Demi Syaqiqah – P40

“Jadi kau tak sempatlah jumpa Iqah ni?”
“Tak”.
Harraz melepas nafasnya. Dia membawa komputer ribanya ke katil dan bersandar padanya. Saat itu sebenarnya dia sedang ber’skype’ dengan Adib. Tidak punya waktu bertemu membuatkan mereka bertemu di alam maya saja.
“Aku nak pergi Melaka esok. Jom ikut aku..” Adib mengajak.
Harraz mengerutkan dahi. “Aku? Tak naklah”.
“Tak nak jumpa Dian ke?” Adib mengusik.
Harraz melepaskan keluhan. “Kau kena clear dengan Amy patutnya. Jelas-jelas biar dia faham. Kau percayalah cakap aku, nanti dia akan kacau kau lagi..”
“Kau ni cakaplah macam Amy tu sama dengan ex-girlfriend kau yang bersepah tu..”
“Orang laki ni suka anggap perempuan ni baik, boleh handle.. konon hebat sangatlah. Tapi tak tahu yang perempuan ni, kalau dah cemburu tak ada beza dengan hantu” Harraz mula membebel, atas sebab inilah jika dia mahu putus dengan seseorang, dia akan lakukan sehabis mungkin. Dia takkan sesekali berpatah balik atau berlembut hati kerana jika tidak, sampai bila-bila pun dia takkan mendapatkan kebebasannya.
Adib ketawa. Dia tahulah temannya ini seorang kasanova. Pandai menguruskan wanita.. Atas sebab itulah, dia jarang melihat bekas teman wanita Harraz datang membuat kacau. “Ye tahu. Tapi Amy tak macam tu.. aku yakin”.
“Up to you” Harraz mencebik.
“Aku dah tak nak buang masa. Aku jumpa Iqah, aku mengaku perasaan aku, ceritakan balik semuanya. Kalau dia tak ingat aku pun sekurangnya aku tahu apa perasaan dia kat aku” Adib memutuskan. Dia tidak mahu buang masa lagi. Dia tidak mahu lagi menyia-menyiakan tenaganya. Dia hanya mahu mereka kembali seperti suatu masa dahulu.

########

Nafas dilepas perlahan melihat pemandangan dari luar tingkap rumahnya. Angin yang berderu memasuki biliknya membuatkan rambutnya yang dilepas itu berterbangan.
‘ Saya bukan nak halang kebahagiaan awak, tapi saya minta awak jangan halang kebahagiaan saya.. tak senang untuk saya dapatkan hati Adib. ‘ Nafas dilepas lagi. Perlahan air matanya menitis lagi.
Syaqiqah mengamuk sendiri. Sejak bila pula dia jadi mengada begini? Sana sini menangis, sikit-sikit meleleh.. pipinya ditampar sekuat hati. Geram benar dengan diri sendiri.
Kalau betullah dah ada Amy, kenapa sibuk dengan Iqah lagi? Kenapa awak buat Iqah macam ni? Jahat betul! Dan air mata menitis lagi. Dan kaki menghentak lantai kayu biliknya.
“Adik”.
Syaqiqah menoleh. Memandang ibu yang tersenyum di pintu. -Ya?
“Ada orang cari”.
Syaqiqah mengerutkan dahi. -Siapa?
Hannan mengangkat bahu. Syaqiqah mencapai tudung yang terletak kemas di ampai dan menyarungnya. -Akak?
“Dia pergi kedai beli minyak jap. Minyak habis, ibu nak goreng ikan pun tak boleh”.
Syaqiqah mengangguk memahami. Dia melangkah bersama ibu ke hadapan. Namun Hannan hanya menunggu di pintu. Syaqiqah menuruni tangga dan melangkah ke arah pagar.
Langkahnya terhenti saat melihat Chevrolet Camaro yang terletak di luar pagar. Pandangannya ditajamkan, tiada pemandu. Nafas dilepas kelegaan dan dia terus bersembunyi di balik kereta milik Hannan yang terletak kemas.
Nafasnya mula turun naik menahan debaran. Bagaimana ni? Dia masih belum mahu menemui lelaki itu. Ya Allah.. Syaqiqah menggenggam erat jari jemarinya.
Apa yang harus dilakukan? Syaqiqah membongkok dan melangkah menuju tangga. Perlahan satu dua tiga… Dan dia mendengar bunyi motosikal. Akak dah balik!

