Demi Syaqiqah – P42

Langsir bilik Syaqiqah ditarik agar ia terbuka. Entah mengapa, walaupun waktu sudah malam Syaqiqah masih belum sedar.
Namun doktor mengesahkan segalanya normal. Tiada tanda-tanda gadis itu mengalami koma atau sebagainya. Hanya.. mungkin dia tidak mahu bangun dari tidur kerana mahu melindungi dirinya.
Dian kurang memahami erti kata-kata doktor sebenarnya. Namun memadai ibu mengerti segalanya. Saat ini ibu sedang menunggu bersama ibu bapa Adib yang baru tiba dengan kapal terbang beberapa jam lalu.
Dian memandang ke luar tingkap yang gelap gelita. Hanya dilimpahi dengan cahaya yang tidak berapa terang dan cerah. Nafas dilepas seketika sambil sekilas memandang pada Syaqiqah.
Kelihatannya Tun Maryamul Azra juga terkejut mendapati dia di sini. Pasti wanita itu hairan bagaimana dia boleh bersama Adib. Pun begitu, mereka masih belum sempat berbual memandangkan Tun Maryamul Azra masih merisaukan Adib yang masih juga belum keluar dari ruang operasi.
Dia sendiri tercengang melihat kemunculan Tun Adib Nasir. Setahunya lelaki itu sangat sibuk dengan kehidupan kerja dan bisnesnya. Dian tersenyum bila mengingati petikan dari satu majalah yang menulis betapa Tun Adib Nasir adalah seorang ‘family-man’.
Langsir itu ditutup tidak berapa lama kemudian. Dian mencapai gelas putih di atas meja kecil di hujung bilik. Dituang air putih ke dalamnya. Haus pula tekak.
“Akak”.
Gelas putih yang mendekat dengan bibir terlepas dari pegangan. Dian langsung memandang ke arah katil. Dia melihat wajah Syaqiqah memandangnya. Nafasnya naik turun menahan debaran. “Adik dah bangun?”
Syaqiqah mengangguk. Matanya melihat sekeliling, dia di hospital. Pakaiannya juga pakaian pesakit. Pasti jururawat yang menyalinnya. -Macam mana adik boleh masuk hospital?
Dian melepas nafas. Dia tersalah dengar, atau dia mendengar benda bukan-bukan? Selalu juga dia mendengar cerita tentang kemunculan makhluk alam lain di hospital.
“Akak”.
Dahinya berkerut. Syaqiqah memanggilnya? “Adik…”
Syaqiqah mengangguk. Dia hanya tersenyum tawar memandang kakaknya. Apakah kakaknya terkejut kerana berita itu? Tangannya yang masih lemah itu bergerak mengikut bahasa isyaratnya. -Akak ok?
“Adik.. panggil akak lagi..” Dian langsung duduk di atas katil, di sisi Syaqiqah.
Syaqiqah senyum lagi. “Akak…”
Dian menggeleng. Air matanya mengalir laju. Tiba-tiba.. Hampir enam belas tahun gadis itu tinggal bersamanya tidak pernah dia mendengar adik kesayangannya itu bersuara. Manalah dia tidak hiba begini?
Tubuh Syaqiqah dipeluk erat. “Adik dah boleh cakap.. Adik dah boleh cakap..” Dian terus menangis.
Syaqiqah senyum. Dia sudah boleh bercakap dan dia sudah ingat semuanya. Namun soal ingatannya, mengapa dia tidak terasa seperti mahu memberitahu kakak tunggalnya itu? Akhirnya air matanya turut menitis mengenangkan ‘kebodohan’nya meninggalkan arwah abi dan umi di dalam kereta sewaktu itu.
“Adik boleh cakap benda lain?” Dian melepaskan pelukan, menyoal mendapatkan kepastian.
Syaqiqah menggeleng. -Perlahan-lahan..
Dian mengangguk. “Tak pe. Tak lancar pun tak pe. Panggil pun dah cukup. Akak nak bagitahu ibu..” Dian bangun dari katil dan mengambil telefon pintarnya di dalam beg galasnya.
Terpandangkan kaca yang bersepah di lantai, Dian tergelak sendiri. Lupa pula dia kerana terlalu teruja mendengar suara adik kesayangan.

