Demi Syaqiqah – P47

Hannan memicit kepalanya, pening dengan kehadiran rombongan meminang yang datang berkunjung tadi. Siapa sangka anak gadis sulung yang sikap kasarnya serupa lelaki itu diminati anak Tok Imam kampung mereka? Apatah lagi, anak lelaki Tok Imam itu baru saja pulang dari menyambung pelajarannya di Dubai.

Nafas dilepas perlahan. Mahu tidak mahu terpaksalah dia menolak pinangan itu. Walau jasad Dian tiada di sini, tapi Hannan tahu pasti anaknya itu akan menolak habis-habisan. Nampaknya dia harus memaklumkan hal ini pada puterinya. Siapa tahu jika kemudian hari rombongan lain pula yang datang?

“Assalamualaikum, ibu..” Dian merengek sambil memberi ucapan sejahtera.

Hannan tersenyum menjawab salam. Dia melihat skrin telefon yang baru diubah pada mod ‘video call’ oleh puteri sulungnya. Terserlahlah wajah dua beradik yang sedang menghadap buku-buku mereka.

“Ibu..” Syaqiqah bersuara riang, namun nadanya teramat perlahan. Mujur saja dapat didengari Hannan.

“Akak pula.. ibu!” Dian separuh menjerit. Membuatkan Syaqiqah yang sedar dirinya diusik langsung saja mencubit pipi Dian sekuat hatinya.

Hannan ketawa melihat gelagat kedua puteri itu. Ah, rasa rindu yang membuak pula. Walhal dia baru saja menjenguk kedua puterinya di Kuala Lumpur dua minggu lalu.

“Akak” Hannan mengubah nada suaranya, serius dan tegas.

Automatik hilang tawa mahupun senyuman dari wajah Dian dan Hannan. Tahulah mereka bahawa Hannan menghubungi kerana punya hal penting yang mahu dibicarakan.

“Ada orang masuk meminang akak” pendek saja ayat Hannan namun maksudnya sangat difahami.

Dian mengerutkan dahi. Syaqiqah memandang. Nafas dilepas serentak. “Meminang?”

Hannan mengagguk mendengar pertanyaan Dian. “Tok Imam”.

“Untuk?” Dian masih lagi ingin tahu.

“Anak sulung dia. Ingat tak Abang Fakri? Yang baru balik dari Dubai?”

Dian mengangguk. Syaqiqah dipandang. Mana mungkin dia tidak ingat anak sulung Tok Imam yang sememangnya dipandang tinggi itu. Peribadi baiknya bukan dibuat-buat, kerana itulah menjadi kesayangan orang kampung.

Kalau sebelum ini, pasti dia terima. Bukan mudah mencari orang baik begini di zama serba canggih ini. Tapi saat ini.. Dian melepas nafas. “Ibu terima?”

“Akak yang kena pinang. Akak terima ke tolak?”

“Ibu nak jawapan sekarang?”

“Ibu rasa, walau seratus tahun sekalipun jawapan akak, sekarang atau pun akan datang.. sama je kan?”

Dian mengeluh. Anggukan diberikan. “Akak minta maaf ibu, akak tak nak”.

Hannan ketawa kecil. “Ibu dah tolak dah pun..”

“Ibu!” Dian meninggi suara, geram benar dia diusik sebegini. Baru hendak feeling-feeling.

“Ibu tahu akak tunggu Harraz. Ibu selalu doa untuk anak ibu. Adik pun.. kalau yakin Adib adalah orang yang tepat, macam abah pada ibu. Jangan buang masa. Hidup tak boleh jangka adik.. Ibu tak nak adik menyesal kemudian hari. Ibu tak suruh adik bercinta, tapi buat sesuatu yang adik pasti adik takkan menyesal.. Faham tak?”

Syaqiqah melepas nafas. Anggukan diberikan. Dan usai meninggalkan pesan, Hannan langsung meletak panggilan. Dian dan Syaqiqah sama-sama berpandangan dan pecah tawa Dian yang tidak seberapa kuat itu.

