Demi Syaqiqah – P41

Langsir merah bercorak bunga kuning itu diselak. Nafas dilepas melihat anaknya termenung memandang ke luar tingkap. Mahu ketawa pun ada. Adik, adik.. kalau jumpa empat mata, bincang serius-serius kan dah selesai.
“Adik” Hannan memanggil.
Syaqiqah memandang. Langsir tingkap yang dipegang dilepaskan. Dian menguntum senyum pada ibu yang melangkah masuk. -Dia dah balik?
“Ada kat luar tu. Akak tengah halau. Dah empat hari dia datang rumah lepas tu kena halau macam ni. Adik memang tak nak jumpa dia ke? Tak nak selesaikan salah faham ni?”
Syaqiqah mendiamkan diri. Dia sendiri letih dengan sikapnya yang melarikan diri saat ini. Tapi apa boleh buat? Dia bimbang jika dia bertemu Adib, dia akan lembut hati. Dia hanya tidak mahu ada yang terluka, cuma itu.
“Macam mana? Memang tak nak jumpa?”
-Ibu…
“Akak tu tak suka adik termenung macam ni. Sebab tu dia layankan Adib, supaya Adib tak bosan datang lagi. Adik nak minta Adib duduk Melaka ni berapa lama?” Hannan menjongket keningnya, bahu Syaqiqah dipaut.
-Adik tak nak jadi perampas..
“Adib mengaku dengan ibu sendiri, dia tak ada tunang. Kekasih pun tak ada”.
Syaqiqah mengangguk. -Adik tahu. Tapi dia ada seorang perempuan yang sayang dia sepenuh hati. Adik tak nak lukakan hati dia. Adik pun perempuan, adik tahu macam mana sakit tu ibu…
Hannan melepas nafas. Dian baru memberitahunya tentang Amy malam tadi. Syaqiqah anak ibu… Hannan tidak mampu berkata apa-apa lagi. Hanya mampu memeluk Syaqiqah erat.

##########

“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Mommy apa khabar?”

“Alhamdulillah sihat. Adib bila nak balik? Lama mommy tunggu..” Tun Maryamul Azra tersenyum bercakap melalui telefon rumahnya.
“Mommy sunyi ye.. daddy busy”.
Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Ada Cik Zah temankan mommy. Enon ada, Anum ada.. mommy tak sunyi tapi rindu anak mommy. Semalam Amy pun datang temankan mommy. Seharian lagi…”
Adib mengerutkan dahi. “Amy datang?”
“Ya, sayang mommy. Dia tanya Adib pergi mana. Mommy cakap Adib ada hal kat selatan macam yang Adib suruh”.
Adib melepas nafas lega. Mujur mommy selalu saja membantunya. “Terima kasih mommy”.
“Adib buat apa kat Melaka lama-lama?”
“Sekarang tak boleh cakap lagi mommy. Tapi bila dah selesai, Adib janji Adib cerita kat mommy dari A sampai Z”.
“Baguslah tu. Oklah, mommy nak keluar ni. Adib jaga diri elok-elok”.
“Assalamualaikum”. Adib mematikan panggilan setelah Tun Maryamul Azra menjawab salamnya. Dia tersenyum sendiri saat memandang wajah mommy dan daddy yang menghiasi latar belakang skrin telefon pintarnya.
Dan senyum Adib bertambah lebar saat teringat rancangan yang diatur Dian.

Terima kasih Dian!

########

“Adik, jom pergi bandar jap”.
Syaqiqah yang sedang mengemas meja makan memandang Dian. Bertambah kerutan di dahi melihat Dian yang telah lengkap berpakaian kemas. -Nak buat apa?
“Pergilah temankan akak tu..” Hannan yang sedang membasuh pinggan di sinki menyampuk.
Syaqiqah langsung memandang. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu. -Ada apa-apa ke?”
Dian melepas nafas. “Ada apa-apanya? Akak nak beli buku, adik nak suruh akak cari dekat kampung ni ke? Kat mana? Kedai buku hujung kampung tu?”
Syaqiqah melepas nafas. Mana ada buku yang ingin dicari kakaknya di kedai buku hujung kampung itu. -Adik malaslah nak keluar…
Hannan menggelengkan kepala saat Syaqiqah melangkah ke sinki dengan kain buruk di tangannya. “Temankanlah akak tu.. Ibu nak kena pergi sekolah ni, ada mesyuarat PIBG”.
Syaqiqah melepas nafas. Dian dipandang. -Yelah, adik pergi siap kejap.

