Demi Syaqiqah – P43

Sebaik kakaknya hilang dari bilik itu, Syaqiqah langsung bangun dari kerusi roda. Perlahan kakinya melangkah mendekati katil pesakit.

 

Air matanya merembes keluar. “Abang…” perlahan dan lambat dia menuturkan. Tubuhnya mula terhinjut-hinjut akibat menahan tangis. Dia masih belum lancar menuturkan segalanya melalui bibir. Semoga Adib dapat mendengar suara hatinya.

 

Dibah dah ingat, abang bangunlah. Dibah minta maaf sebab lupakan abang, lupa mommy, lupa daddy.. Dibah minta maaf, abang.

 

Suara rengekan mula keluar darinya. Tidak berbutir, hanya kedengaran seperti tangisan anak kecil yang merengek mahu tidur. Kali ini Syaqiqah menangis semahunya. Melepaskan semua beban yang tertanggung di bahu.

 

Bunyi pintu terbuka menyedarkan Syaqiqah. Langsung tangisan dimatikan dan dia berlari anak duduk di kerusi roda. Siapa agaknya?

 

Wajah Amy berubah kelat bila mendapati ada seorang gadis berada di dalam bilik itu. Dia mula berdebar. Apakah benar sangkaannya? Syaqiqah?

 

“Siapa?”

 

Syaqiqah menoleh setelah pasti wajahnya sudah bersih dari air mata. Dia tersenyum nipis memandang Amy yang melangkah penuh berhati-hati. Dia memberi tunduk hormat sebagai ucapan salamnya.

 

Amy terdiam. Jadi benarlah, Syaqiqah orangnya. Tapi mengapa dia memakai baju hospital? Apakah dia pun pesakit hospital ini? Dengan kerusi rodanya.. atau jangan-jangan mereka kemalangan bersama? Dia mula bersangka-sangka.

 

Syaqiqah menolak rodanya agar dia menjauh dari katil. Bimbang Amy menyangka yang bukan-bukan pula. Silap hari bulan, Amy ber’air mata’ di sini pula.

 

“Awak pesakit hospital ni?” Amy tidak dapat membendung rasa ingin tahunya.

 

Syaqiqah mengangguk. Tapi dia tidak mahu Amy salah faham. Dia bangun berdiri, perlahan melangkah ke arah Amy. Tangan Amy dicapai dan sebuah gelengan diberikan.

 

Amy mengerutkan dahi. “Maksud awak?”

 

-Semua ni kebetulan. Syaqiqah membuat bahasa isyarat namun Amy langsung tidak mengerti. Wajahnya jelas kebingungan.

 

“Awak nak cakap semua ni kebetulan ke?” Amy meneka.

 

Syaqiqah mengangguk dan Amy tersenyum tawar. “Jangan risau. Saya tahu awak kotakan janji awak. Awak cakap awak tak berniat rampas Adib dari saya, saya percaya. Kalau tak, tak mungkin Adib ada masa keluar dengan saya hari tu”.

 

Syaqiqah menguntum senyum lega. Tinggal bersama Amy membuatkan dia jadi tidak betah pula. Lantas tangannya memusing roda kerusi, mahu beredar. Tidak mahu menjadi pengacau daun antara Amy dan Adib.

 

Amy lantas memegang pemegang kerusi roda. Menghalang Syaqiqah meninggalkan bilik itu. “Tak apalah. Awak boleh tunggu Dian sampai”.

 

Syaqiqah diam. Amy menguntum senyum. Dia tidak mahu Syaqiqah lekas meninggalkan bilik. Bukanlah dia berniat tidak baik, hanya dia mahu Syaqiqah melihat betapa dia mencintai Adib.

 

Amy mendekat pada katil. Dia duduk di kerusi yang tersedia. Tangan mencapai tangan Adib dan menggenggamnya erat. “Dib.. Amy datang” air matanya mula menitis saat dia mula berkata-kata.

 

Tangannya menyentuh pipi Adib. “Dib bangun ye.. Amy tunggu Adib ni. Adib janji nak bawa Amy pergi shopping kan?” Amy mengetap bibirnya. Bagaimanalah Adib boleh kemalangan sebegini teruk? Apa sebenarnya yang terjadi? Yang dia tahu dari Harraz, Adib dilanggar lori. Hanya itu.

 

“Adib.. bangunlah..” tangisan Amy makin menjadi. Tangannya menggenggam kembali tangan kiri Adib. “Adib… Amy tunggu Adib bawa Amy pergi beli cincin ni…”

 

Syaqiqah menelan liur. Dia tidak pasti niat sebenar Amy memintanya terus berada di situ. Tapi melihat Amy, membuatkan dia sedar.. betapa gadis itu sayangkan Adib. Betapa Adib dicintai Amy. Bukan lakonan dan bukan sandiwara, Amy benar-benar menyayangi Adib.

