Demi Syaqiqah – P24

Syaqiqah memuncungkan mulutnya mendengar kata-kata Dian.

“Adik balik dululah. Kelas akak hari ni sampai petang, kesian pula adik nak tunggu”.

-Nak balik sekali..

“Adik.. Tak nak degil. Sekarang baru pukul dua belas. Takkan adik nak tunggu sampai pukul lima? Penatlah adik nanti..”

-Tapi adik tak nak balik dulu..

“Baliklah dik. Sembahyang kat rumah lagi selesa. Adik boleh siapkan assignment dulu, malam dah boleh rehat”.

-Adik tunggu akak lah.. balik sekali. Adik boleh rehat kat surau je..

“Syaqiqah Sulaiman” Dian bertegas.

Dian melepas nafas. Hampir setengah tahun belajar di situ mana pernah mereka pulang berasingan. Inikan pulang dahulu. Jadi dia faham mengapa adiknya itu keberatan mahu pulang dahulu. Tapi dia tidak mahu Syaqiqah menunggu hingga petang. Bimbang adiknya kebosanan, juga bimbang Adib datang mengganggu.

-Ok adik balik. Akak jangan balik lewat sangat, adik risau..

“Iye adik” Dian tersenyum dan melambai pada Syaqiqah yang melangkah meninggalkannya di dalam kelas. Dian yakin Syaqiqah sudah cukup dewasa untuk pulang sendirian, jadi dia tidaklah terlalu risau.

###########

“Ok. Saya nak awak semua serahkan tugasan yang saya bagi minggu depan. Kali ni siapa yang lewat hantar, saya akan denda jadi cleaner tandas seminggu. Faham?”

“Faham” seisi kelas menjawab.

“Bagus. Tu je untuk hari ni, assalamualaikum”.

Dian langsung menutup buku bila pensyarah melangkah keluar dari kelas. Mata dipejam seketika melepaskan lelah mata. Untung Syaqiqah kerana boleh pulang awal kerana kelas petangnya dibatalkan saat akhir.

“Kau balik dengan siapa? Adik kau dah balik kan?”

Dian memandang Lainah yang menyoal. Senyum dihadiahkan buat sang teman. “Seorang kut”.

“Kau nak tumpang aku?” Lainah menawarkan. Sambil matanya melihat sekelilinh, memerhati suasana petang universiti.

“Tak payahlah Lainah. Rumah aku jauh dari rumah kau. Susahkan abang kau je nanti..”

“Betul ni?” Lainah menyoal. Dia benar-benar mahu menghantar Dian pulang.

Dian mengangguk. Dia tidak mahu menyusahkan Lainah. Lagi pun dari rumahnya ke rumah Lainah memakan masa hampir tiga puluh minit. Apatah lagi di waktu begini jalan raya pasti sibuk dengan kereta yang tuannya semua baru pulang dari kerja.

“Kalau macam tu aku balik dulu”.

Dian tersenyum dan mereka berpisah di situ. Dian melihat Lainah berlari ke arah kereta abangnya yang sudah menunggu. Dian melambai pada Lainah yang melambai padanya dari dalam kereta.

Dian tidak buang masa. Langsung saja dia melangkah ke arah pintu pagar. Mahu menunggu di perhentian bas. Dan Dian berjalan perlahan tidak menyedari sebuah motosikal menuju ke arahnya dengan laju.

“Dian!”

Dian kaku seketika. Apa yang terjadi? Dia hampir dilanggar? Diselamatkan oleh..?

“Dian, kau ok ke?”

Dian memandang. Matanya membulat menyedari lelaki yang menyelamatkannya adalah Harraz.

#########

Dia menggeliat melepaskan lelahnya. Mengapalah kelas petangnya berakhir lewat sebegini? Kalau tahulah, baik dia ponteng kelas saja.

Punat kawalan jauh keretanya ditekan dan keretanya berbunyi. Penat sekali hari ini. Pulang ini dia mahu mandi dan terus tidur hingga esok.

Saat dia membuka pintu kereta, dia terlihat sesuatu. “Dian?”

