Demi Syaqiqah – P44

Syaqiqah menyelak langsir biliknya. Memerhati ibu dan akak yang berada di ruang hadapan. Apakah ibu akan memarahi akaknya? Syaqiqah tahu ibu kurang gemar anaknya berahsia. Atas sebab inilah juga, dia sentiasa bersikap terbuka dengan ibunya.

Luahan Harraz malam tadi memang mengejutkan mereka. Lebih-lebih lagi Hannan yang langsung tidak tahu menahu. Hannan terus keluar dari bilik dan Dian serta Syaqiqah membontoti. Meninggalkan Harraz termangu sendirian. Sempat juga Dian ‘menghadiahkan’ sebuah jelingan maut buat Harraz.

Sampai rumah, Hannan langsung saja masuk ke bilik. Usai solat subuh, langsung dia menyuarakan hasrat untuk berbual dengan Dian. Dan inilah apa yang disaksikan Syaqiqah saat ini.

“Kenapa akak tak pernah bagitahu ibu?” Hannan menyoal, memulakan perbualan.

Dian membetulkan telekung yang masih tersarung. “Ibu.. akak bukan tak nak bagitahu. Tapi sebab akak dengan Harraz memang tak ada apa-apa…”

“Tak ada apa-apa? Kalau betul tak ada apa-apa, akak ingat Harraz akan mengaku depan ibu macam tu. Ibu tak ajar akak mainkan perasaan hamba Allah yang lain..”

“Ibu.. kalaupun Harraz suka akak, akak belum terima dia lagi”.

“Ibu bukan terasa akak tak bagitahu yang akak dah terima Harraz atau belum. Tapi akak tak pernah cerita dengan ibu yang akak pun kena kacau dengan orang laki. Akak cerita fasal adik, tapi akak rahsiakan hal akak. Macam tu? Kenapa? Ibu tak sayang akak ke? Ibu sayang adik seorang je? Atau akak rasa terpinggir dari ibu? Ibu tak pernah tunjuk kasih sayang ibu pada akak?” Hannan mula beremosi.

Dian melepas nafas. Dia bangun dari tempatnya dan duduk di sisi Hannan. “Ibu.. sesaat sedetik pun akak tak pernah fikir macam tu. Akak tahu ibu sayangkan akak dengan adik, tak lebih tak kurang..”

“Habis tu, kenapa tak bagitahu ibu fasal Harraz?”

“Dia lain ibu..” Dian memaut lengan ibunya.

“Lain?”

“Dia tak macam Adib. Dia sosial, sangat sosial. Masa dia mula-mula bagitahu akak yang dia suka akak, akak sendiri terkejut. Dan akak rasa, dia cuma nak mainkan perasaan akak je. Sebab tu akak jauhkan diri dari dia..” air mata Dian mula menitis. Dan dia menyambung lagi, “Dia bukan lelaki baik. Akak malu nak bagitahu ibu yang akak sukakan lelaki macam tu… akak tak nak ibu risau kalau ibu tahu, sebab akak yakin yang ibu tahu akak akan terluka dengan perasaan akak sendiri…” Dian meluahkan isi hati yang selama ini terpendam. Tubuhnya mula terhinjut-hinjut menahan esakan. Tubuh Hannan dipeluk erat.

Mendengar kata-kata Dian, Syaqiqah yang sudah pun melipat telekungnya berlari ke hadapan. -Tapi ibu, Harraz tengah cuba untuk jadi seseorang yang lebih baik. Adik nampak, akak pun nampak kan?

Hannan melepas nafasnya. “Adik pun tahu? Adik pun rahsiakan dari ibu?”

Syaqiqah duduk di sisi kanan ibunya. “Ibu… a..a..aa..”

“Adik tak perlu minta maaf. Ibu tak marah akak, ibu tak marah adik. Cuma ibu tak nak dua puteri ibu ada simpan rahsia dari ibu. Ibu nak jadi seorang ibu yang tahu semua masalah anak-anak.. Boleh?” Hannan memandang Dian dan Syaqiqah.

Syaqiqah mengangguk. Kepalanya terletak elok di bahu kanan Hannan. Dan Dian hanya mengalirkan air mata mengenangkan Harraz. Anggukan mahupun gelengan tidak diberikan.

 

##########

 

Tun Maryamul Azra menguntum senyum melihat Amy terlelap berbantalkan jemari Adib. Dia lantas bergegas mengejutkan gadis manis itu. “Amy, bangun sayang..”

