Demi Syaqiqah – P39

Adib memakai jam tangan dan mencapai telefon pintarnya. Dia harus segera pergi ke rumah Dian sebelum dua beradik itu pergi ke KL Sentral menggunakan teksi.

Kalau boleh dia mahu menghantar hingga ke Melaka. Lagi pun, Adam akan ikut saja permintaannya. Yang penting, dia mahu menyelesaikan salah fahamnya dengan Syaqiqah. Pasti ada sesuatu yang terjadi pada Syaqiqah. Tapi dia tidak boleh bertanya kerana dua hari ini, Syaqiqah benar-benar mengelak darinya.

“Adib”.

Adib mengerutkan dahi saat melangkah keluar dari lif. Dia menoleh pada Enon yang memanggil. “Cik Amy datang”.

“Amy?”

Enon mengangguk. “Tun tengah sembang dengan dia. Tapi dia pesan tadi, panggilkan Adib”.
Adib melepas nafas. “Ok, Kak Enon. Terima kasih”. Langkah diatur ke ruang tamu. Adib melihat Tun Maryamul Azra tersenyum ‘memberi amaran’ padanya.

“Mommy” Adib menegur, menghadiahkan sebuah kucupan pada kepala mommynya yang dilitupi dengan selendang sutera.

“Lambatnya anak mommy turun. Tak baik buat Amy tunggu” Tun Maryamul Azra memandang Amy sekilas.

“Kenapa Amy datang?” Adib melangkah maju dan duduk di hadapan Amy.

Wajah Amy yang asalnya ceria berubah sedikit. Tun Maryamul Azra kemudian mengerti ada sesuatu di antara Adib dengan Amy.

“Mommy masuk dulu. Adib keluarlah dengan Amy, dan next time kalau nak ajak perempuan keluar… Adib lah kena ambil, bukannya dia datang rumah ambil Adib macam ni..” Tun Maryamul Azra sempat menghadiahkan sebuah bebelan sebelum masuk ke ruang dalam.

“Bila pula Adib cakap nak ajak Amy keluar?” Adib menyoal lembut.

Amy memuncungkan bibir. “Dah lama kita tak keluar sama. Adib asyik sibuk je, jadi Amy datanglah sini…”

“Adib memang sibuk sangat. Adib minta maaf, tapi memang tak boleh” Adib mencuba menolak sehabis mungkin.

“Amy tahu Adib busy. Kalau macam tu, hari ni biar Amy jadi driver Adib.. Adib cakap je nak pergi mana” Amy membulatkan matanya, sungguh-sungguh menawarkan.

Adib melepas nafas. Dengan Amy dia tidak boleh berkasar dan dia juga tidak akan berkasar. Amy sudah dianggap sebagai adiknya dan Amy adalah adiknya. “Amy, Adib ada hal ni..”

“Biarlah Amy hantar. Amy rindu Adib.. Adib tak rindu Amy ke?” Amy mula merengek.

“Mana ada abang yang tak rindu adik… Tapi Adib busy sangat..” mata Adib mencuri pandang jam dinding. Bimbang dia sudah lambat. Tapi seyakinnya dia pasti sudah lewat.

Amy memandang. Adik, adik, adik dan adik lagi. Tidak tahukah Adib bahawa dia menganggap Adib lebih dari seorang abang? “Bolehlah Adib.. Amy hantar”.

“Amy, Adib ada hal. Lain kali kita keluar” kali ini nada suara Adib tegas, penat memujuk. Dia mahu mengejar Syaqiqah sebelum gadis itu bertolak ke Melaka.

“Adib dah jumpa perempuan lain kan?” Amy bangun berdiri, meninggikan suara pada Adib yang sudah melangkah.

Adib menoleh. Amaran Harraz tempoh hari terngiang di telinga. ‘ Kau kena cakap betul-betul dengan Amy yang kau tak fikir apa-apa kat dia dan kau dah ada orang yang kau sayang, betul-betul sayang. Kalau kau tak clear dengan Amy sendiri, dia akan fikir Iqah rampas kau dari dia. ‘

“Betul kan apa Amy cakap?”

Adib melepas nafas. Suaranya lembut menenangkan Amy. “Amy.. Amy pun tahu yang Adib takkan pandang orang lain selain Dibah. Amy sendiri jelas hal ni.. perempuan mana pula ni?”

Amy diam. Ya, dia tahu. Hingga saat ini Adib masih belum melupakan Adibah. “Amy ada”.

“Amy adik, tak mungkin lebih dari tu”.

“Tahu.. Tapi betul Adib tak de perempuan lain?” Amy memandang.