###########

“Hari tu beria sangat cakap nak terus teranglah, apalah.. alih-alih dah seminggu kau kat sana… tak settle lagi?” Harraz menyoal sambil menjamah makanan ringan yang terhidang di hadapannya.
“Kau ni.. kan aku dah cakap. Iqah tu aku jumpa masa hari pertama je, itu pun aku cakap dia tak jawab. Entah-entah dengar pun tak. Manalah aku ada peluang nak luahkan semua benda. Lepas tu, aku jumpa Dian kau je. Ini pun, nasib baik dia nak tolong aku. Kalau tak entah-entah dua bulan aku kat sini” Adib membebel, menerangkan duduk perkara sebenar terhadap Harraz.
Harraz ketawa kecil. Ana yang tiba-tiba datang menyertainya menonton televisyen dipandang. “Bukan susah pun. Sebenarnya waktu kau jumpa dia tu, kau jerit je ‘Saya sayang awak!’ Confirm lepas tu dia dengar ayat kau sebiji-sebiji. Barulah senang nak buka isi hati kau tu…” Harraz membebel kembali sambil mengusap kepala Ana yang bersandar padanya, nampaknya adik manja kesayangan sudah kembali normal.
“Bernas idea kau. Kenapa aku tak pernah terfikir pun? Patutnya kau cakap awal-awal.. tapi tak apa. Boleh guna lagi cara kau ni” Adib sudah tersengih sendiri di dalam kereta.
“Dia.. apa khabar?”
Adib diam seketika. Dian ya? “Sihat, macam biasa. Tapi dia dekat kampung ni, lain sikit. Aktif sangat. Lasak sikitlah dari kat U.. macam yang aku cakap, tempat dia kan?”
“Baguslah tu. Dahlah, kau pergi cek. Entah-entah dah sampai”.
“Ok, thank you Raz”.
“All the best, good luck. Assalamualaikum” Harraz mengucap.

“Waalaikumussalam” Adib tersenyum.

Harraz sudah pandai memberi salam dan menjawab salam. Kalaulah Dian melihatnya saat ini, betapa temannya itu cuba menjadi lelaki yang lebih baik.. Adib yakin hati Dian tidaklah sekeras mana.
Keluar dari kereta mewahnya, Adib menguntum senyum melihat Dian bersama Syaqiqah yang sudah menanti di jalan seberang. Nafas dilepas, misi memujuk bermula.

##########

Melihat Chevrolet Camaro yang terparkir elok di jalan seberang sudah membuatkan wajahnya cemberut. Wajah manis Dian dipandang. -Apa ni akak?
Dian membulatkan mata. “Adik tak nak jumpa dia, terpaksalah…”
Syaqiqah mendengus. Baru saja ingin membuka langkah, tangannya lebih dulu disambar Dian.
“Jangan lari, akak tak kira.. Macam mana pun, tetap kena jumpa. Selesaikan benda serabut ni..” Dian memberi amaran.
Syaqiqah diam. Keluhan dilepaskan. Akhirnya dia tetap diam di tempatnya. Melihat Adib yang melambai pada Dian, Dian membalasnya pula.
Adib senyum memandang Syaqiqah. Dipandang kiri kanannya, jalan telah kosong. Namun tidak dia perasankan sebuah lori yang asalnya terparkir mahu masuk ke jalan raya.
Dian membebel sambil tangannya kuat menggenggam. Kalaulah dia tidak buat begini, mana mungkin salah faham antara kedua manusia ini boleh selesai.
Adib melintas sambil mengukir senyum memandang Syaqiqah. Serentak pemandu lori bertayar dua belas itu laju menekan minyak sebaik saja lorinya tegak di jalan raya. Dan sebelum Adib sempat sampai ke penghujung…
Dumm!! Tubuh Adib tercampak bila berlanggar dengan lori. Serentak dengan bunyi streeeet yang dihasilkan lori kerana menekan brek dalam kelajuan yang tinggi. Dan Adib terkulai layu di tengah jalan raya.
Pegangan Dian terlepas. Segala sendinya melonggar tiba-tiba. Otaknya bagaikan kebekuan namun tersedar saat melihat orang ramai berlari ke tengah jalan.

