Demi Syaqiqah – P48

Mereka berempat mengambil tempat di penjuru restoran mewah. Meja ekslusif yang memang boleh menempatkan sekadar empat orang manusia.

Ubadah berada di dalam, duduk di sisi Lainah. Manakala Dian pula bersebelahan Syaqiqah. Tapi pastilah Syaqiqah berada di bahagian dalam, akibat dipaksa kakaknya yang sentiasa risau tak tentu fasal itu.

“Saya nak pergi bilik air” Dian tiba-tiba bangun dari meja setelah pelayan selesai mengambil pesanan.

Lainah ikut bangun berdiri. “Kejap Dian, nak ikut” dan kedua gadis itu melangkah bersama menuju ke bilik air.

Ubadah tersenyum memandang Syaqiqah dan Syaqiqah membalas. Hakikatnya keduanya terasa janggal ditinggalkan bersama.

 

#########

 

Amy tersenyum-senyum memaut tangan Adib di sisinya. Bahagianya rasa dapat berjalan bersama begini. Sebenarnya Amy bahagia sejak hari pertama dia masuk kerja sebagai setiausaha Adib, kerana mereka sentiasa bersama!

Dan untuk kesekian kalinya, mereka berjalan di pusat beli belah mewah itu bersama setelah selesai menemui pelanggan penting yang datang dari negara seberang.

Mata Amy melilau melihat apa yang boleh dilihat. Sesekali dia ketawa kecil melihat gelagat manusia di situ.

“Amy..” Adib berhenti melangkah, lengannya ditarik dari pautan Amy. Sudah berpuluh kali dia pesan pada gadis itu jangan berkelakuan sedemikian. Dia tidak selesa, dan juga mereka akan disalah anggap oleh orang lain. Apatah lagi dengan perwatakan bertudung Amy, bukankah ia tidak manis?

“Kenapa?” Amy buat-buat tidak mengerti.

“Kan Adib dah cakap. Tak elok pegang tangan macam ni. Kan tak manis?” lembut Adib menegur.

Amy membuat muka. “Alah.. orang bukan peduli hal kita pun. Lagi pun, kalau Amy pegang Adib.. orang akan fikir kita suami isteri..” Amy menayangkan barisan giginya yang putih bersih itu.

Adib ketawa. “Amy kan adik.. sampai bila-bila pun adik..” Adib berkata lembut namun menegaskan hakikat itu.

Amy memaling. Geram benar dengan kekerasan hati yang ditonjolkan Adib. Saat itu dia terpandang seorang gadis bersama seorang lelaki di restoran bertentangan. Adib dipanggil. “Adib, cuba tengok tu. Tu Syaqiqah kan?”

Adib memandang. Dia terpana melihat Syaqiqah sedang duduk di meja makan bersama seorang lelaki yang tidak dia kenali. Perasaan cemburu menguasai namun dia masih waras. Segala sangkaan cuba ditolak tepi.

“Sepadan kan?” sengaja Amy menduga melihat wajah Adib yang berubah secara drastik.

Adib berdehem beberapa kali. “Jom balik office” Adib berjalan laju meninggalkan Amy di belakang. Sakit hatinya tidak terkata dengan pemandangan ‘indah’ yang dilihat.

Amy tersenyum sendiri. Nampaknya nasib berpihak kepadanya. Terima kasihlah pada Syaqiqah yang muncul tanpa diduga. Sebelum beredar, sempat Amy mengambil gambar mereka. Mahu menghantar pada Emily, biar Emily tahu sangkaannya bahawa Syaqiqah turut menyimpan perasaan pada Adib adalah salah sama sekali.

 

#########

 

Dian dan Lainah kembali dengan wajah yang lebih segar. Saat itu meja mereka telah pun dipenuhi dengan makanan yang terhidang. Ketawa kecil dia melihat Syaqiqah yang jelasnya tidak selesa ditinggalkan berdua dengan Ubadah.

-Akak minta maaf..

Lainah tergelak. “Amboi, Dian. Mentang-mentanglah aku tak faham…”

Mereka memulakan santapan beberapa saat kemudian. Syaqiqah perasan mata Ubadah sesekali yang mencuri pandang ke arah kakaknya. Namun Syaqiqah tahu Dian tidak melihatnya. Maklumlah, kakaknya itu jika bertemu makanan dunianya hanya dengan makanan. Namun dia juga hairan, bagaimanalah kakaknya itu boleh kekal kurus begini dengan selera makannya yang ‘besar’ itu?

“Dian” Ubadah memanggil.

Dian mengangkat wajah dengan kerutan dahi. Saat terlihat kotak cincin yang diletak Ubadah di atas meja, pantas tangannya menggenggam tangan Syaqiqah dari bawah meja.

