Demi Syaqiqah – P60

Suasana makan tengah hari tampak bersahaja dan tenang saja di rumah kampung itu. Hannan gembira melayani Harraz dan Adib yang berselera menjamah ikan keli salai masak lemak cili api masakannya. Bertambah berkali-kali.
Mereka berempat sudah pun bersetuju tidak akan membicarakan hal di meja makan. Mereka tidak mahu selera termati andai ada yang Hannan tak bersetuju.
Hannan memandang keempat-empat anak muda itu. Syaqiqah dan Dian di sisinya nampak lain. Begitu juga Harraz dan Adib di hadapannya. “Ada apa?”
Adib mengangkat tangan. “Adib cakap dulu, mak cik. Adib nak percepatkan tarikh nikah”.
Hannan mengerutkan dahi. Terkejut, namun bukan sikapnya melenting tak tentu fasal. Harraz dipandang. “Harraz?”
Harraz menarik nafas. Dia memang tahu Hannan adalah seorang wanita yang tenang. Jadi… “Harraz nak masuk meminang Dian”.
Hannan mengangguk kecil. Hal ini, dia telah lama menjangkanya. Mungkin Harraz hanya mahu bertunang dahulu. Buat Hannan, biarlah Syaqiqah selesai dahulu dan Dian kemudiannya. Kalau serentak, Hannan memang tak setuju.
Syaqiqah dipandang. “Adik ada?”
Syaqiqah memaut jari jemari Hannan yang memegang secawan teh itu. Tangan itu digenggam erat dan diusap. “Ibu.. Adik dah jumpa. Adik dah jumpa keluarga kandung adik..”
Kali ini Hannan tidak lagi tenang. Cawan kaca yang berada di tangan terlepas perlahan dan tumpah di atas kainnya. Terkena pada peha, namun Hannan tidak merasakan hal itu.
Dian berlari ke dapur mengambil kain lap. Tangan laju mengesat tangan dan kain Hannan. “Ibu, panas ni…”
Hannan memandang Dian. Baru dia tersedar akan airnya yang tumpah. “Ibu tukar kain” Hannan bersuara sepatah dan berlalu masuk ke bilik.
Syaqiqah memandang Dian. Dian menguntum senyum dan memberi anggukan. “Ibu terkejut tu.. Adik pergilah pujuk..”
Syaqiqah membalas senyum Dian. Harraz dan Adib dipandang. “Iqah masuk jap”.
Harraz mengangguk dengan senyuman. Begitu juga dengan Adib. Antara ketiga-tiga berita yang disampaikan mereka, nampaknya hal itu paling mengejutkan Hannan. Nampaknya hal itu memang tidak pernah diduga oleh Hannan. Apa mungkin dia telah pun lupa akan Syaqiqah hanyalah anak angkat?
“Maaflah Harraz, Adib.. korang kena tunggu Iqah pujuk ibu dulu. Kalau tak ibu tak keluar bilik tu…” Dian menyuarakan rasa bersalah sambil meletak kain lap di dalam pinggan yang tersedia.
Harraz tersenyum. Sejuk hatinya memandang wajah itu. Sejak kesefahaman mereka dicapai, Dian telah berubah menjadi seorang Diana. Benar-benar wanita yang menepati setiap aspeknya. Harraz ketawa sendiri saat teringat gelagat Ana yang begitu gembira saat dia memberitahu mahu menikahi Dian.
“Kenapa kau gelak?” Adib menyoal sambil menyiku Harraz.
“Aku teringat Ana”.
Dian mengerutkan dahi. “Awak dah bagitahu Ana?” dia bagai tahu apa yang dimaksudkan dengan teringat.
Harraz mengangguk. “Suka sangat dia.. Dia kata nanti dia nak balik, dia mesti balik..”
Dian membuat muka menahan malu. Tangannya memegang pipi yang terasa panas. Adib memandang merpati dua sejoli itu. “Apa yang korang cakap ni? Aku tak faham..”
“Tak faham sudah” Harraz menjelir lidah.
Dian senyum tersipu. Hanya memerhati dua sahabat yang bakal menjadi keluarganya itu. Namun dia lebih memikirkan ibu dan adik. Apakah adik berjaya menyejukkan hati ibu?

