Demi Syaqiqah – P57

Matanya sayu memandang Syaqiqah yang sudah lena di atas katil. Wajah itu dibelai dan selimut ditarik menutupi separuh tubuh Syaqiqah. “Adik…”
Jam yang menunjukkan tepat pukul empat pagi dipandang sekilas. Semalam dan hari ini pastinya adalah hari yang meletihkan buat adiknya itu. Sebuah ciuman dihadiahkan di kepala Syaqiqah sebelum adiknya itu dibiarkan berehat.
Dian memandang Harraz yang sudah pun terlelap di kusyen ruang tamu. Sebuah nafas berat dilepaskan. “Awak” Dian mengejut.
Namun Harraz diam tidak berkutik. Dian membuat muka melihat wajah Harraz yang dipenuhi lebam yang sudah mula menujukkan ‘kehodohannya’. Lupa pula dia lelaki itu bertumbuk separuh nyawa tadi.
Langkah kaki diatur menuju ke dapur. Mengambil kotak kecemasan yang tersimpan kemas di dalam laci berdekatan dengan peti ais. Setelah itu, dia membancuh jus anggur buat minuman Harraz.. sekadar menggunakan kordial yang tersedia di dalam peti ais.
Harraz terjaga bila terdengar bunyi mengganggu tidurnya. Dia tersenyum memandang Dian yang menatang dulang terisi air dan.. kotak kecemasan. “Terima kasih”.
Dian mengangguk. “Saya yang patut ucapkan terima kasih. Awak minumlah, lepas tu bersihkan luka lebam-lebam kat muka awak tu”.
Harraz mengangguk dengan senyuman. Dian tidak betah tinggal berdua dengan Harraz sekali pun pintu rumahnya terbuka luas. Dia yang mundar-mandir di situ pada awalnya memutuskan untuk masuk ke bilik.
“Kejap” Harraz memanggil, bangun dari duduknya.
Dian menoleh. Memandang wajah Harraz yang menunduk. “Awak nak apa-apa lagi?”
“Boleh kita selesaikan hal kita?”
Dian terdiam. Dia memaling tubuh sesaat dua namun kembali berpatah balik. Tanpa melihat wajah Harraz, Dian langsung mengambil tempat di kusyen berhadapan Harraz.
Harraz duduk kembali. “Saya nak minta maaf atas semua salah faham yang berlaku antara kita”.
Dian mendiamkan diri. Namun telinga mendengar setiap butir bicara yang dilontarkan Harraz. Melihat Dian sangat memberi peluang untuknya berbicara, Harraz menyambung lagi. “Apa yang berlaku pada Iqah hari ini buat saya sedar yang… masa kita kat dunia terlalu pendek. Terlalu banyak perkara yang kita tak sempat nak duga, bahkan tak pernah terfikir pun nak buat. Tapi berlaku dalam hidup sekelip mata. Dian…”
Harraz memandang wajah itu. Kali ini Dian turut memandang. Buat beberapa ketika, mereka saling bertatapan. Namun menyedari ketelanjuran, Harraz mengalih pandangannya. Menutupi hati yang mulai berkocak. “Saya tak nak terus bazirkan masa. Saya nak awak tahu yang selama ni, bila saya cakap saya sayangkan awak.. saya betul-betul maksudkan apa yang saya cakap. Memang saya jahil dulu, tapi sekarang.. saya dah cuba untuk jadi orang baru..”
