Demi Syaqiqah – P58

Kamera di hujung katil diambil dan dihidupkan. Sesaat Amy mengalirkan air mata lagi. Kepalanya sudah berpinar kerana asyik menangis namun air mata tidak mahu berhenti mengalir.
Papa sudah pun ke pejabat. Papa ada mencadangkan mereka sekeluarga pergi bercuti, biar Jalal memohon cuti namun Amy tidak mahu. Dia tidak suka kerja papanya terbengkalai kerana masalah kecil yang dia hadapi.
Mama pula meneruskan kerja rumah seperti kebiasaan. Dan dia menangisi nasibnya di dalam bilik. Gambar yang diambil dilihat satu persatu dan wajahnya basah kembali.
“Dibah…” air matanya tumpah lagi.
Siapa yang harus dia persalahkan atas semua ini? Adib, Adibah ataupun.. dirinya sendiri? Dia yang tidak redha dengan semua takdir ini. Habis maruahnya tergadai saat dia membuka aurat untuk dipertonton pada umum.
Tapi.. Amy terbaring lemah. Gambar Syaqiqah diperhati. Mengapa baru saat ini Dibah muncul? Setelah bermatian dia cuba melupuskan Dibah dari Adibnya.
Amy berbaring meringkuk. Kot milik Adib dipeluk erat. Seerat mungkin. Dan dia menangis lagi. Gambar-gambar itu… Tangan pantas menekan butang bertanda tong sampah. Semua gambar-gambar itu dipadam dengan banjiran air mata.
Cukuplah. Cukuplah dia merosakkan diri dan hidup kerana seorang lelaki bernama Adib Mubarak. Sudahlah Amy.. Mulai saat ini tiada lagi Adib Mubarak dalam hidupnya. Mulai detik ini, tiada lagi Adib Mubarak di dalam hidup seorang Amelia Jalal.
Susah bagaimana pun, Amy akan cuba. Nafas dilepas perlahan. Tangisan dilepas lagi. Menangis semahunya. Hari ini dia mahu menangis hingga kering air mata. Dan setelah ini, tidak akan ada lagi air mata untuk lelaki bernama Adib Mubarak.

#########

Hannan menyarung baju kurung berwarna hitam ke tubuh. Dan jam dinding dijeling. Sudah hampir pukul tujuh pagi, mengapa Syaqiqah masih belum menghubunginya?
Tudung berwarna kelabu cair dicapai dan diletakkan di atas katil. Setelah sanggul rambutnya dirapikan, barulah tudung itu tersarung pada kepala. Dan jam dinding diperhati lagi.
Ke mana pula perginya Syaqiqah saat ini? Bila mendengar telefon pintarnya menjerit minta diangkat, langsung saja Hannan berlari ke ruang tamu.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Akak.. adik mana?”
“Ada dengan akak ni…”
Hannan melepas nafas lega. Air matanya jatuh kerana terlalu risau. Langkah kaki diatur ke luar setelah semua begnya diambil. Fail-fail di atas meja turut dimasukkan ke dalam kereta. “Kenapa akak tak buat video call?”
Dian mendiamkan diri. Dipandang Syaqiqah di sisi. Syaqiqah tersenyum mengambil telefon pintar dari pegangan Dian. “Ibu”.
“Adik?”
“Ya ibu, adik ni” Syaqiqah bersuara lemah.
“Adik sihat? Ibu risau sangat, ibu tak tahu kenapa ibu tak sedap hati sangat malam tadi”.
“I..bu jangan risau… Adik o…k”.
“Alhamdulillah..” Hannan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. “Jangan lupa balik Melaka tulat ni. Ibu tunggu tau..”
“Ya ibu. Ibu.. nak ke se..kolah kan?”
“Ya.. Ibu dah masuk kereta ni. Ibu tunggu adik call. Risau tau..” Hannan menghidupkan enjin kereta. Membiarkan enjin panas seketika.
Syaqiqah menggenggam erat jemari Dian. Air matanya mengalir, rasa bersalah menggunung kerana menyusahkan hati ibu kesayangan. Tapi dia juga sama seperti Dian. Peristiwa ini sama sekali tidak akan diceritakan pada ibu. Dia tidak mahu ibu bersusah hati. “Adik minta ma…af buat.. ibu risau. Ibu pergi se..ko..lah dulu ye.. Nanti adik.. call lagi. Assa..la..mualai..kum”.
Hannan meletakkan telefon pintar ke dalam beg tangannya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan dua puterinya. Tapi dia tidak mahu memaksa mereka bercerita. Hannan yakin puteri-puterinya sudah cukup dewasa untuk tidak buat dia susah hati.
Sementara Syaqiqah di rumah menyerahkan semula telefon pintar pada Dian. Dian mengambil dan memandang Syaqiqah. “Akak dah masak sarapan.. adik nak makan?”
Syaqiqah tersenyum. Jujur dia langsung tidak punya keinginan untuk bersarapan, namun usaha Dian tidak mahu dipersiakan. Syaqiqah tahu sedalam mana kasih sayang Dian padanya. “Lapar…”
Dian ketawa kecil. Dian mahu menghidang di bilik tidur saja namun Syaqiqah tidak mahu. Katanya bilik tidur adalah tempat tidur. Syaqiqah bertegas mahu bersarapan di meja makan.
Dian mencadangkan agar mereka tangguhkan saja keinginan untuk berkunjung ke villa Adib namun Syaqiqah menegah. Katanya berehat sehari sudah lebih dari cukup. Lagi pula, dia tidak sabar bertemu Tun Adib Nasir dan Tun Maryamul Azra sebagai Adibah.

