Demi Syaqiqah – P26

Dia gelisah menunggu temannya tiba di universiti. Baru lima belas minit berlalu, namun Lainah merasakan sudah lima belas jam. Mengapa Dian masih belum muncul?

Jam sembilan dia datang, dia terus masuk ke kelas. Tapi apa yang dilihat di papan kenyataan, papan pemberitahuan yang berlambak di universiti itu memanglah menyakitkan hati. Siapalah agaknya yang mendajjalkan Dian? Geram betul hatinya!

Lainah langsung berlari mendapatkan Dian yang sedang berjalan bersama adiknya. Kertas A4 di tangan dipegang erat sambil dia berlari.

“Dian!” termengah-mengah Lainah memanggil.

Dian mengerutkan dahi. Memandang Syaqiqah sekilas dan kemudian membantu menenangkan Lainah yang tidak cukup nafas kerana berlari.

“Kenapa ni?”

Lainah menarik nafas sedalamnya. Dan kertas itu dihulur pada Dian. Dian menyambut dengan penuh tanda tanya. Dan kertas itu dilihat.

Membulat matanya melihat dua gambar itu. Tajuk besar yang tertulis sejelasnya di atas dua gambar itu, ‘DIAN PELAJAR TAHUN DUA JURUSAN UNDANG-UNDANG PEREMPUAN JALANG’.

Gambar pertama adalah gambar dia bersama Adib. Gambar dia berjalan bersama Adib. Sekadar berjalan, Dian tidak kisah. Itu terpulang pada mata yang melihat.

Namun gambar kedua memang menaikkan kemarahannya. Gambar dia bersama Harraz. Gambar hari itu, sewaktu Harraz menyelamatkannya dari dilanggar motosikal.

Untuk mereka yang tahu perkara sebenar, tidak akan berfikir apa-apa. Tapi siapalah yang tahu kejadian itu melainkan dia dan Harraz sendiri? Dan memang jelasnya gambar itu adalah gambar dia dan Harraz berpelukan!

“Kau tahu kerja siapa?” Lainah menyoal.

“Emilylah ni..” kertas itu sudah pun berada di dalam genggaman Dian.

“Kau nak buat apa? Kau tahu tak kertas ni bersepah kat dalam. Kat kelas, kantin, library semua ada. Aku dah cek tadi. Aku takut dalam bilik pensyarah pun ada”.

Dian mengetap bibir. Apa yang gadis itu tidak puas hati dengannya? Bukankah dalam pergaduhan mereka selalu saja dia yang mencari fasal? Dan kali ini apa lagi?

“Aku dengar Emily ni pernah bercinta dengan Harraz waktu dia tahun satu dulu. Tapi Harraz tinggalkan dia sebab apa aku tak tahu. Tapi Harraz tu kan playboy. Esoknya dah ada girlfriend baru” Lainah bercerita.

“Si Emily memang tak pernah suka dengan aku pun” Dian mendengus. Menoleh ke kirinya, barulah dia terperasan keberadaan Syaqiqah di situ.
“Adik..”

-Banyak rahsia akak..

“Adik.. akak boleh jelaskan”.

Syaqiqah menguntum senyum tawar. -Adik pergi kelas dulu. Kelas adik mula pukul 9.45 pagi.

Dian melepas nafas melihat Syaqiqah menghadiahkan sebuah senyuman buat Lainah dan berlalu pergi.

“Kenapa dengan Iqah?” Lainah menyoal hairan.

“Emily ni memanglah.. kau tahu dia kat mana?” Dian tidak menjawab, sebaliknya memberi soalan.

Lainah diam berfikir. Seminit, dua minit…

“Tahu tak?” Dian menyoal lagi, suaranya sedikit meninggi. Geram betul dia dengan Emily, jika bukan kerana kertas ‘bodoh’ itu.. tak mungkin Syaqiqah salah faham dengannya seperti sekarang.

Dian yang tidak sabar langsung saja meluru masuk ke dalam. Destinasi pertama adalah kantin. Sikap Emily yang suka mencari salah orang memungkinkan dia berada di kantin. Siapa tahu?

Lainah mengejar. Lupa pula dia dengan sikap Dian yang tidak boleh dicabar dan pantang mengalah, bukannya bersifat tenang seperti adiknya yang satu itu.

Dian sudah senyum sendiri. Langkahnya laju menuju ke arah Emily yang sedang makan bersama teman-temannya. “Apa ni?” kertas yang berada di tangan diletakkan di atas meja makan Emily dengan menepuk tangannya. Membuatkan suapan Emily terhenti.

Emily membulatkan mata. “Apa kau cakap ni?”

“Kau jangan buat tak tahulah, Emily. Aku tahu ni semua kerja kau kan?”

Emily berdiri seraya mengangkat bahu. Kertas di atas meja sambil mulutnya memuncung. “Oouu..”

“Kau ingat aku ni jenis perempuan solehah yang diam je kalau kena buli? Kalau kau tak nak mengaku tak pe, tapi jangan sampai aku hilang sabar!” Dian memberi amaran.