Lainah yang bagai sudah tahu langsung mengeluarkan fon telinga dan mula bermain dengan telefon pintarnya. Sedang Syaqiqah hanya menjadi pemerhati.

“Apa ni?”

Ubadah menarik nafas sedalamnya. Sekaligus mengumpul segenap keberanian untuk meluahkan rasa yang telah lama bertamu dalam hati. “Dian tahu kan selama ni apa yang saya rasa?”

Dian mendiamkan diri. Baru saja dia dikejutkan ibu dengan pinangan dari anak Tok Imam, kini muncul Ubadah pula? Memanglah dia tahu Ubadah menyukainya, tapi dia tidak menyangka abang teman baiknya itu akan bertindak sebegini rupa.

“Dian tahu tak yang saya, Ubadah Abdullah mencintai Dian. Tulus ikhlas dari sudut hati saya yang terdalam..” Ubadah mencari anak mata gadis itu.

Dian menahan rasa. Tidak sangka pula abang Lainah ini pandai bermain kata. Pun begitu, ia bukanlah tiket untuk Dian memenuhi permintaannya. “Saya…”

“Saya nak sunting Dian jadi suri hati saya. Wanita yang akan dipanggil ibu oleh anak-anak kesayangan saya” Ubadah bijak bermadah.

Dian mengangkat wajah. Sekilas, sedetik, sesaat.. wajahnya diangkat. “Saya…”

“Jangan tolak dulu” Ubadah memintas kata-kata Dian yang masih belum terkeluar.

Dian mengerutkan dahi. “Ubadah..”

“Saya tahu Dian tak pernah fikirkan saya. Tapi saya minta untuk Dian bagi peluang untuk saya buktikan, saya betul-betul nak jadikan awak sebagai kekasih halal” Ubadah mengharap.

Dian melepas nafas. Dipandang sekeliling, dipandang Syaqiqah yang berpura leka dengan telefon pintarnya. Dipandang Lainah yang pastinya sedang menontong sesuatu kerana sesekali dia akan tersenyum dan tergelak sendiri.

“Boleh awak bagi saya peluang?”

“Saya minta maaf” Dian meninggikan suara.

Ubadah terpana. Baru saja dia mahu membuka suara minta diberikan peluang, Dian lebih dahulu memotong. “Sama ada hari ni, esok atau lusa.. keputusan saya takkan sesekali berubah. Saya tak boleh terima awak”.

“Awak dah ada pilihan lain..?”

Dian mengangguk, mengakui penuh jujur. “Saya dah ada orang lain. Tapi walaupun dia tak ada, tetaplah.. saya tak boleh terima awak. Bukan saya tak nak pertimbangkan, tapi saya tak nak bagi harapan pada sesuatu yang jelasnya takkan berlaku”.

“Lelaki tu.. yang hon kita hari tu? Yang naik kereta mewah Bentley tu?”

Dian menelan liur. Nafasnya ditahan turun naik. Apakah Ubadah memang mengingati Harraz atau dia sememangnya mencari tahu. Lainah dipandang. Penjelasan diperlukan.

“Dian jangan marah Lainah. Saya yang paksa dia cerita. Jadi betul lah, lelaki tu… Patutlah waktu kat restoran hari tu, dia risau sangat…” Ubadah melepaskan sebuah keluhan.

Dian diam. Atau lebih tepat lagi, mendiamkan diri. Dia langsung tidak menyangka Ubadah akan bertindak secepat ini. Lagipun, mereka bukanlah saling berkenal pun.

“Dia bertuah. Sebab awak yang pilih dia. Tapi cincin ni, saya dah niatkan untuk awak.. Kalau awak tak nak ambil sebagai tanda penolakan, boleh saya anggap awak masih bagi peluang pada saya?” Ubadah memaksa Dian menerima cincin pemberiannya dalam nada lembut berbaur ugutan. Sesungguhnya dia memang berniat membelinya hanya untuk Dian, jikapun tidak sebagai tunangan.. mungkin sebagai dua insan yang pernah berkenalan.

Dalam terpaksa, kotak kecil berwarna biru gelap itu diambil juga. Mulutnya terkumat kamit mengucapkan terima kasih. Dan juga minta maaf atas apa yang dilakukan.

Ubadah hanya mampu tersenyum lemah. Hakikatnya Lainah sudah pernah memberi amaran. Sekarang dia benar-benar ditolak di dunia nyata. Bukankah ibarat sendiri yang mencari penyakit? Pun begitu, Ubadah tetap merasa bertuah kerana sempat mengenali Dian. Wanita yang dirasakan teramat-amat istimewa.