##########

Dia ketawa menggeleng kepala melihat Adib yang baru selesai berbual dengan Dian. “Sudah-sudahlah tu Dib..”
Adib menjeling memandang Harraz yang sedang membaca dokumen kerja usaha sama syarikat mereka. “Sibuklah kau”.
Harraz melepas nafas. Adib dipandang sekilas dan dokumen kerja kembali dibaca. “Kalau aku jadi Dian, dah lama aku tutup fon. Mana taknya, selang setengah jam call.. tak rimas ke?”
Adib sengih. “Dian tahu aku risaukan tunang aku. Tapi kan.. memang lainlah Dian hari ini. Kalau ikut perangai dia yang selalunya, paling-paling pun mesti ada membebel sebab aku kacau dia. Tapi ni.. dia jawab je apa aku tanya”.
Harraz tersenyum mendengar. Apa mungkin kerana peristiwa pagi tadi? Dia senyum saja sendiri.
Adib mencapai pen di hujung meja. Matanya berkelip kelip melihat Harraz yang tersenyum-senyum. “Mesti ada benda jadi pagi tadi kan?”
“Apa?” Harraz mengangkat wajah.
Adib mencebik. “Yelah. Yang kau senyum melebar bila aku sebut nama Dian ni kenapa? Korang dah baik ke?”
Harraz sekadar mengangkat bahu. Adib memandang, membuat wajah serius. “Tengku Harraz Tengku Hafzan..”
Harraz ketawa. “Dian suruh aku masuk meminang”.
Mata Adib membulat, penuh teruja. “Apa? Betul ke? Serius?”
Harraz ketawa kecil. Adib ikut tersenyum. Baguslah jika salah faham antara Dian dan Harraz sudah selesai. Saat itu dia menangkap emel masuk melalui komputer ribanya.
“Raz..” Adib memusingkan skrin agar Harraz melihat.
Harraz melepas nafas membaca emel yang dihantar Amy. Surat perletakan jawatan serta merta. “Mungkin ni yang terbaik, Dib”.
Adib mengangguk menyetujui. “Aku ingat nak jumpa Amy”.
“Tak payahlah Dib. Kalau kau jumpa dia sekarang, akan buat dia lagi marah dengan kau, dengan Iqah. Baik kau lepaskan je…” Harraz akhirnya menanda tangani dokumen yang sudah selesai dibaca dan diteliti.
Adib mendiamkan diri mendengar kata-kata Harraz. Mengakui kebenarannya. Pun begitu, dia langsung tidak menyangka pengakhiran hubungannya dengan Amy akan hancur sebegini.

