Demi Syaqiqah – P34

“Boleh saya duduk?”

Dahinya berkerut. Wajahnya diangkat dari buku yang sedang dibaca. Matanya terpana seketika dengan wajah itu.

“Boleh saya duduk?” Adib mengulang kembali pertanyaannya.

Syaqiqah mengangguk. Memberi keizinan untuk Adib duduk di hadapannya. Beberapa buah buku yang dipegang Adib diletakkan di atas meja.

Hakikatnya buku-buku itu langsung tiada kaitan dengan tugasannya. Dia lebih selesa membuat tugasan menggunakan teknologi internet. Tapi bila terpandangkan Syaqiqah yang sedang leka membaca.. langsung muncul idea untuk meluangkan masa dengan pujaan hatinya itu.

Syaqiqah menegakkan buku. Melindungi wajah dari menjadi tatapan Adib. Kalaulah ada cermin di hadapannya saat ini, pasti dia melihat jelas pipinya yang memerah.

Adib ketawa kecil bila Syaqiqah melindungi wajahnya. Jelasnya gadis itu malu. Pasti pipinya sudah memerah bukan main jika Adib dapat melihatnya.

Telefon pintar yang sedang menggunakan mod getaran tiba-tiba bergetar. Telefon yang berada di dalam poket seluarnya itu diambil dan skrinnya dilihat. Panggilan daripada daddy?

Adib bangun dari kerusi perlahan agar ia tidak mengganggu Syaqiqah. Dan langkah diatur ke luar perpustakaan.

Syaqiqah meletakkan buku di hadapannya bila tangan terasa letih memegang. Dahinya berkerut bila mendapati Adib sudah tiada di hadapannya. Kepala ditoleh ke sana ke mari namun Adib tidak ditemui. Dan dia tersenyum lega.

########

“Assalamualaikum daddy..”

“waalaikumussalam. Adib kat mana? Daddy ada kat pejabat dekan ni”.

Dahi Adib berkerut. Ya, memang Tun Adib Nasir ada memberitahunya yang dia mahu ke universiti melihat Adibah, tapi mengapa kemunculannya tiba-tiba seperti ini?

“Daddy tak cakap nak datang hari ni?” Adib menyoal sambil berlari anak menuju ke pejabat.

“Tulah.. kebetulan ada meeting cancel. Daddy mintalah Qaniah uruskan daddy datang sini. Alang-alang tu..”

Ketukan di pintu menarik perhatian mereka. Dekan melangkah perlahan menuju ke pintu. Tidak boleh menjerit di hadapan tetamu penting. Melihat Adib yang muncul, pintunya dibuka seluas mungkin.

“Daddy” Adib melangkah ke arah daddynya dan tangan lelaki itu disalam.

Matanya melihat sekeliling. Ada Qaniah juga tiga orang ahli lembaga pengarah syarikat lainnya. “Daddy nak tengok Dibah?”

Tun Adib Nasir menguntum senyum lebar. Anggukan diberikan buat anak tunggalnya. “Dibah kat mana?” Tun Adib Nasir menyoal separuh berbisik.

“Library”.

Tun Adib Nasir mengangguk. Dekan di hadapannya dipandang dengan senyuman. “Saya nak tengok semua perpustakaan yang ada di universiti ni”.

“Boleh tuan. Saya sendiri akan bawa tuan melawat”.

############

Semua pelajar yang sedang mengulang kaji pelajaran, mengambil nota, menyiapkan tugasan atau apa sajalah yang sedang dilakukan.. terkejut apabila digesa pustakawan untuk berbaris menyambut kedatangan tetamu penting katanya.

Dan dalam ramai-ramai itu akan ada seorang pelajar yang dipilih pustakawan untuk menjadi penghulur bunga pada tetamu penting yang bakal tiba.

Syaqiqah memandang sekuntum bunga anggerik yang berada di pegangannya. Sesuai dengan nama blok bangunan ini, Blok Anggerik. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia yang terpilih. Menurut pustakawan itu, mereka memilih saja sesiapa pun kerana kedatangan tetamu penting yang amat mengejut. Pun begitu, Syaqiqah tetap mempersoal dalam diam.. mengapa dia?

Syaqiqah berdiri tegak di barisan belah kanan pintu, paling hujung. Kata pustakawan sebaik saja tetamu penting melangkah masuk, dia terus ke tengah barisan hingga tetamu itu sampai padanya. Selepas bunga itu berpindah tangan barulah dia ke tepi.

Kedengaran rakan-rakannya berbual sesama sendiri tentang tetamu penting itu. Ada yang seperti tahu gerangannya. Namun ramai yang tidak tahu siapa tetamu penting itu sebenarnya.

Suasana sunyi bila kedengaran bunyi tapak kasut dari jauh. Dia sudah tiba. Syaqiqah menarik nafas sedalam mungkin dan sebaik saja tetamu penting itu masuk, Syaqiqah maju ke tengah.