 

Pun begitu, hati wanitanya tetap juga terusik. Mereka mencintai lelaki yang sama. Pandangannya dialih. Tidak mahu memandang Amy. Seboleh mungkin, dia tidak mahu air matanya menitis di situ.

 

Pintu bilik terbuka. Amy dan Syaqiqah sama-sama memandang. Tun Adib Nasir melangkah masuk bersama Tun Maryamul Azra, Dian dan juga Harraz.

 

“Aunty, uncle” Amy menyapa. Dia bergegas menyalami Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra.

 

“Dah lama Amy sampai?” Tun Maryamul Azra menyoal dengan senyuman.

 

“Amy datang dengan Harraz” Amy menguntum senyum sambil memimpin Tun Maryamul Azra duduk di sisi katil Adib.

 

Tun Maryamul Azra memandang Harraz yang tersengih. “Raz tak cakap dengan aunty pun yang Raz datang dengan Amy?”

 

Harraz ketawa kecil. “Raz lupa nak kasitahu”.

 

Dian terasa janggal pula. Apatah lagi melihat wajah adiknya yang pastinya mempamerkan wajah kurang selesa. Tun Adib Nasir berada di bilik rehat, membuat kerja barangkali.

 

“Amy dah kenal adik Dian?”

 

Amy mengerutkan dahi. Tun Maryamul Azra mengenali dua beradik ini? “Aunty kenal Dian dah lama?”

 

“Hari tu Raz bawa dia datang rumah..” mesra Tun Maryamul Azra memberitahu.

 

Amy mengangguk memahami. Mujurlah, fikirnya Adib yang membawa Syaqiqah menemuinya. Panik juga. “Dah.. Amy dah berkenalan dengan Dian, dan adik Dian”.

 

“Amy ingat?” Tun Maryamul Azra memancing.

 

“Ingat apa?”

 

Tun Maryamul Azra menggeleng kemudiannya. Reaksi Amy jelas memberi pembuktian bahawa Amy tidak mengingati apa-apa. Dia sudah lupa wajah Afiqah pastinya.

 

“Aunty, Amy.. Dian nak minta diri” Dian mendekat pada Syaqiqah.

 

Tun Maryamul Azra dan Amy memandang. Tun Maryamul Azra mengangguk. “Terima kasih datang melawat”.

 

Dian mengangguk. Segera dia menolak kerusi roda Syaqiqah.

 

“Kalau Syaqiqah dah boleh keluar hospital, bagitahu aunty ye..”

 

Dian mengangguk dan langsung mendekat pada pintu. Harraz yang sedari tadi berada di pintu memandang. Sengaja tidak mahu berganjak.

 

“Assalamualaikum Iqah” Harraz menyapa.

 

-Waalaikumussalam. Syaqiqah mempamerkan senyum manisnya. Harraz sudah pandai memberi salam?

 

Dian juga terkejut namun dia bodohkan saja. Wajahnya dikekalkan tidak beriak. Pandangan teruja yang diberikan Syaqiqah tidak dibalas. Namun dalam hati, setinggi kesyukuran diucapkan.

 

“Nak keluar ke?” Harraz menyoal, memandang tepat ke arah Dian.

 

Dian mengangguk. Tidak bersuara. Harraz melepas nafas, hampa. Ajakannya mengajak Dian berbual mahupun bersuara langsung tidak mendatangkan hasil. Menyindir juga tidak mengapa asalkan dia bersuara. Namun hanya anggukan diberikan gadis itu.

 

Harraz membukakan pintu. Saat Dian melalui sisinya, dia bersuara perlahan yang hanya Dian dapat mendengarnya, ” Perasaan I pada you masih sama”.

 

########

 

“Keadaan Cik Syaqiqah ok. Dah tak ada apa-apa. Dah boleh discharge ni” wanita berkaca mata berkot putih labuh itu tersenyum membaca rekod yang diberikan jururawat.

 

“Betul doktor?” Dian menyoal teruja, tidak sabar rasanya menghubungi ibu untuk mengambil mereka. Makin tidak betah dia terus berada di hospital itu.

 

Doktor wanita yang memakai tag nama ‘Arina’ itu mengangguk. “Atau Cik Syaqiqah nak duduk kat hospital lagi?”

 

Syaqiqah laju menggeleng. -Nak balik…

 

Dr.Arina ketawa. Dia membalas dengan bahasa isyaratnya. -Silakan Cik Syaqiqah. Kalau dah balik, jangan lupa doktor kesayangan ni..