Perlahan Amy terpisat-pisat bangun dari tidurnya. “Aunty, pukul berapa ni?”

“Dah pukul 10 malam. Amy tak nak balik hotel? Tak sakit badan ke tidur macam ni?” Tun Maryamul Azra menyoal sambil memandang Enon yang melangkah ke bilik rehat untuk meletakkan beg pakaian.

“Amy dah balik kejap tengah hari tadi” Amy melangkah masuk ke bilik air dan membasuh muka. Sejurus keluar, dia langsung menyoal Tun Maryamul Azra tentang keberadaan Tun Adib Nasir.

“Uncle balik KL, ada hal nak settlekan. Mungkin lagi dua tiga hari dia datang balik kalau tak ada kerja”.

Amy mengangguk memahami. Dia menjeling pada Adib yang masih terbaring. Alat bantuan pernafasan sudah tidak lagi digunakan. Kata doktor, mereka hanya boleh menanti Adib sedar. Bila? Semua pun tidak mengetahuinya.

“Amy tak nak balik KL? Mama dengan papa tak risau Amy kat Melaka ni lama sangat?”

Amy tersenyum. “Amy dah bagitahu. Yang Amy kalau boleh nak stay sampai Adib sedar…” tangan Adib dipaut dan digenggam erat.

Tun Maryamul Azra melepas nafas. Dia bersyukur Adib punya seseorang yang menyayanginya sebegini rupa. Tapi muncul rasa kasihan sebaik teringatkan Adibah. Bagaimana nasib Amy jika hal Adibah terbongkar? Dia juga yakin pastinya Adib akan memilih Adibah, jika tidak mengapa dia bergagah mencari Adibah dari dulu?

Dian dan Syaqiqah sudah tidak muncul setelah keluar dari hospital. Separuh mati Tun Maryamul Azra mahu ke rumah mereka, namun rasional menghalang dirinya. Apa pula sangkaan gadis itu jika dia tiba-tiba muncul? Lagipun menurut Adib, dia dan Syaqiqah masih belum punya hubungan apa-apa. Malah dengan Dian pun, Adib kurang rapat.

“Amy…” Tun Maryamul Azra menghampiri Amy. Tangan gadis itu dicapai. “Amy.. aunty ucapkan terima kasih atas apa yang Amy buat untuk Adib. Tapi Amy kena jaga diri juga. Aunty rasa baik Amy balik KL, tenangkan diri seminggu dua. Lepas tu datang balik. Boleh?”

“Tapi aunty, Amy nak jaga…”

“Aunty tahu” Tun Maryamul Azra memotong. “Aunty tahu Amy nak jaga Adib. Tapi kita tak tahu bila Adib akan sedar. Amy balik KL ye sayang..?”

Amy melepas nafas. Akhirnya anggukan diberikan mendengar kesungguhan Tun Maryamul Azra memujuk. “Kalau macam tu, Amy balik hotel dulu. Esok lepas subuh Amy terus balik”.

Tun Maryamul Azra mengangguk. “Tapi Harraz dah balik. Amy nak balik KL macam mana?”

“Tak pe aunty, Amy boleh call driver ambil Amy. Assalamualaikum” Amy mencapai begnya, menyalami Tun Maryamul Azra dan beredar dari bilik mewah itu.

Tun Maryamul Azra melepas nafas. Wajah Adib yang masih lagi tenang dalam tidurnya dipandang. “Bila Adib nak bangun ni sayang? Kesian mommy tengok Amy, ke Adib tunggu Dibah datang?”

 

##########

 

“Adik” Dian melangkah masuk ke dalam bilik Syaqiqah sambil melihat telefon pintarnya.

Syaqiqah memandang. -Ya?

“Adik buat apa ni?” Dian mengerutkan dahi melihat Syaqiqah bergelumang dengan buku di atas katil.

Syaqiqah yang asalnya meniarap mendudukkan diri. -Buat revision, kan lagi dua minggu habis cuti..

Dian ketawa kecil. “Yelah sayang.. Macam tak sabar nak masuk sem je ni..”

Syaqiqah tersenyum. -Akak ada benda nak cakap?

Dian mengangguk. “Dah dekat tiga hari Amy tak ada. Rasanya balik KL kut.. adik tak nak tengok Adib?”

Mendengar nama Adib, wajah Syaqiqah berubah. Tapi bagaimana kakaknya tahu hal itu? Dia memandang Dian dengan wajah curiga.