#########

Motosikal yang dipandu berhenti di sisi Chevrolet Camaro yang berada di hadapan pagar rumahnya. “Bukan kereta Adib ke?” dia menyoal dirinya sendiri.
Nafas dilepas. No plat kereta dilihat. Sah ia memang kereta Adib. Tapi ke mana pula orangnya? “Mana orangnya?”
“Dian ke?”
Dian menoleh ke belakang. Terlihat Adib yang melangkah ke arahnya. “Macam mana kau boleh muncul ni?”
Adib menguntum senyum. “Naik kereta Cik Dian. Nampak ranggi kau bawa motor ea. Ni kalau Harraz nampak..” Adib sengih sendiri.
Dian membulatkan mata, menyatakan dia tidak mahu nama itu disebut. “Dah berapa lama kau kat sini? Tak de orang jemput kau masuk ke?”
“Aku yang tak nak masuk.. tadi mak kau jemput dah.. Mana Iqah? Sementara aku tunggu tadi aku jalan-jalan jap.. tengok kampung kau ni”.
Dian mencebik. “Padan muka, Iqah merajuk lagi tu. Dia mesti tak nak jumpa kau. Tu yang kau terbiar kat luar ni..”
“Dia ni, kat sini pun boleh buat mulut longkang lagi” Adib membuat gaya mahu mencampak telefon pintarnya. Dan dia memandang Dian. “Kau cakap Iqah merajuk tadi?”
Dian mengangguk. “Iqah cakap kat ibu ada laki orang kacau dia.. Oooppss.. salah. Tunang orang” Dian ketawa terkekek. Seronok melihat Adib susah hati begini.
Adib mengerutkan dahi. “Tunang siapa? Kan dia tunang aku?”
“Dahlah. Masuk dulu…” Dian turun dari motosikalnya dan membuka pintu pagar. “Kereta tu parking dalam. Tak fasal-fasal kereta mahal kau tu calar-balar nanti..”
Dian melangkah menuju ke tangga. Senyum diukir saat terlihat adiknya yang sedang bersembunyi. “Adib” Dian memandang Adib yang mengekor di belakangnya.
“Apa?”
“Kau lama ke kat sini?”
“Sampai aku settle dengan Iqahlah. Aku tak sukalah macam ni”.
“Adibah kau nak campak mana?” sengaja Dian menggunakan kata ganti nama lain, agaknya adik kesayangan seorang itu menunjukkan reaksi cemburu atau tidak? Tanpa dia sendiri ketahui bahawa Syaqiqah sudah pun tahu soal Adibah yang telah ‘tiada’.
Adib mencebik. “Kan Dibah aku ada kat sini.. kau dah kenapa? Nak bagi aku masuk ke tak ni?”
“Pergilah naik. Aku masuk kut pintu belakanglah. Nak bagi minyak ni kat ibu. Kau tunggulah kejap”.
Adib mengangguk. Dilihat Dian yang berdiri tegak di sisi kereta itu dari tadi. Mengapa dia menjadi model kereta di situ? Lantaklah..
“Jap. Kau tidur mana?”
“Aku sewa hotel kat bandar tu. Kau nak jemput aku tidur sini ke?”
“Kalau rasa Iqah bagi, silakan cik abang.. Aku dah cucuk adik aku tau, gerenti susah kau nak pujuk dia” Dian menjelir lidah.
Adib malas melayan. Di sini, Dian lebih terbuka sikapnya. Juga lebih lasak dan lebih nakal. Ya, kerana ini adalah tempatnya, kebiasaannya. Kalau ada Harraz, pasti Dian ayu habis bak di universiti.
Dian memandang Syaqiqah setelah pasti Adib sudah naik. “Apa ni?”
-Dia datang cari adik ke? Syaqiqah menyoal sambil kedua beradik itu melangkah ke pintu belakang.
