib dengan senyuman. Gambar pertama dilihat. Gadis itu tersenyum mesra sambil menjamah makanannya. “Muka macam Fika.. Sama sangat”.

Dan Tun Maryamul Azra melihat gambar-gambar seterusnya. Gadis itu sedang membaca, berjalan, berlari. Ada juga gambarnya sedang menuruni dan menaiki tangga. Jelas membuktikan anak lelakinya ini cinta mati pada gadis itu. Jika tidak takkanlah gambar pelbagai gaya itu bersusun dalam telefonnya. “Dibah.. cantik”.

Adib menguntum senyum melihat wajah mommy. Dia tahu mommy bahagia menatap gambar-gambar itu. Manakan tidak, bukankah kesihatan mommy merosot selama ini kerana terlalu rindukan Adibah yang sudah dianggap sebagai anaknya itu?

“Pandai keluarga angkat dia jaga. Sopan, gaya pakaian.. mommy suka” Tun Maryamul Azra terus memuji. Tanpa sedar air matanya mula jatuh perlahan. Dia benar-benar rindukan wajah itu. Adibah yang mirip sekali dengan Afiqah sahabatnya. Tentu sekali punya iras Syamran sedikit.

“Mommy..” Adib bersuara lembut. Tangannya mengesat air mata Tun Maryamul Azra yang mengalir.

“Mommy ok.. cuma sayu sikit” Tun Maryamul Azra meyakinkan puteranya, namun mata tidak berganjak dari skrin telefon pintar milik Adib.

Adib mengangguk, percaya kata-kata Tun Maryamul Azra. Melihat keadaan mommynya, dia mahu segera membawa Syaqiqah menemui mommynya. Tapi ingatan gadis itu harus segera dikembalikan. Jika tidak, pasti Syaqiqah akan kebingungan saat diajak bertemu Tun Maryamul Azra.

Akal bagai mengerti bahasa hati Adib, dia tiba-tiba punya idea bernas. Dan Adib yakin seratus peratus, cara ini pasti dapat membuatkan Dian mahu membantunya sepenuh hati.

###########

Mata yang terpejam terbuka luas tiba-tiba. Jalal menenangkan diri yang sedikit gelabah. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali.

Dahi berkerut. Mengapa mimpi yang sama? Mimpi yang sama telah dia alami buat kali kedua. Mengapa? Apa? Bagaimana? Jalal bingung.

Telefon pintar dicapai. Mencari nombor Pisau yang merupakan orang kanan rancangan ‘jahat’nya. Amnah di sisi dipandang.

Jalal senyum seketika melihat Amnah nyenyak tidur berbantal pelukkan lengannya. Perlahan Jalal menarik lengannya dan keluar dari bilik. Pertama tidak mahu suaranya mengganggu Amnah yang mudah terjaga. Kedua tidak mahu rencana hitamnya diketahui wanita kesayangan yang sentiasa menganggapnya sebagai ‘malaikat’ itu.

“Hello, macam mana job yang aku bagi tu?” Jalal terus menyoal bila Pisau menjawab panggilan. Tiada hai, hello apatah lagi salam.

“Sorry bos. Aku tak jumpa lagi budak tu”.

“Bodoh! Kenapa lambat sangat kau buat kerja?”

“Sorry bos. Maklumat yang aku ada cuma gambar tu je.. Susah bos”.

“Kau dengar sini, kau kena jumpa budak tu secepat mungkin”.

“Tapi bos, aku rasa dia dah mati..”

“Kalau dia dah mati, aku nak tengok jasad dia. Kubur dia. Tapi aku yakin budak tu belum mati sebab tu aku nak kau cari”.

“Baik bos”.

“Kemalangan tu berlaku kat selatan kan? Cuba kau cari belah selatan, mana tahu ada petunjuk. Apa-apa hal kau call aku”.

“Baik bos”.

Panggilan dimatikan. Dia mendengus. Susah sangatkah hendak mencari seorang Adibah Syaqiqah? Gadis itu sudah membuatkan hidupnya tidak tenang.

Jalal merasakan dia sudah mati tapi Jalal menjadi tidak yakin memikirkan tiada jasad mahupun kubur Adibah. Mengapalah dia tidak mencari dari dahulu? Jadi keadaannya tidaklah sesusah sekarang.