Senyum nakalnya terpamer pada wajah. Dian berpelukan dengan seorang lelaki. Lelaki itu.. Harraz? Bibir diketap sakit hati. Sudahlah dia mahukan Adib, kini Harraz juga menjadi sasarannya?

“Tak guna kau” dia menyumpah. Telefon pintar dikeluarkan dan kamera dibuka. Gambar itu akan dia gunakan untuk memalukan Dian nanti. Dan dia ketawa senang hati. Jangan harap kau boleh dapat Adib dan Harraz, Dian!

###########

“Kau buat apa?” Dian menolak tubuh Harraz kuat hingga lelaki itu terjatuh.

“I selamatkan you. Macam mana you jalan ni? Tak nampak ke motor tu laju. Jalan tengok mana, berangan ke? Ingatkan siapalah you ni..” bebel Harraz sambil bangun dari jatuhnya.

Dian memandang sekeliling. Oh.. Harraz menyelamatkannya dari dilanggar motosikal tadi. Tapi dia memang tidak perasan kehadiran motosikal itu tadi.

“You ok tak?” Harraz menyoal sambil memandang Dian. Risau pula dia melihat gadis itu kebingungan.

“Ok. Terima kasih sebab selamatkan aku”.

“Sama-sama. Lain kali jalan tu elok-elok..”

Dian mengangguk. Bagai tidak percaya pula lelaki ini yang menyelamatkannya. Bagaimana boleh..?

“You nak pergi mana ni? Adik you mana?”

“Aku nak balik. Adik aku dah balik, kelas dia habis awal hari ni. Kau nak pergi mana? Tiba-tiba je muncul..”

“Tu kereta I” Harraz menunjuk pada sebuah Porsche 911 tidak jauh dari mereka. “Alang-alang you nak balik, jomlah I hantarkan. Rumah you kat mana?”

Dian diam. Dia bukannya berminat dengan Harraz yang sibuk ber’I-you’ ini. Apatah lagi dengan pertemuan pertama mereka di pusat beli belah hari itu. Tapi untuk menolak bagai tidak sopan pula setelah lelaki itu menyelamatkannya.

“Lama sangat fikir. Jomlah” Harraz mengambil fail dari pegangan Dian, memaksa gadis itu mengikut. Dan Dian menurut.

###########

Dahinya berkerut pabila Harraz menghentikan kereta di hadapan sebuah villa. Dian memandang Harraz meminta penjelasan.

“I nak jumpa Adib jap. Ada hal penting”.

Dian membulatkan mata. “Sekarang?”

Harraz mengangguk. “You nak tunggu dalam kereta ke? I takut lama..”

“Oh.. kenapa kau tak call je?”

“Susah cakap dalam fon. Kena jumpa baru senang..”

“Tapi kenapa sekarang..” Dian mengumam perlahan. Jam kereta dipandang. Sudah pukul enam petang, jika begini pukul berapa dia akan sampai ke rumah. Pasti Syaqiqah risau akan dirinya.

“Apa you cakap?”

“Aku ikut kau turunlah” Dian terus membuka pintu kereta. Dia sedikit tergamam melihat kawasan perumahan elite itu. Sebuah rumah saja luasnya bagaikan sebuah syarikat kecil.

“Jom” Harraz mengajak Dian masuk menggunakan pintu pagar kecil. Sengaja dia memarkir di luar, mahu melihat reaksi Dian melihat perkarangan villa mewah itu.

Ternyata Dian memang ‘comel’. Wajahnya jelas menunjukkan terkejut tapi mulutnya membisu. Juga dia tidaklah tergedik-gedik seperti perempuan yang selalu menjadi teman wanitanya. Sibuk berwow sana sini.

“Harraz?”

Harraz menunduk hormat. Tangannya menyalami wanita itu. Dian memandang wanita yang berkerusi roda itu. Siapa..

“Harraz bawa kawan? Girlfriend ke?”

Harraz ketawa kecil. “Kalau boleh memang nak aunty. Tapi take time sikit. Kenalkan ni Dian”.

Dian menjeling mendengar jawapan Harraz. Mujur ada wanita itu dan seorang pembantu yang menjaga wanita itu, jika tidak sudah lama Harraz dimarahi. “Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.. ayunya”.

