Demi Syaqiqah – P50

Dian melihat jam dinding yang jarumnya tepat menunjukkan jam dua belas tengah hari. Selimut lantas ditarik dan menutup seluruh tubuhnya. Lantas dia senyum sendiri sambil tangan sengaja menjatuhkan gelas putih yang terisi air masak di atas meja lampu tidur.

Syaqiqah muncul di pintu bilik dengan wajah termengah-mengah. Dian dihampiri. -Akak…

Dian membuka mata perlahan. “Adik.. akak peninglah..”

Syaqiqah mengerutkan dahi. -Kalau macam tu, akak rehatlah. Adik ambilkan ubat.

Baru sahaja Syaqiqah mahu bergegas mengambil ubat yang terletak di dapur, tangannya ditarik Dian. “Adik.. tapi akak dah janji dengan Adib”.

Syaqiqah memaling seluruh tubuh. Bagaimanalah dia boleh lupa hal itu? -Kalau macam tu, biar adik mesej bagitahu akak tak sihat. Tak jadi keluar..

Dian menggeleng lemah. “Akak dah janji dengan Adib.. Adik pergi dengan Adib boleh?”

-Berdua?

Dian menguntum senyum lemah. “Pak Khai ada. Dia drivekan Adib..”.

-Tapi akak.. Syaqiqah cuba menolak.

“Akak pening…” Dian memejam matanya.

Syaqiqah melepas nafas. -Kita kan boleh pergi lain kali?

“Akak dah janji dengan Adib.. Kesian dia..” Dian mula merengek dengan suara lemahnya.

Syaqiqah melepas nafas. Jemari Dian digenggam erat. -Oklah, adik pergi. Yang penting, akak makan ubat dulu.. adik pergi ambil.

Sebaik saja Syaqiqah hilang dari pandangan, Dian langsung melompat dari katil. Gembira tidak terkata dengan rancangannya yang berjaya seratus peratus. Nampaknya selepas ini, bolehlah dia memohon kerjaya di rancangan televisyen sebagai pelakon.

 

#########

 

Dia tersenyum mencapai kunci kereta yang tersangkut di tempat tersedia. Tidak sabar rasanya mahu menemui Syaqiqah kesayangan. Nampaknya pandai benar Dian mengatur rancangan.

Telefon pintar milik Syaqiqah yang telah dibungkus secantik mungkin diambil dan dicium. Tidak sabar rasanya. Sekarang dia mahu ke surau solat Zohor dan mengambil Syaqiqah di apartment.

“Adib!”

Adib menoleh. Memandang Amy yang tiba-tiba memanggil.

Amy tersengih. Tudungnya dibetulkan dan dia mendekati Adib. “Maaf. En.Adib”.

Adib tergelak dengan gelagat Amy yang dirasakan menghibur hati. “Ya, Cik Amelia?”

“Adib nak pergi mana?”

“Nak solat Zohor lepas tu balik rumah, lunch dengan mommy and daddy”.

Amy membulatkan mata teruja. “Nak ikut!”

Adib memandang. Dia mahu mengambil Syaqiqah. Bahaya jika mereka bertemu. Namun sesaat dua kemudian, dia tersenyum. Mungkin ini caranya untuk membuatkan Syaqiqah tahu betapa dia serius dengan gadis itu. “Jomlah..”

 

#########

 

Dahinya berkerut melihat Adib mengarahkan Pak Khai memasuki kawasan apartment yang dirasakan asing baginya. “Pak Khai, kita nak pergi mana?”

“Tanya Adiblah, Cik Amy” Pak Khai tersenyum-senyum.

Adib tidak menjawab namun hanya tersenyum. Matanya tetap memandang ke kiri memerhati keadaan. Senyumnya bertambah lebar bila mendapati Syaqiqah sudah menunggu di bawah. “Pak Khai, berhenti…”

“Syaqiqah?” Amy bersuara perlahan.

“Amy, Amy pindah belakang ye.. Biar Iqah duduk sini” Adib mempamerkan senyuman manis.

Amy mengerutkan dahi. Terasa darahnya naik ke kepala mendengar permintaan Adib. Geram benar dia dengan permintaan Adib. “Adib”.

“Cepatlah.. Adib nak panggil Iqah masuk kereta ni..” Adib menggesa.

Amy berpindah ke belakang. Cuba menenangkan hatinya. Mungkin dia hanya salah faham saja. Hanya salah faham.