 

Dian membuat wajah teruja. Langsung tidak menyangka Dr.Arina yang cantik dan baik hati itu pandai berbahasa isyarat. “Doktor pun pandai guna bahasa isyarat?”

 

“Macam mana kalau ada pesakit bisu? Susah nak communicate, tu yang saya belajar bahasa isyarat” Dr.Arina yang jelasnya peramah itu menguntum senyumnya.

 

Dian tersenyum mendengar jawapan yang diberikan Dr.Arina. Bertuahlah badan untuk lelaki yang beristerikan wanita ini. “Doktor dah kahwin?”

 

Dr.Arina ketawa kecil. “Cik Arina. Saya minta diri ye.. nak tengok patient lain”. Dr.Arina meminta diri. Tidak selesa disoal begitu. Ingatan pada cinta pertamanya langsung menerpa dalam fikiran.

 

“Doktor, kalau keluar malam boleh? Kena tunggu ibu Dian habis kerja”.

 

Dr.Arina mengangguk. “Kalau macam tu, sebelum Cik Syaqiqah discharge nanti, saya buat pemeriksaan lagi. Manalah tahu nak kena stay kan?”

 

Dian tersenyum. Begitu juga Syaqiqah. Dan Dr.Arina keluar dari bilik itu dengan senyum manisnya. Dian mengusap pipi Syaqiqah penuh kasih. “Tak sabar nak balik kan?”

 

Syaqiqah mengangguk. Tapi jauh di sudut hati, dia merisaui. Jika dia tidak berada di hospital lagi, bolehkah dia melawat Adib lagi?”

 

########

 

Tudung bawal berwarna kuning cerah yang tersarung pada kepala Syaqiqah dibetulkan. “Dah siap adik akak seorang ni..!”

 

Dr.Arina ketawa kecil melihat layanan Dian terhadap Syaqiqah yang menganggapnya seperti anak kecil. “Cik Dian dengan Cik Syaqiqah dua beradik je ke?”

 

Dian mengangguk. Syaqiqah mengiakan. Dan tangannya bergerak menyoal sesuatu. -Kenapa doktor tanya macam tu?

 

“Saya tengok cara Cik Dian layan Cik Syaqiqah.. Macam Cik Syaqiqah ni budak enam tahun” dan Dr.Arina ketawa ikhlas.

 

Pintu yang terbuka tiba-tiba mengalih perhatian mereka bertiga. Serentak ketiga gadis manis itu berpaling.

 

“Assalamualaikum..”

 

Syaqiqah tersenyum. Dahi Dian berkerut seribu. Dr.Arina bungkam.

 

Harraz tidak jadi melangkah masuk lebih dalam. Reaksi yang diberikan tiga gadis itu membuatkan dia terasa seperti tidak diundang. ” Err..Saya mengganggu ke?”

 

“Harraz?”

 

Syaqiqah dan Dian saling berpandangan. Kemudian sama-sama memandang Dr.Arina pula. Apakah doktor wanita itu mengenali Harraz?

 

“Arin?” Harraz mendekat. Apakah wanita itu Arina Nasiruddin, yang suatu ketika dahulu pernah menghuni hatinya?

 

Dr.Arina mengangguk dengan senyuman. Baru sahaja ingatannya pada Harraz menerpa. Kini lelaki itu sudah muncul?

 

Harraz tersenyum.”Lama tak jumpa” Harraz memulakan perbualan.

 

Dr.Arina membetulkan rambutnya yang jatuh menutupi separuh wajah.”Lama tak jumpa. Awak buat apa kat sini?”

 

“Saya nak jumpa kekasih hati” Harraz memandang Dian yang sudah kelat wajahnya. Apakah gadis itu cemburukan Arina?

 

Syaqiqah memandang Dian. Sejujurnya dia tidak tahu apa perasan kakaknya ketika itu. Tapi Syaqiqah pasti wajah yang ditunjukkan Dian saat ini adalah wajah rimas dan tidak selesa. Tangan kakaknya ditarik perlahan sekaligus menyedarkan Dian dari lamunan.

 

-Akak…

 

Dr.Arina mengangguk perlahan. Tapi gadis mana yang dipandang Harraz? Siapa yang menjadi pujaan hatinya. Dian atau Syaqiqah?

 

Dian memaling wajah. Bagaimana pula dia boleh mengelamun? Wajah Syaqiqah dipandang sambil mulutnya membebel tanpa suara. Sejujurnya dia terkejut, rupanya Dr.Arina dan Harraz mengenali satu sama lain.

