Demi Syaqiqah – P61

Syaqiqah memandang Dian dan Dian memandang adiknya kembali. Syaqiqah menyelak langsir bilik dan mengintai ke luar. Entah apa yang dia risaukan, dia juga tidak tahu.
“Adik” Dian menarik Syaqiqah agar duduk. Rimas pula melihat adiknya ke sana ke mari kegelisahan.
“Akak rasa Adib cakap apa dengan ibu?”
Dian tergelak kecil. “Mestilah kena jujur. Macam tak kenal lagi perangai ibu kesayangan kita tu.. Kalau Adib tak bagitahu perkara sebenar, memang tak adalah ibu nak lembut hati setuju dengan tarikh yang Adib minta tu”.
Syaqiqah melepas nafas. Dia bukannya setuju sangat dengan permintaan Adib tapi dia tahu Adib melakukan semua untuk kebaikannya. Tapi Syaqiqah tidak mahu ibu tahu soal Amy. Dia tidak mahu ibu fikir banyak akan peristiwa itu. Dia tidak mahu ibu merisaukannya. “Tapi akak…”
“Habis adik nak terjah depan tu? Pergilah terjah, manalah tahu ibu setuju lembut hati tanpa cerita apa-apa” Dian memandang.
“Akak tak risau ke?” Syaqiqah duduk kembali.
Dian tersenyum. “Risau tapi nak buat apa? Lagi pun kalau adik terjah depan tu, ibu lagi syak. Lagilah ibu marah kalau ibu tahu adik memang nak rahsiakan hal tu dari ibu” Dian mengusap pipi adiknya.
Syaqiqah diam. Kalaulah dia tidak boleh bercakap seperti dahulu… Risaunya dia dengan perbualan ibu dan Adib di depan.
Dian ketawa kecil melihat adiknya. Kelakar pula melihat adiknya saat ini. “Adik…”
Syaqiqah melepas nafas. Kakaknya dipeluk. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang mahu diperkatakan.

########

“Saya minta maaf mak cik. Sebenarnya saya memang nak bagitahu dari awal tapi…”
“Iqah tak bagi kan?”
Adib menganggukkan kepala. Sakit pula hatinya melihat air mata Hannan mengalir laju. Dia juga tidak mahu berterus terang namun… ini saja satu-satunya cara untuk mendapat persetujuan Hannan agar dia dapat menjaga Syaqiqah sepenuhnya.
“Mak cik… saya minta maaf”.
“Dah lah Adib. Jangan minta maaf. Mak cik ok” Hannan mengesat air matanya yang berjujuran jatuh. Hal sebesar ini Syaqiqah masih rahsiakan darinya. Apakah ada hal lain lagi yang anak bongsunya itu sembunyikan darinya?
“Sebab ini… saya nak minta tarikh dipercepatkan. Kalau kami dah muhrim, senang saya nak jaga Syaqiqah ke sana ke mari. Pergi belajar boleh hantar ambil..”
Hannan terdiam. Bila Adib selesai bercerita, dia sudah pun bersetuju dengan permintaan Adib. Cuma.. dia benar-benar terasa dengan sikap kedua puterinya. Sebagai seorang ibu, bukankah dia berhak mengetahuinya?
Anaknya diculik dan hampir dirogol. Bukankah ini perkara besar dalam hidup seorang wanita? Bagaimana Syaqiqah tergamak merahsiakan hal ini darinya semata-mata kerana tidak mahu dia risau? Dan bagaimana pula Dian boleh bersetuju dengan permintaan adiknya sedangkan dia tahu bagaimana sakitnya hati ibu diperlakukan begitu?
“Mak cik…”
“Baliklah dah lewat ni. Tak manis orang kampung tengok, Iqah dengan Adib tak sah lagi…” Hannan mengangkat wajah, memperlihatkan pipinya yang basah.
“Kalau macam tu, saya minta diri..”
“Adib balik KL terus ye. Kirim salam pada Harraz sekali” Hannan menguntum senyum tawar dan terus berlalu masuk ke biliknya. Di dalam bilik dia menangis semahunya. Melepaskan air mata, segala keberatan dan segala kekecewaan yang ditanggung saat ini.
Adib melepas nafas. Mungkin Syaqiqah dan Dian sudah pun tertidur saat ini. Jam juga menunjukkan hampir satu pagi. Pasti Harraz pun sudah tertidur menunggunya di dalam kereta.
Dia telah melakukan apa yang perlu. Apa yang sepatutnya dilakukan dari dulu. Moga dengan kejujuran ini akan melembutkan hati Hannan agar bersetuju dengan permintaannya.

