Demi Syaqiqah – P63

Nafas dilepas perlahan melihat kad undangan yang diserahkan papa sebentar tadi. “Jadi juga…” hanya itu kata-kata yang Amy ucapkan.
Kadnya tidak semewah mana. Lebih tepat lagi, langsung tak sesuai dengan taraf kekayaan keluarga Tun Adib Nasir. Namun mereka hanya buat majlis kecil-kecilan. Katanya tidak mahu terlalu kecoh. Dengarnya, jemputan pun tidak sampai lima ratus orang.
Di kad itu juga tidak ditulis nama sebenar Adibah. Tapi ditulis Syaqiqah binti Sulaiman. Pasti Sulaiman ini bapa kepada Dian yang mengambil Adibah sebagai anak angkat.
“Adib Mubarak dan Syaqiqah…” Amy membaca nama pengantinnya sekali lagi. Dan nafas dilepas, keluhan dilepaskan buat kali entah ke berapa.
Amy melepas nafas lagi bila terasa air matanya jatuh menitis. Dan matanya dipejam, air matanya dibiarkan mengalir ke pipi. Dan badannya mula terhinjut-hinjut bersama esakan yang lebih kuat. Hanya beberapa minit kemudian, dia sudah menangis teresak-esak.
“Sayang…”
Amy tersentak melihat Amnah di muka pintu biliknya. “Mama…”
“Sayang ok?” Amnah bergegas masuk mendekati puteri kesayangannya. Tubuh anak gadisnya itu dipeluk erat.
“Mama… Amy ingat Amy dah tak sedih bila baca ni…” kad undangan itu bertukar tangan.
Amnah melepas nafasnya. “Anak mama… Mama sebenarnya nak cakap… Emily call tadi” tubuh itu dirangkul. Diusap penuh kasih dan sayang. Sepenuh rasa cinta ibu dicurahkan. Amnah mahu Amy lega di dalam pelukannya.
Esakan Amy makin dahsyat. Makin dahsyat saat mendengar nama Emily. Dia menghabiskan sehabis daya melepaskan semua rasa sedih pilu yang berhimpun di dalam hatinya. Dia sudah berjanji tidak mahu menangis lagi namun janjinya hanya sekadar janji.
Nafasnya didengus melihat puteri tersayang menangis lagi di dalam pelukan isteri. Dendam yang sememangnya bersarang di dalam hati makin membara. Aku takkan berdiam diri, Nasir!

#########

“Termenung..?”
Syaqiqah menguntum senyum memandang Dian yang melangkah masuk ke biliknya. “Akak…”
“Apa nak ditenung kat barang hantaran tu?”
Syaqiqah ketawa kecil. Kepala digeleng perlahan. “Tak sangka kan?”
“Tak sangka apa?” Dian mengambil tempat di sisi adiknya.
Syaqiqah ketawa sekilas. “Adik langkah bendul…”
Dian membuat muka. Namun dilayankan saja ‘angin’ adiknya itu. “Iye… memang tak sangka. Tak sabar sangat nak kahwin…”
Syaqiqah ketawa. “Bukanlah.. Adik tak sangka yang adik akan kahwin. Memanglah sebelum akak tu pun tak sangka tapi…”
“Lagi tak sangka yang adik akan kahwin dengan Adib kan?”
Syaqiqah ketawa sejenak, lengan Dian dipaut. “Akak tau..?”
Dian ketawa dengan sikap adiknya hari ini. Maklumlah mood pengantin, mulalah hendak berfeeling bagai. “Tau apa..?”
“Masa first time adik jumpa Adib, masa Adib peluk adik tu… adik takut sangat, takut yang amat sangat” Syaqiqah melepas nafas, teringat pertemuan semula pertamanya dengan lelaki yang kini bergelar bakal suami itu.
Dian ketawa mengekek. “Taulah.. Takkan tak tahu tengok muka adik yang pucat macam orang nak mati tu pun dah tahu…”
Syaqiqah tersenyum. Dian memandang, “Serius akak tanya ni.. tak sangka kahwin dengan Adib atau tak sangka jumpa balik dengan keluarga yang adik sangka dia orang dah buang adik tapi.. faktanya adik yang buang dia orang?”
Syaqiqah melepas nafas. “Hakikatnya.. dua-dua”.
Dian ketawa mengekek. “Adib kata orang dari KL sampai esok.. berdebar tak?”
Syaqiqah hanya tersenyum. Yalah, majlisnya pun lagi empat hari. Dan ini permintaan Hannan mahu buat majlis di Melaka. Tun Maryamul Azra ikutkan saja kerana setelah berkahwin pastilah Syaqiqah akan tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
“Pengantin oh pengantin..” seorang wanita sekitar lima puluhan menjengah di pintu.
“Ya, Mak Nab” Syaqiqah tersenyum memandang Mak Nab yang merupakan jiran belakang rumah mereka.
“Comel Syaqiqah ni” sempat Mak Nab memuji gadis berdarah manis itu. “Ada orang cari, katanya nak jumpa pengantin perempuan”.
Syaqiqah mengangguk, “Kat luar ye?”
Mak Nab mengangguk dan segera berlalu pergi bila mendengar namanya dipanggil orang kampung. Dian memandang Syaqiqah yang sedang menyarung tudungnya. “Adik nak akak teman ke?”
Syaqiqah tergelak mendengar soalan Dian. Depan rumah saja pun! “Tak payahlah kak… depan rumah je..”
Dian menggaru kepala yang tidak gatal. Ya juga, depan rumah saja pun. Mengapalah dia memberi tawaran yang langsung tak menarik itu? “Dahlah… akak nak tengok ibu”.
Syaqiqah mengangguk dan mereka sama-saa keluar. Dian ke belakang manakal Syaqiqah ke hadapan, melihat siapa yang mahu menemuinya.
Dahi berkerut melihat depan rumah yang kosong dengan manusia. Siapa yang memberitahu Mak Nab mahu menemuinya? Syaqiqah menyarung selipar dan menuruni tangga hingga keluar kawasan rumahnya. Namun tetap juga tiada orang yang ditemukan.
Mungkin orang itu sudah pulang, fikir Syaqiqah. Lantas tubuh dipaling mahu kembali ke dalam rumah.
“Cik”.
Syaqiqah menoleh. Seorang lelaki yang tidak dikenali tersenyum memandangnya. Membuat wajah tidak mengerti.
“Cik Adibah Syaqiqah kan?”
Syaqiqah mengangguk, menanti kata-kata seterusnya dari pemuda itu. Namun wajahnya tiba-tiba ditutup dengan sapu tangan yang telah dicalit ubat pelali. Sempat Syaqiqah mendengar bunyi kenderaan mengambilnya sebelum dia akhirnya pengsan tidak sedarkan diri.

