Demi Syaqiqah – P52

Dia perasan akan pandangan rakan sepejabat yang memandang semacam kerana penampilan barunya. Namun dia hanya mempamerkan senyum. Peduli apa dia dengan pandangan orang lain, yang penting… Adib.

Fail di atas meja diambil dan dibawa masuk ke bilik pejabat Adib. “Maaf En.Adib”.

Adib mengangkat wajah. Tidak perasan bila Amy masuk ke pejabat tapi dia tahu itu suara Amy. Namun penampilan baru Amy lebih lagi mengejutkan.

“Nak minta En.Adib tanda tangan dokumen ni” Amy berlagak normal, profesional.

Adib menyambut namun matanya tidak lepas dari memandang Amy. Masakan dia tidak terkejut dengan penampilan itu. Memang dia berpakaian seperti kebiasaan, tapi yang membuatnya terkejut adalah kepala Amy yang tidak lagi dilitupi tudung. Sebaliknya berganti dengan rambut hitam lurus bertocang kuda. “Amy…”

Amy memandang. Dia tahu erti nada panggilan itu. Ertinya Emily benar. Adib punya rasa bersalah yang tinggi kerana menjadi penyebab dia membuka tudung. Namun hatinya menjerit kesukaan. “Maaf En.Adib, boleh tanda tangan sekarang?”

Adib melepas nafas. “Tudung mana?” Adib menyoal sambil matanya membaca dokumen yang diserahkan Amy. Sekadar berlakon walhal perhatiannya sepenuh terganggu kerana Amy.

“Kita kat office” Amy mengelak menjawab pertanyaan.

Adib menutup fail yang telah ditanda tangani. Namun fail itu tidak diserahkan pada Amy. “Sebagai seorang pekerja, awak wajib menjawab semua soalan saya”.

“Sebagai seorang majikan, adalah tidak patut menyoal hal peribadi pekerja yang tidak mengganggu sebarang urusan kerja”.

Adib diam. Amy dipandang. “Amy pergi mana seminggu tak masuk kerja? Amy marahkan Adib?”

“Ada je kat rumah.. Kalau orang tu betul-betul peduli, dia akan cari kat rumah. Bukan macam ni.. One more thing, Amy tak marah” Amy seboleh mungkin mengawal nada suaranya.

Adib mengangguk. “Adib minta maaf kalau Amy marahkan Adib. Tudung…?”

“Amy penatlah pakai tudung. Amy dah buat everything for you, tapi akhirnya.. Adib pandang orang lain. Amy kekal sebagai adik”.

“Amy bertudung sebab Adib?” Adib mengerutkan dahi. Takkanlah…

Amy mencebik. “Bukan sebab Adib, tapi sebab Amy nak jadi perempuan baik demi Adib. But at last…”

“Tak patut Amy buka tudung sebab hal ni. Syaqiqah tak…”

“Amy tak nak dengar nama dia. I hate her! I hate Syaqiqah! And most impartant thing, I hate both of you” Amy merampas fail dari tangan Adib dan segera keluar dari bilim pejabat Adib. Dan di luar, dia tersenyum meraikan kemenangan.

Adib melepas nafas. Berulang kali dia beristighfar, memohon keampunan dari Allah. Apa sebenarnya yang telah dia lakukan? Pasti Aunty Amnah bersusah hati dengan perubahan drastik dari Amy.

“Ya Allah, apa yang berlaku ni…?”

 

#########

 

Harraz tersenyum membaca mesej dari Ana. Sejak adik kesayangannya itu pergi sambung belajar di Kuwait, rajin benar dia bermesej. Maklumlah itulah satu-satunya adik perempuan yang dia miliki.

Dek kerana mata asyik menatap skrin, dia akhirnya terlanggar seorang wanita yang kebetulan keluar dari bangunan Adib Legacy.

“Amy?”

Amy tersenyum hambar. “Hai, you nak jumpa Adib ke?”

“Assalamualaikum. Ya, saya nak jumpa Adib. Dia ada?” Harraz menyoal dengan kerutan dahi. Amy masih sama, namun ketiadaan tudung yang menutupi kepala dan seluruh rambutnya membuatkan dia sangat berlainan.

Amy menjawab salam perlahan. “Ada kat atas. I pergi dulu”.

“Amy!” Harraz memanggil. Sebenarnya dia tidak mahu mencampuri urusan gadis itu, tapi sifat ingin tahu begitu menguasai.