#########

Usai menunaikan solat Tahajud, Syaqiqah menjeling kakaknya yang lena tidur. Maklumlah, kakaknya uzur.. pasti sajalah tidur hingga hari cerah.
Semalam dia mahu berjumpa Hannan sebaik selesai Hannan berbicara dengan Adib tapi nampaknya dia dan Dian sama-sama tertidur dahulu. Lama benar Hannan berbincang nampaknya.
Syaqiqah keluar dari bilik menuju ke bilik Hannan. Pintu diketuk namun tiada berjawapan. Pintu cuba dibuka namun ternyata ia dikunci dari dalam. “Ibu..” Syaqiqah memanggil.
Tiada jawapan. Syaqiqah melepas nafas. Apakah ibunya masih tidur? Ya, ibunya juga uzur. Mungkin juga masih tidur kerana kepenatan melayan Adib dan Harraz semalam. Biarlah.. Syaqiqah menyedapkan hati.
Jam hampir menunjukkan pukul sembilan pagi namun ibu masih juga tidak keluar bilik. Dian yang baru selesai menyediakan sarapan mengetuk lagi pintu bilik ibunya untuk entah kali ke berapa. “Ibu.. ibu…” namun sama, tiada sebarang jawapan dari dalam.
Syaqiqah mula risau. “Ibu tak sihat ke akak?”
Dian mengusap adiknya, tidak mahu Syaqiqah terlalu risau. Dia mengambil telefon pintar di dalam bilik dan menghubungi Adib. “Assalamualaikum, Adib”.
“Waalaikumussalam”.
“Kau kat mana ni?”
“Aku dengan Harraz on the way balik KL” Adib jujur, memandang Harraz yang berada di sebelahnya.
“Balik KL?”
“Ya. Mak cik Hannan suruh aku dengan Harraz balik dulu. Nanti dia hantar kau dengan Dibah balik KL sendiri”.
“Boleh aku tahu kau sembang apa dengan ibu semalam?” Dian menyoal, lambat-lambat.
“Aku cerita semuanya. Dia nampak terasa sangat dengan kau, dengan Iqah.. tapi kalau aku tak cerita, dia takkan setuju dengan permintaan aku. Sekarang ni yang paling penting bagi aku adalah keselamatan adik kau” Adib bercakap panjang.
Dian melepas nafas. Talian terus dimatikan. Barulah dia faham sekarang. Apa yang ibu begitu marah hingga tidak bersuara dan memunculkan diri sejak pagi tadi.
Pandangan dihala pada Syaqiqah yang sudah pun mengalir air matanya. Perbualan tadi dipasang pembesar suara kerana Dian mahu Syaqiqah dengar semuanya.
“Akak… ibu marah adik. Adik tahu ibu marah adik..” Syaqiqah memeluk kakaknya.
Dian melepas nafas. Sebenarnya ibu marahkan mereka berdua. Ibu terasa hati dengan mereka berdua. Mereka berdualah puncanya ibu membawa hati begitu.
“Ibu…” mereka berdua mengetuk pintu bilik Hanan serentak. “Kami minta maaf” juga serentak.
Namun Hannan berdiam di dalam. Dia duduk menghadap cermin memperlihatkan matanya yang bengkak kerana semalaman menangis.
“Ibu…” Dian pula bersuara. “Ibu keluarlah dulu.. Kalau ibu tak keluar, macam mana akak dengan adik nak terangkan semuanya?”
Hannan tetap diam. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Dian dan Syaqiqah. Apakah dia ibu yang teruk? Apakah begitu teruk dia menjaga Dian dan Syaqiqah hingga perkara sebesar ini dirahsiakan?
“Abang…” Hannan memandang gambar terakhir diambil bersama arwah Sulaiman. “Hannan ni ibu yang teruk ke sampai anak-anak tak percaya pada Hannan?”
“Ibu” Dian pula mengetuk. Kasihan melihat adiknya yang sudah meronta menangis tapi ibu masih tidak lembut hati.
“Akak dengan adik tak berniat nak lukakan hati ibu. Kami cuma tak nak ibu risau. Itu je…” Dian cuba memujuk.