Adib membuka pintu keretanya. Dia turun menyambut Syaqiqah. “Assalamualaikum”.

Syaqiqah menundukkan kepalanya. Menjawab salam di dalam hati.

“Jom. Mommy dah tunggu”.

Syaqiqah diam mengikut langkah Adib. Dia sedikit terkejut melihat Amy yang mencuka di belakang namun sedaya upaya mempamerkan senyum. Tubuhnya bergerak mahu duduk di sisi Amy.

“Iqah, duduk sinilah” Adib bersuara.

Dahi Amy berkerut. Dahi Syaqiqah turut berkerut. Wajah Adib sama-sama dipandang. “Duduklah” sekali lagi Adib bersuara.

Syaqiqah memandang Adib dan memandang Amy silih berganti. Namun tidak sempat mahu menolak, Adib terlebih dahulu menarik lengan baju Syaqiqah agar dia terus duduk.

“Ni untuk awak” Adib tersenyum menghulur bungkusan.

Syaqiqah mengerutkan dahi. Melihat wajah bersungguh Adib, bungkusan itu diterima. Namun wajahnya berubah bila Adib bersungguh meminta dia membuka bungkusan itu.

Nafas dilepas namun bibir tidak lekang dari mengukir senyum. Senyum menampakkan barisan giginya memandang Adib. Pantasan saja, Dian beria benar menyuruh dia pergi. Rupanya telefon pintar kesayangannya ada pada Adib.

“Suka tak?” Adib ketawa melihat senyuman lebar Syaqiqah.

Syaqiqah mengangguk. Suka benar dia dengan ‘hadiah’ itu. Dipegang telefon pintarnya yang persis seperti baru itu.

“Adib hantar servis, minta baiki semua rosak tu. Tukar housing baru, tukar skrin.. suka kan?”

Syaqiqah tersenyum lebih lebar. Hampir saja air matanya menitis kerana begitu gembira dengan perbuatan Adib.

Melihat hal itu, Adib mengeluarkan sebuah lagi bungkusan. Syaqiqah memandang dengan kerutan dahi. “Tu untuk awak bagi mommy nanti”.

Kerutan di dahi Syaqiqah bertambah. Jadi mereka bukan mahu mencari hadiah untuk Tun Maryamul Azra tapi mahu menemuinya?

“Adib nak bawa Syaqiqah jumpa aunty ke?” Amy menyoal.

Adib ketawa kecil melihat wajah Syaqiqah yang memerah bila dia terus-terusan memandang. Sesekali dia melihat gadis itu menggigit bibir menahan malu. Tidak sangka Adibahnya akan tumbuh membesar secantik ini. Rindunya pada masa lalu mereka.

“Adib” Amy memanggil.

Namun telinga Adib tidak mendengar. Matanya dan seluruh hati pemikirannya hanya tertumpu pada gadis kesayangan di sisi. Lupa terus akan kewujudan Amy di belakang.

Melihat hal itu, bara di hati Amy semakin membesar. Apakah Adib sengaja menolak kewujudannya di dalam kereta itu? Atau Adib sengaja mempamerkan rasa sayangnya pada Syaqiqah di hadapannya? “Adib!”

“Ya?” Adib baru tersedar namanya dipanggil.

“Adib nak bawa Syaqiqah jumpa aunty?”

Adib mengangguk dengan senyuman. Syaqiqah yang kehairanan dipandang. Anggukan diberikan. “Nak kenalkan bakal menantu mommy Adib.. mestilah kena bawa yang empunya diri..”

Syaqiqah membulatkan mata. Langsung saja dia mengalih pandangan ke luar tingkap. Malunya bukan main. Matanya dipejam sesekali sambil tangan menyentuh pipi yang terasa panas. Terlupa habis adanya Amy memerhati.

Amy menahan nafas yang sudah mula turun naik. Kalau dia mengamuk di situ, nampak benar ketidak matangannya. Tangan digenggam erat meredakan kemarahan, kegeraman, kekecewaan dan seribu satu perasaan yang berkumpul dalam hatinya.

Pak Khai menjeling dari cermin belakang. Tersenyum lebar melihat perilaku anak muda berdua itu. Dalam hatinya melepaskan sebuah kelegaan dan kesyukuran kerana walaupun Adibah hilang ingatan soal masa lalunya, tapi Adib masih juga berjaya menarik hati gadis itu. Dia berdehem menyedarkan Adib. “Adib, kita dah sampai”.

