Demi Syaqiqah – P45

Nasi di dalam pinggan disuap ke dalam mulut. Kelihatannya Dian sedikit hairan dengan tingkahnya yang makan menggunakan tangan dan bukannya sudu. “Dian”.

Harraz

Harraz

“Ya aunty?”

“Kenapa Dian tengok aunty macam tu?”

“Aunty makan tak guna sudu” Dian jujur.

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Ni kawan baik aunty ajar. Dia tak suka makan guna sudu, tak sunnah katanya”.

Dian tersenyum memahami. Terasa bagai tahu pula, apakah kerana Tun Maryamul Azra pernah memberitahu atau dia melihat semuanya melalui Syaqiqah?

Telefon pintar milik Tun Maryamul Azra yang tiba berdering memancing perhatiannya. Lantas panggilan dari nombor tidak diketahui itu dijawab.

“Assalamualaikum”.

“Ya doktor?”

“Adib? Dah sedar?”

“Ya..Ya doktor, saya ke sana sekarang”

“Waalaikumussalam”.

Mata Dian tidak lepas dari memandang, telinga pula tidak lepas dari mendengar. Adib sudah sedar dari tidurnya? “Aunty..” wanita itu dipanggil.

“Dian, Adib dah sedar. Jom kita pergi wad” Tun Maryamul Azra langsung mencapai beg dan bergegas keluar dari kantin.

Dian beku sesaat dua. Tadi dia dan Tun Maryamul Azra meninggalkan Syaqiqah di bilik Adib, apakah dia sedar kerana Syaqiqah? Dian mula bersangka.

#######

“Macam mana doktor?” Tun Maryamul Azra menyoal doktor yang memeriksa keadaan Adib.

“Keadaan En.Adib bagus. Nampaknya tak ada apa-apa yang merisaukan. Kita tengok keadaan. Kalau ok macam ni dalam dua tiga hari, boleh keluar hospital” doktor lelaki segak itu memberi penerangan.

Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Ubun-ubun Adib dicium penuh kasih. Dia sudah menghubungi suaminya, Tun Adib Nasir sedang mencari penerbangan secepat mungkin untuk ke Melaka. “Alhamdulillah..”

“Baiklah tun, saya minta diri. Ada kerja nak kena sambung”.

Tun Maryamul Azra mengangguk dengan senyuman. Doktor pun keluar bersama dua orang jururawat wanita yang masuk bersamanya.

Dian memandang Syaqiqah di sisi. Wajah adiknya tiada sebarang tanda-tanda ‘aneh’ atau ‘pelik’ sekalipun ‘luar biasa’. Semuanya biasa-biasa saja. Atau memangnya perasaan Adib terhadap adiknya itu terlalu kuat hingga dapat menyedarkannya dari koma?

Syaqiqah menunduk sedari tadi. Seboleh mungkin tidak mahu bertemu mata dengan jejaka itu. Dia masih

belum bersedia untuk memberitahu bahawa ingatannya telah kembali.

Mendengar pertanyaan Adib tadi, dia langsung beralih dari katil. Pantas saja butang kecemasan dipanggil dan dia tidak lagi mendekati katil itu. Doktor dan jururawat juga lekas tiba membuatkan Adib juga tidak sempat mendapatkan jawapan darinya.

“Adik” Dian memanggil.

Syaqiqah memandang dengab jongketan kening. -Ya?

“Adik ok ke? Akak tengok macam lain je..” tangan Syaqiqah dicapai. Jangkaannya benar! Tangan itu sejuk ibarat baru keluar dari peti sejuk!

Syaqiqah langsung menarik tangannya dari genggaman Dian. Ah, kakaknya yang satu ini. Senang sangat dapat membaca setiap tindak tanduknya. -Bilik ni sejuk sangat.

Dian mengecilkan mata. Membuktikan kata-kata Syaqiqah langsung tidak dipercayai. “Betul ke?”

Adib memandang dua beradik yang leka berbual itu. Dia yakin ada sesuatu pada Syaqiqah. Dia terasa bagai ingatan gadis itu telah kembali. Namun dia sendiri tidak punya cara untuk membuktikan telahannya benar sekarang.