 

##########

 

Adib menguntum senyum selebarnya melihat kemunculan Syaqiqah dari balik deretan kereta yang terparkir elok di tempat meletak kenderaan apartment. Tangannya diangkat menyapa. Tersenyum dan bertambah tersenyum dia melihat wajah itu.

“Abang Adam, Dib turun”.

“Senyum lebar nampak muka Cik Syaqiqah” Adam mengusik.

Adib ketawa sekilas dan turun dari kereta. Sesaat kemudian, dia terpacak di hadapan Syaqiqah dengan sengihannya. “Assalamualaikum”.

Syaqiqah mengangguk dengan senyuman. Namun dia cuba mengawal senyumannya agar tidak berlebih-lebih. Jika tidak, untuk apa dia mengelak dari Adib hampir setengah tahun ini?

“Boleh kita bincang elok-elok?” Adib langsung saja ke perkara utama, tidak mahu membuang masa.

Syaqiqah mengangguk. Adib bersandar pada Toyota Alphard. Tidak mahu perbualannya didengari Abang Adam, kerana itulah dia berdiri di luar saja.

“Adib tahu Iqah mengelak sebab Amy kan?”

Syaqiqah diam. Telefon pintarnya dikeluarkan. Ruangan nota dibuka dan dia mula menulis. -Amy betul-betul sayangkan awak.

“Tapi Iqah, Adib macam mana? Iqah fikir perasaan Amy, habis perasaan Adib macam mana? Susah Adib nak jumpa orang yang tepat buat Adib lepas tu Iqah nak lari macam tu je? Buat macam kita tak ada apa-apa?”

-Kenapa awak yakin Iqah adalah orang yang ‘tepat’?

‘Sebab Iqah adalah Dibah Adib!’ Namun jawapan itu hanya bergema dalam hati. “Iqah.. Adib tahu Iqah memang utamakan orang lain berbanding diri sendiri. Tapi Adib minta sekali ni je.. fikir fasal sendiri juga. Adib sayang Amy tapi sebagai adik je.. Adib tak boleh anggap Amy lebih dari tu. Tak boleh.. dia memang adik je, Iqah” Adib berusaha meyakinkan.

-Iqah tak nak gembira atas kesedihan orang lain.

Adib langsung membisu. Tidak terkata apa lagi. “Iqah memang tak pernah sayangkan Adib dari dulu. Adib yang salah sangka” Adib mengeluarkan rajuk di hati. Benar dia berkecil hati dengan Syaqiqah. Nampaknya didikan Hannan benar-benar membuat Syaqiqah menjadi seorang gadis yang sangat tetap pendirian.

Syaqiqah melihat Adib melangkah perlahan semula ke kereta. Liurnya ditelan. Dia terasa bagai disiat-siat melihat Adib berpaling. Tapi… Air mata dibiarkan mengalir. Tubuhnya dipaling. Dia tak mungkin berpatah balik dari keputusannya.

 

#########

 

‘Mengapa sebenarnya Syaqiqah berkeras hati tidak mahu kembali seperti dahulu? Apakah benar-benar kerana Amy atau dia punya hati pada orang lain? Ada lelaki lain yang sudah berjaya memancing hatinya? Tapi siapa? Di mana mereka bertemu? Mengapa aku, Adib tak pernah tahu?’

Adib bermonolog sendirian. Jika benar Adibahnya sudah punya orang lain, dia akan menjejaki jejaka itu hingga ke lubang cacing. Tapi masalahnya Adib tidak kenal siapa orangnya?

Tapi apakah benar Syaqiqah punya orang lain? Mustahil! Adib jadi geram bila memikirkan pertemuan dengan Syaqiqah tempoh hari. Dia mulai sangsi dengan pendirian keras Syaqiqah yang mengatakan dia tidak mahu bahagia di atas kekecewaan orang lain.

Mengapa Syaqiqah sedegil ini? Apa sebenarnya perjanjiannya dengan Amy? Adib sudah tidak tahu cara memujuk. Mahu tanya Harraz, diketawakan adalah! Sedangkan hal dia dengan Dian pun tergantung juga. Serasa Adib, sudah setahun lebih mereka langsung tidak bercakap antara satu sama lain.

“Adib!”

