Demi Syaqiqah – P46

Penumpang tidak berhemah di sisinya dipandang. Sebuah jelingan maut dihadiahkan. “Patutlah beria tak nak balik KL dengan aunty. Ada agenda!” bebelannya yang terhenti seketika tadi disambung.

Adib sengih. Dipandang Harraz yang bengang saja dari tadi. Dia tahu dari awal dia meminta mahu pulang ke Kuala Lumpur bersama Harraz, sahabatnya itu sudah naik hairan.

Saat dia menyuarakan hasrat untuk singgah ke rumah Syaqiqah terlebih dahulu, mulalah peluru bebelannya dikeluarkan. Sejak mendalami ilmu agama, pandai benar Harraz membebel itu dan ini. Mungkin penangan mendengar kuliah di masjid.

Dia memujuk Harraz dengan mengatakan Harraz boleh tahu tempat tinggal Dian tapi nampaknya pujukan Adib langsung tidak memberi makna apa-apa. Harraz masih lagi dengan bebelan panjang lebarnya.

“Masuk kiri, lorong kecil ni.. nanti sampai kampung” Adib memberi arahan.

Harraz melepas nafas. “Kalau Amy tahu ni.. mahu meletup dia”.

“Kau janganlah bagitahu dia….” Adib mendengus.

Harraz mengerutkan dahi. Brek tangan ditarik sebaik sahaja kereta berhenti. “Bila kau nak berterus terang dengan Amy ni? Cakap sampai dia faham, yang kau tak suka dia. Yang kau anggap dia tak lebih dari seorang adik…”

Adib mengeluh. Bukan dia tidak mahu. Tapi sebaik melihat wajah mulus Amy, dia jadi tidak sampai hati. Dia tidak sanggup bila memikirkan betapa kecewa, remuk redamnya hati Amy saat mendengar pengakuan jujurnya.

“Asal aku cakap, mengeluh. Hakikatnya apa yang jadi sekarang, sebab kau juga! Kalau kau tegas sikit, tak adalah si Amy tu berani nak kacau Iqah…”

Adib membuka pintu kereta. Dia tidak tahu mahu menjawab apa lagi. Syaqiqah dan Amy, dua-dua juga gadis penting dalam hidupnya. Dia memang mahu berlaku jujur pada Amy, cuma dia mahu menunggu masa yang lebih tepat.

Langkah diatur ke hadapan rumah. Sebaik muncul Hannan yang siap berpakaian lengkap, Harraz terpacul di sebelahnya. Adib ketawa kecil, fikirnya Harraz mahu terus berada di dalam kereta. Rupanya turun juga melihat wajah wanita yang mirip Dian ini.

“Assalamualaikum, mak cik..” ucap keduanya serentak.

Hannan menjawab salam dengan senyuman. Sebenarnya dia baru sahaja hendak keluar ke sekolah. Tidak sangka pula, muncul dua jejaka ini di hadapan rumahnya.

“Syaqiqah ada?” Adib lebih dulu menyoal.

Hannan mengerutkan dahi. Apakah kedua puterinya memang mahu mengelak dari dua putera di hadapan matanya ini? Mengapa kepulangan mereka ke ibu kota tidak dimaklumkan? “Iqah dengan Dian dah balik KL”.

“Dah balik KL?!” Adib dan Harraz sama-sama membulatkan mata.

“Adib dengan Harraz tak tahu ke? Tak silap mak cik dah tiga hari dia orang balik sana” Hannan berkira-kira.

Adib melepaskan keluhan berat. Harraz sama-sama melepaskan keluhannya. Licik benar dua gadis ini melarikan diri dari mereka. Pada Adib, dia masih lagi tidak memahami apa yang disampaikan Amy hingga Syaqiqah berubah 360°c. Pada Harraz pula, dia pasrah. Segalanya diserahkan pada Yang Maha Esa. Andainya dia dan Dian memang berjodoh, tak lari gunung dikejar. Suatu hari pasti Dian akan kembali padanya.

Hannan tersenyum kelat. Apalah nasib dua pemuda ini.. Dia sendiri tidak faham anak muda zaman sekarang. Entah mengapa, perkara yang sepatutnya mudah menjadi susah. Bagaimana pun, dia sebagai ibu tetaplah menyokong dan mendoakan yang terbaik buat puterinya.

 

##########

 

Menjadi pelajar tahun dua nampaknya tidak sukar buat Syaqiqah. Dia sudah mula membiasakan diri dengan kehidupan pelajar universiti. Belajar, ulangkaji dan tugasan adalah istilah biasa dalam hidupnya. Walau terkadang memang ada sedikit tertekan, namun dengan keberadaan kakak tersayang.. semuanya menjadi lebih mudah.

Buat Dian yang berada di tahun tiga, pastinya kursus menjadi lebih sukar sesuai status senior yang dipegangnya. Pun begitu, dia memang sudah biasa dengan kehidupan belajar universiti. Saat ini, dia hanya mahu fokus menimba ilmu agar dia dan Syaqiqah sama-sama dapat pulang ke Melaka dengan segera.