Adib melepas nafas. Nampaknya dia harus mengalah. Amy harus dipujuk terlebih dahulu. Jika tidak, Amy sama sekali tidak akan melepaskannya. “Dah lah, Adib batalkan je appoiment tu. Amy nak pergi mana? Adib bawa”.

Mata Amy membulat, wajah yang tadinya cemberut menjadi ceria semula. “Really? Seriously?”

“Iya adikku.. Jomlah. Nak keluar sangat kan..?”

Amy tersengih. Langsung beg tangan dicapai dan dia berlari terkedek-kedek menuju ke arah kereta.

#########

Matanya membulat melihat ibu yang melangkah ke arah dia dan kakaknya. Langsung saja beg yang dipegang diletakkan di atas lantai dan Syaqiqah langsung berlari memeluk ibunya.

Dian melepas nafas. Rindu sangatlah tu. Tiba-tiba dia terasa sayu pula. Pasti ibu akan sedih jika mengetahui bahawa Dian telah menjumpai keluarga kandung Syaqiqah. Mungkin ibu akan tumpang gembira tapi Dian tahu ibu akan bersedih nantinya. Kerana pada akhirnya, tetaplah Syaqiqah pulang ke tempat asalnya.

“Pandainya dia buat drama hindustan..” Dian memandang Syaqiqah yang masih berada dalam pelukan Hannan.

Hannan ketawa kecil. “Akak ni, suka sangat usik adik. Jom. Ibu dah masak lauk istimewa untuk puteri-puteri ibu ni..”

Dian menganggukkan kepalanya. Harapannya biarlah mereka dapat bercuti semester dengan aman dan makmur. Hanya dia, Hannan dan juga Syaqiqah. Tiada Adib, tiada Ana, tiada Amy, tiada Emily, tiada Lainah, tiada Ubadah dan tiada… Harraz.

#########

“Here comes the red velvet cake..” Adib tersenyum meletakkan potongan kek milik Amy di atas meja.

“Thank you, my prince” Amy membuat muka teruja.

Adib hanya menggelengkan kepala. ‘Maafkan Adib, Amy. Adib sibuk sangat fasal Dibah sampai lupa adik Adib seorang ni nak perhatian..’

“Adib tak makan ke?”

“No cake for me..!”

Amy mengerutkan dahi. “What? Why?”

“Gurau je lah. Amy makanlah. Adib lagi terasa nak makan sotong goreng Aunty Amnah”.

“Kalau macam tu, sibuk macam mana pun.. datanglah rumah sekali sekala. Teratak kecil Amy tu pun rindukan Adib” Amy sengih sambil menyuap kek ke dalam mulut.

Adib menjongket kening. “Teratak ye? Terataklah sangat.. dah macam bangunan syarikat je Adib tengok”.

“Tulah.. patutnya papa beli rumah kecil je. Kesian maid nak kena kemas pagi petang siang malam kan?”

Adib menganggukkan kepala, melayani kata-kata Amy. Moga-moga setelah ini, Amy tidak lagi menuntut mahu keluar bersama. Bolehlah dia benar-benar fokus pada proses pemulihan Syaqiqah.

“Amy tak kenal ke adik Dian tu?”

Amy tersedak. Terkejut mendengar pertanyaan Adib yang amat tiba-tiba. Mengapa bercakap tentang Syaqiqah saat ini? “Kenapa tanya macam tu?”

“Tak de. Cuma nak tahulah, Amy suka Dian.. Adik dia tak suka?”

Amy diam. Apakah Adib mahu memberitahunya bahawa gadis itulah yang berada di hati Adib saat ini? Pengganti Adibah? “Tak”.

“Lajunya jawab..”

“Adik Dian tu macam sombong sikit” Amy membalas, mahu melihat bagaimana reaksi Adib.

“Sombong yang macam mana tu?”

“Entah. Tapi Amy rasa yang dia sombong. Tak macam kakak dia..”

“Tapi Amy, Iqah tu baik tau. Baik sangat.. baik dari Dian”.

Amy memberi pandangan tajam. “Adib suka dia?”

“Suka” Adib menjawab sepatah.

“Suka?”

Adib mengangguk. Dia sudah membuat keputusan. Sekiranya Amy menyoal lebih dalam, dia akan berterus terang. Tapi jika tidak, rasanya biarlah masa yang menentukan segalanya.

“Suka yang macam mana?” Amy menyoal lambat-lambat. Tidak menyangka Adib akan jujur seperti ini.

“Sukalah.. dia comel, cantik, baik, manis.. sopan, ayu, lemah-lembut..”

“Ok., ok.. Amy faham. Dia boleh jadi pengganti Dibah ke?”

Adib ketawa kecil. Mana mungkin Syaqiqah menggantikan Adibah? Mana boleh orang yang sama menjadi dua orang yang berbeza dalam satu masa? “Tak”.