Dian terus mendengar. “Memang asalnya kerana awak. Tapi sekarang, saya dah faham yang kalau tak kerana awak hadir dalam hidup saya.. selamanya saya akan hidup dalam kejahilan. Hidup dalam tunjang yang tak berteraskan agama. Terima kasih banyak Dian…”
Sungguh naluri wanita Dian tersentuh saat itu. Tidak semena-mena air matanya jatuh, mengalir perlahan. “Saya harap awak masih sudi untuk bagi peluang pada saya. Saya nak jadi imam awak, dunia akhirat…”
Dian memejam matanya rapat. Dia memberanikan diri memandang Harraz. Anggukan diberikan pada lelaki itu. “Awak hantarlah rombongan. Tapi saya minta lepas semua hal ni reda…”
Harraz sudah mengukir senyum lebar. Air mata lelakinya tumpah saat itu. Jadi inilah watak Dian yang sebenar. Inilah watak yang dilihat Ubadah sebenarnya. Watak yang membuatkan mana-mana lelaki pun jatuh cinta. Cakapnya tidak banyak, namun gerak bahasa tubuh membuktikan semuanya.
Telefon pintar Dian berdering saat itu. Dian mengangkat panggilan Adib yang memberitahu dia sudah berada di bawah. Dian meminta Adib naik ke atas saja memandangkan Harraz berada di atas. Juga Adib pastinya mahu menemui Syaqiqah.
Dian bangun dari duduknya setelah selesai berbicara di telefon pintar. Dia harus menyiapkan Syaqiqah sebelum Adib tiba. Lagi pula, Subuh juga sudah hampir.
“Adib kata ada orang masuk meminang..” Harraz bersuara.
Dian tersenyum, mujur saja dia sudah berpaling. Tanpa menoleh, Dian menjawab, “Ibu dah tolak, ibu tahu cuma ada seorang yang saya tunggu…” dan langsung masuk ke biliknya.
Harraz melepas nafas dalam senyuman. Syukur pada Allah atas segalanya. Syukur, syukur, syukur… Dia benar bersyukur atas segalanya.

#########

Dian menghulurkan cardigan nipis berwarna putih pada Syaqiqah yang menanti. Instant shawl berwarna pic turut diberikan pada adiknya itu. “Adik ok?”
“Akak…” Syaqiqah bersuara perlahan. Dia memberi anggukan meyakinkan.
Setelah memastikan Syaqiqah benar-benar bersedia, Dian membuka pintu bilik. Ternyata Adib sudah pun menunggu dengan gelisah di luar. “Masuklah”.
Adib masuk saat Dian memberi laluan. Dan Dian duduk di meja belajar yang tidak jauh dari katil, sekadar menjadi pemerhati. Sementara Harraz berdiri tegak di pintu, menjadi pemerhati sekaligus pengawal barangkali.
Syaqiqah menghulurkan senyum pada Adib. Adib duduk di sisi katil. Wajah itu dipandang sayu. “Adib minta maaf fasal Amy…”
Syaqiqah menggeleng kepalanya. “Bu…bukan sa..lah a..abang…”
Mata Adib membulat. Harraz terkejut, melafazka. Allahu Akbar di dalam hati. Syaqiqah sudah boleh bercakap? Keduanya memandang Dian serentak. Dan Dian sekadar tersenyum dan mengangguk. Walhal dia sendiri terkejut kerana Syaqiqah sudah mula bercakap banyak, fikirnya Syaqiqah sekadar boleh memanggil nama.
Adib tersenyum memandang Syaqiqah. Saat itu, air matanya tumpah lagi. Mudah benar tumpah kerana gadis kesayangannya ini. Syaqiqah… Tapi.. Apa yang dipanggil Syaqiqah tadi? “Iqah panggil Adib..”
“Abang” Syaqiqah sudah membuat keputusan. Tiada guna lagi dia merahsiakan semuanya.
Adib mengerutkan dahi. Yang memanggilnya abang hanyalah… “Dibah?”
Syaqiqah mengangguk dalam air mata. Memberitahu ingatannya telah kembali. Meyakinkan dia telah kembali semula. Adibah dah balik…
“Dibah dah ingat semua? Dibah dah tak…”
“Dibah.. dah.. i..ngat..”
“Kalau tak boleh cakap, tak cakap pun tak pe…” Adib tersenyum, susah hati melihat Syaqiqah mencuba.