Adib tersentak. Wajahnya berubah pucat. Tun Adib Nasir di sisi kiri dipandang. Baru dia perasan dia sedang bermesyuarat!

“Adib ok tak?” Tun Adib Nasir menyoal berbisik. Pandangannya dibuang pada semua ahli lembaga pengarah yang sedang menanti penjelasan seterusnya.

Adib mengangguk dengan senyuman. Amy di sisi kanan dipandang dan dokumen di tangan Amy diambil. Nafas ditarik. “Maaf. Baiklah…” dan mesyuarat petang itu berjalan lancar.

 

#########

 

Senyum dikuntum melihat Adib melambainya dari jalan seberang. Tangan dilambai kembali, dan Adib membuat persediaan untuk melintas. Dia sudah menanti.

Namun kereta yang meluncur laju lebih dahulu melanggar Adib yang sudah tiba di pertengahan jalan raya. Melihatkan wajah pemandu yang mengukir senyum, membuatkan Syaqiqah amat terkejut.

“Abang!!”

Matanya terbuka. Suasana sekeliling dilihat. Dia masih di biliknya. Syaqiqah melepas nafas lega. Mimpi tadi.. terasa bagai benar. Terasa bagai ianya benar-benar berlaku.

Dian yang baru selesai menunaikan solat Subuh memandang Syaqiqah yang duduk di katil. “Adik ok?” dia bergegas menghampiri adiknya.

Syaqiqah mengangguk. Tubuh Dian dipaut erat sambil melepaskan tangisannya perlahan. Dia bermimpi Adib kemalangan dilanggat kereta dan pemandu itu adalah Amy!! Manalah dia tidak terkejut yang amat.

“Adik..” Dian yang agak terkejut mengusap belakang Syaqiqah lembut. Selalunya jika adiknya uzur, tepat pukul 7.00 pagi baru dia terjaga. Namun hasrat untuk menyoal terbatal sebaik mendengar bunyi esakan Syaqiqah.

 

##########

 

Matanya tertancap pada skrin telefon bimbit yang tertera nombor telefon yang disimpan di dalam kenalannya sebagai ‘Adib Mubarak’.

Nafasnya turun naik. Ikon gagang telefon berwarna hijau sedari tadi dipandang. Kemudian ikon mesej pula dipandang. Seterusnya ikon Whats App pula menjadi mangsa pandangannya.

Syaqiqah menekan butang kunci membuatkan skrin telefonnya tiba-tiba gelap. Dan sesaat telefon pintar berjenama ‘Lenovo’ itu disimpan di dalam beg. Namun benar hanya sesaat.

Telefon pintar itu dikeluarkan kembali dan dia menghidupkan skrin semula. Nombor telefon itu ditatap. Matanya terpejam, dan sebuah keluhan berat terhembus. ‘Iqah!! Apa masalah kau ni?’

Skrin dikunci kembali dan dibuka sesaat dua kemudian. Langkah itu diulang lagi untuk kali entah ke berapa. Membuatkan akhirnya telefon pintarnya itu digunakan untuk mengetuk kepalanya yang terasa bingung.

“Dah tak sayang fon ke adik?”

Syaqiqah tergamam saat telefon pintarnya dirampas kakak yang baru tiba. Baru dia perasan kelasnya sudah tiada pelajar. Semuanya sudah pulang. Hanya tinggal dia seorang diri tadi, dan sekarang bertiga. Dia, Dian dan Lainah.

“Iqah berangan ye..?” Lainah ketawa sambil mengambil telefon pintar milik Syaqiqah dari Dian dan memulangkannya pada Syaqiqah.

Syaqiqah hanya menguntum senyum. Dia memandang Dian, mengapa mereka berdua berkunjung bersama ke kelasnya? Pasti ada sesuatu.

“Jom! Ada orang nak belanja makan” Dian sengih.

“Jom. Iqah ikut kan? Abang Kak Lainah nak belanja” Lainah memberitahu lebih jelas.

Syaqiqah mengangguk. Mana mungkin dia tidak mengikut. Pastilah dia merisaui kakaknya seorang itu. Dan… dia masih ingat dengan jelas pandangan Ubadah terhadap Dian membawa maksud apa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s