“Adib”.

Adib memandang mommynya. “Mommy, daddy tak datang?” segera dia memberikan soalan, bimbang Syaqiqah perasan dirinya diperhati.

“Daddy busy sangat sejak dapat tender baru. Tapi jangan risau, mommy dah cakap dengan daddy, nanti sampailah daddy tu” Tun Maryamul Azra memujuk anak manja tunggalnya itu.

Dian dan Syaqiqah dipandang. “Dian, Syaqiqah.. kenapa berdiri tegak kat pintu tu. sinilah..” kedua gadis itu dipanggil.

Dian dan Syaqiqah masing-masing mempamerkan senyuman. Dian terlebih dulu maju namun langkahnya terhenti melihat Syaqiqah yang tetap tidak berganjak. Tangan molek itu ditarik membuatkan tubuh Syaqiqah hilang sedikit imbangan. Mujur Tun Maryamul Azra tidak melihat perilaku ‘kasar’ Dian itu.

“Macam mana Adib boleh bangun ni?” Tun Maryamul Azra menyoal, hakikatnya dari tadi lagi dia ingin menanya tapi tidak berkesempatan sama sekali.

Adib memandang Syaqiqah yang berada tepat di hadapan katilnya. Sambil menatap wajah gadis itu dia menjawab, “Adib dengar Dibah panggil”.

Dian memandang Syaqiqah. Tun Maryamul Azra turut memandang Syaqiqah. Dan Syaqiqah, bagai terkena renjatan elektrik. Kaku sekaku-kakunya. Namun hanya beberapa saat. Syaqiqah terlebih dahulu sedar dari kejutan. Lantas tangannya menjadi perantara -Siapa Dibah?

Dian terdiam. Usaha Adib nampaknya sia-sia. Dian mengerut dahi. Fikirnya setelah Syaqiqah boleh berbicara, ingatannya akan kembali semula. Jadi sangkaannya meleset sama sekali?

“Adib nak makan apa-apa ke? Mommy boleh belikan?” Tun Maryamul Azra segera menyoal menyedari suasana yang agak tidak selesa di dalam bilik itu.

Adib diam seketika. Bagaimanapun dia harus memikirkan caranya agar dia tinggal berdua dengan Syaqiqah di dalam bilik itu. Barulah dia boleh menyoal siasat habis habisan. “Boleh tak mommy belikan Adib ayam golek madu dekat Roasted Chicken?”

Wajah Tun Maryamul Azra berubah serta merta. “Dib kan baru sedar? Sihat pun tak lagi. Takkan terus nak makan makanan macam tu?”

“Please mommyyy… Teringin sangat ni” Adib meyakinkan.

“Tak boleh!! Ayam golek madu tu bukan makanan orang sakit!” Tun Maryamul Azra bertegas.

Adib memandang Dian. “Dian kau tolong aku ea… Kau kan orang Melaka, mesti kau tahu kat mana Roasted Chicken. Serius, teringin giler ni.. meleleh tekak tau..”

Dian mencebik. Tahu sangat itu taktik Adib agar dia boleh berbicara lebih privasi dengan Syaqiqah. “Yelah. Aunty, biar Dian pergi”.

Syaqiqah membulatkan mata. -Nak ikut!

Dian menjegilkan mata. “Tak boleh” dia bersuara tegas namun perlahan. Terasa sama seperti Tun Maryamul Azra yang menghalangi Adib makan makanan tidak sepatutnya pula.

Syaqiqah membuat muka. Dia tahu ini rencana kakaknya agar dia tinggal dengan Adib, tapi bagaimana dia mahu menolak jika Tun Maryamul Azra ada bersama?

Adib senyum lebar saat Tun Maryamul Azra dan Dian melangkah keluar bersama. Namun senyumannya hilang serta merta melihat wajah pucat milik Syaqiqah. “Iqah ok?”

Syaqiqah mengangguk. Dia berundur ke belakang tiga langkah. Menjauh dari katil Adib. -Nak apa?