Dian tersenyum nipis mendengar pujian wanita itu. Tapi siapa dia?

“Kenalkan, inilah Tun Maryamul Azra. Mommy Adib”.

“Mommy Adib?” Dian memandang tidak berkedip. Dia tidak tahu pun mommy Adib sakit begini..

“Dian kan? Boleh panggil aunty je, kalau tak selesa panggil mak cik pun boleh” Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Suka dia melihat gadis ini. Pertama kali rasanya dia melihat Harraz berkenalan dengan gadis sopan begini.

“Aunty, Raz nak jumpa Dib. Raz naik dulu. Aunty jagakan Dian jap?” Harraz meminta diri.

“Boleh.. pergilah naik”.

Dian membuat muka. Harraz mahu meninggalkan dia bersama Tun Maryamul Azra? Mana boleh, dia janggal. Ekor matanya mengikut Harraz yang berjalan ke arah.. lif? Dian bertambah hairan. Kaya benar keluarga Adib ini, rumah tiga tingkat dilengkapi dengan lif lagi.

“Dian..”

“Ya aunty”.

“Jemput duduk. Anum, hidangkan pai daging yang saya buat tadi ye..”

Anum mengangguk dan meninggalkan ruang tamu. Tun Maryamul Azra masih lagi tersenyum memandang Dian. “Dah berapa lama kenal Harraz?”

“Ha?”

“Selalu aunty tengok kawan Harraz semuanya.. lain. Tapi Dian lain dari yang lain. Suka aunty kalau Harraz berkawan dengan Dian”.

Dian mengangguk. Tidak tahu respon apa yang harus diberikan. Ternyata sikap wanita ini tidak seperti yang dia sangkakan. Bukankah selalunya wanita kaya bersikap sedikit menjengkelkan seperti dalam lambakan drama di kaca televisyen?

“Dian tak selesa ke?”

“Tak aunty.. cuma janggal sikit”.

Tun Maryamul Azra senyum menampakkan barisan giginya. Jujur dan berterus terang, comel benar kelakuannya. “Aunty tak makan orang..”

“Bukan macam tu aunty..” Dian bimbang wanita itu tersalah anggap tentangnya.

Tun Maryamul Azra tersenyum mesra. “Jadi, dah berapa lama Dian kenal Harraz?”

Dian diam seketika. Adib dan Harraz, dia mengenali mereka kerana Syaqiqah. Jadi.. “Baru lagi aunty”.

“Belajar sama-sama?”

Dian mengangguk. Iyakan sajalah. Mengapa dia jadi tidak keruan di hadapan wanita sebaik ini? Dian menyumpah seranah dirinya sendiri.

“Rumah ni tak ramai orang.. sunyi kan?”

Dian mengangguk. Ramah benar wanita ini. Namun Dian dapat merasakan mommy Adib ini benar-benar seorang wanita yang baik. Lihat pada tudung yang tersarung pada kepalanya, kemas. Tambah lagi dia memakai blouse bersama kain kembang yang longgar.

“Ada aunty, suami aunty dengan Adib. Pembantu rumah tiga orang dengan seorang pemandu. Seorang pengawal. Rumah besar ni ada lapan orang je”.

Dian mengangguk lagi. Keluarganya cuma tiga orang. Yang meramaikan pun pembantu. Rupanya tidak seronok juga menjadi orang kaya ya?

Tun Maryamul Azra senyum melihat Dian. “Diam je.. takut ke?”

“Tak aunty.. Dian janggal sikit”.

Kali ini Tun Maryamul Azra ketawa. “Sebenarnya kawan aunty duduk rumah ni juga. Kawan aunty ada dua orang anak. Jadi meriah sikit”.

Dian mengangguk. “Mana kawan aunty tu?” terpacul keluar soalan itu dari mulutnya.

“Dah meninggal 15 tahun lepas. Satu keluarga meninggal. Tinggal anak sulung je yang masih hidup.. tapi aunty pun tak tahu khabarnya macam mana..” ringan mulut Tun Maryamul Azra bercerita. Entah mengapa dia merasa senang meluahkan pada gadis yang baru beberapa minit dikenali.