Jalal memicit kepala yang kebingungan. Jika gadis itu masih hidup, pasti dia akan mencari tahu cerita di balik kematian kedua orang tuanya. Bagaimana jika dia muncul mahu membalas dendam? Bagaimana jika Adibah mahu menarik nyawa Amnah dan Amy untuk melunaskan dendamnya? Jalal nekad. Nyawa gadis itu harus dihabisi sebelum gadis itu sempat menghuru-harakan ketenangan hidup Jalal.

“Papa tak tidur lagi?”

Jalal terkejut. Dian menoleh memandang Amy yang baru turun dari atas. “Papa.. Sebenarnya.. Ada staf office call tadi. Papa tak nak kacau mama tidur, sebab tu papa keluar”.

Amy mengangguk. “Ye ke..” gadis itu menguntum senyum memikirkan betapa dalamnya sayang papa pada mamanya.

“Sayang kenapa turun?”

“Amy haus. Nak minum air”.

“Minumlah.. kalau macam tu, papa naik dulu”.

“Ok papa” Amy menguntum senyum mesra buat papanya. Dan dia melangkah masuk ke dapur. Membasahi tekak yang tiba-tiba saja kering malam ini.

###########

“Tipu!”.

Adib mengeluh. “Apa yang tipunya?”

Harraz sengih memandang Adib di hadapannya. Saat itu mereka sedang keluar makan tengah hari di restoran mewah berdekatan Adib Legacy.

“Kau minta tolong aku untuk selamatkan Dian?”

“Kau ni dah kenapa Raz? Masuk kali ni dah lima kali kau tanya aku tau. Naik boring aku dengar. Nak ke tak nak ni?”

“Tak.. serius ni kau suruh aku selamatkan dia? Kau suruh aku jadi hero kat mata Diana Nadia Sulaiman?”

“Astaghfirullah…” Sudu di tangan akhirnya dibaling mengenai kepala temannya itu. Geram. Sejak bila seorang Tengku Harraz Tengku Hafzan jadi sebengong ini? “Tak nak sudah”.

“Nak!” Harraz menjerit. Kemudian menunduk menyedari dia menarik perhatian seisi restoran. Seterusnya nada suara direndahkan. “Mestilah nak… Cuma aku teruja lah kau minta aku tolong. Sebelum ni kan kau cakap tak bagi aku try dia..”

“Hei, aku minta tolong kau berlakon faham tak? Kau jangan nak lebih-lebih pula. Sebab kau dah tahu semua, jadi aku mintalah kau tolong. Senang.. Nak upah pelakon lain boleh je.. tapi yang jadi hero kat mata Dian nanti, orang lainlah..” Adib mencebik sambil menyuap sesudu sup cendawan ke dalam mulut.

“Eh, mana boleh macam tu” Harraz membangkang.

“Kau memang serius ke dengan Dian?” Adib menyoal. Dia sebenarnya tidak pernah melihat Harraz seteruja ini untuk mendekati mana-mana perempuan. Tapi boleh jadi juga itu kerana Harraz merasa tercabar dengan sikap Dian yang langsung tidak hairan padanya. Maklumlah, selama ini kan temannya itu sentiasa menarik perhatian mana-mana gadis. Bak kata orang, sekali petik sepuluh datang.

Harraz terdiam. Untuk soalan itu, dia juga tidak ada jawapannya. Yang pasti dia memang sukakan Dian. Serius atau tidak dia tidak tahu. Kalau bukan disebabkan permintaan Adib agar dia tidak mengganggu gadis itu, sudah lama dia berusaha memenangi hati Dian. Mencuba sesuatu yang baru, mana pernah gadis bertudung dan bertutup-litup seperti Dian berjaya mencuri perhatiannya?

“Tak jawab maknanya tak tahu lah tu kan?”

“Aku suka dia. Tapi serius tu.. Macam mana nak cakap eh?”

“Dah. Kira kau setuju nak tolong aku ni kan?”

“Confirm bos”.

“Tapi kau jangan gatal-gatal nak try dia. Nak keluarkan air gula dari mulut kau tu, kalau aku tahulah kau ada ura-ura nak ngayat Dian, siap kau”.

Harraz mencebik. Amboi garangnya. “Yelah..”

Adib sudah tersenyum lebar. Dia yakin rancangannya ini akan berjaya. Cara ini pasti akan membuatkan Dian sudi membantunya. Dian.. walaupun sikapnya kasar, namun Adib tahu hatinya lembut. Minta maaf mommy, gunakan sakit mommy sebagai senjata. Adib senyum lagi. Tidak sabar untuk melaksanakan rancangannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s