“Iqah tahu saya tak faham kan? Saya dengar suara menangis tadi.. dan saya pasti yang saya dengar orang sebut abang..”

Syaqiqah diam. Dia masih belum bersedia untuk membocorkan rahsia tentang kembalinya ingatan masa lalu miliknya. Muka selamba ditayang.

Adib melepas nafas melihat respon itu. Fikirnya, Syaqiqah akan memberikan reaksi. Dia cukup pasti itu adalah suara Syaqiqah. Bukan Adibah yang ditemui di alam mimpinya. Atau dia tersalah membezakan realiti dan fantasi?

Dia cukup yakin ingatan gadis kesayangan di hadapannya ini telah kembali. Tapi mengapa apa yang dilihat bagai tidak sama dengan apa yang difikirkan? Syaqiqah sepertinya tiada klu mahupun petunjuk tentang apa yang dia cuba sampaikan.

Syaqiqah masih mengekalkan riak wajah. Kalau dia bersuara, memanggil lelaki itu abang.. apa agaknya yang akan terjadi? Apakah Adib akan langsung memeluknya seperti pertemuan pertama mereka dahulu? Atau mungkin.. pengsan kerana terlalu terkejut?

Senyumnya disembunyi dari pemandangan mata Adib. Tidak mungkinlah seorang lelaki boleh pengsan sewenang-wenangnya. Seperti orang perempuan pula.

Adib tidak puas hati. Dia turun dari katil dan melangkah menuju pada Syaqiqah. Dia mahu memujuk agar gadis itu mengakui segalanya. Namun saat dia hampir lagi tiga empat langkah, pintu biliknya terbuka.

“Adib!!”

Adib tergamam. Amy menerpa masuk dan langsung memeluk membuatkan tubuhnya sedikit terundur ke belakang. Membuatkan pinggangnya mengenai katil hingga dia hampir terbaring separuh badan.

“Amy…” suara lembut seorang lelaki menegur. Adib menoleh, oh.. daddy. Jadi Amy datang bersama daddynya?

Amy sengih menampakkan barisan giginya memandang Tun Adib Nasir. “Sorry uncle, excited” perlahan Amy melepaskan pelukan.

Adib melepas nafas membuat gaya bagai orang baru lega dari sesak nafas. “Terkejut Adib, nasib baik tak koma balik”.

Adib kembali ke katilnya. Tun Adib Nasir mendekat dan Adib menyalami daddy yang dirindui. “Macam mana anak daddy sekarang?”

“Alhamdulillah daddy.. Daddy datang dengan Amy?”

“Kebetulan daddy jumpa dia kat airport. Dia pun nak datang tengok Adib. Daddy angkutlah sekali.. ” Tun Adib Nasir ketawa kecil bila menyebut perkataan angkut.

“Uncle, Amy bukan barang tau.. Adib ok? Ada rasa pening-pening tak? Dahaga tak? Lapar tak? Nak apa-apa tak? Boleh Amy belikan. Kalau Adib mengantuk lagi..”

“Banyaknya cakap.. mana satu Adib nak jawab ni?” Adib memotong.

Syaqiqah menelan liur. Apa yang dilihatnya membuatkan hati bagai disiat-siat. Apakah dia cemburukan kemesraan yang tertonjol di antara Adib dan Amy? Tapi ya tak ya juga.. sepanjang kehilangannya bukankah Amy sentiasa di sisi Adib?

“Syaqiqah” Tun Adib Nasir menegur, baru terperasan kehadiran gadis itu.

Amy memandang. Begitu juga dengan Adib. Wajah Amy berubah mendapati Syaqiqah berdiri tegak di situ selama dia bergurau dengab Adib. Apakah sebelum mereka datang, Adib berdua dengan Syaqiqah.?

Syaqiqah menundukkan kepala memberi salam pada Tun Adib Nasir dan Amy. Melihat wajah Amy, dia jadi tidak betah pula. Apatah lagi pandangan kecewa yang diberikan Amy membuatkan dia serba-salah.

