Demi Syaqiqah – P59

Tun Maryamul Azra memandang suaminya di sisi. Bagai tidak percaya dengan kenyataan yang diberikan Adib tadi. Ingatan Syaqiqah sudah kembali, dan hari ini dia akan datang sebagai Adibah.. bukan Syaqiqah.
“Dibah dah balik… Dibah dah balik…” tubuh Tun Adib Nasir dipeluk erat.
Tun Adib Nasir mengusap belakang isteri kesayangan penuh kasih. Dia sudah pun tahu akan perihal ingatan Adibah yang telah kembali. Cuma dia tidak memberitahu isterinya kerana mahu Adib memberitahunya sendiri.
Cik Zah yang memerhati bersama Enon dan Anum memberanikan diri maju ke hadapan. “Maksud puan?”
Tun Maryamul Azra maju mendekati Cik Zah. Tangan Cik Zah dipaut. “Kak Zah… Anum, Enon” dia memanggil ketiga-tiga pembantu rumahnya. “Dibah dah balik… Hari tu, dia datang sebagai Syaqiqah tapi sekarang.. ingatan dia dah sembuh. Dia datang sebagai Adibah..! Dibah kita dah balik” air mata Tun Maryamul Azra menitis perlahan.
Anum dan Enon saling memandang. Adibah mereka sudah kembali! Enon yang sememangnya menjaga Adibah sedari kecil pantas saja teresak-esak mendengar hal itu.
“Enon happy ye?” Tun Maryamul Azra memandang Enon yang berdiri berkepit dengan Anum.
Enon menganggukkan kepalanya. Sewaktu bertemu Syaqiqah hari itu, dia terasa pilu saat Syaqiqah hanya senyum kosong memandangnya. Tapi kini, ingatannya telah kembali. Enon ingin sekali tahu apa pandangan Syaqiqah terhadapnya.
Suara Pak Mat berbunyi di interkom memberitahu Pak Khai sudah pulang. Mereka semua menanti di pintu. Melihat Adib membukakan pintu untuk Syaqiqah saja sudah membuatkan semuanya mengukir senyum lebar.
Syaqiqah menggenggam erat jari jemari Dian, menyembunyikan rasa gemuruh yang menguasai diri. “Assalamualaikum.. Mommy, daddy, Dibah… dah balik…”
Tun Maryamul Azra menerpa memaut tubuh kecil milik Syaqiqah. Kepalanya diusap dan dicium penuh kasih. Sekilas hatinya menjerit memanggil sahabat baik yang telah lama meninggalkan dunia ini.
“Mommy rindu…” ucap Tun Maryamul Azra perlahan.
Adib ketawa melihat. Nampaknya selepas ini, keadaan kesihatan mommynya akan kembali dan mungkin bertambah sangat baik dengan keberadaan Adibah. “Sembang kat dalamlah, mommy. Ni kat pintu tau..”
Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Tangan laju menarik tangan Syaqiqah minta dipapah. “Jom..”
Adib ketawa melihat. Tun Adib Nasir dan Adib melangkah bersama. Cik Zah memandang Dian yang termangu sendiri. Bagai ditinggalkan pula.
“Silakan Cik Dian, maaflah sebab satu rumah ni gembira sangat bila tahu Dibah dah sihat..” Cik Zah berkata sambil menyambut bakul buah yang dihulur Dian.
Dian tersenyum. Dia mengerti. Maklumlah di villa mewah inilah Syaqiqah dilahirkan dan dibesarkan hingga berumur enam tahun. Pasti saja seisi villa ini menyayanginya sepenuh hati.
Syaqiqah bangun dari kusyen setelah Tun Maryamul Azra sudi melepaskannya dari pelukan. Menuju pada Enon yang berdiri tidak jauh dari mereka. Hanya memerhati sedari tadi. “Kak Enon..”
Enon yang sememangnya sangat sensitif orangnya langsung saja mengalirkan air mata saat mendengar namanya dipanggil. “Dibah…”
Tubuh Enon dipaut dan dipeluk erat. “Dibah dah balik..”
Enon mengangguk laju mendengar kata-kata Syaqiqah. Tubuh itu dipeluk erat, wajah itu dipandang dan dicium berulang kali. Dipeluk dan dicium lagi, sungguh benar dia rindu pada anak ini.
Adib yang melihat tergelak. “Kak Enon, melebih nampak.. Bakal isteri Adib tu!” sengaja Adib menjerit, mengusik.
Enon ketawa mendengar kata-kata Adib. “Kak Enon rindu sangat… Adib cemburu ke?”
Adib langsung bangun dari sofa dan mendekati Syaqiqah dan Enon. “Mestilah cemburu.. Lagi beberapa minggu nak sah ni…”
Enon mengerutkan dahi. Bukannya masih ada tempoh lagi lima bulan? Apa yang berlaku? Mengapa tarikh pernikahan dipercepatkan?
Syaqiqah hanya menggeleng kepala melihat ‘ketidakmatangan’ yang sengaja Adib pamerkan. Mereka masih belum berbincang soal tarikh nikah yang mahu disegerakan. Ini juga tujuannya ke mari hari ini.
Tun Adib Nasir menguntum senyum sambil memaut tubuh isteri. Jika ingatan Adibah sudah benar-benar sembuh, dapatlah dia meneruskan rencananya. Dia mahu membuka kes kemalangan itu kembali. Kerana Tun Adib Nasir yakin ia bukan sebuah kemalangan biasa, dan kini saksi utamanya telah kembali.
Dian hanya memerhati dengan senyum nipisnya. Syaqiqah sebagai Adibah tampak sangat bahagia pada matanya. Setidaknya dapatlah Syaqiqah melupakan peristiwa buruk beberapa hari lalu. Dan kini, Dian sebagai kakak harus berfikir bagaimana mahu menjelaskan semuanya pada ibu.