Dian sengih. Faham benar erti pandangan Syaqiqah. “Akak minta Dr.Arina jadi spy”.

-Akak..! Syaqiqah mencubit lengan Dian, geram pula mendengar pengakuan kakaknya.

“Yelah.. Akak tahu adik tak nak pergi sebab ada Amy kan? Dah berapa kali akak cakap, Amy tu bukan tunang Adib.. dia orang tu cuma kawan baik je..” Dian mula membuka bebelan.

“Akak…” lembut Syaqiqah bersuara, tahu taktik itu sangat berkesan untuk membuatkan kakaknya berdiam.

“Pergilah tengok Adib…” Dian terus memujuk. Rambut Syaqiqah yang tertocang elok dibelai. Matanya dikerdipkan tanda membodek.

Syaqiqah meletakkan pen dan menutup buku notanya. Dian dipandang. -Adik tahu Amy bukan tunang Adib tapi Amy sayang Adib. Adik tak nak lukakan hati sesiapa.. Sama macam akak tak nak lukakan hati ibu kalau ibu tahu akak sayang orang macam Harraz tu…

Dian melepas nafas. Degil, ya degil juga.. sama sepertinya. “Akak teman? Paling kurang kita pergi jumpa Aunty Yam..”

Syaqiqah mengangguk akhirnya. Mengalah dengan pujukan kakaknya yang tidak putus. Dian memeluk Syaqiqah kegembiraan. Dia mahu mencuba, siapa tahu jika Syaqiqah melawat lagi, Adib akan sedar dari komanya?

 

##########

 

“Jaga diri. Balik nanti ibu ambil?” Hannan memandang kedua anak gadisnya.

Dian di sisi menggeleng. “Ibu ada mesyuarat kan? Akak dengan adik boleh naik teksi”.

Syaqiqah yang sedang menyalami ibunya mengangguk. Setelah menghadiahkan ciuman pipi buat ibu mereka, dua beradik itu turun dari kereta.

Langkah teratur perlahan menuju ke blok yang menempatkan wad Adib. Syaqiqah terasa berdebar pula tiba-tiba. Namun mata menangkap satu figura yang dikenali. Dr.Arina. Lantas tangan mencuit Dian di sisi, menunjuk ke arah Dr.Arina yang kelihatan sedang berbual dengan seseorang.

“Eh, Dr.Arina” Dian melajukan langkah, mahu menegur. Namun saat dia berada lebih di hadapan, terlihatlah siapa yang sedang berbual dengan Dr.Arina.

Syaqiqah menepuk dahi. Patutnya dia tidak mencuit Dian tadi. Tidak fasal-fasal mereka melihat ke’mesra’an Dr.Arina dan Harraz pula.

Dian berhenti melangkah. Tidak jadi melangkah ke arah mereka. Langsung dia kembali keluar dan melangkah lurus seiring dengan adiknya. “Jom” Dian menarik tangan Syaqiqah melajukan langkah.

Namun mata Harraz laju menangkap wajah Dian. Lantas dia bangun dan berlari menghalangi langkah dua beradik itu. Dia baru tiba dari Kuala Lumpur dan terserempak dengan Dr.Arina, alang-alang mereka berbual sebagai teman yang pernah rapat.

Dian mengangkat wajah. Wajah kelatnya keluar bila memandang wajah Harraz.

“Assalamualaikum”.

“Waalaikumussalam” Dian menjawab dan menarik Syaqiqah berlalu.

Namun Harraz mengejar dan menghalang lagi. “Kejap”.

Dian menjongket kening. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu Tengku Harraz?”

Harraz tersenyum. Suara sarkastik Dian sudah keluar. “Hai Iqah… Dian, you datang nak tengok Adib?”

Syaqiqah menunduk memberi tanda hormat. Tersenyum dia melihat gaya Harraz yang agak ‘aneh’ bila berhadapan Dian.

“Doktor” Dian mesra menyapa Dr.Arina yang baru tiba.

“Hai Cik Dian, Cik Syaqiqah”.

“Doktor sihat?” Dian beramah tanpa mempedulika. Harraz.

“Sihat. Sembanglah, saya ada kerja. Pergi dulu Cik Syaqiqah” Dr.Arina meminta diri, memberi alasan. Hakikatnya menutup kekecewaan hati melihat pandangan mata Harraz terhadap Dian.