#########

Batu nisan berwarna hitam itu dicium lama. Dibah minta maaf sebab tinggalkan umi hari tu. Dibah minta maaf sebab lambat datang ziarah umi. Dibah minta maaf, umi.
Kubur di sebelah kiri pula dipandang. Batu nisannya dibelai dan dicium lama juga. Abi.. Dibah dah datang. Dibah minta maaf abi, tinggalkan abi macam tu je.. Minta maaf sebab Dibah lambat ziarah abi. Maafkan Dibah, abi.
Seterusnya dia maju pada kubur kecil yang berada sedikit atas dari kubur umi dan abinya. Batu nisan itu dicium lama. Adik.. akak dah datang. Batu itu diusap penuh kasih. Nama Abidah Afisya terukir pada batu nisan kecil itu.
Adib memberitahu semasa pihak polis menemukan Syamran dan Afiqah, keduanya sudah tidak bernyawa lagi. Afiqah dikejarkan ke hospital untuk diperiksa kandungannya. Namun bayi itu sudah tidak bernyawa, kelemasan terlalu lama.
Namun jasadnya sudah sesempurna bayi yang baru dilahirkan. Doktor sudah mencuba segala cara namun bayi itu tetap tidak bernyawa semula. Sementara namanya diberikan oleh umi. Afiqah ada memberitahu Tun Maryamul Azra tentang nama itu beberapa hari sebelum mereka bergerak ke Muar.
Air mata Syaqiqah mengalir perlahan melihat ketiga-tiga pusara keluarga kesayangannya itu. Dian di sisinya memaut bila terperasan Syaqiqah menangis lagi. “Adik…”
“Adik sa..lah kak.. Kalaulah adik cari ban..tuan, bukan pergi macam.. tu je.. Mungkin seka..rang ni.. abi, umi dan adik ada lagi… Adik yang salah…” tubuh Dian dipeluk erat.
“Dibah tak salah” Adib yang mendengar menegaskan. Tidak mahu Adibahnya asyik terlalu menyalahkan diri.
Syaqiqah memejam mata. Buku Yaa Sin yang sudah selesai dibaca dimasukkan semula ke dalam beg. Jag terisi air bunga yang disediakan Dian dituang pada ketiga-tiga pusara. Keadaan pusara yang sangat baik membuktikan Adib sekeluarga menjaganya dengan begitu teliti.
“Adik ok tak ni?” Dian menyoal risau, bimbang benar emosi adiknya terganggu semula. Dia tidak mahu Syaqiqah menjadi pendiam semula. Dia tidak mahu Syaqiqah kembali menjadi gadis yang tidak ‘pandai’ bercakap.
Syaqiqah tersenyum memandang Dian dan Adib yang jelasnya kedua merisaui. “Adik ok. Cu…ma ter…kesan…. sikit…” dan air matanya perlahan mengalir.
Dian melepas nafas. Syaqiqah telah menceritakan peristiwa kemalangan itu. Sejujurnya, jika dia berada di tempat adiknya itu… dia juga pasti akan rasa bersalah. Tapi soalnya tiada siapa yang patut dipersalahkan saat ini. Bukankah ketika itu Syaqiqah terlalu muda untuk memahami erti kemalangan?
“Dibah jangan salahkan diri. Kalau mommy tahu Dibah macam ni, mahu mati mommy kerjakan abang nanti” Adib cuba bergurau.
Syaqiqah menganggukkan kepalanya. Saat ini dialah Adibah dan dialah Syaqiqah. Dialah Adibah Syaqiqah yang palinh beruntung di dunia. “Ok! Jom jumpa… mommy dengan… dad..dy pula!”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s