Amy tidak jadi melangkah. “Yes?”

“Tudung..?”

“I buka. Any problem?”

“Kenapa?”

“Kepala I, rambut I. Hak I nak buka tudung. Apa kena mengena dengan you?” bicara Amy masih lagi bernada lembut namun sudah mula berbisa.

Harraz menarik nafas. Apakah gadis ini sedar bahawa dia telah melakukan hal yang begitu tidak sepatutnya? “Saya minta maaf. Langsung tak berniat nak masuk campur. Tapi kenapa Amy buat macam ni?”

“Sorry Raz. I tak banyak masa, I nak keluar lunch dan I nak sambung kerja. I tak rasa I kena jelaskan semua ni pada you..” Amy menguntum senyum nipis.

“Tak elok awak mempermainkan soal aurat” Harraz menegaskan.

Amy senyum sinis. “Well, I tahu sejak you kenal dengan Dian you dah jadi ustaz. I pun belajar agama, jadi I rasa you…” jari telunjuk ditunjuk pada Harraz. “Masih belum cukup layak untuk ajar I. Dan jangan nak sebut soal niat kat sini. Sebab hakikatnya, you pun belajar agama sebab seorang perempuan” Amy bersuara tegas.

Harraz mendiamkan diri. Sungguh dia begitu kasihan melihat Amy saat ini. Apakah perbuatannya merosakkan diri itu kerana mahu mendapatkan perhatian Adib? Lalu siapa yang menanggung salah paling besar? Amy atau Adib? Atau mungkin dia yang pernah menasihati Adib dengan nasihat yang kurang enak didengar suatu masa dahulu? Atau Syaqiqah yang tiba-tiba muncul semula setelah sekian lama?

Harraz hanya mampu melepas nafas perlahan. Dia mengucapkan istighfar berulang kali, memohon keampunan dari Allah S.W.T. sambil mata melihat Amy yang melangkah keluar.

 

##########

 

 

“Dibah..”

“Dibah…”

Dahi Syamran berkerut bila panggilannya tidak disahut anak perempuannya itu. Afiqah menoleh ke belakang untuk melihat apa sebenarnya yang sedang dilakukan Adibah. “Tidur dah..”

“Tidur? Dibah, kita dah nak sampai ni…” Syamran meninggikan suaranya.

“Biar je la dia tidur. Nanti dah sampai, bangunlah tu..” Afiqah menguntum senyum.

Syamran ketawa mengalah. “Yelah sayang..”

Afiqah mengurut bahu suaminya yang sudah mula mengantuk. Syamran tersenyum memandang Afiqah yang mengusap kandungan yang sudah mula membesar. “Macam dah tak lama baby nak keluar..”

Afiqah ketawa. Begitu juga Syamran. Kereta yang sudah mula hampir dengan lampu isyarat membuatkan kaki Syamran menekan brek kaki.

Afiqah hanya berdiam diri sambil melihat hadapan. Syamran mula panik bila brek yang ditekan kakinya tidak memberi kesan. “Fika..”

“Kenapa Syam tak berhenti? Lampu merah tu..” Afiqah memandang, kereta makin hampir dengan lampu isyarat.

“Brek tak makan” Syamran bersuara serius.

Afiqah mengerut dahi. Kaki Syamran masih cuba menekan brek. Namun tidak memberi kesan pada kereta. “Syam..” Afiqah mula bersuara panik.

Syamran cuba menenangkan diri. Mata sudah menangkap sebuah lori yang melepasi dari arah selatan. Kereta yang laju berjalan membuatkan Syamran bertambah panik. Dan sebaik kereta melepasi lampu isyarat…

Lori mengelak dari terkena kereta, membuatkan lori melanggar pembahagi jalan. Pemandu yang hilang kawalan tidak dapat mengawal stereng menyebabkan lori terbalik serta merta.

Mujur jalan kosong ketika itu. Jadi tiada kenderaan lain. Kereta yang dipandu Syamran juga hilang kawalan ketika cuba mengelak dari lori membuatkan kereta terbabas masuk ke dalam hutan yang berada di sepanjang jalan.

Kereta akhirnya melanggar sebuah pokok dan remuk di bahagian hadapan. Kepala Syamran terhantuk mengenai stereng dan kepalanya berdarah. Tangannya menyedarkan Afiqah yang sudah tidak sedarkan diri. “Sayang bangun…”

Syamran memandang perut Afiqah yang sudah terperosok ke dalam. Hanya sekali lihat Syamran sudah tahu kandungannya tidak dapat diselamatkan. “Fika..”