“Adib!” Dian berlari ke tengah jalan, meninggalkan Syaqiqah yang tiba-tiba menjadi patung.
Syaqiqah tergamam atas apa yang berlaku. Otaknya bagaikan penuh tiba-tiba. Ingatannya terbang masuk satu demi satu. Dahinya berkerut mengingat segala kisah silamnya. Kemalangan itu.. dan kemalangan ini..
“Abang..” dia bersuara perlahan.

Matanya mula berpinar. Dan pandangan Syaqiqah gelap tiba-tiba saat tubuhnya rebah di hadapan kedai buku itu.

##########

Tun Maryamul Azra keluar dati dapur saat mendengar bunyi sesuatu jatuh dari hadapan. Dia melihat Anum yang kelihatan menunduk di hadapan almari.
“Anum”.
“Maaf tun, bingkai ni terjatuh..” Anum memandang Tun Maryamul Azra yang mendekat.
Tun Maryamul Azra menguntum senyum pudar pada Anum yang cermat mengangkat bingkai gambar. Namun dia terkejut saat melihat kaca yang berterabur.
“Allah, pecah” Anum turut terkejut dengan kecuaiannya.
Tun Maryamul Azra langsung saja menunduk dan mengambil keping gambar itu. Gambar Adib bersama Adibah! Nafasnya turun naik tiba-tiba. Dia mula terasa tidak sedap hati.
“Tun” Anum memaut tubuh Tun Maryamul Azra yang kelihatan mahu rebah.
“Saya ok. Anum bersihkan kaca tu dulu..”
“Duduk dulu tun” Anum membimbing Tun Maryamul Azra ke sofa.
Nafasnya diturun naik. Menenangkan diri setenang-tenangnya. Dia pantas menoleh saat mendengar bunyi telefon rumah berdering.
Enon laju berlari mengangkat panggilan. “Assalamualaikum”.
“Ya, villa Tun Adib Nasir”.
“Hospital?”
“Baik cik. Terima kasih” Enon meletakkan gagang sambil memandang wajah majikannya. “Tun”.
“Siapa?”
“Adib kemalangan” sepatah Enon memberitahu.
Anum memandang. Tun Maryamul Azra membulat matanya. Dan dia rebah di sofa saat itu juga.
“Tun!”
“Tun! Tun!”

#########

Mesyuaratnya baru selesai. Hannan melangkah ke arah kereta dan menghidupkan enjin. Sedang enjinnya dipanaskan, dia mendengar telefon pintarnya berbunyi. Dian menghubungi? “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Ibu, akak kat hospital ni”.
“Hospital? Kenapa?” dada Hannan langsung berdetak kencang.
“Ibu tenang ea.. adik pengsan kat depan kedai tadi”.
“Ya Allah. Macam mana..?”
“Adib accident”.
Hannan terdiam. Tidak sampai separuh hari mereka di luar, sudah jadi begini?
“Ibu, ibu ada lagi?” Dian menyoal, risau ibunya membisu.
“Ada, ada. Ibu ke hospital sekarang” Hannan langsung mematikan panggilan dan bersiap untuk ke hospital. Dalam hati, tidak putus-putus dia berdoa agar Allah melindungi keduanya, baik Syaqiqah puterinya mahupun Adib.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s