“Akak…”

Dian menoleh. Senyuman dihadiahkan pada Syaqiqah yang baru muncul dari belakangnya. “Kelas habis lewat?”

Syaqiqah mengangguk. -Lambat sikit. Lepas makan ni, boleh balik kan?

Dian mengangguk. “Makanlah dulu. Akak dah ambilkan makanan”.

Syaqiqah tersenyum manis. Doa dibaca dan dia memulakan santapan. Dian memandang Syaqiqah yang berselera. Semalam, Adib ada menghubunginya. Adib meminta dia membantu untuk memujuk Syaqiqah. Menurut Adib, selama setengah tahun ini dia sibuk mahu memujuk namun Syaqiqah langsung tak memberi peluang. Apakah Syaqiqah memang mahu menamatkan hal antara mereka begitu saja?

-Kenapa akak tengok adik macam tu? Adik bukan makanan tau…

Dian ketawa kecil. “Adik.. adik dengan Adib.. macam mana?”

Syaqiqah tersedak. Terbatuk-batuk dia menghadam maggi goreng yang sudah berada di dalam mulut. Terkejut benar dengan soalan kakak yang langsung tidak diduga.

Dian menghulurkan limau ais yang berada di sisi kanannya. Pun begitu, wajahnya tidak beriak terkejut dengan respon yang diberikan Syaqiqah.

“Dah dekat enam bulan ni… Adik marahkan Adib lagi?” Dian menyoal.

-Adik dah kenyang, jom balik. Syaqiqah menyudahkan, dan bangun dari tempat duduknya. Melangkah laju meninggalkan kantin dan perkarangan universiti dalam keadaan dikejar oleh Dian.

Dian nekad, malam ini dia akan menyelesaikan semuanya dengan adiknya seorang itu. Dia pasti akan menemui jawapannya. Dia juga sudah letih dengan ayat meraih simpati yang saban hari diterima dari Adib.

 

########

 

“Assalamualaikum, bos!”

Adib memandang pintu pejabat. Wajah Harraz yang muncul membuatkan dia terus mengalih pandang. “Waalaikumussalam, pak ustaz” Adib ketawa melihat kopiah yang terletak kemas di atas kepala Harraz.

Harraz sengih dan menanggalkab kopiahnya. “Aku ikut kelas mengaji tadi. Kau apa khabar?”

Adib mencebik. “Baru seminggu tak jumpa, dah tanya soalan pelik?”

Harraz ketawa. Maklumlah.. Adib sudah mula bertugas di Adib Legacy sejak lima bulan lepas. Sibuknya mengalahkan Uncle Nasir pula. Harraz tahu, Uncle Nasir memang mengharapkan bantuan dari satu-satunya anak lelakinya walaupun dia sudah punya Uncle Jalal sebagai pembantu.

“Aku dengar dah dua tiga projek masuk sejak kau kat sini.. tahniahlah..”

Mendengarkan hal itu, Adib langsung bersandar pada kerusi. Ya, dia menumpukan sepenuh perhatian pada kerjanya kerana tidak mahu terlalu memikirkan Syaqiqah. Manakan tidak, sejak pulang dari Melaka pada cuti semester lalu.. Syaqiqah langsung tidak mahu menemuinya

Bahkan saat berselisih pun, Syaqiqah pantas saja akan melarikan diri. Bingung kepala Adib dibuatnya. Sudahlah di pejabat berhadapan dengan Amy yang menjadi setiausahanya. Dari awal Amy masuk, pekerja syarikat sudah menyangka mereka punya hubungan istimewa.

Memang Amy sangat profesional. Pandai membezakan hal peribadi dan hal kerja. Tapi mulut orang, memanglah tidak boleh tutup. Apatah lagi melihat kemanjaan Amy terhadap Tun Adib Nasir.

“Kau tak selesai lagi dengan Iqah?”

“Tulah, Raz. Aku jumpa dia, dia lari. Aku cari, dia sembunyi. Call mesej tak jawab, sekarang dah tukar nombor baru. Aku macam dah tak tahu nak pujuk guna cara apa…”

Harraz ketawa. Suka pula dia melihat Adib begitu. Lain pula bagi Adib, sakit hatinya melihat Harraz ketawa. “Yang kau gelak-gelak ni, kau dengan Dian apa cerita?”

Harraz menyambung tawa kecilnya. “Tak de apa. Aku dengan Dian, kita orang just go with the flow. Ada jodoh, adalah. Tak ada jodoh, aku harap dia sentiasa bahagia. Lagipun kau sendiri yang cakap, takkanlah perempuan sebaik Dian tu nak bersuamikan orang macam aku. Ya tak?”

Adib melepas nafas. Bila difikirkan, Harraz di hadapannya kini sangat berlainan dengan Harraz yang dia kenali dulu. Terima kasih yang amatlah pada Dian. Kalau bukan kerana ‘penolakan’ Dian, pasti Harraz masih hanyut dalam dunianya.