##########

Adib tersenyum memandang mamanya yang telah selamat masuk ke dalam bilik hotel ditemani Enon. Anum masih lagi mengambil barang keperluan mereka di dalam kereta manakala Cik Zah tidak ikut serta. Dia akan datang ke Melaka bersama suaminya dan Tun Adib Nasir lusa.
“Mommy rehat ye.. nanti petang Adib bawa mommy ke rumah Dibah. Sekarang biar Adib pergi dulu” Adib menyalami kedua orang tuanya.
Harraz yang menanti di luar tersengih memandang Adib. Rindu pula mahu menatap wajah bakal suri hatinya. Dia sudah berbincang dengan kedua orang tuanya, sebaik saja majlis Adib dan Syaqiqa selesai dia akan terus masuk meminang Dian. Bak kata Hannan, bertunang dahulu hingga Dian habis belajar. Harraz tidak mahu Dian yang ramai peminat itu tiba-tiba disambar orang lain.
“Tersenyum lebar macam kau yang nak kahwin” Adib menjeling pada Harraz yang sedari tadi tersengih.
“Cik adik, ingat sikit aku ni status atas kau tau…” Harraz ketawa kecil.
Adib menggeleng kepala dan mematikan enjin. Setelah itu, mereka sama-sama masuk ke dalam rumah. Awalnya mereka merancang untuk datang esok namun Tun Maryamul Azra sangat bimbang tidak dapat membantu persiapan, maka digagahkan diri untuk datang juga. Namun dia juga yang penat kerana Tun Adib Nasir masih lagi berada di luar negara.
Kata Dian, khemah akan dipasang awal pagi esok. Dapatlah dia dan Harraz membantu apa yang patut. “Assalamualaikum” Adib memberi salam pada Dian yang muncul di ruang depan.
Dian tersenyum sambil menjawab salam. “Patutlah beria ibu kata kau datang.. kuat betul rasa hati. Aku ingat kau nak datang esok?”
Adib menjeling Harraz di sebelahnya, “Ada orang angau.. dah gila bayang pun”.
Pipi Dian memerah membuatkan Adib tergelak besar. “Mommylah nak datang awal.. rindu sangat dengan Dibah”.
Dian mengangguk memahami. Mata menjeling pintu bilik Syaqiqah yang tertutup. “Aunty Yam tak datang?”
Adib menggeleng. “Penat sangat kan… tengah rehat kat hotel tu. Dia kata kalau larat nak datang malam ni.. Tapi aku ingat esok je lah aku bawa dia” Adib memberitahu.
“Kejap aku panggil ibu.. Iqah ada dalam bilik tu. Air kena tunggu kejaplah..”
Adib mengangguk. Harraz di sisi dari tadi menguntum senyum memandang Dian, pantasan saja gadis itu tak keruan.
Dian melangkah ke dapur memberitahu ibu rasa hatinya soal kedatangan Adib dan Harraz adalah benar sama sekali. Hannan yang sibuk memeriksa segala persiapan dan hantaran bergegas ke hadapan menyambut bakal menantu.
Pintu bilik Syaqiqah ditolak. “Adik..” Dian memanggil. Tiada orang, hairan.. ke mana pula adiknya itu?
“Adik!” suara Dian ditinggikan. Bimbang adiknya tidak mendengar. “Adik!”
Masih juga tiada jawapan, ke mana pula Syaqiqah pergi? Dian bergegas ke biliknya dan mengambil telefon pintar. Pantas nombor telefon adiknya dihubungi sambil Dian melangkah ke bilik Syaqiqah. Ternyata telefon pintar adiknya ada di dalam bilik.
‘Tinggal fon pula. Mana adik ni?’ segera dia bergegas ke luar. “Ibu adik tak de dalam bilik”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s