Dian ketawa kecil. Dia mengaku awalnya dia marah saat mengetahui Adib yang menjadi penyebab Syaqiqah menangis. Tapi kini, dia terasa ‘comel’ pula. Entah apa yang comel, dia sendiri tidak tahu. Dia mahu melihat bagaimana Adib berjaya memujuk adiknya seorang ini. “Taklah.. dia cari akak”.
-Eleh.. ibu dah cakap tadi, dia cari adik. Syaqiqah mencebik sambil memandang Hannan yang menyambut huluran Dian.
Hannan senyum melihat kedua anaknya. “Siapa yang datang tu akak?”
“Kalau ibu nak tahu, itulah Adib Mubarak. Pujaan hati adik ni..” Dian mengejek sambil tangan ligat membancuh air untuk dihidangkan.
Hannan membulatkan mata. “Dia datang Melaka dari KL tu?”
“Ya, ibu. Kan akak dah cakap, dia memang serius dengan adik. Adik ni ha.. poyo sangat. Akak dah cakap banyak kali dia bukan tunang orang, tak nak percaya!”
Syaqiqah menarik kerusi di meja makan. -Akak tahu, bukan nak bagitahu..
Hannan ketawa kecil sambil mengecilkan api dapurnya dan mengambil tempat di hadapan Syaqiqah.. “Entah-entah dah ada rancangan nak ambil adik jadi isteri”.
“Memang pun. Dia pun tak nak bercinta, nak tunang lepas tu nikah terus. Biar tahun akhir adik belajar nanti, dah jadi mak boyot” Dian makin galak mengusik adiknya.
Syaqiqah mengetuk meja makan. Geram benar dengan usikan kakaknya. -Ibu, akak tu cemburu dengan orang.
“Ye… percayalah ibu. Orang tu datang nak pujuk dia, hantar ni” Dian meletakkan dulang yang telah terisi dengan air, gelas dan makanan ringan di hadapan Syaqiqah.
Syaqiqah menggeleng. Dian melepas nafas. Hannan dipandang. “Ibu.. nasihat sikit anak manja ibu ni boleh..?”
Hannan memandang Dian, dan kemudian Syaqiqah. “Pergilah hantar, dik. Ibu bukan sokong akak, bukan sokong adik. Tapi dia datang dari jauh cari adik, nak tak nak adik kena jumpa juga..”
-Tapi ibu..
“Ingat apa arwah abah cakap. Kalau kita boleh tolong orang, kita kena tolong. Hari ni hari dia, mungkin esok hari kita” Hannan menjongket keningnya.
Syaqiqah mengerutkan dahi. -Apa kaitan?
“Kaitannya adalah.. tolong jangan buatkan kedatangan dia ke Melaka ni sia-sia. Dahlah, ibu nak masak ni. Jemput dia makan tengah hari kat rumah..” Hannan langsung saja bangun dari kerusi dan memulakan kerjanya.
Syaqiqah memandang Dian, kali ini mempamerkan wajah yang bersungguh tidak mahu. Syaqiqah tidak mahu menjadi penghancur kebahagiaan Amy. Meskipun Adib bukan tunangan Amy, tapi Amy sudah menganggapnya seperti itu. Syaqiqah tidak mahu ada yang terluka kerananya.
Dian melepas nafas. “Adik..” tangan itu dicapai dan digenggam. “Adik pun tahu, akak bukan nak usik atau nak buat adik marah. Adik pergi jumpa, selesaikan salah faham.. nak jadi macam akak? Sakit tau. Sakit sangat…”
Syaqiqah melepas nafas. Akhirnya dia mengalah. Tidak mahu dia menjadi seperti Dian yang asyik menangis sendirian. Dulang ditatang, nafas ditarik sedalamnya sebelum dia melangkah keluar.