#########

Hannan memandang empat orang manusia yang bersamanya di ruang menunggu. Langsung dia tidak menyangka rupanya Adib yang memikat anaknya itu adalah anak tunggal Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra.
Dipandang Tun Adib Nasir yang duduk di kerusi dengan Tun Maryamul Azra yang bersandar dalam pelukannya. Juga seorang lelaki tua yang merupakan pemandu mereka menurut seorang lagi wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Enon, pengasuh Adib dari kecil.
Telefon pintarnya bergetar menandakan ada panggilan masuk. Nombor Dian tertera pada skrin. Apakah Syaqiqah sudah sedar? “Assalamualaikum” panggilan dijawab dan salam diberikan.
“Ibu, adik dah sedar. Adik dah boleh cakap ibu…”
“Allah.. betul?”
“Ibu cepatlah datang..”
“Ya, ya” Hannan meletak panggilan dan melangkah pada Enon yang tidak jauh darinya. “Maaf, Enon. Kak Hannan ada hal, apa-apa bagitahu Kak Hannan ye..”.
Enon mengangguk dengan senyuman memandangkan mereka telah bertukar nombor telefon tadi. Hannan langsung saja bergegas menuju ke blok wad Syaqiqah ditempatkan.
“Akak” Hannan memanggil sebaik melihat Dian yang sedang menyuap Syaqiqah bubur ayam yang dimasaknya.
Dian tersenyum. Syaqiqah dipandang. “Cepat. Panggil ibu”.
Syaqiqah menguntum senyum manisnya. Kali ini senyumnya lebih segar dari tadi. Sudah makan juga minum barangkali. Maka tenaganya juga bertambah. “Ibu…” lambat-lambat Syaqiqah menuturkan, bagai anak kecil yang baru hendak belajar bercakap.
Reaksi Hannan lebih mengejutkan. Hampir saja dia rebah mendengar suara itu. Dian segera turun dari katil, menyambut tubuh Hannan.
“Ibu ok?” Dian menyoal khuatir akan ibunya.
Hannan menstabilkan diri. Anggukan diberikan buat puteri sulungnya itu. Langkahnya maju mendekat pada Syaqiqah. Tangan memegang kedua belah pipi Syaqiqah dengan air mata pada wajah keduanya. “Adik…”
“Ibu..” ucap Syaqiqah perlahan.
Air mata Hannan merembes keluar. Sedikit pun dia tidak menyangka Syaqiqah boleh sembuh dari penyakit bisunya. Tubuh itu dipeluk erat, seerat yang mungkin. Setinggi kesyukuran buat Ilahi dipanjatkan dalam hati.