“Amy pening kepala, nak balik” Amy bersuara sebaik saja mereka bertiga tiba di pintu masuk utama.

Syaqiqah dan Adib memandang. Syaqiqah mengerutkan dahinya. Memandang Amy, barulah dia tersedar Amy dari tadi bersama mereka. Langsung tangan yang memegang hadiah buat Tun Maryamul Azra terlepas dari tangan, menyedari dia telah melukakam hati gadis itu.

Adib memandang Syaqiqah. Beg itu diambil dan dihulur semula. “Iqah ok?”

Syaqiqah mengangguk perlahan. Huluran Adib disambut dan tubuhnya dipaling menghadap pintu. Mengelak pandangan Amy yang jelas mempamerkan api kemarahan dan kebencian.

“Tadi kata nak jumpa mommy?” Adib bersuara lembut memandang Amy.

Amy menggeleng. “Tiba-tiba tak sedap badan. Amy balik dulu, Adib kirim salam aunty dengan uncle” Amy terus membuka langkah.

“Amy!”

Langkah Amy terhenti. Namun tidak berpaling kerana wajah sudah penuh dengan air mata. Dia benar-benar harap Adib mengerti mengapa dia berkelakuan begitu.

“Nak Pak Khai hantarkan?” Adib menyoal, risau dengan keadaan Amy. Walhal dia tahu benar mengapa Amy begitu, namun nasihat Harraz masih segar di ingatan. Jika dia tiada sebarang perasaan terhadap Amy, jangan buat Amy salah faham. Hatinya harus kuat untuk menyatakan perkara sebenar.

Amy memejam matanya. “Amy dah call teksi” langsung saja langkah diatur keluar dari villa mewah itu. Kecewanya tidak terkata dengan perbuatan Adib.

Di luar, Amy menangis semahunya. Telefon pintar dipandang, mahu menghubungi rakan meluahkan perasaan. Tangisannya bertambah hebat menyedari dia langsung tak punya rakan selain Adib. Nombor telefon yang wujud dalam senarai kenalannya selain Adib, mama dan papa hanya nombor Emily. Pun begitu nombor itu tetap dihubungi.

 

#########

 

“Amboi.. bawa hadiah untuk aunty je? Uncle tak de?” Tun Adib Nasir mesra menyapa Syaqiqah yang duduk di sisi isterinya.

Syaqiqah tersenyum manis. Wajah Adib dipandang. Itu pun Adib yang sediakan. Dia langsung tak tahu menahu tentang rancangan gila itu.

“Abang.. kali ni mungkin Iqah lupa, atau Iqah tak tahu abang ada. Tapi lain kali, mesti Iqah belikan untuk uncle kan?”

Adib sudah ketawa kecil melihat wajah Syaqiqah. Dia juga lupa hal itu. Tapi Adib tahu, daddynya sekadar bergurau dengan Syaqiqah. Mengusik gadis yang sedari tadi tersenyum itu.

“Mommy suka.. aunty suka Iqah, suka sangat. Sayang.. sayang sangat. Aunty happy Adib nak jadikan Iqah menantu aunty. Tapi… Iqah happy tak? Iqah setuju?”

Wajah Syaqiqah kembali memerah mendengar soalan itu. Mengapa mommy menyoal begini? Umi.. tolong Dibah. Tengoklah kawan umi…

“Orang kata diam tanda setuju. Betul?” giliran Tun Adib Nasir pula mengusik.

Bertambah panas wajah Syaqiqah diusik sebegitu rupa. Melihat wajah kedua orang tua yang memandang, dia mengangguk perlahan. Tidak menyedari Cik Zah, Enon dan Anum yang setia menjadi penonton sudah tersenyum-senyum sendiri.

Adib menguntum senyum lebar bila tubuh kecil Syaqiqah dipeluk Tun Maryamul Azra. Abi, umi.. Adib dah jumpa Dibah. Adib dah jumpa Dibah..

Tun Maryamul Azra memejam matanya membuatkan air matanya yang bertakung perlahan mengalir. “Fika.. impian kita dah jadi kenyataan. Adib dah jumpa Dibah.. Tak lama lagi kita akan berbesan, Fika” dia berbisik perlahan tidak menyedari Syaqiqah turut mendengar patah perkataannya. Dan Syaqiqah langsung teresak perlahan mendengar ayat itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s