#########

Wajah itu dipandang menyinga. “Bodoh! Aku bayar kau buat kerja, bukan duduk goyang kaki!”
“Tapi bos..”
“Aku tak minta jawapan!” sekali lagi kepala itu diluku.
Pisau terdiam. Tahu benar Jalal sangat marah padanya. Tapi bukannya dia tak buat kerja, cuma keadaan benar-benar tidak memihak padanya. Manalah dia tahu rupanya Tun Adib Nasir sudah lama menemukan Adibah Syaqiqah.
Jalal mengetuk meja mengikut nada, memikirkan sesuatu. Bagaimana harus dia selesaikan soal ini? Kata Amy, ingatan gadis itu sudah kembali. Jika benar ingatannya sudah kembali, pasti Tun Adib Nasir akan mencuba segala cara untuk mencari kebenaran di sebalik kemalangan berbelas tahun lalu.
“Bos nak aku habiskan budak tu?”
Jalal mengetap bibir. “Bodoh! Kalau aku habiskan budak tu, dengan kita sekali habis tau! Dah confirmlah laki tua tu cari separuh mati kalau budak tu hilang..”
Pisau diam. Dalam diam, hatinya sedikit membengkak. Ucapan pertama bodoh, ucapan kedua juga bodoh. Sedangkan selama ini dialah yang setia berkhidmat pada lelaki itu. “Bos nak aku buat apa?”
Jalal melepas nafas. “Macam nilah.. buat sementara ni kau perhati dulu budak tu.. Mungkin beberapa hari sebelum tarikh nikah, kita simpan budak tu.. Tengok laki tua tu macam cacing kepanasan nanti.. puas juga hati aku”.