Dekan tersenyum pada Tun Adib Nasir sambil menerangkan setiap satu perpustakaan. Bercerita itu dan ini, dan memberi pelbagai maklumat yang ditanyakan Tun Adib Nasir.

Wajah dihalakan ke hadapan bila mendengar bisikan Adib di belakangnya yang memberitahu Adibah berada di hadapannya. Sungguh, wajah yang teramat mirip Afiqah itu buat Tun Adib Nasir benar-benar kaget.

“Syam.. aku dah jumpa Dibah” ucap Tun Adib Nasir perlahan. Hilang sudah tumpuannya terhadap apa yang sedang dekan bicarakan. Tumpuannya kini hanya pada anak gadis yang sedang memegang bunga ini.

Syaqiqah mengerutkan dahi melihat Adib yang berada dalam kelompok itu. Siapa tetamu penting yang beria dekan raikan ini? Yang jelas, dia berkaitan dengan Adib jika tidak masakan Adib berada di situ.

“Baiklah, students.. Saya kenalkan ini Tun Adib Nasir, ayah kepada kawan-kawan anda semua, Adib Mubarak. Tun Adib Nasir juga merupakan penyumbang dana terbesar untuk apa jua jenis alatan, kemudahan dan teknologi yang terdapat di universiti kita” dekan sibuk memberi penerangan kepada semua pelajar.

Syaqiqah menahan debaran. Jadi inilah Tun Adib Nasir yang sering diperkatakan itu? Dahinya berkerut. Sebaik mengetahui ini adalah ayah Adib, jantungnya berdegup lebih kencang. Juga dia merasakan.. pertama, dia pernah mengenali lelaki ini dan kedua, mengapa dia merasakan pandangan lelaki itu terus melekat padanya dari tadi? Atau hanya perasaan semata?

Bunga anggeriknya dihulur bila lelaki berumur itu sampai tepat di hadapannya. Namun telefon pintarnya tiba-tiba berbunyi dan Tun Adib Nasir menjawabnya. Dia tersenyum sendiri memandang Syaqiqah yang masih menghulur dengan wajah menunduk.

“Waalaikumussalam. Ya saya. Baik. Saya faham. Awak cakap dengan dia, saya datang sekarang. Minta dia tunggu” dan Tun Adib Nasir mematikan panggilan. Sambil itu dia menyambut huluran Syaqiqah.

“Terima kasih. Nama siapa?” Tun Adib Nasir masih tersenyum, mahu melihat reaksi anak itu.

Dekan mengerutkan dahi. Ini adalah perpustakaan keempat yang dilawati Tun Adib Nasir tapi ini adalah kali pertama Tun Adib Nasir beramah dengan pelajarnya. Siapakah gadis ini?

Syaqiqah diam seketika. Dan kad pelajar yang tergantung di leher ditunjukkan pada Tun Adib Nasir. “Syaqiqah Sulaiman?”

Syaqiqah mengangguk, sekilas matanya menangkap wajah Adib yang sedang mengukir senyuman di belakang ayahnya.

“Saya terpaksa pergi dulu. Bila lapang nanti, saya akan datang lagi. Tapi jangan risau, saya takkan datang terkejut macam ni lagi..” Tun Adib Nasir menguntum senyum memandang dekan.

Dekan mengangguk. “Silakan tuan”.

“Niah, call Pak Khai sekarang. Saya ada urgent meeting” Tun Adib Nasir memandang setiausahanya itu.

Dekan menghantar hingga keluar. Hatinya masih tertanya apa kaitan gadis ini dengan Tun Adib Nasir? Atau mungkin punya kaitan dengan Adib? Juga bunga anggerik yang masih berada di genggaman Tun Adib Nasir. Bunga jasmin, bunga mawar dan juga bunga tulip tadi diserahkan pada setiausahanya tapi tidak bagi bunga anggerik pemberian gadis ini.

Meski pun hatinya begitu ingin tahu, dekan sedar dia tidak boleh sewenangnya bertanya.

#########

Dian mengerutkan dahi bila melihat pemandu Toyota Alphard itu bukan lagi Pak Khai tapi seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Masuklah” Adib menggesa.

Dian melangkah masuk dan tangan Syaqiqah ditarik. “Siapa?”

“Oh.. kenalkan ni Abang Adam. PA daddy sebenarnya, tapi daddy suruh jadi driver aku sementara daddy kat Malaysia. Sebab daddy susah nak ke sana sini bila Pak Khai tak ada” Adib mengenalkan sekaligus memberi penerangan.

“Abang Adam, ni Dian. Lagi seorang tu…” Adib menoleh dan tersenyum memandang Syaqiqah. Dian berdehem menyedari Adib terlalu lama merenung adiknya. “Iqah. Dia orang ni penumpang setia Adib”.

“Penumpang eh?” Dian membuat muka.

Adib sengih sendiri. “Bukan penumpang. Mini boss” dan dia ketawa sendiri. Dian dan Syaqiqah ikut ketawa. Dan Adam mula memandu mengikut arah yang ditunjuk Adib.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s