Amy mengukirkan sebuah senyuman manis. Jawapan ‘tak’ yang diberikan Adib sudah membuat dia cukup bahagia. Dia akan berusaha lebih keras untuk memiliki hati lelaki itu. Fighting!

#########

“Macam mana kerja yang aku bagi kau?”

“Sorry, bos”.

“Kau tak dapat kesan lagi budak tu belajar kat mana?”

“Belum lagi bos. Dua tiga minggu ni, aku tak boleh pergi mana-mana. Ada polis nampak aku kat Melaka hari tu”.

“Bodoh. Kan aku dah pesan banyak kali. Jangan cari fasal selagi kerja kau tak selesai. Kau tahu tak yang DSP.Ghazali masih cari kau sampai sekarang” Jalal meninggi suara, marah benar dia pada Pisau.

Hakikatnya DSP.Ghazali telah menutup kes itu semasa dia menjadi Inspektor dahulu. NamunJalal tahu itu kerana permintaan Tun Adib Nasir sendiri. Kerana apa dia juga tidak tahu, tapi Tun Adib Nasir pasti ada agenda tersendiri.

Setelah lama barulah Jalal tahu Tun Adib Nasir masih berhubungan dengan DSP.Ghazali dan hal itu memberitahunya bahawa Tun Adib Nasir dan DSP.Ghazali masih memburu Pisau yang menjadi suspek utama kes.

“Sorry bos. Aku janji kali ni aku buat betul-betul”.

“Kau dengar apa aku cakap. Universiti kat KL ni tak de lah banyak mana. Kau kena cari budak tu sampai dapat!” Jalal mematikan panggilan.

Sudah beberapa bulan berlalu namun Adibah tetap tidak ditemukan. Bagaimana kalau nantinya ternyata Tun Adib Nasir yang menemuinya dahulu? Jalal resah sendiri memikirkan kemungkinan itu.

##########

“Adik dah tidur?” Dian menyoal Hannan yang melangkah keluar dari bilik tidur Syaqiqah.

Hannan mengangguk dan duduk di sisi Dian yang sedang menonton drama slot ‘Samarinda’ yang sedang bersiaran. “Akak”.

“Ya?” Dian menjawab namun pandangan masih terarah pada kaca televisyen.

“Ibu nak tanya ni”.

“Tanyalah”.

“Siapa lelaki yang kacau adik tu?”

“Ha?” seluruh tubuh Dian berpaling.

“Ada tunang orang kacau adik. Ingat ibu tak tahu?” Hannan bersuara serius.

Dian mengerutkan dahi. Berfikir. Lelaki yang kacau adiknya hanyalah Adib seorang. Tapi sejak bila pula Adib menjadi tunang orang lain, Adib itu tunang adiknya sendiri! Atau jangan-jangan.. Amy?

“Akak, ibu tanya ni..”

“Mana ada ibu..” Dian mula membuat suara, apa yang diadukan Syaqiqah agaknya.?

Hannan mencubit peha Dian. “Sejak bila pula adik tu pandai menipu?”

“Ibu.. Adib tu bukan tunang oranglah! Eh.. susahlah nak terangkan..” Dian mula merengek, membayangkan panjangnya karangan yang harus direka.

“Adib?”

Dian mengangguk. “Akak dah cakap banyak kali dengan adik, Adib tu bukan tunang orang.. adik yang tak nak percaya. Lagi pun ibu, kalaulah betul Adib tu tunang orang ingat akak nak bagi dia tackle adik? Memang taklah. Nanti, tak fasal-fasal adik kena tuduh perampas..”

“Kalau pun bukan tunang orang, kenapa bagi dia kacau adik? Adik kan kecil lagi..” Hannan membuka lebaran bebelannya. Kalau boleh di usia begini, dia mahu kedua puterinya hanya fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya pada pelajaran mereka.

Dian melepas nafas. Dian mengambil tangan Hannan dan menggenggamnya. “Ibu.. akak tahu ibu tak nak pelajaran akak atau adik terganggu. Akak dengan adik pun bukannya bercinta sakan macam orang lain. Sebenarnya bercinta pun tak ibu. Akak bagi peluang kat Adib tu untuk kenal adik, itu je.. Tapi akak dah warning awal-awal, jangan sampai adik terluka. Macam mana ibu tahu fasal Adib ni?” Dian menyuarakan rasa hairannya.

Hannan diam. Langsung teringat tangisan beria Syaqiqah dua tiga hari lepas. Apakah benar seperti yang dikatakan Dian? Tapi Hannan kenal anak sulungnya itu. Bukan mudah untuk dia membenarkan mana-mana lelaki mendekati adik kesayangannya.
Bagaimana pula lelaki bernama Adib ini boleh terlepas?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s