“Sekarang ni aku tak tahu kau cakap fasal apa. Tunggu kau cool sikit, baru datang jumpa aku” Emily kembali duduk, ingin menyambung apa yang dilakukan.

Dian sengih sendiri. “Lupa.. cakap dengan orang bodoh, kita pun jadi bodoh sekali. Fine, aku pergi belajar dulu. Orang bodoh macam kau bolehlah bersenang-lenang kat kantin macam ni” dan Dian memasang langkah. Malas mahu terus bertekak dengan Emily.

Emily mengetap bibir geram. Selambanya Dian memanggilnya bodoh sedangkan satu kantin melihat! Satu kantin memandang Dian memanggilnya bodoh! Geram juga sakit hati, jus lobak merah di hadapan langsung saja diambil dan dituang mengenai tubuh Dian.

Tapi yang terjadi.. lain. Emily membulatkan mata melihat Harraz yang basah kuyup dek jus lobak merahnya. Entah dari mana jejaka itu muncul dia tidak tahu. Yang dia tahu, Harraz telah melindungi Dian dari terkena jus berais itu.

“Harraz, I..”

Dian berpaling. Melihat Harraz yang sudah basah membisukan dia. Dari mana jejaka itu muncul? Dan apa perlunya dia menyelamatkan Dian? Lihatlah sekarang, hutang budinya sudah bertambah!

“I warn you, Emily. I hope this is the last time you kacau Dian dan adik dia. Lagi sekali I dapat tahu you ganggu Dian dan Iqah, I takkan teragak-agak untuk make sure that you get lost from this university!” dan Harraz menarik lengan baju Dian berlalu pergi dari situ.

“Harraz! Harraz!” Emily memanggil. Dan dia duduk geram menahan sakit hati. Makanan dan minuman di atas meja ditolak hingga ia berteraburan di lantai. Dian memang mencabar kesabaran tahap tertingginya.

“Emily, you ok?” teman di sisi menyoal.

“You gila ke? Kalau dah macam ni, you boleh tanya lagi I ok ke tak?” Emily bersuara separuh menjerit. Jemarinya menggenggam penumbuk padu, tidak pernah ada pelajar di situ yang berani men’cabar’nya seperti Dian. Kini Emily benar-benar bencikan Dian.

#########

“Syaqiqah”.

Syaqiqah mengangkat wajah memandang pensyarah yang sedang mengajar. -Ya?

“Faham apa yang saya syarah tadi?”

Syaqiqah mengangguk. Senyuman dihadiahkan buat pensyarah baik hatinya itu. Pensyarah yang pasti akan menyoal apakah dia memahami atau tidak kerana Syaqiqah tidak boleh memberi ulasan dengan berkata-kata.

“Bagus. Ini saja kelas saya hari ni. Terima kasih”.

Syaqiqah menghabiskan penulisan notanya dan menutup buku. Nafas dilepas mengingat peristiwa pagi tadi. Gambar itu jelas pada ingatannya. Dia bukan marah tanpa sebab seperti adik manja kebiasaan.

Dia terasa dengan sikap Dian yang banyak berahsia dengannya kebelakangan ini. Kalau hal sebegini sudah kakaknya rahsiakan, tentu sekali banyak perkara lain yang dirahsiakan Dian dari pengetahuannya.

Jika dia berahsia, Dian akan marah besar. Kata Dian mereka hanya berdua jadi segala masalah harus dikongsi bersama. Susah senang bersama. Tapi sekarang apa yang terjadi? Bukankah Dian yang paling banyak berahsia dengannya?

###########

“Nah..” Dian menghulurkan tisu padanya.

Harraz menyambut dengan sengihan. “Ingatkan nak bagi sapu tangan..”

Dian mencebik. “Ingat aku ni jenis simpan sapu tangan dalam beg ke?”

“Tak de ke?” Harraz membulatkan mata.

Dian memandang. “Kenapa? Girlfriend kau semuanya simpan sapu tangan dalam beg?”

Harraz ketawa sendiri. “Tak adalah. Selalunya perempuan kan simpan sapu tangan. Ada apa-apa, semua guna sapu tangan. Bukan ke sapu tangan lebih mudah?”

“Sapu tangan boleh digunakan sebagai bahan bukti. Jadi baik guna tisu, lepas guna terus buang” Dian bijak menjawab dengan yakin.

Harraz ketawa. Dian memang comel! Memang sangat comel! Untungnya dia dapat beristerikan seorang bakal peguam. Harraz ketawa geli hati sendiri sambil tangan ligat mengesat jus yang membasahi wajah.

“Yang kau gelak ni kenapa?”

Harraz menggeleng. Dia terkesima seketika. Apa yang dia angankan tadi? Beristerikan Dian? ‘Kalau you dah jumpa perempuan yang boleh buat you terfikirkan perkahwinan, you akan faham apa yang I rasa’. Harraz tiba-tiba teringat kata-kata seorang bekas teman wanitanya suatu masa dulu.

Dan dia menggeleng lagi. Tidaklah. Dia tidak fikir begitu terhadap Dian. Harraz menenangkan diri. Dia hanya sukakan Dian. Hanya sekadar s u k a.

