Demi Syaqiqah – P35

Dia melepas nafas bila melihat gambar itu. Sudah sebulan asyik menerima gambar itu dari Emily benar-benar menyebalkan hatinya. Pun begitu, gambar itu tetaplah memberi kesan terhadap hati perempuannya.

Gambar yang baru diterima dua saat tadi adalah gambar Adib berlari mengejar gadis itu dan gambar keduanya ketawa gembira. Sakit juga hatinya memikirkan alasan yang selalu diterima bila dia mengajak Adib keluar akhir-akhir ini.

“Maaflah Amy, Adib sibuk”.

“Maaf sangat, Adib ada hal”.

“Sorry… Adib ada kelas”.

“Adib ada temujanji dengan daddy” dan bermacam seribu satu alasan lagi.

Amy melepas nafas. Apakah benar hati lelaki Adib sudah terpaut dengan gadis itu? Apakah Adib benar-benar menyukai adik Dian itu? Nampaknya Amy harus mengambil tahu. Dia tidak rela lagi membiarkan persoalan yang datang tidak berjawapan.

#########

“Adik, tengok ni”.

Syaqiqah yang sedang menyelesaikan tugasannya berpaling pada Dian yang berbaring di atas katil. -Apa?

“Sinilah kejap” Dian memanggil dan merubah posisi tiarap. Telefon bimbitnya diserahkan pada adiknya itu.

Syaqiqah duduk di sisi Dian dan menyambut huluran itu. Dahinya berkerut melihat gambar di skrin. Berkali-kali kepalanya ditoleh sana-sini. -Siapa?

“Tu gambar keluarga Adib dulu-dulu. Tapi, ada dua buah keluarga. Katanya lagi satu tu kawan baik ayah Adib, tapi dia orang ni tinggal serumah ke macam mana entah…”

Kerutan di dahi Syaqiqah bertambah. Dua wanita dewasa.. yang seorang berbadan dua, dua lelaki dewasa dan sepasang kanak-kanak.

Yang lelaki itu pastinya Adib tapi kanak-kanak perempuan ini… Syaqiqah memejam mata. Pandangannya jadi berbinar tiba-tiba. Berbalam dan tidak sejelas tadi lagi. Dadanya juga tiba-tiba berdegup kencang.

Nafasnya yang turun naik cuba ditenangkan. Akhirnya telefon pintar milik Dian terlepas dari pegangan. Namun jatuh di atas katil, tepat-tepat di sisi Dian.

“Adik” Dian langsung duduk. Tubuhnya menginjak untuk memberi Syaqiqah lebih ruang. “Ok tak ni?” soal Dian sambil menarik tubuh Syaqiqah.

Syaqiqah menggeleng. Dia bagai melihat bayangan dua kanak-kanak berlari tadi. Dian langsung ke bilik air, mencapai kain tuala putih yang berada di dalamnya. Tuala itu dibasahkan dan segera dia meletakkannya di atas kepala Syaqiqah. Bimbang pula adiknya itu tiba-tiba demam.

Syaqiqah yang sudah berbaring tersenyum memandang Dian saat dirinya lebih tenang. -Dah ok sikit..

“Kenapa macam tu? Ini macam dah kali kedua?” Dian pura-pura, menyoal walhal dia tahu sangat mengapa tubuh Syaqiqah memberi respon begitu.

Syaqiqah menggeleng. Tangannya melingkar pada pinggang Dian, mahu lelap seketika. Dian menepuk dengan senyuman pada bibir. Nampaknya rencana dia dan Adib mula menunjukkan hasilnya.

Kata Dr.Soleh, mereka akan menggunakan pendekatan sama dahulu. Ya, sama ketika Sulaiman dan Hannan meminta Dr.Soleh merawat Syaqiqah dahulu. Jika dahulu, ianya sukar kerana Syaqiqah masih kecil dan masih banyak yang dia tidak fahami tapi kini tidak lagi kerana dia sudah dewasa, kerja Dian dan Adib semakin mudah. Selebihnya kita lihat bagaimana Syaqiqah merespon.

Dan jika tidak berjaya juga, barulah pendekatan lain akan digunakan.

#########

Dia tersenyum membaca mesej penuh harapan dari Adib. Sesekali ketawa sendiri melihat bagaimana tingginya harapan Adib terhadap kesembuhan Syaqiqah. Kini Dian tidak lagi berbelah bahagi, ini memang keputusan yang tepat.