“Ibu.. keluarlah dulu..” Syaqiqah pula menyampuk.
Hannan melepas nafas. Dia melangkah ke pintu. Mahu membukanya namun dia beratkan hati. Tidak mahu mengalah, hatinya sakit benar dengan sikap kedua puteri kesayangan.
Dian mengeluh. Kalau ibu.. harus begini. “Adik!! Adik kenapa?”
Syaqiqah mengerut dahi melihat Dian menjerit tiba-tiba. Dian meletakkan jari telunjuknya di mulut, menyuruh Syaqiqah diam.
“Adik!! Adik ok tak ni?”
Hannan bergegas membuka pintu. Suara Dian yang cemas merisaukannya. Apa yang terjadi pada puteri bongsunya? Namun saat pintu dibuka, perkara pertama yang dilihat adalah sengihan Dian dan Syaqiqah.
“Ibu” Dian dan Syaqiqah laju menghalang Hannan menutup pintu semula. Keduanya meluru masuk ke dalam.
Hannan mengalah. Dia duduk di atas katil sementara kedua puterinya duduk di atas lantai. Memandang Hannan. “Ibu…”
“Cakaplah”.
Dian memandang Syaqiqah. “Akak yang salah. Akak yang nak rahsiakan dari ibu. Malam waktu ibu call tu.. yang ibu cakap tak sedap hati..”
“Jadi betul lah ibu tak sedap hati sebab ada benda buruk berlaku? Akak dengan adik tak sayang ibu? Akak dengan adik tak percaya ibu? Rasa ibu ni ibu yang teruk ke?” Hannan memotong. Air mata Hannan mengalir lagi, rapuhnya hati seorang ibu yang dikecewakan puteri-puterinya sendiri.
Syaqiqah mula teresak. “Tak ibu.. Bukan macam tu. Adik tak nak ibu risau.. adik tak nak ibu fikir yang bukan-bukan.. Adik dah besar…”
Hannan meninggi suara. “Boleh jaga diri? Kalau betul boleh jaga diri, tak berlaku benda macam tu! Itu bukan boleh jaga diri namanya!!”
Syaqiqah tersentak melihat ibu marah. Nampaknya ibu benar-benar marah kali ini. Suaranya meninggi dan wajahnya memerah. Air mata pula berjujuran keluar dari tadi.
“Ibu… akak dengan adik tak de niat” Dian memeluk kaki ibunya. Tahu bahawa ibu sangat marah dan kecewa kerana hal sebesar itu dirahsiakan. Yalah, selama ini mereka mana pernah berahsia dengan ibu. Hatta mereka bangun dahaga di waktu malam pun diberitahu.
Hannan duduk kembali. Namun membelakangkan kedua puterinya. Dian dan Syaqiqah naik ke atas katil. “Ibu…”
“Sedar pun ibu ni ibu. Tapi benda besar macam tu pun tak bagitahu” Hannan mengetap bibir.
“Ibu.. akak tak berniat nak tipu ibu. Malam tu, akak memang tak tahu nak buat apa. Akak risau sangat bila adik hilang.. Kalau Adib dengan Harraz tak tolong…”
“Anak dengan bakal menantu sama je…” Hannan menjeling.
Dian melepas nafas. “Ibu…”
Hannan memandang. “Tahu tak sakit hati ibu ni bila dengar cerita Adib. Kalau Adib tak cerita, agaknya sampai mati pun ibu tak tahu kan?”
“Bukan macam tu ibu.. sebab adik sayang sangat dengan ibu, adik tak sanggup bagitahu ibu. Adik tak sanggup nak cerita yang adik…. Adik tahu ibu lagi sakit dari adik kalau ibu tahu cerita ni…” Syaqiqah menangis semahunya.
Hati Hannan luntur mendengar kata-kata Syaqiqah. Wajah itu dibelai dan air matanya dilap. “Sebab sayanglah kena berkongsi… Adik, akak.. Ibu tak nak jadi ibu yang ada waktu anak-anak gembira je.. Ibu nak jadi ibu yang sentiasa ada dengan anak-anak dalam apa pun situasi. Boleh?”
Dian mengangguk. Syaqiqah mengangguk. “Kami janji.. kami takkan berahsia dengan ibu lepas ni”.
“Betul janji..?”
“Betul ibu.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s