Dian merengus. “Jomlah” dia menarik tangan Syaqiqah. Merasakan tidak punya hal untuk diperkatakan pada Harraz.

“Kejap. I ada benda nak cakap” Harraz menghalang.

Dian memandang. Syaqiqah yang memahami menjauh dari mereka. Membiarkan perbualan mereka lebih privasi.

“Ibu you cakap apa?”

“Fasal?”

“Fasal pengakuan I hari tu?”

“Tak ada”.

“Tak ada?” Harraz mengulang, tidak mempercayai kata-kata Dian.

“Kau nak apa?”

“I sayangkan you. I cintakan you. Dan kali ni I tak main-main. I betul-betul nak jadikan you isteri I yang sah” Harraz mengeluarkan isi hatinya. Biar Dian tahu dia bukannya mahu mempermainkan gadis itu.

Dian melepas nafas. “Bukan ini caranya. Aku tak nak jadi macam Ayien, macam Sha.. Macam Dr.Arina.. Jadi aku minta, jangan kacau aku lagi sebab aku tak nak kecewakan umi dengan bersuamikan lelaki macam kau”.

Syaqiqah menoleh ke belakang melihat Harraz yang berwajah sangat hampa. Akak ni, degil sangatlah. Tak nampak ke yang Harraz dah cuba yang terbaik?

“Assalamualaikum” Dian memberi salam sebaik masuk ke dalam bilik Adib.

Tun Maryamul Azra menoleh. Senyuman dihadiahkan buat dua gadis ayu itu. “Waalaikumussalam. Dian, Syaqiqah”.

Dian menyalami diikuti Syaqiqah. Saat tang Syaqiqah menyalaminya, langsung saja tubuh itu ditarik ke dalam pelukan. “Mommy rindu” ucapnya sangat perlahan, dan Syaqiqah pun tak mendengarnya.

Syaqiqah senyum saat pelukan dilepaskan. Tengok mommy buat Dibah teringat umi… Dan buah tangan diberikan pada wanita itu.

“Aunty dah lama kat sini?”

Tun Maryamul Azra mengangguk. “Dah dua hari aunty tak balik hotel. Kak Enon baru balik hotel tadi, kesian aunty tengok dia, penat.. Kalau awal sikit Dian datang, boleh jumpa Kak Enon” ramah dia memberitahu anak muda itu.

“Uncle?”

“Dia kat KL. Ada kerja. Dian dah makan tengah hari?”

Dian mengerutkan dahi. “Kenapa?”

“Aunty belum makan. Boleh temankan aunty?” Tun Maryamul Azra menyoal, dia mahu Adib bersendirian dengan Syaqiqah. Pasti gadis itu punya banyak yang mahu diperkatakan, mungkin.

Syaqiqah membuat muka. Tidak mahu dia ditinggalkan. Sebenarnya mahu tapi juga tidak mahu. Dian sengih. “Boleh, jom. Akak belikan adik roti ye..”

Syaqiqah melepas nafas. Bagai halilintar Dian dan Tun Maryamul Azra keluar dari situ. Nampak benar sengaja mahu meninggalkannya. Langkah diatur perlahan pada katil dan dia mengambil tempat.

“Abang…” Syaqiqah mengucap perlahan. Mata menatap wajah yang tenang dalam tidurnya itu. Bangunlah abang, Dibah tunggu abang ni.. Dibah tahu abang banyak benda nak cakap dengan Dibah. Abang belum jelaskan fasal Kak Amy. Abang tak nak jumpa Dibah dah ke? Abang dah lupa Dibah? Abang tak tahu yang Dibah tunggu abang?

Air matanya menitis perlahan mengenai jemari Adib yang mula merespon. Namun Syaqiqah yang sibuk menangis langsung tidak perasankannya. Ingatannya kembali menerawang pada kenangan mereka saat kecil dahulu.

Saat ketawa, saat sedih.. terasa bagai semuanya baru berlaku semalam. Bagaimanalah dia boleh hidup dalam ketidaktahuan selama ini? Bagaimanalah dia boleh melupakan peristiwa penting dalam hidupnya?

Tubuhnya mula terhinjut-hinjut menahan tangis. Kisah kemalangan yang tidak mungkin dia lupakan.. Dan jika difikirkan kembali, ia sepertinya bukan sebuah kemalangan biasa. Syaqiqah ingat dengan jelas bahawa abinya ada menyebut tentag brek yang tidak berfungsi.

“Dibah nangis?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s