 

###########

 

Pemandangan yang dilihat dua hari lalu masih lagi jelas terbayang pada mata. Sakit hati tidak terkata melihat wajah yang dicintai bersama lelaki selain dirinya.

Adib melepaskan sebuah keluhan. Apakah dia yang salah kerana memburu cinta lama? Bukankah sekarang Adibahnya bukan lagi Adibah yang dulu? Apakah dirinya sendiri yang tidak mahu menerima hakikat bahawa Adibahnya sudah berubah hati?

‘Tak, dia sayangkan aku!’ suara hatinya melawan dalam diam.

Memang Syaqiqah masih tidak ingat akan kejadian lalu. Namun bukankah Adib telah mencuba sehabis daya untuk mendapatkan kembali hati gadis itu? Tapi sekarang apa yang berlaku?

Bunyi pintu terbuka membuatkan lamunan Adib patah seribu. Orang yang boleh masuk ke biliknya tanpa ketukan hanya.. “Daddy”.

Tun Adib Nasir mengangguk. Dia duduk di hadapan putera tunggalnya. “Daddy nak minta tolong” sebuah fail bertukar tangan.

Adib menyambutnya dengan kerutan dahi. Fail itu dibuka dan diteliti. “Daddy nak minta…”

Tan Sri Adib Nasir menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum menyedari Adib memahami permintaannya.

“Daddy nak minta Adib pergi U ganti daddy?”

Tan Sri Adib Nasir mengangguk. “Boleh kan? Daddy ada meeting, flight petang ni nak ke Thailand”.

Adib melepas nafas. Sebuah senyuman kelat dihadiahkan. Dia terasa aneh pula mahu ke universiti menjadi pengganti daddynya. Itu membuatkan statusnya bila bertemu pengetua berubah sama sekali. “Tinjauan ke mana?”

“Bilik komputer.. boleh kan tolong daddy?”

Adib mengangguk. Selalunya Syaqiqah lebih gemar mengambil maklumat di perpustakaan berbanding bilik komputer, semogalah dia tidak menemui Syaqiqah di sana. Payah juga bila dia dan Amy bertemu Syaqiqah nanti.

 

##########

 

-Saya tahu Dian tak pernah fikirkan saya. Tapi saya minta untuk Dian bagi peluang untuk saya buktikan, saya betul-betul nak jadikan awak sebagai kekasih halal.

“Adik!” Dian mencubit lengan adik kesayangan sekuat hati. Mana tidaknya, sudah tiga empat hari berturut adiknya itu asyik mengusik dengan mengulang ayat Ubadah di restoran tempoh hari. Hinggakan ada kata-kata yang dia tidak berapa faham ketika di restoran tempoh hari, dia jadi hafal kerana Syaqiqah asyik mengulang. Seronok benar dapat mengusik kakaknya.

“Akak ada kelas lagi lepas ni. Adik nak tunggu kat mana?” Dian menyoal, mengetahui bahawa adiknya itu hanya punya kelas sebelah pagi untuk hari ini.

Syaqiqah diam berfikir. Dia juga tiada assignment untuk diselesaikan kerana semuanya sudah lengkap dan hanya menunggu masa untuk dihantar. -Bilik komputerlah.

Dian mengerutkan dahi. Bukankah Syaqiqah jarang sekali meluangkan masa di bilik komputer? “Tiba-tiba je.. selalu nak duduk library”.

-Tukar angin.. Syaqiqah sengih menampakkan barisan giginya.

Dian mengangguk. “Ada-ada aje..” dan mereka melangkah mengikut haluan masing-masing. Dian bergegas ke kelasnya, tidak mahu masuk kemudian dari pensyarahnya.

“Dian” Lainah memanggil sebaik Syaqiqah melabuhkan punggungnya. “Kau tahu tak, hari ni Adib nak datang buat lawatan. Katanya wakil bapa dia.. bapa dia ada kerja tak boleh datang”.

Mata Dian membulat. “Lawatan? Mana?”

“Bilik komputer kalau tak salah”.

“Bilik komputer?!”

Lainah memandang. Kuatnya suara Dian mengalahkah petir! “Kenapa menjerit?”

Dian menggeleng. Wajah Syaqiqah langsung muncul pada fikirannya. Sambil menggeleng kepalanya, dia tersenyum sendiri. Bagaimanalah agaknya jika Adib dan Syaqiqah bertemu? Namun Dian tidak mahu Syaqiqah berendam air mata. Lagi.

Ah, tak mungkinlah mereka bertemu. Lagipun bukan sebuah dua bilik komputer di universiti ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s