#########

“Ibu….” Syaqiqah mendapatkan Hannan yang duduk di hujung katil, menghadap luar tingkap.
Hannan mengesat air matanya. Dia yang sedang bermesej dengan Dr.Zati merangkap teman rapatnya langsung menggelapkan skrin telefon pintar.
“Ibu..” Syaqiqah duduk bersimpuh di atas lantai, tepat di hadapan Hannan.
Hannan melepas nafas. Tangan kanannya mengusap wajah itu, manakala tangan kirinya menyapu lembut kepala Syaqiqah yang dilutupi tudung bawal berwarna hijau daun pisang.
Air mata Syaqiqah menitis melihat ibunya. “Memang adik dah jumpa keluarga kandung adik…”
Hannan menggelengkan kepala. “Ibu tak nak dengar”.
“Ibu, adik tak tinggalkan ibu..” Syaqiqah meyakinkan.
Hannan mengesat air mata perlahan. “Ibu tak pernah fikir adik ni anak angkat. Sejak hari pertama ibu jumpa adik.. Tak pernah terdetik yang adik ni cuma anak angkat ibu. Sebab tu ibu dengan arwah abah jaga, didik sampai adik tak pernah rasa kurang dari akak…”
Syaqiqah mengangguk. Kepala dilentokkan di ribaan Hannan. “Adik tahu ibu, arwah abah, akak.. sayang sangat kat adik. Adik tak pernah rasa.. adik tinggal dalam keluarga angkat, ibu. Adik bersyukur sangat sebab orang yang jumpa adik hari itu.. ibu. Kalau tak adik pun tak tahu apa nasib adik sekarang..”
Hannan memaut kepala Syaqiqah, dicium penuh kasih. “Dari awal ibu nampak adik, ibu dah rasa sayang sangat dengan adik. Bila adik kata dah jumpa keluarga kandung..” air mata Hannan mengalir kembali.
“Ibu, keluarga kandung adik dah tak ada” Syaqiqah memotong. Bimbang ibunya tersalah faham. Dari tadi mengalir air matanya tanpa mendengar dahulu kata-kata Syaqiqah.
Hannan terdiam. Sudah meninggal dunia? Keduanya? “Dua-dua?”
Syaqiqah mengangguk. “Kemalangan ibu”.
Hannan langsung memaut kepala puteri tercinta. Dia tahu pastinya Syaqiqah sedih dengan berita yang diterima. “Ibu minta maaf..”
Syaqiqah menggeleng. “Adik tak marah ibu.. Adik cuma nak ibu tahu yang adik dah jumpa keluarga kandung adik..”
Hannan mengangguk. Air matanya dikesat. Terlebih berdrama pula dia. Iyalah, dia fikir Syaqiqah mahu kembali kepada keluarganya. Manalah dia tahu keluarga gadis itu sudah tiada.
“Ibu… ada lagi.”
“Ya?”
“Abi adik.. dia kawan baik Tun Adib Nasir”.
Hannan mengerut dahi. Dan nafas dilepas. “Banyaknya rahsia adik sekarang…”
Syaqiqah tersengih. “Adik minta maaf ibu. Tapi adik memang nak cerita semuanya…”
“Betul semua?” Hannan menyoal.
Syaqiqah terdiam. Teringat perihal diculik Amy tempoh hari. Takkanlah perkara itu mahu diceritakan juga pada ibu? Syaqiqah benar-benar tidak mahu ibu susah hati kerananya. “Ibu jom keluar. Lama dia orang tunggu jawapan ibu..”
Hannan membiarkan Syaqiqah menarik tangannya. Dia tahu ada sesuatu yang disembunyikan puterinya. Tapi apa? Dan mengapa harus disembunyikan? Hannan membiarkan persoalan itu berlalu.

#########

Malam itu Harraz dan Adib dijemput makan bersama sebelum mereka pulang ke hotel. Usai makan malam, mereka berbincang semula.
“Mak cik benarkan Harraz masuk meminang Dian. Tapi.. Harraz tahu kan? Nak handle Dian bukan macam handle Iqah” Hannan memandang serius.
Dian memandang wajah ibu. Tahu benar ibunya sedang memerli dalam diam. Namun dia tidak bersuara, bimbang tidak beradab.
“InsyaAllah mak cik. Saya yakin saya boleh, dan kalau saya tak boleh… saya tahu Dian akan beri kerjasama dengan saya” Harraz menjawab perlahan.
Hannan mengangguk. Nampaknya cerita Dian soal pemuda yang telah berubah itu benar, moga benarlah dia berubah kerana agamanya bukan wanita yang dicintainya.
Hannan memandang Adib pula. “Tapi Adib.. mak cik tak benarkan. Setahun.. tak lama kan?”
Adib memandang Hannan. Harraz memandang Adib. Syaqiqah dan Dian memandang antara satu sama lain. Mereka berdua sudah menjangkakan hal ini. Mungkin ibu akan memberi keizinan jika Adib berterus terang. Tapi Dian dan Syaqiqah yang tidak mahu fikiran ibu terganggu.
“Mak cik..”
“Keputusan mak cik tetap. Mak cik nak tunangkan tiga tahun, tapi Tun Maryam minta setahun mak cik setuju. Jadi kali ni mak cik nak hormati permintaan mak cik. Mak cik nak Iqah habis belajar..” Hannan bertegas.
“Saya me..”
“Jangan merayu” Hannan memotong. Syaqiqah dipandang. Ada sesuatu yang disembunyikan gadis itu. Pasti ada kaitannya dengan permintaan Adib mahu mempercepatkan tarikh pernikahan. Tapi apa? Dia tetap mahu tahu, sebagai seorang ibu dia harus tahu!
Syaqiqah memaut tangan Hannan. “Ibu…”
“Adik pun? Dah tak sabar nak kahwin ke? Tak nak habiskan belajar?”
“Bukan macam tu ibu..” Dian menyampuk, tidak mahu bergaduh di hadapan Adib dan Harraz.
“Akak diam” Hannan bersuara tegas,nadanya sedikit tinggi.
Dian terdiam.Kenapa ibu tiba-tiba marah begini? Bukankah isu keluarga kandung Syaqiqah sudah selesai?
“Boleh, adib?”
Adib mendiamkan diri. Memang padanya setahun tidak lama. Dia telah menunggu dua puluh tahun lebih untuk bertemu Adibahnya, lalu apa salahnya untuk menunggu setahun lagi?
Tapi itu bukan persoalannya sekarang. Sejak kejadian tempoh hari Adib sentiasa risaukan keselamatan gadis itu. Mengupah pengawal peribadi pastinya mudah tapi itu tidak cukup membuatkan dia berhenti merisaui Syaqiqah.
“Mak cik, saya nak bincang dengan mak cik boleh?” Adib memberanikan diri bersuara.
Mereka semua memandang Adib. Apakah dia benar-benar mahu mempercepatkannya? Hannan melepas nafas. Adib dipandang. “Adib yakin dapat pujuk mak cik?”
Dan Adib mengangguk. Dia tahu betapa Hannan sayangkan Syaqiqah. Tindakannya ini demi kebaikan Syaqiqah sendiri. Kerana sayangnya dia pada Syaqiqah tak lebih tak kurang seperti Hannan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s