Syaqiqah menggelengkan kepala. “Dibah.. dah.. ingat.. la…ma. Tak berani…”
“Tak berani bagitahu abang?” Adib menyudahkan.
Syaqiqah mengangguk. “Kak Amy?”
Adib melepas nafas. “Abang minta maaf. Abang tak sangka langsung Kak Amy…” Adib melepaska. sebuah lagi keluhan berat. Membiasakan diri bercakap dengan Adibah, sesuatu yang hakikatnya selalu dia lakukan walaupun tanpa Adibah di hadapan mata.
“Bukan.. salah.. abang kan?” ucap Adibah lambat-lambat. Namun Adib di sisi setia menanti. Baginya mendengar suara Adibah Syaqiqah adalah perkara yang sangat membahagiakan.
“Abang nak cepatkan tarikh nikah, kita buat yang utama dulu.. Abang takut Kak Amy…”
Syaqiqah mengangguk, menyetujui. “Dibah.. nak.. jumpa.. mommy dengan dad..dy. Nak ziarah.. ku..bur umi, a..bi. Boleh?”
Adib mengangguk laju. Tangannya mengesat air mata yang makin galak mengalir. Dian yang melihat turut mengalirkan air mata. Tugasnya kini adalah memberitahu ibu semuanya. Nampaknya panjanglah ceritanya nanti. Yang pasti, dia tidak akan menceritakan kejadian hari ini, tidak mahu ibu risau.
Syaqiqah menguntum senyum. Adib memejam mata rapat, membiarkan air mata terus mengalir. “Dibah ada luka-luka? Atau lebam kat mana-mana ke?”
Syaqiqah menggelengkan kepala lagi. “Teri..ma ka..sih.. selamatkan Dibah…”
Adib menguntum senyum. Dia sudah menyusun rencana. Kata Dian, Hannan meminta mereka pulang ke Melaka hujung minggu ini. Dia akan menghantar mereka sekaligus berbincang dengan Hannan soal penikahannya. Dia bimbang Amy akan bertindak di luar jangkaan lagi.
“Abang jangan.. salahkan.. Kak Amy. Di..bah yang sa..lah sebab balik.. Abang jangan..”
“Jangan risau. Abang takkan buat laporan polis. Abang pun tak nak apa-apa jadi kat Kak Amy… Macam mana pun, Kak Amy tetap adik manja abang. Lagi satu, Dibah tak salah sebab balik. Abang yang cari Dibah, abang yang bawa Dibah balik dan terima kasih sangat-sangat sebab balik..”

##########

“Amy, apa jadi ni?”
Amy memandang Emily dengan mata yang sudah begitu sembap. Kamera yang berada tidak jauh darinya diambil dan dipeluk erat. “Hantar I balik”.
“Amy, you ok?”
“I nak balik” Amy bangun sambil dipapah Emily. Kot Adib yang tersarung pada tubuhnya dikemaskan. Beg tangan dicapai dan mereka melangkah perlahan meninggalkan kelab malam yang masih meriah itu.
“You memang tak nak bagitahu I apa yang jadi?” Emily menyoal sebelum Amy turun dari kereta. Dia langsung tidak memahami apa yang berlaku. Tadi Harraz menelefon, menanyakan keberadaannya. Harraz memberitahu Harraz sangat merinduinya dan mahu mereka kembali bersama. Langsung saja, kod GPS dihantar pada lelaki itu.
Namun lama menanti, Harraz masih juga tidak muncul. Dia jadi curiga sendiri. Dan saat dia sampai di bilik Amy, Fatah sudah tidak sedarkan diri. Amy pula sedang menangis bagai ibu hilang anak di tengah bilik. Syaqiqah sudah hilang entah ke mana.
“See you” Amy bersuara lemah dan meninggalkan Emily. Langkahnya lemah memasuki banglo milik papanya. Saat ini, dia hanya mahu tidur kerana terlalu penat dan letih.