“Sayang.. jomlah ikut I” Dian tiba-tiba menangkap suara dari arah hadapannya.
Wajahnya diangkat sementara telefon pintar dimasukkan ke dalam beg. Liurnya ditelan melihat Harraz berkepit dengan seorang gadis ‘tidak cukup kain’ di hadapannya.

Harraz memandang. Pandangan Dian, mata itu cukup beku. Masih tersimpan pelbagai kemarahan dalam hatinya. Harraz tahu itu, dia sudah ‘membazirkan’ masa begitu banyak dengan wanita.. setakat itu takkanlah dia tidak tahu?

Langkah Dian mulai perlahan melihat gadis gedik itu bertambah gedik bila ternampak dia di situ. Ya semua ini, terima kasih yang teramatlah kepada gosip liar Emily yang selamanya diingati.

Harraz memandang gadis di sebelahnya. Entah mengapa dia membiarkan. Ikutkan selalu gadis itu sudah lama dihalau. Rimas! Tapi dia mahu melihat.. apakah ada tanda-tanda cemburu pada Dian?

Dian tidak peduli lagi. Jadi kata-katanya malam itu langsung tiada kesan? Dasar manusia, eh bukan.. dasar lelaki berhati kering! Pergi mampuslah kau.. gilaaa! Dian mengutuk dalam hati. Langkahnya dipercepatkan.

Harraz melepas nafas saat berselisih. Dian tidak kisah, langsung tidak kisahkannya. Mungkin dia cemburu, tapi lebih kepada marah dan sakit hati. Langkahnya langsung terhenti.

“Kenapa ni sayang..?”

Harraz menoleh. Dian masih melangkah tanpa menoleh sedikit pun. Dia tidak berharap dikejar Harraz. Jika tidak pasti Dian akan menoleh walaupun sekilas. Harraz melepas nafas hampa.

Harraz menarik lengannya dari kepitan gadis itu. “Ilya, kita putus. You are no longer my sayang..”

Ilya mengerutkan dahi. “What? Why? Sayang.. apa salah I pada you?”

“Look, Ilya. You tak de salah, salahnya I. I bercinta dengan you.. tapi I langsung tak sayangkan you. Good luck Ilya” dan Harraz langsung berlalu pergi. Tidak dipedulikan gadis itu yang berteriak memanggilnya bagai orang gila.

Malam ini, dia tidak mahu pulang. Dia mahu berseronok hingga esok. Otaknya terlalu berserabut dengan wajah Dian. Pandangannya bekunya tadi, kata-katanya malam itu, air mata Dian malam itu, wajah menyinga Dian malam itu.. segalanya Dian.

##########

Dia menguntum senyum hambar terhadap Syaqiqah yang melipat tangannya.

“Adik” Dian menegur.

Syaqiqah menggeleng. -Akak nangis.

Dian mengerutkan dahi. Dipegang bawah matanya, masih panas. Walau matanya tidak bengkak, pasti Syaqiqah dapat mengesan. “Ha’ah”.

-Kenapa? Syaqiqah menyoal, apakah kerana Harraz lagi?

“Sebab yang sama..” Dian memaut lengan Syaqiqah dan mula melangkah.

-Harraz?

Dian mengangguk. “Hal akak dengan dia, sampai bila pun takkan selesai kalau dia masih macam tu..”

-Akak ok?

“Ok tak ok. Lantak dialah, akak nangis pun bukan mati. Kalau dia blah dari hidup akak pun, akak boleh hidup lagi. Kan akak ada adiiik…” Dian melentokkan kepala pada bahu Syaqiqah.

Syaqiqah ketawa sejenak. Dan sama-sama melangkah menuju ke Toyota Alphard yang sedang menunggu.

##########

Amy memejamkan mata. Jadi dua beradik itu, diambil dan dihantar Adib. Dia telah bertanya pada Enon. Tun Adib Nasir telah mengupah pemandu lain untuk Adib kerana Pak Khai agak sibuk memandu buatnya. Ertinya Tun Adib Nasir menyokong perbuatan Adib memikat gadis itu. Jika tidak pasti Tun Adib Nasir akan persoalkan tentang Chevrolet Camaro milik Adib.

Dia melihat Toyota Alphard itu. Kereta yang sangat dia kenali. Dia juga sudah beberapa puluh kali menaikinya. Jadi benarlah Adib serius dengan gadis yang bernama Syaqiqah itu?