 

Dr.Arina ketawa menutupi rasa hati yang kecewa. Ingatannya pada cinta pertama tidak pernah padam namun ternyata lelaki itu telahpun melangkah maju kehadapan. Malah gadis yang menjadi pilihan hatinya juga bukan calang-calang orang. Dian yang cantik dan lemah lembut itu pastinya boleh menambat hati mana-mana lelaki. “Saya kenal Harraz dari sekolah rendah, dia ni budak nakal kat sekolah saya dulu”. Ucap Dr.Arina sambil tergelak.

 

Pintu terbuka lagi. Dian melepas nafas lega. Syaqiqah ketawa sekilas melihat tindakbalas kakaknya. Ibu sudah tiba!!

 

Hannan meluru masuk dan memeluk Syaqiqah. “Syukurlah adik dah boleh keluar hospital. Ibu minta maaf sayang, ibu lambat. Ada hal kat sekolah tadi”.

 

“Akak dengan adik tak marah pun. Jom balik ibu” Dian langsung mencapai beg Syaqiqah yang sudah dikemas di hujung katil.

 

Syaqiqah mencuri pandang ke arah Harraz. Wajah yang jelasnya mempamerkan rasa hampa itu menimbulkan rasa kasihannya. Baru sahaja dia ingin memberitahu ibu yang pastinya tidak perasan akan keberadaan Harraz, Dr.Arina terlebih dahulu bersuara. “Pn.Hannan”.

 

Hannan memandang dengan senyuman. “Doktor. Boleh saya ambil anak saya?”

 

“Silakan puan. Dah sihat Cik Syaqiqah tu.. Saya minta diri ye..” Dr.Arina mempersila sekaligus memohon untuk berdedar. Sekilas, dia memandang Adib dengan pandangan sayu. Seminit, dua minit.. ternyata namanya memang telab terpadam terus dari hidup lelaki bernama Tengku Harraz.

 

Hannan menguntum senyum memandang Dr.Arina yang telah pun keluar. Dia memandang lelaki muda yang berdiri tegak tidak jauh dari pintu itu. Siapa? Bagaimana dia boleh tidak perasankan kehadiran lelaki itu? “Awak ni…”

 

“Ibu, jom!” Dian menggesa. Dia langsung memaut Syaqiqah hingga adiknya itu turun dari katil. Syaqiqah menahan Dian, apakah kakaknya itu langsung tidak mahu memberi ruang buat Harraz?

 

“Akak” Hannan bersuara tegas.

 

Dian berhenti melangkah. Syaqiqah mengambil peluang itu untuk menghampiri ibunya. -Ibu, kita ada tetamu..

 

Hannan mengangguk memahami. Harraz dipandang. “Awak ni..?”

 

“Harraz, aunty. Kawan Adib”.

 

Hannan mengangguk lagi. “Panggil mak cik je.. Harraz datang sini kenapa ye?”

 

“Ibu.. jom” Dian memanggil lagi. Kali ini wajah memujuk sayu dipamerkan. Benar-benar mengharap ibunya bersimpati.

 

“Akak tunggu ibu kat kereta. Bawa adik sekali..” Hannan mengeluarkan kunci kereta dari beg tangannya.

 

“Ibu!” suara Dian sedikit meninggi, tanda membantah.

 

“Siapa Harraz ni?” Hannan menyoal Dian, tepat di hadapan wajahnya.

 

Syaqiqah terdiam. Mengapa boleh jadi begini tegang pula suasananya? Dia cuma mahu kakaknya dan Harraz punya ruang untuk berbicara. Biar selesai segala kemelut hati. Tapi kelihatannya seperti.. ibu dapat menghidu sesuatu.

 

Dian sudah membuat muka. Kerana inilah dia mengajak ibu beredar sedari tadi. Dia kenal ibunya yang jujur depan belakang dan berterus terang itu. Pasti ibu dapat menghidu sesuatu jika mereka lebih lama berada di dalam bilik itu bersama Harraz.

 

“Akak” Hannan memandang. Dan pandangan dialih pada Harraz pula. Nafas dilepas dan dia memandang Syaqiqah pula. “Adik”.

 

Syaqiqah memandang Harraz. Dia menggelengkan kepalanya. Dia sudah tidak tahu bagaimana mahu menerangkan situasi sebenar pada ibu. Akhirnya dia berundur dan duduk di katil pesakit semula.

 

“Harraz?” Hannan memandang, sememangnya sikap Dian yang bagai cacing kepanasan itu menimbulkan keraguan di hatinya. Apakah Harraz ini punya kaitan dengan Dian? Atau ia seperti Syaqiqah dan Adib?

 

Harraz terdiam. Memang Hannan amat berterus terang. Sama seperti Dian. Segalanya dilepaskan dengan satu ledakan saja. Kini dia tahu dari mana Dian mendapat sikap itu.

 

“Harraz..” Hannan memanggil bila melihat Harraz membisu.

 

“Saya sukakan anak mak cik”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s