Namun saat melewati bilik kerja papanya, Amy melihat lampu menyala. Ertinya papa ada di dalam bilik itu. Langsung saja dia menyerbu masuk ke bilik itu dan memeluk papanya.
Jalal yang sedang berbincang dengan Pisau mengerutkan dahi melihat Amy yang sudah menangis semahunya. “Amy…”
“Papa.. Papa… Papa…”
Mendengar tangisan Amy yang mulai teresak, Jalal memberi isyarat pada Pisau agar dia segera berambus dari rumah itu. Tidak mahu Amy mahupun Amnah terlihatnya.
“Kenapa ni sayang..?” Jalal memandang wajah puteri kesayangan yang sudah basah dengan air mata.
“Papa.. Dibah dah balik, papa. Dibah dah balik…” wajahnya disembamkan pada dada Jalal. Menangis dan menangis lagi.
“Apa Amy cakap?” Jalal memandang wajah itu. Apakah mungkin Dibah yang diperkatakan Amy adalah Adibah Syaqiqah puteri Syamran dan Afiqah?
Amy mengesat air matanya yang tumpah lagi. “Adib jatuh cinta dengan seorang perempuan. Dia yakinkan Amy takkan ada orang boleh ganti tempat Dibah.. Tapi dia bertunang dengan perempuan tu, papa. Bila Amy tanya.. Adib cakap dialah Dibah. Syaqiqah dengan Dibah orang yang sama… Dibah hidup lagi, papa. Dia tak mati dalam kemalangan tu papa…” Amy merintih sayu. Menangisi nasib diri sendiri yang kalah pada seorang gadis yang langsung tak punya kelebihan darinya, setidaknya buat Amy.
Jalal mengalih pandangan. Cuba menyembunyikan riak terkejutnya. Jadi benarlah Adibah memang masih hidup.. Tapi.. “Amy kata Adib dah bertunang dengan Dibah?”
Amy mengangguk lagi. Setidaknya papa mendengar semua luahan hatinya, meneliti setiap butir bicaranya. “Majlis tunang kecil-kecil je.. sebab Adib tak nak kecoh-kecoh”.
Jalal menggenggam sebuah penumbuk. Fikirnya dia telah selangkah lebih maju dari Tun Adib Nasir namun sangkaannya meleset. Tun Adib Nasir telah melangkaui berpuluh langkah lebih maju. “Selama ni Amy tak tahu dia Adibah?”
Amy menggelengkan kepala. “Dibah hilang ingatan papa.. Dia sendiri tak kenal Adib. Tapi Adib cuba sedaya upaya kembalikan ingatan dia… Papa, Amy kalah papa.. Adib memang tak pernah kisah dengan Amy…”
Kertas yang berdekatan Jalal sudah pun remuk lunyai dikerjakan. Geram benar dia dengan semua ini. Ternyata Adibah masih hidup, dan kini telah menjadi tunang Adib. Jika ingatannya kembali, pasti saja dia akan menjadi saksi utama kes kemalangan itu. Dan pastinya kes itu dibuka kembali memandangkan saksi utamanya masih hidup.
Dendamnya pada Tun Adib Nasir bertambah melihat keadaan Amy yang bagai sudah tidak punya harapan untuk hidup. Berani-beraninya Adib melukakan hati puterinya sebegini rupa!! Kesalahan yang sama sekali tidak akan dia maafkan adalah melukakan hati puteri dan permaisurinya.
Amnah yang baru selesai menunaikan solat Subuh masuk ke bilik kerja Jalal dengan bertelekung. “Kenapa ni? Abang belum solat Subuh kan?”
Mendengar suara mamanya, Amy mengangkat wajah. Langsung saja tubuh itu diterpa dan dipeluk erat. Dan dia menangis lagi. “Mama….”
Melihat Amy, Amnah bingung. “Sayang.. kenapa ni?”
Jalal hanya menguntum senyum. Dan Amy pula menangis di dalam dakapan mama semahunya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s