Adib melepas nafas. Fahamlah dia apa yang berlaku. Jadi orang ketiga yang dimaksudkan Dian adalah Amy? Dia teringatkan kata-kata Harraz pula. Jika dia tidak menerangkan duduk perkara sebenar terhadap Amy, pasti Amy akan menyangka Syaqiqah merampas Adib darinya? Adib.. Adib, kenapalah kau ni slow sangat? Dia mengutuk diri sendiri. “Mommy dengan Dian belikan makanan. Tu yang Iqah tinggal”.

Tun Adib Nasir menguntum senyum. Senyum persis Syamran yang dihadiahi Syaqiqah membuatkan rindunya pada arwah sedikit terubat. Syam… Dibah dah besar dan aku cuma tunggu masa untuk sunting dia jadi pasangan hidup Adib. Kau tolong aku ye..

“Hai” Amy menyapa. Langkahnya maju pada Syaqiqah. Dan tubuh Syaqiqah dipeluk erat. “Terima kasih jagakan Adib bagi pihak saya..” suaranya perlahan berbisik.

Syaqiqah tersenyum walau tidak pasti ucapan terima kasih yang dilontarkan Amy membawa erti apa? Apakah amaran, atau mungkin ikhlas.. mungkin juga sindiran? Entahlah, Syaqiqah tidak tahu.

“Adib nak minum? Amy ambilkan”.

Adib menggeleng memandang Amy. “Adib dah minum tadi..”

Amy tersenyum sambil mendudukkan diri di kerusi yang terdapat pada sisi katil. Tangan Adib digenggan erat. Dan air mata mula menitis. “Adib tahu tak Amy risau sangat-sangat…?”

Adib tersenyum mengangguk. Pun begitu, tangannya yang digenggam Amy membuatkan dia kurang selesa. Wajah Syaqiqah yang redup lebih lagi menggundahkan hati. Perlahan tangan ditarik dari genggaman Amy dan tangan itu juga digunakan untuk mengusap kepala Amy yang dibalut selendangnya.

Amy dapat merasakan Adib mengelak dari disentuh. Apakah kerana keberadaan Syaqiqah? Jadi benarlah, Adib pedulikan gadis itu. Adib kisah akannya. Tapi mengapa Adib tidak mengaku bila ditanya? Atau Adib tidak mahu dia kecewa? Sebenarnya apa yang Adib fikirkan? Atau… mungkin Adib hanya menganggap Syaqiqah sebagai pengganti Adibah yang telah tiada? Maklumlah, Amy juga mengakui gadis itu punya ciri yang hampir sama seperti Adibah. Tapi orang yang telah meninggal dunia sama sekali tidak boleh kembali lagi. Jadi.. dia masih punya peluang..! Amy yakin Syaqiqah tidak akan memungkiri perjanjian mereka. Dia.. sangat-sangat-saaaaaaangat senang hati..!!

Syaqiqah melepas nafas lega bila kakak masuk bersama Aunty Yam. Dia mahu pulang segera. Cukuplah hari ini perasaan mental dan fizikalnya telah berserabut dikeranakan seorang lelaki bernama Adib Mubarak. Bingung sungguh otaknya sekarang ini.

Melihat wajah adiknya, Dian maklum Syaqiqah mahu segera keluar dari bilik itu. Langsung saja dia bersuara meminta diri. Sebaik meninggalkan bilik itu, keduanya melepaskan nafas lega bagai baru keluar dari kurungan.

“Adik ok?” Dian menyoal Syaqiqah, risau benar dia.

Syaqiqah tersenyum. -Ok.. cuma sakit kat sini.. sikit. Syaqiqah menunjuk pada dadanya.

Dian mengangguk. “Tak apalah. Kalau betul Adib tu untuk adik, pusing-pusing balik kat adik juga. Dan… kalau bukan untuk adik, lagilah senang.. tak payah pening kepala fikir”.

Syaqiqah menguntum senyum dan lengan Dian dipaut. Dua beradik itu berjalan berkepit keluar dari perkarangan hospital sambil bergurau menonjolkan kasih sayang antara kakak dan adik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s