#########

Adib ketawa kecil melihat dua ekor burung yang berterbangan seperti sedang berkejaran. Dia menangkap bunyi tapak kaki yang melangkah, pasti Dian. “Cantik juga kawasan kampung kau ni kan?” Adib menoleh.
-Jemput minum.. Syaqiqah memandang Adib yang tiba-tiba kaku.
“Iqah ada rumah?” Adib mengerutkan dahi, fikirnya Syaqiqah tiada di rumah kerana tidak muncul semasa dia meminta ibu mereka memanggilnya.
Syaqiqah menganggukkan kepalanya. Dia masuk ke bilik dan mengambil pen dan buku notanya. Di sini, telefon pintarnya langsung tidak diguna. Hanya sesekali dia melihatnya.
Dia mengambil tempat di hadapan Adib dan mula menulis sesuatu. -Kenapa awak datang?
Adib melepas nafas. “Saya rasa ada benda tak kena”.
Syaqiqah diam. Wajah Adib dipandang. Nafas ditarik dalam. -Awak nak cakap apa, awak cakaplah.
“Kita tengah ada masalah ke?”
Syaqiqah menggeleng.
“Saya rasa.. tak bukan rasa. Ini memang hakikat. Iqah mengelak dari saya kan? Kenapa? Sebab apa? Saya ada sakitkan hati Iqah? Atau.. Iqah marah sebab saya tak ikut Abang Adam ambil Iqah hari tu? Tapi tak logik Iqah merajuk sebab tu. Saya.. boleh saya tahu kenapa Iqah mengelak dari saya?”
Syaqiqah menggeleng lagi.
“Boleh awak cakap apa masalah kita?”
Gelengan diberikan lagi. Syaqiqah mengeraskan hati. Dia tidak mahu Amy terluka lagi. Tidak pantas gadis seperti dia melukakan hati gadis mulia seperti Amy. Dia menulis sesuatu atas buku notanya.
Adib melepas nafas melihat Syaqiqah berlalu masuk ke dapur. Sah, Syaqiqah merajuk dengannya. Tapi kenapa? Buku nota yang ditinggalkan Syaqiqah dipandang. “Tolong makan tengah hari kat sini. Ibu jemput, lepas tu tolong balik dan jangan datang lagi?”
Adib menggaru kepala yang tidak gatal. Adibah, apa salah abang sebenarnya ni?

##########

“Adib orang mana?”
“Memang anak jati KL mak cik. Lahir kat KL, membesar pun kat KL” Adib tersenyum sambil mencedok sayur masak lemak yang terhidang.
Hannan tersenyum. “Mak ayah?”
“Sama juga mak cik, dua-dua anak jati KL”.
Hannan mengangguk. “Dah kerja?”
Adib menggeleng. Sekilas dia mencuri pandang ke arah Syaqiqah yang duduk di sebelah Dian. Gadis itu tunduk memandang pinggan dan proses makannya begitu laju. Pasti mahu segera bangun dari meja makan. “Belum lagi mak cik. Tengah tunggu konvo”.
Hannan tersenyum. Benarlah kata Dian, anak orang berada rupanya. Selalunya sementara menunggu majlis konvokesyen, mereka akan menjadi pelatih di mana-mana syarikat mengikut bidang yang diambil.
Syaqiqah bangun dari duduknya. -Adik dah habis makan. Ibu sembanglah.. adik tak nak.
“Dah habis makan ke?” Dian sengaja menyoal. Mata menjeling-jeling ke arah Adib yang turut memandang.
-Akak! Syaqiqah langsung saja mengangkat pinggannya dan menuju ke sinki. Selesai membasuh pinggan, langkah diatur laju ke bilik tidurnya.
Hannan tersenyum melihay karenah anak bongsunya. “Adib memang datang cari Iqah ye?”
Adib batuk. Terkejut dengan pertanyaan yang diberikan Hannan. Fahamlah dia dari mana Dian mewarisi sikap terus terangnya. “Ya”.
“Aku dah cakap dia marah kau, tak nak percaya!” Dian mencebik sambil melicinkan pinggannya.
“Mak cik minta maaflah fasal Iqah dengan Dian. Budak dua orang ni memang tak pandai jaga tetamu..”
“Ibu, ni kawan Dian… Tapi aku suka tengok Iqah merajuk dengan kau” Dian sengih.
“Dahlah. Sembang dua orang. Pening ibu dengan budak zaman sekarang.. macam-macam” Hannan bangun dari meja. Dian, Dian..
Adib ketawa kecil melihat betapa rapatnya Dian dengan ibunya. Seperti kawan, agaknya ibunya berkahwin muda. “Macam mana aku nak pujuk Iqah?”
“Lepas ni kau balik, kau fikir apa yang jadi sebenarnya. Aku tak tahu kenapa dia marah. Yang aku tahu kalau bukan sebab orang lain, dia takkan marah. Maknanya dah ada orang masuk campur dalam operasi kau nak tackle Iqah..”
Adib terdiam. Ada yang masuk campur? Siapa?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s