“Alang-alang kau nak tolong aku, aku nak tambah kerja kau sikit boleh tak?”
Harraz memandang dengan jongketan kening. Kata-kata Dian memancing perasaan ingin tahunya. “Anything for you, my dear”.

Dian mencebik. “Kau jangan ingat ayat kau tu sedap sangat. Nak termuntah aku dengar. Kau nak tolong tak ni?”

Harraz ketawa lagi. Seronok benar duduk bersama Dian. “I tolong. You nak minta tolong apa?”

“Jom”.

#########

“Dik, tolong panggilkan Iqah” Dian menegur seorang gadis yang melangkah keluar dari kelas.

Gadis itu memandang seketika dan memberikan senyuman. Lalu dia melangkah masuk ke dalam kelas. Dian menjeling Harraz di belakangnya sekilas. Tahu sangat gadis tadi memandangnya. Dasar lelaki buaya darat, kutuk Dian dalam hati.

Dian melihat Syaqiqah yang sibuk mendengarkan rakan di sebelahnya. Dan gadis tadi hampir padanya. Hanya sekilas pandangan yang diberikan Syaqiqah dan dia menyambung perbincangannya kembali.
Gadis itu memandang Dian dan melangkah mendekatinya. “Saya dah panggilkan Iqah. Tapi dia tak nak keluar. Awak tak nak masuk?”

“Tak pelah. Terima kasih” Dian menguntum senyum manisnya.

Dian melepas nafas. Memang ikutkan hati mahu saja dia masuk ke dalam kelas, tapi memikirkan Harraz di belakang.. niatnya langsung terbatal. Isu gambar itu masih belum selesai. Iyalah ia baru berlaku pagi tadi.

Dian perasanlah sangat mata-mata yang memandang dia dan Harraz dari tadi. Tapi dia bukan kisahkan manusia lain yang salah faham dengannya. Yang penting adik kesayangannya itu.

Telefon pintarnya diambil dan nombor Syaqiqah dihubungi. Dian melihat Syaqiqah memandang skrin telefon dan memandangnya. Dan panggilan itu diterina Syaqiqah.

“Adik tak nak keluar jumpa akak? Akak nak jelaskan semua yang berlaku.”

Dian memandang wajah Syaqiqah yang tidak beriak. Dan dia menyambung, “Akak minta maaf. Akak tak de niat nak sorok apa-apa dari adik. Akak cuma tak nak buat adik risau”.

Mendengar ayat itu, Syaqiqah bangun dari duduknya. Langkah perlahan menuju ke arah Dian. Dian menarik tangan Syaqiqah dan membawanya hampir pada Harraz.

“Hai” Harraz mengangkat tangan.

“Assalamualaikum” Dian bersuara tegas, menegur.

Harraz sengih. “Assalamualaikum, saya Harraz. Bakal teman lelaki kakak awak”.

“Harraz!” Dian meninggi suara.

Harraz ketawa kecil. “Shhhh… Orang tengok”.

Syaqiqah ketawa kecil melihat adegan ‘aneh’ di hadapannya. Jadi begini ceritanya. Kakaknya sudah ada peminat. Tengku Harraz Tengku Hafzan yang terkenal ini meminati kakaknya… rupanya.

Dian memandang melihat Syaqiqah ketawa. “Adik tak marah akak dah ke?”

-Marah.

“Adik gelak tadi..”

-Akak tak bagitahu ada orang minat akak. Dia tengah pikat akak ke?

Dian mengerutkan dahi. Memandang Harraz yang memandang dia dan Syaqiqah tanpa sebarang riak. Nafas lega dilepas. Mujur Harraz tidak mengerti bahasa isyarat.
“Aku nak minta kau jelaskan kat adik aku fasal gambar tu”.

Harraz mengangguk, patuh. “Sebenarnya hari tu I selamatkan Dian dari kena langgar motor. Sebab dah lewat, I ajak Dian balim dengan I. Lagi pun nak balik rumah I, memang lalu rumah you. Tapi I ada emergency. So lambatlah I hantar kakak you balik. You marahkan kakak you ke? Kalau you marahkan dia, baik you marah I. Serius kakak you tak salah”.

-Awak suka kakak saya? Syaqiqah selamba menyoal.

Harraz memandang Dian kebingungan. Dia berbisik separuh suara, “Apa yang adik you cakap?”

“Dia kata ok”.

“Ok je? Macam panjang..” dahi Harraz berkerut. Dan Syaqiqah ketawa kecil.

“Ya betul. Dia cakap, kalau macam tu baguslah..” Dian bertegas.

Harraz mengangguk. “Ni je you nak minta tolong?”

Dian turut memberi anggukan. “Ni je. Terima kasih. Kau kata ada kelas kan? Bye!”

“Pergilah cepat! Bye..”

“Bye..” dan kali ini barulah Harraz meninggalkan mereka.

Dian melepas nafas memandang Syaqiqah. “Sedapnya soalan dia kan?”

Dan Syaqiqah sengih. Sengihnya makin melebar saat terperasan Harraz beberapa kali menoleh ke belakang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s