#########

Dia tenang di pejabat sambil memerhati fail kes-kes di bawah jagaannya. Sesekali DSP.Ghazali mengangguk-angguk sendiri. Dan terkadang dia tersenyum membaca nota kecil yang tertulis di lampiran.
Bunyi ketukan pintu menarik perhatian DSP.Ghazali, menunggu hingga Fazri yang masih kekal sebagai pembantunya membuka pintu bilik. “Maaf tuan”.
“Ya?”
“Tun Adib Nasir nak jumpa”.
Dahi DSP.Ghazali berkerut. Tun Adib Nasir? Jika Tun Adib Nasir mahu menemuinya, hanya punya satu sebab. Apakah Tun Adib Nasir benar-benar mahu membincangkan hal itu? Rasanya kali terakhir mereka bertemu sekitar lima tahun lepas.
“Tuan” Fazri memanggil.
“Ya, dia kat bawah?”
Fazri mengangguk. DSP.Ghazali lantas bangun dari kerusi dan menyalin pakaian seragamnya. Fazri beredar dari bilik. Dan DSP.Ghazali melangkah maju menuju ke tingkat bawah, menemui Tun Adib Nasir yang semestinya menunggu di dalam kereta. Nampaknya selepas ini, bolehlah dia membuka kembali kes kemalangan yang misterinya tidak selesai itu.

#########

Adib menekan brek kaki Bentley Mulsanne milik Harraz yang dipandunya. Harraz di sisi masih lagi lena dibuai mimpi. Maklumlah, sejurus Harraz pulang dari London, dia langsung memaksa Harraz mengikutnya menghantar Dian dan Syaqiqah ke Melaka.
Dia tidak mahu Syaqiqah ke Melaka menaiki bas kerana bimbang Amy akan bertindak di luar kawalan lagi. Dan Harraz mengikut kerana Adib tahu, jauh di sudut hati Harraz pastilah dia juga merisaukan bakal tunangannya yang bernama Dian itu.
Syaqiqah langsung membuka pintu kereta sebaik saja Adib mematikan enjin. Berlari masuk ke dalam rumah yang sememangnya pintu terbuka luas. “Ibu!!”
Sudip yang berada di pegangan Hannan terlepas. Terkejut mendengar jeritan yang tidak pernah didengar. Tubuhnya terhinjut akibat dipeluk dari belakang secara tiba-tiba.
“Ibu…”
Hannan mengerut dahi. Bukan suara Dian.. juga bukan sikap Dian manja sebegitu. Syaqiqah? “Adik?” Hannan berpaling.
Syaqiqah tersenyum dan menghadiahkan ciuman di kedua pipi Hannan. “Ibu, adik balik” lancar Syaqiqah berkata-kata.
Hannan mengetap bibir. Menahan air mata yang hampir saja mengalir. Tangan mengusap pipi Syaqiqah yang sangat disayangi. Anak bongsu yang tidak mungkin ada gantinya.
“Adik cakap dah lancar” Syaqiqah memaut tangan Hannan.
Hannan mengangguk. Air matanya dikesat Syaqiqah. “Kenapa ibu nangis ni?”
Hannan menggeleng. Menghidu sesuatu terbakar, Hannan langsung berpaling kembali. Ayam gorengnya di dalam kuali hampir saja gelap gelita. Pantas ayam goreng itu diangkay dari kuali.
“Tak pe ibu, yang hangit ni.. adik makan” Syaqiqah sengih sambil memandang kuali.
“Yelah sayang.. mana akak?”
Syaqiqah ketawa kecil. “Akak tertidur… adik tinggal je. Ibu tahu, dengan Harraz pun tertidur sekali.. Jodoh tak?”
Hannan mencekak pinggangnya. “Amboi adik.. adik tu ada lagi setahun nak habis belajar. Akak dah janji dengan ibu, selagi adik tak habis belajar.. adik dengan akak tak boleh kahwin”.
Syaqiqah sengih. Tahu ibunya bergurau. Jenuh juga Hannan bersilat dengan Tun Maryamul Azra soal tempoh pertunangan dia dan Adib dahulu. Akhirnya ibu bersetuju juga dengan Tun Maryamul Azra. Lalu, jika Adib mahu mempercepatkan lagi tarikh pernikahan tanpa memberitahu sebab musababnya, apakah ibu bersetuju?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s