Tangan cuba mencapai Adibah yang berada di tempat meletak kaki. Namun pergerakannya terbatas disebabkan terhimpit membuatkan tangannya tidak mengenai anak perempuannya itu.

Syamran cuba bertahan. Namun keadaannya membuatkan dia tidak dapat bertahan lama. Dan akhirnya dia tidak sedarkan sedang tangan kirinya memegang tangan Afiqah.

Matanya terbuka perlahan. Badannya terasa tidak selesa dengan kedudukannya. Dia bangun mengambil tempat di tempat yang sepatutnya.

Mata terbuka luas bila melihat abi dan umi di hadapan. “Umi.. Bangun.. Umi” Adibah mula mengalirkan air mata.

Mata memandang abi di sisi umi. “Abi.. Bangunlah..abi..”

Adibah memandang sekeliling. Dia tidak tahu dia berada di mana. Tangannya mengejutkan Afiqah tapi uminya itu tetap juga tidak sedar. Dia menjerit dengan tangisan memanggil abi tapi abi tidak menyahut.

Adibah mula takut melihat darah yang ber’sepah’ di dalam kereta. Wajah abi umi keduanya berdarah. Tangan abi juga berdarah. Tangan umi juga berdarah.

Adibah masih lagi menangis. Kepala terasa sakit dan matanya mula berpinar. Tapi Adibah tidak mahu pengsan. Matanya gagah dibuka dan mula terasa sesuatu mengalir keluar melalui dahinya. Adibah mencalit cairan di dahi dan melihatnya.

Darah… Adibah mula meronta. Dia tidak suka darah. Dia tahu dia akan demam panas bila ada darah yang mengalir keluar. Adibah akhirnya membuka pintu kereta dan keluar dari kereta.

Mata terbuka luas bersama nafas termengah yang turun naik menyalahi kebiasaan. Sekali lagi, peristiwa itu menjadi mainan tidurnya. Dia bagaikan penonton yang dibawa menonton tayangan ulangan peristiwa kemalangan itu.

Wajah yang sudah basah dengan air mata dipegang. Langsung tidak menyedari bila saatnya air mata merembes keluar. Jari jemarinya erat menggenggam antara satu sama lain. Meredakan debaran di hati yang amat dahsyat.

Mengapa sejak dua menjak ini peristiwa hitam itu selalu bermain dan berulang tayang dalam mimpinya? Apa sebenarnya yang mahu disampaikan mimpi itu? Mengapa dia mengalami mimpi yang sama berulang kali?

Apa sebenarnya yang berlaku? Mata Syaqiqah dipejam rapat. Perlahan meredakan tangisan yang hampir teresak. Tidak mahu Dian yang tidur lena di sisinya terjaga.

‘Brek tak makan. Brek tak makan’. Syaqiqah mengulang ayat yang disebut abinya berulang kali. Mana mungkin brek kaki tidak berfungsi sedangkan kereta milik daddy kerap kali diservis. Syaqiqah masih ingat sikap abinya yang suka sekali menghantar kereta ke bengkel untuk memastikan kebaikan enjinnya. Jadi tak mungkin brek kereta tidak berfungsi.

Atau… Syaqiqah memejam mata. Peristiwa sebelum mereka keluar dari villa cuba diimbas berulang kali. Syaqiqah pasti ada petunjuknya di situ. Pasti ada sesuatu yang Syaqiqah terlepas pandang.

Namun cubaannya yang terlalu memaksa membuatkan kepala berdenyut tiba-tiba. Memaksa Syaqiqah mengaduh namun mulutnya ditutup, tidak mahu Dian terjaga.

“Adik tak boleh tidur ke?”

Terkejut Syaqiqah disapa begitu. Mujur sempat dia membersihkan wajah. Senyuman dihadiahkan buat kakak kesayangan yang sudah ikut duduk.

Dian tersenyum. Bahu Syaqiqah dipaut. “Tak boleh tidur ke…? Teringat Adiblah tu.. Esok kan Adib nak bawa keluar? Nak pergi beli cincin kan…?”

Syaqiqah hanya mendiamkan diri. Sekadar membiarkan Dian dengan kata-katanya. Dan mereka sama-sama tidur semula setelah itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s