Amy mengesat air mata yang mulai mengalir. Dia fikir setelah kematian Adibah, Adib akan melihatnya. Adib akan perasan kehadirannya. Namun ternyata tidak. Dia malah melihat perempuan lain yang langsung tiada kaitan dengan mereka.

Dia terus menangis. Tubuhnya telah terhinjut-hinjut menahan esakan yang mendalam. Kecewanya, marahnya, geramnya, bengang juga.. bersatu di dalam tangisan dan jeritannya.

#########

Adib membuka matanya perlahan. Bunyi telefon pintar yang berdering sedari tadi benar-benar mengganggu tidurnya. Akhirnya Adib mengalah, panggilan itu diangkat.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.. Abang Adib, Ana ni”.

Adib membulatkan mata. Dia tidak perasan siapa yang menelefon kerana matanya masih terpejam. Namun suara Ana yang teresak membuatkan dia benar-benar terjaga.

“Maaf Ana mengganggu. Ana tahu sekarang pukul empat pagi..”

“Tak Ana. Ada apa yang boleh Abang Adib tolong?” Adib langsung saja menyoal adik bongsu Harraz itu.

“Angah tak balik lagi.. dad tak ada, pergi oversea. Mom dah menangis dari tadi. Ana tak tahu nak buat apa”.

Adib melepas nafas. Ingatkan apalah. Ya, Harraz satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Sangat manja dengan momnya. Jadi seliar mana pun, dia tetap akan pulang ke rumah untuk tidur. Bererti dia tidak pernah pulang lewat dari dua pagi.

Pantasan saja wanita itu risau. Raz, Raz.. apa lagilah kau ni. “Ana.. cakap kat mom. Jangan risau. Abang Adib pergi cari Angah sekarang…”

“Terima kasih Abang Adib. Ana minta maaf menyusahkan” dan panggilan ditutup.

Adib melepas nafas. Tengoklah Raz, aku suruh kau ganti tidur aku! Tak guna punya kawan.. Adib langsung saja bersiap dan mengambil kunci keretanya. Bukannya dia tidak tahu di mana Harraz pada waktu begini.

#########

“Kau ni dah kenapa Raz?”

“Tak de apalah” Harraz di sebelah Adib membuang pandang ke luar.

Adib melepas nafas. Mujur dia tahu kelab malam kegemaran Harraz, jika tidak payah juga mahu mencari. Sewaktu dia tiba tadi pun, Harraz sudah menghabiskan lebih sebotol minuman keras itu. Akibat sudah kerap mungkin, bak kata orang sudah pandai minum.. dia mabuk, tapi masih boleh mengawal diri.

“Sampai bila kau nak jadi macam ni Raz? Kesian auntie tau. Ana tu call aku nangis-nangis, risau angah dia tak balik lagi” Adib mula membebel, geram benar dengan sikap Harraz.

Harraz memandang. “Ini semua perempuan tu punya fasal. Aku ni punyalah suka kat dia. Dia pandang aku sebelah mata pun tak..Dib, kau tahu tak aku punya muka ni tebal tengok dia. Dah tinggi macam ni” Harraz mula merapu dalam mabuknya. Membuat gaya itu ini, marahkan perempuan itu.

“Dah kalau macam ni perangai kau, bukan setakat Dian. Aku pun tak hingin nak buat member..”

“Tak hingin sudah! Along.. angah peninglah dengan perempuan ni. Entah apa yang dia nak. Dia tak nampak lagi ke along.. yang angah suka kat dia, sayang kat dia…”

“Raz” Adib menegur. Sah temannya ini mabuk. “Along kau kan dah tak de. Apa kau merapu ni?” Adib melepas nafas, geram. Bukannya dia tidak tahu kisah Tengku Harlina yang meninggal dalam kemalangan itu.

“Haha.. along accident. Dib, aku suka Dian kau tahu tak? Suka sangat.. tapi dia pejam mata je tengok aku.. Dian bodoh! Aku suka kaulah bangang.. kenapa kau tak pandang aku? Kenapa kau pandang mamat MyVi tu juga..?! ” Harraz terus merapu meraban.

Adib menggelengkan kepala. Ya Allah, bilakah temannya ini akan sedar akan hakikat bahawa Dian bukan bencikannya tapi takutkannya. Adib sendiri perasan Dian telah mula menaruh perasaan pada Harraz. Tapi gadis bertudung seperti itu, tak mungkinlah mahu mengambil lelaki sebegini untuk dijadikan imamnya. Berubahlah Harraz…!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s