##########

Syaqiqah diam di kerusi roda yang ditolak Dian. Dian bertegas mahu membawanya ke bilik yang menempatkan Adib sebelum dia keluar hospital. Kata kakak kesayangannya itu, Adib sudah stabil namun masih belum sedar dari komanya.
“Adik ok?” Dian menyoal, menyentuh bahu Syaqiqah.
Syaqiqah hanya mengangguk tanpa walau segaris senyuman. Otaknya bagai kosong seketika. Walhal tadinya banyak hal yang difikirkan. Itu, ini dan itu, ini.
Dian menolak daun pintu bilik Adib dan menolak Syaqiqah masuk ke dalam. Dian menguntum senyum pada Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra yang berada di dalamnya. Lupa pula, dia masih belum bertegur sapa dengan mereka berdua.
“Assalamualaikum aunty, uncle” Dian menyalami Tun Maryamul Azra dan mengenalkan adiknya pada kedua warga itu. Sekadar berbasa basi pada Dian, walhal dia tahu pastinya kedua ibu bapa Adib itu mengenali Adibah Syaqiqah kesayangan mereka. Tapi mereka tidak tahu bahawa dia tahu soal itu.
Terketar-ketar Syaqiqah menghulur tangan pada Tun Maryamul Azra yang memandangnya penuh syahdu. Saat tangan mereka bersalaman, langsung saja wanita itu bangkit dari duduk dan menunduk memeluknya. Belakangnya diusap penuh kasih.
“Dibah.. anak mommy” Tun Maryamul Azra berbisik perlahan. Matanya terpejam rapat menyembunyikan air mata yang mula bertakung, bimbang dia dipandang hairan oleh Dian.
Syaqiqah beku di dalam pelukan. Sungguh dia rindukan mommy. Mommy yang dia tahu, sayangnya pada Syaqiqah saling tak tumpah seperti sayangnya umi pada dirinya.
“Yam” Tun Adib Nasir menegur. Tangan isteri ditarik perlahan, bukan dia tidak perasankan pandangan Dian yang agak.. apa ya? Entahlah.
Tun Maryamul Azra melepaskan pelukannya. Dia langsung mengalih wajah, tidak mahu Syaqiqah terperasankan air matanya. Beg tangan dicapai dan dia memandang sang suami.
“Dian dengan Iqah, berbuallah dengan Adib. Doktor kata dia boleh dengar tu. Uncle dengan aunty nak pergi kantin” Tun Adib Nasir menguntum senyum pada Dian yang tegak berdiri tidak jauh dari adiknya.
Dian mengangguk dan menghantar pasangan itu dengan pandangannya. Dian langsung menolak kerusi roda Syaqiqah dekat ke katil. Sekilas dia terperasankan sebuah bilik rehat kecil di dalam bilik itu, mewah benar bilik ini.
Syaqiqah memandang Dian. -Akak..
“Ya sayang?”
-Aunty tu pelik kan? Syaqiqah menyoal, bimbang kakaknya curiga jika dia tidak menyoal apa-apa.
Dian senyum sekilas. Sekadar anggukan sudah lebih mencukupi buat adik kesayangannya. Dian faham akan sikap adiknya yang tidak suka menyibuk hal orang lain itu.
Syaqiqah memandang Adib yang terbaring di katil. Bantuan oksigen pernafasan masih lagi terpasang walaupun lelaki itu sudah stabil. Mungkin kerana doktor bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan.
“Dib, bangunlah. Aku bawa Iqah ni” Dian memandang Adib dan Syaqiqah silih berganti. “Adik tak nak cakap apa-apa?”
Syaqiqah menggeleng dengan senyuman. Terlalu banyak yang ingin dibicarakan pada lelaki itu sebenarnya. Tapi biarlah ia tersimpan, menjadi rahsia hatinya.
Dian melepas nafas. “Kau jangan tidur lama-lama, nanti ada orang kebas adik aku.. Melepaslah..”
Syaqiqah ketawa kecil. Abang, bangunlah.. Dibah dah ingat semuanya. Dia menguntum senyum memandang Adib.
Dian memegang perut yang tiba-tiba terasa tidak selesa. Dia lupa untuk menuam perutnya sebelum datang pagi tadi. Ini semua kerana ibu yang tergesa-gesa menghubunginya kerana bimbang terlewat ke sekolah. Walhal apalah sangat jika Syaqiqah yang sudah besar panjang itu ditinggalkan seminit dua.
Memang beginilah keadaan perutnya tiap kali uzur. Nampaknya dia harus ke kantin mencari air panas. “Adik” Syaqiqah dipanggil.
Syaqiqah memandang dengan kerutan dahi. -Ya?
“Akak nak cari air panas. Akak tinggal adik kejap boleh?”
Syaqiqah mengangguk. Tuhan mendengar doanya. Allah memakbulkan doanya. Dia memang perlu suasana yang lebih privasi.
Dian menguntum senyum dan melangkah keluar. Kaki melangkah laju menuju ke arah lif. Perutnya makin tidak selesa pula. Dahi berkerut menahan kesakitan.
Dian tidak jadi melangkah masuk saat terpandang dua wajah di hadapannya. Amy dan Harraz! Mereka berdua melangkah keluar dari lif dan pintu tertutup. Dian masih membeku.
“Hai” Amy menyapa. Dia tahu Dian orang Melaka, datang melawat barangkali. Cuma dia tidak pasti apakah adik Dian datang melawat bersama?
Harraz menunduk setelah matanya lama menatap wajah gadis yang dicintainya itu. Rupanya sudah lama mereka tidak bertemu empat mata begini. Bagaimanalah boleh terserempak saat ini pula?
Dian tersenyum.”Assalamualaikum” dia menyapa selayaknya seorang muslimah.
Amy menjawab salam dengan senyuman, dan Harraz ketawa kecil. Dian tetaplah seorang Dian. Mereka baru tiba dari Kuala Lumpur sebenarnya. Dia merencana mahu datang sendirian namun Amy menghubunginya kerana tidak dapat menghubungi Adib. Rupanya Tun Maryamul Azra tidak sempat memaklumkan kecelakaan yang menimpa Adib kepada Amy. Langsung saja dia menawarkan ke Melaka bersama, dia tahu pasti Amy separuh mati membimbangi keadaan lelaki yang dicintainya.
“Datang melawat Adib ke?” ramah Amy bertanya.
Dian menguntum senyum. Anggukan diberikan. “Adib tak sedar lagi. Saya nak pergi kantin”.
Amy mengangguk dan memandang Harraz. Mahu mengajak lelaki itu bersama.
“You pergi dulu. Nanti I datang” Harraz memandang. Amy mengangguk dan meninggalkan mereka berdua. Jadi benarlah Harraz ada hati dengan gadis bernama Dian ini. Rupanya sangkaan Emily adalah benar.
Dian mengangkat wajah. Memberanikan diri menatap mata itu. Ada apa-apa yang mahu disampaikan? Sesaat, dua saat.. Harraz tetap berdiam diri. Akhirnya Dian melarikan pandangannya.
Harraz masih mendiamkan diri. Dia mahu berbicara. Terlalu mahu menanya itu dan ini. Tapi mengapa suaranya tidak terkeluar? Hanya debaran di dada yang bergoncang hebat dek berhadapan dengan gadis ini.
Dian melepas nafas. Dia memang sudah lama pasrah akan ceritanya dengan Harraz. Andai berjodoh, maka adalah jodohnya. Jika tiada, apa boleh dilakukan? Dia juga malas mahu menyerabutkan kepala dengan cereka dongengan begini. Langkah kaki dibuka, mahu beredar. Untuk apa dia terus berada di situ jika mereka sama-sama tiada apa untuk diperkatakan?
“You sihat?”
Langkah kaki Dian mati. Sekali lagi, pintu lif yang sudah pun terbuka tertutup semula. Pun begitu, dia tidak menoleh. Tidak walau menjeling ke belakang. “Alhamdulillah” jawab Dian beberapa detik kemudian. Dan punat lif ditekan lagi. Sebaik pintu terbuka, Dian langsung melangkah masuk. Tidak menanti lebih lama.
Harraz berpaling. Matanya memandang tepat anak mata Dian. Dan perlahan pintu lif tertutup, menjadi penghalang. Dan keduanya sama-sama melepaskan sebuah keluhan berat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s