“Aku ada idea macam mana nak bagi Iqah hilang merajuk”.

“Idea?”

Harraz mengangguk. “Sebenarnya aku dah lama fikir. Tapi aku sengaja diamkan, suka aku tengok kau macam ni….”

“Tak guna!” Adib membaling fail di hadapan matanya. Geram benar dia mendengar pengakuan jujur Harraz. Tahulah dia pakar menguruskan soal ‘wanita’.

“Aku yakin, Iqah mesti akan hilang merajuk…!”

 

###########

 

Telekungnya dilipat dan disangkut di dalam almari setelah selesai menunaikan solat Isya’ berjemaah bersama kakaknya.

“Adik, akak nak cakap sikit” Dian yang masih bertelekung dipanggil.

Syaqiqah memandang. Nada formal yang diberikan Dian membuatkan hatinya berteka-teki sendiri. Selalunya bila Dian membuat wajah begitu, pastinya ia hal yang penting.

Dian melepas nafas memandang Syaqiqah yang sudah pun duduk bersimpuh di hadapannya. “Adik dengan Adib ni macam mana?”

Syaqiqah membuat muka. Tidak suka nama itu disebut-sebut di hadapannya.

“Jangan nak buat muka. Akak nak jawapan. Adik nak biar Adib macam tu je.. tak kesian ke dengan dia? Dia selalu datang U cari adik, selalu datang rumah cari adik. Kerja adik apa? Menyorok?”

Syaqiqah diam. -Akak dengan Harraz?

“Akak tengah cakap fasal adik. Adik tahu tak yang Adib tu sebenarnya…”

Syaqiqah meletakkan tangan di telinga membuatkan Dian berhenti berkata-kata. Syaqiqah tidak mahu Dian terlepas kata memberitahu tentang masa lalunya. Dia masih belum mahu membuka rahsia itu pada sesiapa. Dia tidak mahu ada walau seorang pun tahu bahawa ingatannya telah kembali.

Dian menarik tangan Syaqiqah lembut, tangan itu digenggam erat. “Kenapa sebenarnya? Ada apa yang adik rahsiakan dari akak? Sebelum ni adik dengan Adib kan ok je..”

Syaqiqah diam. Dia tahu, dia tahu Adib sayangkannya. Tidak kira sebagai Adibah mahupun Syaqiqah. Adib menyayanginya tidak bersyarat. Namun dia juga punya pendiriannya. Tidak mahu kebahagiaan terbina di atas penderitaan orang lain.

“Adik…”

Syaqiqah diam. Dian bersuara lagi. “Adik…” dan Syaqiqah masih lagi diam tidak berkutik.

“Adik…” Dian masih lagi memujuk. Pun begitu Syaqiqqh tetap tidak mengalah. Dian melepas nafas. Nampaknya senjata rahsia harus digunakan. ” Adik tak sayang akak ye…?”

Syaqiqah merengek, tidak suka kakaknya memberi soalan cepu emas begitu. Dian membulatkan mata. “Tak sayang akak kan…? Tahu… Memang tak sayang akak. Entah-entah dah menyampah tengok muka akak ni…” Dian menguis-nguis hujung kain telekungnya.

“Akak” Syaqiqah bersuara perlahan tetapi tegas.

“Apa ceritanya?”

-Adik kesiankan Amy.

“Diri sendiri tak kesian? Diri sendiri tak derita? Kalau tak fikir diri pun, Adib? Tak kesian kat Adib? Perasaan Adib macam mana?”

Syaqiqah terdiam mendengar persoalan bertubi-tubi yang dikeluarkan Dian. Ya, selama ini dia langsung tidak pernah memikirkan perasaan ‘abang’. Dialah Adibah yang hanya mementingkan orang lain dan Syaqiqah yang hanya berfikir tentang diri.

“Adib tak suka Amy. Walau apa pun yang berlaku, cuma ada Iqah dalam hati dia. Akak yang keras hati ni pun cair tengok kesungguhan Adib. Macam mana adik boleh keras hati sampai macam ni sekali?” Dian mula beremosi. Bagaikan berada di tempat Adib. Ya, dia faham perasaan itu. Mungkin.

-Dibah? Syaqiqah menguji.

Dian melepas nafas. “Adik.. suatu hari nanti, semuanya akan terbongkar. Yang akak tahu dan akak yakin, akak pasti.. orang yang ada dalam hati Adib sekarang adalah adik kat depan akak ni”.

Syaqiqah terdiam. Dia tahu, lalu Amy bagaimana? Teringat pula janjinya pada Amy yang mengatakan dia langsung tidak berniat untuk merampas Adib dan sama sekali tidak akan merampas Adib dari Amy. Tegakah dia menghancurkan hati gadis yang sudah dianggap sebagai kakaknya di masa lalu?

“Bagi peluang kat Adib. Bagi peluang kat diri sendiri” Dian mengakhiri sesi menasihatnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s