Dian terdiam. Otaknya ligat berfikir. Mungkinkah kawan yang dikatakan Tun Maryamul Azra adalah emak kandung Syaqiqah? Jadi anak sulung yang dikatakan.. Syaqiqah?

“Nama dia Adibah Syaqiqah. Aunty rasa sekarang ni mungkin umur dia lebih kurang Dian. Kaki ni.. tak boleh berjalan sebab dia lah”.

Dian menggaru kepala yang tidak gatal. Jadi benarlah cerita Adib padanya selama ini. Benar belaka. Cuma dia tidak mengerti ayat ‘Kaki ni.. tak boleh berjalan sebab dia lah’. Dikeranakan Syaqiqah kah? Dan mengapa Tun Maryamul Azra masih boleh tersenyum lebar?

“Aunty terkejut sangat masa Adib bagitahu yang dia dah jumpa Dibah. Sebab tu aunty jatuh tangga, sudahnya macam nilah.. Tapi aunty seronok, sekurangnya aunty tahu Dibah sihat dan selamat selama ni”.

Dian terdiam. Pantasan saja Adib beria mahu meminta tolongnya. Wanita di hadapannya ini begitu menyayangi Syaqiqah. Terasa bersalah pula bertegas tidak mahu membantu Adib selama ini.

“Cuba Dian tengok gambar tu..” Tun Maryamul Azra menunjuk pada bingkai gambar yang tersusun di atas kabinet. “Yang hujung tu, itu keluarga Dibah”.

Dian memandang. Sepasang suami isteri bersama seorang budak perempuan dalam dukungan sang suami. Matanya dikecilkan, menajamkan pandangan. Ya, budak kecil itu.. memang dia Syaqiqahnya. Dan wanita yang sarat mengandung itu.. mirip benar dengan wajah Syaqiqah sekarang.

“Waktu Fika meninggal, dia belum bersalin lagi. Rasanya waktu tu lagi seminggu nak cukup sembilan bulan” Tun Maryamul Azra terus bercerita.

Dian mengangguk memahami. Ternyata jika Syaqiqah tiada dengannya saat ini, di sinilah tempatnya. Rumah mewah dengan segala kelengkapan teknologi terkini. Lihat sekeliling yang tiada kipas pun sudah cukup untuk membuatkan Dian tahu betapa kayanya seorang Tun Adib Nasir.

“Dibah tu bakal menantu aunty..”

Dian tersedak. Terbatuk-batuk dia menelan pai daging yang telah lama dihidang pembantu rumah tadi. Langsung gelas yang terisi jus anggur dicapai dan jus itu diteguk.

“Dian ok?”

Dian mengangguk. Manalah dia tidak tersedak. Tidak sangka pula wanita ini membuka bab ‘tunang-kahwin-menantu’ itu. “Dian minta maaf aunty”.

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Kenapa Dian terkejut?”

“Ha?”

“Dian tak percaya?”

“Bukan tak percaya. Sebab aunty cakap bakal menantu tadi..” Dian berterus terang. Jika wanita di hadapannya ini tahu bahawa dia adalah kakak angkat Syaqiqah, apa agaknya respon wanita itu?

“Aunty dengan Fika dah tunangkan Adib dengan Adibah dari kecil. Waktu tu tak terfikir akan jadi macam ni. Tapi sekarang tak tahulah Adibah macam mana. Entah-entah bila dia nampak Adib terus tak suka. Ataupun ada pilihan lain.. Dah 15 tahun terpisahkan?”

Dian ikut senyum. ‘Iqah tak de pilihan lain. Mana sempat nak bercinta, aunty. Lagi pun sekarang anak aunty tu dah curi hati dia..’

Tun Maryamul Azra ketawa lagi. “Jemputlah makan. Dari tadi asyik sembang je.. Jemput Dian”.

Dian mengangguk dengan senyuman. Dia tiba-tiba terasa bagai semuanya dirancang. Mata sesekali menjeling jam dinding. Sudah pukul 7.30 malam, lamanya urusan Harraz bersama Adib? Bukankah mereka selalu bertemu? Mujur dia tidak solat, jika tidak pasti kegelisahan memikirkan bagaimana mahu menumpang solat di rumah serba mewah ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s